1988 usai saya STPM saya bercita-cita ingin menjadi seorang yang berkerja dengan media. Mungkin menjadi penulis, wartawan, pengulas atau pengacara tv.
Waktu itu saya melihat profession ini amat tinggi martabatnya kerana ia mampu melahirkan tokoh penyiaran.
Waktu itu antara yang saya amat meminati Harjit Singh Hullon, Hashim Embi, Salasiah Zakaria sebagai newscaster yang hebat.
Rancangan hiburan dan sembang pagi diungguli oleh Ahmad Tarmimi Serigar, Aziz Desa (tv3) manakala dj-dj radio pula terdiri daripada Mazmie Maz, Noramin, Ramlee Abu Bakar, Zainal Din Zainal, Mustaza Maah, Mariamah Tijo dan beberapa lagi, semuanya menjadi pujaan saya.
Mendengar radio dan menonton rancangan TV samada berita adalah sesuatu yang sangat penting dan menyenangkan.
Suara penyampai radio tidak menyakitkan telinga malah bijak mengatur kata menyulam bahasa. Intonasinya lancar ketawanya sopan.
Waktu itu yang terlibat dengan industri media adalah terdiri dari orang-orang yang ahli dalam bidangnya. Kalau pengacara memang ramai dari USM dan ITM.
Penyampai radio sering dilatih oleh Kementerian Penerangan.
Manakala untuk kesenian akan diserahkan pada penyanyi-penyanyi.
Pelawak akan diungguli oleh pelawak.
Pelakon akan menumpukan lakonan mereka.
Jadi semua terdiri dari kalangan orang yang sememang ahli.
Akhir-akhir ini, sejak era media swasta menguasai pasaran masing-masing bersaing mengejar rating. Malangnya kebanyakan yang terlibat dalam industri terdiri daripada orang-orang yang buta ilmu dan tidak ada kena mengena dalam bidangnya.
Apakah wajar pelawak picisan yang dikutip dari program realiti syok sendiri dijurikan oleh kawan-kawan sama level pemikiran kemudian disumbat ke konti untuk menjadi DJ radio berkumpulan bertiga, membuat lawak yang mereka sendiri ketawakan?
Sedarlah suara dan lawak hambar anda itu sebenarnya menyakitkan telinga namun terpaksa kami tadah juga sebab siaran yang lain pun hampir sama, baik panasfm, sejukfm, suamfm semua sama tahap kumbahannya.
Tambahan program panggilan hangus yang suka membahan pendengar, lagi tengik baunya. Busuk dan jijik, namun mereka mereka ini jugalah yang dipilih jadi pengacara tv, lagi lah busuknya berjangkitan.
Apakah CEO media-media ini tak nampak kualiti dj radio mereka ini low class?
Sebab itu saya memilih radio RTM sebagai wadah halwa telinga. Informatif dan retrospektif. #klasiknasional dan #sarawakfm jadi pilihan.