Pengalaman kali pertama melawat rumah panjang pada tahun 1995

“Cikgu, boleh hantar Emilia (bukan nama sebenar) balik ke rumah dia tak? Cikgu beritahu ibubapa dia yang Emilia terpilih untuk mewakili bahagian dalam MSSR. Jadi kita nak ibubapa dia tandatangan borang kebenaran dan minta dia bawa pakaian untuk kejohanan tersebut di Sibu”. Penolong kanan ko kurikulum Cikgu Jackson Gadoh Lawang meminta saya menghantar Emilia.

“Baik cikgu” sahut saya dengan nada perlahan. Dalam hati berdebar debar, maklumlah tak pernah jejak rumah panjang langsung ketika itu. Selama ini tengok dari luar sahaja.

Emilia saya bonceng menaiki EX5 100 yang baru saya beli di Ing Motor Sarikei. Hajat hati nak pakai plet 6DA tapi tak sempat, sudah bertukar QR pula.

Motor saya membelah jalan tanah merah hala memasuki Tingting Lichok. Dalam lebih kurang 10 minit sampailah saya ke rumah panjang Tinting.

Dalam hati saya kagum sungguh!. Tiangnya tinggi. Mahu lebih 20 kaki dari kayu belian. Saya pun naik ke atas rumah panjang tersebut.

Keadaan di rumah panjang sunyi sebab penghuni lelaki ramai yang keluar ke kebun. Saya membiarkan Emilia pergi ke rumahnya.

“Nya bilik kami ciguu”, Emilia menunjukkan pintu rumahnya.

Oh..rumah panjang ini dibahagi-bahagikan kepada bilik. Tapi bukan macam bilik tidur sebaliknya bilik itu seperti rumah.

Di dalamnya ada bilik penghuni dan dapur serta ruang tamu dan makan.

“Takpe kamu panggil je ibu atau bapa, cikgu tunggu di errr…apa nama tempat ni”? tanya saya pada Emilia.

“Ini namanya Ruai cikgu”, jawab emilia tersenyum.

Oo..besarnya ruai. Sememangnya besar, kalau dikira kira lebih 20 pintu rumah ini.

Sambil menunggu Emilia saya terlihat tengkorak-tengkorak bergandingan di ruai, seram pulak rasanya. Maka saya berjalan-jalan ke beranda rumah melihat beberapa makcik sedang menjemur padi.

“Ooo cikgu..bila cikgu datang sini”? tanya seorang makcik yang berkain batik sambil meratakan padinya.

“Ohh.. baru je sampai..saya hantar Emilia tadi nak bawa dia masuk sukan MSSR di Sibu. Ehh..ni jemur padi atas beranda ini tak ditiup angin ke makcik?”, tanya saya lagi.

“Ini bukan beranda, ini Tanju ko kami iban” jawabnya tersenyum. Murah senyuman masyarakat iban di Roban ni. Baik-baik semuanya.

Saya tak terasa terasing melawat disini walaupun pertama kali. Walaupun mula-mula ada yang curiga melihat saya., agaknya kulit saya yang gelap membuatkan mereka ingat saya Tambi jual karpet. Namun setelah tahu saya ini cikgu, amboii senyum-senyum semua.

Semasa menunggu kehadiran ibu Emilia, saya diberitahu akan sejarah rumah panjang tinting ini. Rumah ini antara yang tertua di Roban. Dikatakan wujud sejak zaman Jepun lagi.

Saya diberitahu tikar bemban dan kain pua dianyam diruai dan disimpan di atas siling rumah yang dipanggil Sadau. Dari tanju rumah kelihatan sungai sebelak mengalir lesu menghilir. Ya Allah, damainya pemandangan. Getus hati saya kagum.

Tak lama kemudian datanglah Emilia bersama ibunya. Saya memberikan surat dari Jabatan Pendidikan Bahagian. Selepas dibaca, dia melepaskan anaknya untuk saya bawa kembali ke sekolah kerana anaknya akan menyertai kontinjen Sri Aman.

Saya kembali ke sekolah dalam keadaan gembira kerana dapat mengalami kehidupan di rumah panjang walaupun sebentar. Itu rumah panjang tradisional yang pertama saya jejak.

Kini rumah panjang sudah melalui transformasi kearah kemodenan. Rumah yang diberi bantuan pinjaman oleh perbadanan perumahan Sarawak telah mengubah corak bahan binaan rumah yang jauh lebih sofistaked. Tiang belian berganti konkrit, ruainya berjubin mahal. Sadaunya seperti loteng rumah di bandar. Malah bentuknya seperti rekagaya rumah teres 2 tingkat yang cantik.

Ada rakan saya dari Semenanjung tertanya-tanya. “Mana rumah panjang? Itu rumah teres 2 tingkat kan?”.

Bila saya beritahu itulah rumah panjang, maka kagum mereka. Demikianlah transformasi masyarakat Iban masakini. Kemajuan seiring jalan dengan kepesatan negara. Dayak tidak ketinggalan, mereka sama seperti kita malah dari aspek adat dan sahsiah, mereka lebih lemah lembut dan hormat pada tetamu.

Comments

comments