Siapa tak suka makan kenduri? Mestilah suka bila kita dijemput. Kalau kita rajin beribadah di surau dan masjid, kita pasti akan menjadi tetamu wajib yang dijemput jika ada kenduri kahwin atau kenduri tahlil.
Di Sarawak, menghadiri jemputan kenduri atau dipanggil pengelan adalah satu penghormatan kepada tetamu. Malah menjemput orang makan bukan sahaja terbatas kepada acara tahlilan, perkahwinan, cukur jambul malah jika sesebuah keluarga itu mendapat keuntungan seperti musim padi yang baik, musim ikan yang menguntungkan turut diraikan bersama masyarakat kampung dengan jemputan MAKAN SELAMAT.
Jika makan tahlil dipanggil MAKAN HOI. Manakala makan kenduri kahwin dipanggil PENGELAN NIKAH.
Malah bagi masyarakat Melanau Likou dan Iban di saat kematian pun mereka mengadakan jamuan untuk tetamu.
Pernah saya melihat rakan-rakan Melanau Islam yang memasak untuk keluarga mereka yang bukan beragama Islam (likou) semasa menziarahi kematian. Masakan mereka bersumberkan bahan halal.
Bagi masyarakat Melayu di pesisir pula terutama di daerah Kabong, Nyabor, Saratok hinggalah ke Samarahan kenduri adalah saatnya berbagi rezeki. Saya pernah dijemput untuk menghadiri kenduri di sebuah kampung disini selepas waktu subuh pada tahun 1995.
Wah, awalnya ada orang jemput kenduri. Saya bersiap dan pergi ke rumah yang menjemput. Hanya selang beberapa rumah sahaja jaraknya.
Semasa saya datang sudah ramai juga tetamu lain menanti. Semasa imam membaca doa selamat dan kami mengaminkan, masih tiada apa apa hidangan dihadapan.
Terkenang saya kalau makan kenduri di Perak tempat kelahiran saya. Biasanya makanan dah terhidang di kain seperah dan tetamu pun menghadap sambil mengamin doa.
Sangat berbeza keadaannya dengan di Sarawak ini. Usai imam membaca doa barulah kelihatan beberapa anak muda membentangkan seperah dan mengangkat hidangan. Hidangan yang dibawa didalam talam.
Setiap talam mengandungi 2 hidangan yang sama. Contohnya kari ayam ada 2 piring , umbut apong 2 piring, ikan bersambal 2 piring, acar 2 piring. Sudu pun di letakkan 2 dalam setiap piring.
Berbeza dengan di Semenanjung, biasanya satu talam ada 4 mata (lauk) tapi di Sarawak ada 8 mata dalam piring.
Tambahan pula jemputan makan masih awal pagi dalam jam 8.30 tapi sudah makan makanan berat. Saya pun menikmati makanan dan bertanya dengan sahabat disebelah.
“Kenak awal gilak makan nasi disitok? (Kenapa awal sangat makan nasi disini.)”
“Oh, bukan apa cikgu, lepas makan tok kamek urang turun ke laut, turun ke kebun berkerja” jawab sahabat saya.
Fahamlah saya.
Kenapa kenduri atau pengelan di Sarawak ini banyak dibuat di sebelah pagi. Ini kerana selepas menghadiri kenduri mereka akan terus melakukan kerja-kerja kampung. Berbeza dengan masyarakat bandar yang biasa membuat kenduri pada selepas waktu isyak.
Berkenaan hidangan yang mengandungi 2 lauk dalam setiap seperah melambangkan betapa murahnya hati tuan rumah bersedekah. “Makan agik cikgu. Ambik kitak kari ya sepiring sik hal banyak lagi tok” pujuk seorang kawan saya yang melihat saya malu malu nak menambah nasi.
Teringat pula saya saat kemeriahan kenduri tahlil di kampung saya semasa saya kecik dahulu bila tetamu dah hampir nak habis makan maka ayah akan memanggil, “hah..tambah lagi kome, jangan malu, makan makan….ulo ayor tu…hah..nasik mana …ooii bawak lagi nasik oiii”
Tak diam mulut bapak memotivasikan tetamunya untuk makan sekenyang-kenyangnya.
Sama lah keadaan di kampung kampung Melayu di Sarawak ini, cukup murah hati dalam menjemput tetamu makan kenduri. Dah lah setiap lauk disediakan dua piring, di tambahkan lagi dua sudu supaya kita tidak berkongsi sudu.
Ternyata mereka masih memikirkan soal hygenic dalam memberikan tetamu makan. Lauk dan ulam jangan dikata semuanya lauk pauk dan ulam kampung. Midin belacan, pekasam losek, sayur umbut apong masak lemak, dabai, engkalak cicah garam. Kari ikan yuk, kari ayam, daging masak hitam, air sirap sun valley. Hmmmm, sungguh menyelerakan.
Kini sukar lagi kita melihat budaya sebegini dibandar bandar besar. Malah PENGELAN NIKAH pun banyak dibuat di dewan Banquet. Ada juga buat di kawasan perumahan tetapi dihidang secara buffet yang dijaga oleh pekerja katering.
Bila cikgu minta tambah daging dia cakap, maaf encik eorang sigek senduk jak. Tuan rumah madah sorang seketul ayam, sesenduk daging. Maap encik.
Hmmmm, rindu suasana pengelan di kampung. Harapan cikgu budaya murah hati melayu Sarawak di kampung- kampung yang bersandarkan pada tunjang prinsip
yang sikit kita cicip bersama,
yang banyak kita lapah bersama,
yang kecil kita jinjit bersama ,
yang besar kita pikul bersama
dapat dikekalkan sampai bila bila.
Kembara memori Cikgu Emmet.