Pam! Pam! Pat! Pat! Pam! Pat! Pam! Pat! Dari kejauhan sayup-sayup kedengaran bunyi gendang bertingkah di rumah panjang yang dikelilingi hutan banjaran kelingkang di kawasan Po Ai, Sri Aman.
Bunyi yang datang dari ruai Rumah Panjang Wilson Bana itu adalah bunyi riuh paluan gendang pampat yang dimainkan oleh beberapa orang tua yang membuat persediaan untuk bertanding dalam Pekit Gendang Pampat 2016 di Sri Aman.
Namun begitu permainan gendang warisan kaum Iban ini kurang dikenali berbanding dengan gendang – gendang lain di negara ini.
Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai bentuk permainan gendang tradisional.
Di pantai timur kita sudah kenal apa itu rebana ubi.
Di pantai barat pula terkenal dengan paluan kompang.
Kedua- dua permainan perkusi tradisional ini dimainkan oleh masyarakat Melayu. Namun begitu jika kita sebut gendang pampat mungkin ramai yang tidak tahu, apatah lagi melihatnya.
Gendang pampat amat sinomin dengan masyarakat Iban di Sarawak.
Namun demikian permainan gendang pampat ini turut tersisih daripada generasi muda iban. Mungkin kerana corak latar belakang anak anak muda iban yang semakin maju, moden dan berpelajaran tinggi.
Oleh yang demikian permainan ini tidak lagi popular dikalangan anak anak muda Iban. Sama seperti permainan tradisi Melayu yang lain juga turut tidak mendapat sambutan dari generasi muda melayu seperti permainan rebana dan sebagainya.
Walaubagaimanapun satu usaha memartabatkan kembali ‘main asal’ atau permainan tradisi gendang pampat ini terus dilakukan. Malah turut disokong oleh NGO seperti Dayak Culture Heritage Sarawak dan Yang Berhormat Datuk Mong anak Dagang Adun N22 Bukit Begunan.
Seperti permainan gendang tradisional nusantara yang lain seperti kompang dan rebana. Gendang pampat ini dimainkan secara berkumpulan. Biasanya diantara 4 orang pemain boleh bermain gendang ini pada satu satu masa.
Namun ada ketikanya ia boleh mencecah 11 biji gendang dalam satu satu pasukan dengan 11 orang pemain. Namun tingkah gendang ini tidak seperti gendang gendang lain yang berentak rancak. Gendang pampat berentak keras dan padat dan nyaring tingkahnya.
Sesuai sebagai pemanggil semangat kepahlawanan gendang ini, sebelum gendang pampat ini dimainkan ia didahului dengan upacara mentera dan menabur beras kunyit serta pemain pemainnya dijamu dengan seteguk tuak.
Pemain-pemain gendang ini juga turut memakai pakaian tradisi iban seperti ngepan jika pemain pemainnya terdiri dari kaum wanita manakala baju burung atau baju perang yang diperbuat dari kulit kambing lengkap dengan terabai (perisai) dan parang ilang dipinggang dipakai oleh kaum lelaki.
Pada saat itu terserahlah penampilan berani pahlawan Iban seakan akan mahu pergi berperang.
Gendang yang diperbuat daripada kayu keras seperti Tapang atau Mengeris dipotong berbentuk silinder panjang hingga 1 meter dan disalut dengan kulit kambing atau pelanduk disamping dihias dengan bulu rusa.
Terdapat nama pada jenis jenis gendang ini seperti Gendang bebandong, gendang lanjan, gendang Tama Pechal, Gendang Enjun Batang dan Gendang Tinggang.
Gendang pampat ini biasanya dimainkan oleh masyarakat Iban Dau di kawasan Sri Aman ini pada hari keramaian seperti Gawai Dayak dan Gawai Antu. Namun bagi mengekalkan kesinambungan budaya bergendang pampat ini satu festival gendang pampat diadakan secara tahunan di Melugu Sri Aman.
Selain pasukan yang dianggotai oleh orang orang tua terdapat juga pasukan yang mengetengahkan anggota belia yang masih muda bagi meneruskan lagi kegemilangan main asal iban ini.
Menurut seorang anak muda Iban, saudara Edmand Depa Anak Randi yang mengetuai pasukan belia dikenali sebagai Bujang Jegak Kg Jumbit di Melugu Skim dalam permainan gendang pampat ini, beliau berpendapat bahawa sudah tiba masanya anak-anak muda Iban mengambil alih permainan ini dari golongan tua kerana tanggungjawab mempertahankan permainan tradisi ini haruslah dipikul dibahu anak anak muda iban.
Beliau yang mengetuai 6 anak anak belia kampungnya dalam permainan ini begitu bangga mengenakan pakaian tradisi iban iaitu Sirat dan topi burung ruai menampilkan iltizam baru masyarakat belia Iban dalam memartabatkan permainan ini.
Selain itu saudara Edmand yang juga seorang guru di daerah Lingga akan terus menerapkan permainan ini pada generasi muda di sekolahnya supaya tidak luput ditelan zaman.
Sejak 3 tahun kebelakangan ini daerah Sri Aman begitu kerap mengadakan pertandingan gendang pampat ini.
Jika pada tahun 2014 hanya 5 pasukan yang bertanding pada tahun 2016 sebanyak 11 pasukan beradu digelanggang gendang pampat yang di dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Mong anak Dagang yang pada waktu itu merupakan menteri muda pertanian (pemasaran dan penyelidikan) negeri Sarawak.
Demikianlah indahnya kepelbagaian budaya dan permainan tradisi masyarakat iban yang kurang diketahui oleh rakyat Malaysia.
Selain daripada gendang pampat terdapat juga kesenian naratif tradisional Iban iaitu berbiau iaitu seakan akan syair atau gurindam dalam sastera naratif Melayu lama.
Dengan adanya kebitaraan di daerah Melugu yang mengangkat seni tradisional Iban diharapkan agar seni budaya ini terus dilestari seiring dengan kemajuan teknologi maklumat yang mampu meneroka tanpa sempadan supaya masyarakat luar dapat mengenali inilah IBAN YANG PENUH WARNA WARNI.
Selamat Hari Gawai
Cikgu Emmet