Aktiviti petang di masa senggang selepas kor kurikulum saya berjalan-jalan di sekitar asrama sambil meninjau sudut bacaan yang sedang diisi dengan buku-buku yang didermakan oleh sahabat-sahabat saya.
Bila sampai ditangga asrama kumang, kelihatan sekelompok anak-anak dara tahun 2 dan 3 sedang duduk di anak tangga.
“Hai cikgu!” Tegur mereka sambil melambai tangan kearah saya.
Saya tersenyum dan membalas lambaian mereka.
“Kamu buat apa tu?” tegur saya.
“Kami cari kutu cikgu” jawab salah seorang dari mereka sambil tersenyum kesipuan.
Gambaran kegirangan mereka bersembang dan mungkin ‘bergosip’ dengan jari jemari mereka mencari-cari kutu.
Rasanya tiada lah isu rambut berkutu di asrama ini kerana mereka sudah diberi ubat dan kebersihan mereka terjaga.
Tetapi mungkin ini sebagai satu aktiviti ‘sosial’ mengisi masa telah memberikan satu pemandangan yang agak KLASIK.
Saya hanya melihat anak-anak perempuan yang duduk di anak tangga sambil mencari kutu pada tahun 70an yang lalu. Waktu itu sepupu-sepupu saya yang perempuan akan duduk berbaris sambil jari mencari kutu di rumah opah saya di Pasir Berdamar Teluk Intan.
Bila melihat kembali anak-anak SK Melugu mencari kutu ianya mengimbau kembali kenangan lama.
Itulah indahnya kehidupan anak-anak kampung yang tiada langsung bergantung pada gajet dan media sosial.
Mereka mengisi masa dengan sahabat sejati bukan sahabat maya. Mereka menyelami empati dan simpati masing-masing. Mereka bersatu atas nama persahabatan yang tulin.
Saya pasti jika mereka sudah dewasa mereka pasti tersenyum dan merindui suasana ini.
Saya juga yakin ramai rakan-rakan maya saya disini akan terkenang kembali saat anda juga pernah duduk ditangga sambil mencari cari kutu rakan anda dan bercerita tentang apa apa yang menyenangkan anda.
Itulah kehidupan yang kita sudah tinggalkan namun di satu sudut di pendalaman Sarawak ianya masih menjadi aktiviti mengisi masa lapang di asrama sambil menanti hujung minggu utk pulang bersama keluarga.