10 Info menarik tentang Kapit Sarawak. Ini adalah kali pertama saya sampai di Kapit

Walaupun sudah lama di Sarawak ini, minggu lepas baru berkesempatan berkelana di Kapit.

3 jam di dalam bot ekspres mudik ke hulu Sg Rajang, akhirnya sampai ke destinasi.

Berikut saya kongsikan beberapa info menarik sepanjang berada di Kapit.

1.Rumah Panjang berhampiran SMK Selirik sangat cantik setinggi 2 tingkat dari 100% kayu belian. Saya rasa masih banyak lagi rumah panjang yang indah indah di sana. Majoriti rumah panjang di Kapit sudah kelihatan modern dari segi bahan binaan yang digunakan, tetapi kaum Iban masih tetap memelihara ciri, tradisi dan keunikan rumah panjang.

2. Foodcourt seperti Gelanggang Kenyalang di tengah pasarnya menjadi tumpuan semua kaum bertemu sama ada Cina, Iban, orang ulu dan Melayu. Kalau di Kapit memang pemandangan biasa sekiranya ada pelbagai kaum duduk semeja. Tidak ada masalah pun.

3. Kapit juga terkenal dengan pelbagai jenis makanan popular. Tidak sah kunjungan ke Kapit sekiranya tidak merasa makanan seperti roti canai goreng, dikatakan hanya terdapat di Kapit. Tidak kurangnya juga sejenis roti yang dikenali sebagai “pau buntong” atau “roti buntong”, amat digemari oleh orang kapit.

4. Majoriti kaum Cina di Kapit boleh bertutur bahasa Iban dengan amat baik. Kiranya sudah seperti bahasa utama di Kapit.

5. Kapit juga adalah tempat utama yang boleh dapatkan ikan sungai yang termahal di Malaysia iaitu empurau. Harga lokal boleh mencecah RM1000 sekilo. Selain itu ikan semah (ikan kelah) turut dijual untuk juadah, bukan murah jenis ikan itu, ikan taraf premier.

6. Rasa saya kalau nak ukur kaya atau tidak orang orang Sarawak ini tak perlu lihat Miri, Kuching dan bandar bandar lain. Lihat Kapit sudah cukup, pickup 4wd rasanya melimpah limpah di jalanraya. Bukan murah kenderaan jenis itu. Malah kos untuk bawa kereta 4WD dari Sibu mencecah rm500 menggunakan tongkang.

7. Harga rumah mencecah 500K di Kapit masih ramai yang mampu beli. Malah taman perumahan tumbuh melata. Jumlah kereta melebihi parking yang di sediakan sudah jelas menjadi indikasi kekayaan orang Kapit.

8. Yang paling kaya di Kapit ialah masyarakatnya yang sangat peramah dan kaya dengan budi bahasa. Bertutur dengan lemah lembut dan mudah melayan tetamu dari luar Kapit. Masyarakat iban, Cina, Melayu dan Orang Ulu sangat mesra dengan tetamu.

9. Kedudukan Kapit yang hanya boleh diakses oleh jalan air menyebabkan komuniti seakan tinggal di sebuah PULAU, justeru penduduk di sini amat bersatu padu dalam pelbagai aktiviti yang dibuat di sini.

10. Perjalanan ke Kapit dari Sibu merupakan tempat yang menyajikan ketenangan kerana keindahan panorama hutan tropika disamping rumah rumah panjang yang tersergam dipesisir sungai memberikan pemandangan yang menarik dan klasik yang mungkin tidak ada ditempat lain.

Semoga Kapit terus maju dan membangun dan diharap jalanraya yang menghubungkan Kapit-Song-Kanowit cepatlah siap.

Semasa Tok Nan masih hidup dikatakan jalan raya akan siap dalam tempoh 2 tahun lagi. Baru-baru ini ada terbaca info dikatakan 4 tahun pula. Harap Kapit dapat akses jalanraya dalam masa terdekat. Hidup Kapit! ooohaaa!

Comments

comments