Sulam Simo: Sulaman Baju Melayu Identiti Sarawak

Sepertimana Sarawak terkenal dengan kek lapisnya, sulam simo merupakan satu rekagaya pada busana Melayu beridentitikan Sarawak.

Saya masih menyimpan sepasang baju Melayu sulam simo pelita hati yang saya tempah pada tahun 1996 dijahit oleh seorang perempuan Bugis di kampung Pendam Asajaya.

Harganya waktu itu hanya sekitar RM80 sepasang. Selepas itu saya menghadapi kesukaran untuk mencari penjahit yang mahir dengan sulaman ini.

Namun begitu hingga sekarang saya berjaya memiliki 3 pasang baju Melayu sulam simo.

Kini banyak sulaman dibuat oleh mesin sulam bukan dari tetasan atau cabutan benang dan disulam semula oleh penjahit.

Kerja ini amat teliti. Pada tahun 1996 harga RM80 untuk sepasang baju dikira agak mahal kerana hampir 10% dari gaji saya nilainya. Namun kini jika ada pun yang membuatnya pasti harga yang ditawarkan agak mahal.

Namun ia sesuatu yang amat berbaloi memilikinya.

Contoh sulaman simo pada lengan & poket baju (Kredit foto : Erpha Ahdayani Othman)

Saat saya mengenakan baju ini di Teluk Intan ramai yang kagum dengan gayanya. Tambahan pula yang memakainya memang handsome (Huhu).

Sekarang bila tiba musim perayaan banyaklah yang menatap paparan gajet untuk mencari baju Melayu yang dijual secara atas talian.

Kini banyak baju Melayu berjenama artis terkenal dan bentuknya juga agak keterlaluan dan menyimpang dari norma kebiasaan baju tradisi kita.

Ada baju yang slimfit, ketat di dada dan di lengan konon nak menayangkan kesadoan tubuh si pemakai.

Ada baju dari kain lycra dah macam baju renang tapi bersamping dan macam macam reka gaya.

Baju sulam simo Sarawak makin lama makin lenyap. Saya amat berharap agar pihak Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak melantik pakar sulam simo yang masih aktif diserap sebagai adiguru bagi melatih penyulam penyulam muda agar keunikan seni jahit melayu ini tidak hilang di bumi kenyalang ini.

Bagi rakyat Sarawak pula marilah kita bersama-sama membantu menyokong industri sulaman tradisi kita seperti sulam simo dan tudung kringkam terus gah mewarnai fesyen melayu.

Kita kena berani tampil memakai apa yang sepatutnya milik kita (Sarawak) untuk diperkenalkan pada masyarakat di Semenanjung atau Sabah malah seluruh dunia sekalipun.

Semoga kita akan terus berbangga dengan tradisi yang kita miliki.

Sekian dari tinta peranti cikgu Emmet.

Jika ada yang masih memiliki baju melayu sulam simo bolehlah share gambar diruangan komen. Supaya kita dapat menunjukkan bahawa seni jahitan ini sangat indah.

Comments

comments