Dialek Bahasa Melayu Sarawak: Saribas-Saratok-Kabong

Photo credit : UNIMAS MOOC

Umumnya diketahui bahawa dialek Melayu di Sarawak ini ada perbezaan berbanding ditempat lain.

Walaupun ada perbendaharaan kata yang sama dengan bahasa Melayu-Riau yang menjadi asas bahasa Melayu nusantara namun masih terdapat beberapa sebutan yang agak ketara dan memberikan identiti tersendiri terhadap bahasa Melayu Sarawak.

Di dalam Sarawak itu sendiri masih ada beberapa tempat yang mana bahasa Melayu nya berbeza dari segi sebutan.

Ianya mungkin dipengaruhi oleh tempat dan asimilasi dari bahasa penutur jati tempatan yang membuatkan wujudnya perbezaan.

Sama keadaannya seperti di Perak dimana dibahagian utara lebih terpengaruh dengan sebutan Kedah dan Pulau Pinang. Manakala di bahagian selatan dipengaruhi bahasa Melayu Riau dan bahasa Melayu Pahang.

Di hulu Perak ada pengaruhi bahasa Pattani dan bahasa Perak yang asal hanya ditemui di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar.

Di Sarawak pula bahasa yang menjadi teras sebutan bahasa Melayu Sarawak boleh dikatakan diambil dari daerah Kuching Samarahan. Namun sebutannya akan berbeza jika dituturkan di kawasan Saribas-Saratok-Kabong.

Di Sibu bahasa Melayu Sarawak nya mungkin ada pengaruh Melanau. Manakala di Miri mungkin ada pengaruhi Brunei.

Namun demikian sepanjang saya berada disini, bahasa Melayu Saribas-Saratok-Kabong mempunyai ciri-ciri yang menarik dan tersendiri.

Penggunaan sebutan vokal o dihujung perkataan mendominasikan sebutan dari daerah ini.

Kalau di Kuching “KENAPA NI” disebut “KENAK YA”.

Tetapi di Saribas-Saratok-Kabong akan disebut “NAKPO YO”.

Kalau sebutan “YANG ITU” di Kuching mungkin disebut “NAK IYA”.

Tapi di Saribas-Saratok-Kabong akan menjadi “NAK YO”.

Kalau “MEMANG BEGITU LA” di Kuching di sebut “NANG GIYA”

Tapi di Saribas-Saratok-Kabong mejadi “NANGPO YO”.

Kalau “SUKA HATI AKU LAH” di Kuching mungkin “Suka hati kamek empun”.

Tapi di Saribas-Saratok-Kabong terutama Spaoh-Pusa-Saratok akan memendekkannya menjadi “KOTI KUMPUN”.

Begitu juga sebutan Arab biasanya disebut mengikut dia dalam sebutan tempatan.

“LA HAWALA WALA QUWAATBILLAH” akan menjadi “LAHKELOLO” di Saribas-Saratok-Kabong.

“ASTAGHAFIRULLAH HAL AZIM” akan menjadi “ASTERAPILAH HAJIM”.

Kalau menjerit-jerit jadi “KEYAK KAONG”. Kalau “LAMA SANGAT” jadi POPOLAMO. Kalau berdentam dentum jadi LEDAM LEDUM.

Terdapat sebutan yang menunjukkan benda tapi berbeza ditempat lain. SUNGEY (Sungai) menjadi KOLO. Contoh “Boh mandi kolo yo..do boyak sio” (jangan mandi sungai ada buaya)

Parang mungkin di sebut LADIN atau TAMAN.

Sebutan yang menghasilkan bunyi yang lembut seperti “PULANG” menjadi “PULEANG”, “DATANG” menjadi “ATEANG” sangat mempengaruhi sebutan masyarakat Melayu.

Pernah saya menegur beberapa murid perempuan yang tidak solat di surau semasa di Saratok dan mereka menjawab “MEK SIKPAT EMBEANG GU..MEK ATANG KAIN GU”.

Terkejut juga mendengarnya. Rupa-rupanya “Atang Kain” itu datang haid.

Demikianlah keindahan bahasa Melayu Sarawak yang pelbagai dialek di daerah yang berbeza.

Sama juga bahasa bahasa lain. Bahasa Iban di Kuching berbeza dengan bahasa Iban Saratok, Sri Aman, Sibu, Kanowit dan Miri.

Bahasa Bidayuh Bau, Serian dan Lundu juga berbeza.

Bahasa Melanau Matu Daro dan Mukah serta Bintulu pun berlainan.

Namun semua perbezaan ini membentuk satu keindahan supaya kita semua saling kenal mengenali dan berbangga dengan kepelbagaian. Bak kata orang Perak “TAK KENEY MAKE TAK CINTE”.

Tinta peranti Cikgu Emmet.

Comments

comments