Ditanya “Apa Yang Unik di Sarawak Ini Yang Tiada Pada Tempat Lain?” Ini Jawapan Saya

Semasa saya menghadiri sesi roundtable anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak pada 5hb April lepas, saya diberikan soalan “Apa yang unik di Sarawak ini yang tiada pada tempat lain?”

Apa yang saya boleh nyatakan ialah rakyat Sarawak mempunyai sifat kepunyaan (sense of belonging) dan sifat menerima (sense of acceptence) yang tinggi.

Mereka membawa sifat ini di mana-mana mereka berada samada di Sarawak mahupun ketika merantau di luar.

Kadangkala orang boleh tafsirkan ini sebagai sifat kenegerian yang sama seperti orang orang Kelantan atau Johor. Namun, saya melihat ia adalah jatidiri bukan sifat kenegerian semata-mata.

Sifat kepunyaan di kalangan masyarakat Sarawak sangat kuat. Apa-apa yang dimiliki atau beridentiti Sarawak adalah milik bersama dan mereka bangga dengannya.

Saya sendiri lebih suka kicap kipas udang berbanding kicap Tamim walaupun Tamim dibuat di Batu Gajah, Perak. Tapi kicap Tong Nam merupakan kicap orang Sarawak, boleh dikatakan setiap rumah memiliki kicap ini.

Itu baru bab kicap belum lagi belacan, belacan Bintulu atau belacan Tembirat akan dibawa ke Malaya walaupun disana belacan Melaka pun banyak.

Gula apong pula paling sedap bagi masyarakat disini. Saya katakan gula Melaka juga sedap, maka berpolemiklah kami. Saya pula suka menyakat, ternyata kesetiaan orang Sarawak pada gula apong sangat tinggi.

Begitulah sifat kepunyaan orang sarawak terhadap apa apa yang beridentitikan sarawak. Tak kira Iban, Melayu, Cina dan kaum-kaum lain sebanyak 27 kaum, semua mampu bersatu dibawah produk Sarawakian.

Sense of acceptance juga menjadi core perpaduan Sarawak.

Sifat menerima ini jelas dilihat daripada perkahwinan campur dikalangan masyarakat Sarawak. Boleh dikatakan keluarga di Sarawak ini terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam kaum Melayu ada menantu Iban, Bidayuh atau Cina. Dalam masyarakat Iban ada ipar duai Melanau, Melayu dan lain-lain.

Sifat keterbukaan dalam menerima kaum lain menjadi keluarga mereka sangat menakjubkan.

Bila saya bersembang dengan rakan-rakan Iban, mereka akan memberitahu “bisi menyadi aku kawin enggau Melayu cikgu” (ada adik beradik dia yang kawin dengan Melayu) .

Ternyata mereka menerima dengan baik kehadiran kaum yang berbeza dengan mereka di dalam keluarga.

Malah saya masih ingat semasa saya mula datang mengajar di Sarawak saya suka membaca ruangan obituari dalam akhbar lokal. Bukan suka berita kematian tetapi saya banyak belajar bahawa dalam iklan obituari itu akan terpampang nama-nama keluarga yang ditinggalkan oleh si mati.

Kalau yang meninggal itu Iban, ada nama Melayu atau Cina dalam keluarga yang ditinggalkan, begitu juga Cina dan sebagainya.

Malah tulisan jawi lebih dimartabatkan di Sarawak. Lihat sahaja Wisma Sanyan di Sibu yang majoritinya dimonopoli kaum Cina, tulisan Jawi terletak di puncak bangunannya.

Lihat sahaja dewan gereja sekolah St Teresa ada verse bible yang ditulis dalam tulisan jawi.

Orang Sarawak menerima jawi dengan baik pada zaman dahulu malah mengekalkannya hingga kini.

Kalau di Semenanjung ini akan jadi isu besar yang dimomokkan untuk menjejaskan perpaduan kaum.

Demikian juga dengan kehadiran orang Semenanjung yang berkhidmat sini mereka akan menerima dengan tangan terbuka asalkan kita pandai hormati adat dan budaya mereka.

Itulah keunikan masyarakat Sarawak yang berjaya mengekalkan keharmonian kaum.

Semoga Sarawak terus harmoni bersatu dalam kepelbagaian dan perbezaan namun sejajar memartabatkan nilai sejagat sebagai alat perpaduan kaum.

Comments

comments