Baru-baru ini saya terbaca satu blog yang yang bertajuk “Guru Perlu Isytihar Harta Bagi Elak Terlibat Dengan Rasuah”. Ianya didasari dari ucapan pengarah pendidikan salah sebuah negeri di Malaysia supaya siasatan dibuat jika gaya warga pendidik kelihatan mewah.
Saya setuju jika pengisytiharan harta dibuat. Malah sudah pun dilaksanakan dimana guru-guru mesti isytiharkan harta setiap 5 tahun sekali.
Cuma jika dilihat gaya hidup guru yang mungkin agak mewah sebenarnya bukan bermakna mereka mengamalkan rasuah.
Mungkin ada yang terlibat dengan perniagaan sebagai mencari pendapatan sampingan.
Mungkin ada yang terlibat dengan tuisyen untuk membantu pelajar memperkukuhkan ilmu mata pelajaran. Ada juga yang berniaga secara atas talian.
Saya kira bukan guru sahaja, malah profession lain pun ada sumber pendapatan kedua seperti menjadi ejen insuran dan lain-lain.
Namun bila mendengar perkataan RASUAH untuk dikaitkan dengan guru-guru biasa sememangnya tidak signifikan. Jika ada pun ia memang selalu berlaku BILA GURU YANG MEMBERI ‘ RASUAH’ BUKAN MENERIMA ‘RASUAH’.
Guru selalu rasuah murid yang berjaya jawab soalan dengan memberikan pensil atau buku cerita sebagai galakan.
Guru selalu keluarkan wang sendiri dan melaburkan di kelas kelas untuk menceriakan kelas sebagai cara nak mengumpan atau ‘merasuah’ murid supaya suka datang ke sekolah.
Guru juga adalah pegawai yang sering menyalahgunakan harta persendirian untuk digunakan demi kepentingan murid seperti membawa murid bertanding di sukan atau aktiviti ko kurikulum.
Belum lagi guru-guru menggunakan hak persendirian seperti melabur 5 peratus atau 10 peratus dari gajinya untuk membeli kertas A4 dan pen marker serta membuat alat bantu mengajar demi memastikan murid murid belajar dengan baik.
Ada guru sanggup keluar belanja sendiri berhabis wang dan tenaga untuk memastikan murid-murid gembira dan teruja hadir di sekolah.
Mungkin itulah RASUAH yang dibuat oleh guru agaknya. Malah ada yang rakan guru terhiris bila ada pihak pentadbir mengungkit kononnya murid adalah client. Tanpa murid tiadalah profession ini.Jadi janganlah kedekut nak mengeluarkan duit untuk keceriaan kelas dan sebagainya.
Terhiris sebab dilabel kedekut, sedangkan segala yang wang dikeluarkan adalah ikhlas.
Oleh itu mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan supaya guru-guru ini diberi pelepasan cukai alatulis kerana sudah banyak pengorbanan yang dibuat oleh mereka demi anak didik.
Jadi tak moleklah nak kaitkan profesion ini RASUAH. Mungkin ada kes terpencil tapi tidak mengambarkan keseluruhan.
Walaupun kita bukan maksum marilah kita sama-sama menjaga nama baik profession ini agar terus dipandang tinggi.
Nota kaki
Rasuah yang saya sebut sebenarnya adalah ganjaran dan galakan utk merangsang minat dan memotivasikan murid untuk berjaya.
Sekadar pendapat saya
Cikgu Emmet