Cikgu boleh ulas tak kes David Teo kena tampar dengan Mat Over? Salah satu komen yang meminta saya membuat sedikit ulasan.
Saya bersandar seketika dan cuba mencari dimana lojiknya tindakan itu, apa kesannya pada peminat peminat seni tanahair.
Saya rasa belum pernah ada kisah seniman hollywood bertumbuk dihadapan Presiden US. Malah mana-mana acara yang melibatkan perdana menteri di dunia saya rasa belum ada perkara seperti ini berlaku.
Namun semalam 18hb sejarah telah tercipta dimana seorang penerbit film ditampar oleh seorang pelakon komedi dihadapan seorang pelakon yang menjadi moderator dan di hadapan Perdana Menteri Malaysia.
Saya kira bukan di Malaysia sahaja yang memperkatakan soal ini namun di seluruh dunia.
Saya meneliti komen-komen netizen mengenai isu ini banyak yang menghamburkan kata kata berbau perkauman.
Antaranya Cina ni kurang ajar patut kena tampar, malah ada yang mempertikaikan peranan Roysam Nor yang dikatakan gagal mengawal suasana malah memberikan kata-kata berbentuk provokatif terhadap David Teo.
Ramai yang menyokong Mat Over manakala tidak sedikit yang bersama David Teo meluahkan simpati dan kata-kata semangat pada dia.
Walaupun kemaafan sudah diberikan di hadapan perdana menteri ia sedikit mencalarkan moral artis dan seniman di negara ini.
Apa untungnya perlakuan seperti ini… ?
Malaysia sudah terlalu banyak dimomokkan dengan hiburan, terlalu banyak perkara yang memalukan dicalar dimuka buku dan laman sosial mengenai artis negara kita dari tular kisah dendam lama dua artis wanita yang bergaduh kerana dijemput menghadiri majlis yang sama, hingga lah kisah lama artis perempuan yang menayang aset dibongkar semula.
Malah tak kurang yang memperlekeh artis artis yang terlibat dalam satu majlis anugerah penghargaan sama ada dari cara berpakaian, mengendalikan majlis sebagai compare dan host serta kemenangan artis tertentu yang dilihat tiada berbakat.
Boom! Kita terperanjat lagi dengan isu lempang melempang.
Inikah akhlak dan tatacara sebahagian seniman Malaysia?
Majlis pertemuan karyawan dengan perdana menteri dalam dialog TN50 di Sri Perdana bukan majlis kecil.
Moderator sepatutnya terdiri dari mereka yang tinggi akal budi dan mampu membawa flow majlis dengan baik serta adil dengan tetamu yang ingin mengemukakan soalan.
Seharusnya seorang budayawan yang diundang untuk menjadi moderator seperti prof dan pensyarah kanan di universiti yang mempunyai fakulti seni.
Tindakan moderator yang mencurah minyak dengan mengeluarkan kata-kata provokasi seperti yang didengar dalam cuplikan video tular itu adalah tidak wajar sama sekali.
David Teo seorang penerbit yang giat menerajui Metrowealth production pula seorang agak teremosi bila peluangnya ingin menanyakan soalan tidak diendah oleh moderator.
Ketinggian suaranya mempertikaikan moderator dianggap kurang ajar terhadap perdana menteri dan mencetuskan rasa geram Sulaiman Yassin (Mat Over) lantas memercikan api kemarahan yang mendorong beliau ke hadapan dan menampar David Teo.
Segala dirakam segalanya ditular. Apa manfaat yang kita dapat?
Tindakan-tindakan bodoh seperti ini boleh menjejaskan kredibiliti perdana menteri sebab dibuat dihadapannya.
Perangai kebudak-budakan seharusnya tidak dibawa dalam majlis perkongsian pemikiran seperti ini. Pertemuan ini sepatutnya membawa satu hala tuju perkembangan seni di Malaysia dalam memacu kejayaan pada 2050, sepatutnya permulaan yang baik dan penuh inspirasi dihasilkan pada malam itu bukan konflik!
Kesimpulannya marilah pada akan datang ambil cakna tentang mana-mana acara yang melibatkan pemimpin negara biarlah ORANG INTELEK yang kendalikan majlis kerana ORANG INTELEK mampu mengawal emosi dan lebih adil dalam menjalankan majlis yang penting seperti ini.
Ingat seniman dan artisan adalah contoh pada golongan muda kalau dah tua tapi kelaku macam budak. Sila cermin diri.
Nota saya
Cikgu Emmet