Manisnya menjadi guru di kampung atau pendalaman ialah kita dihargai dalam bentuk pemberian yang unik.
Seorang sahabat saya memuatnaik gambar pemberian beras huma daripada keluarga anak didiknya. Terharu sungguh dia menerima pemberian anak didiknya.
Itulah kelebihan jika kita mengajar di pendalaman, di kampung-kampung dan pekan terpencil.
Di Sarawak ini kalau di bandar yang kecil kita masih dapat merasai pengalaman seperti ini.
Tahun 1995, semasa berkhidmat di SK Lichok Roban, hadiah Hari Guru yang biasa diterima ialah buah terung asam, beras huma, buah dabai, buah engkalak, buah pelijo, buah maram, buah mangga, bakul rotan, terendak daun nipah dan tikar bemban.
Walaupun kita boleh membelinya di pasar tamu namun bila dijadikan pemberian, hadiah itu sangat bermakna.
Bila menyuap nasi yang dimasak menggunakan beras huma yang diberi anak murid kita, terasa sayu dihati mengenangkan betapa susahnya mereka mencari nafkah membesarkan anak-anak.
Namun itu sahaja yang mereka mampu untuk menghargai jasa guru yang mendidik anak mereka.
Bagi guru pula ini secara tidak langsung kita akan menjadi lebih komited dalam mendidik.
Sebagai anak rantau dari negeri Perak, sudah tentu ia menjadi sesuatu yang luarbiasa bila menerima hadiah sedemikian rupa.
Maklumlah ada diantara buah-buah yang diterima adalah di dalam kategori nadir (rare).
Buah pelajo rasanya seperti kacang selepas digoreng.
Buah dabai rasanya lemak dan bertambah sedap dicicah kicap dan garam.
Buah engkalak agak masam manis, buah maram kalau dijeruk memang sedap.
Terung Iban kalau dimasak asam pedas pehhh kalah asam pedas Melaka.
Itulah kehidupan pendidik di dalam kehidupan kampung. Ke pasar kita disapa “Selamat petang cikgu” oleh masyarakat. Indahnya menjadi guru pendalaman.
Buat guru-guru muda yang berkhidmat dikawasan sebegini, nikmatilah ia selagi masih ada kesempatan.