Minyak Skiu Pembuka Selera Yang Jarang Ditemui

Memiliki sebotol minyak ini seumpama memiliki emas yang bernilai. Warnanya kuning keemasan dan beraroma yang agak tajam menusuk hingga ke kepala.

Minyak ini bukanlah didalam kategori minyak untuk perubatan atau minyak urut. Fungsi minyak ini adalah sebagai appetizer atau pembuka selera makan. Lupakan ayam goreng atau ikan siakap tiga rasa apatah lagi sup gearbox. Cukup dengan berapa titis minyak ini diatas nasi putih dan digaulkan hingga nasi dan minyak menjadi rata dan likat. Setelah itu jamahlah samada dengan ikan masin atau ulam ulaman. Rasanya cukup lumayan.

Itulah penangan sebotol minyak yang dikenali sebagai MINYAK SKIU iaitu minyak yang hanya didapati dikalangan orang-orang Melanau di kawasan Matu Daro. Malah lebih spesifik lagi minyak ini diproses di kampung Jemoreng dan hanya orang orang yang mahir sahaja sanggup menjelajah hutan ulu Jemoreng bagi mendapatkan buah skiu ini dan memprosesnya menjadi minyak.

Biji skiu (Kredit Foto: Yan Faizal)

Buah skiu ini diambil bijinya yang berwarna hitam seakan biji durian belanda dan dijemur serta dikeringkan dan disalai sebelum dimasukan dalam bekas seperti pengapit dan ditekan hingga menghasilkan beberapa mililiter minyak.

Biji skiu disalai (Kredit Foto: Yan Faizal)

Minyak yang dikenali sebagai minyak skiu inilah yang menjadi pembuka selera semasa makan samada tengahari mahupun makan malam.

Puluhan tahun lalu minyak ini sangat mudah didapati namun kini ia menjadi nadir (rare) kerana generasi muda kurang memgetahui akan kewujudan minyak ini. Malah tiada usaha samada dari pihak berwajib untuk menjadikan minyak ini sebagai produk hiliran tidak seperti produk lain seperti sesar unjur dan pipus.

Mungkin juga pokok kayu skiu sukar ditemui membuatkan penduduk lebih menumpukan pada hasil hasil laut. Namun dengan harga yang agak mahal mencecah hampir rm250 bagi 500ml atau sebotol sos dan sentiasa mempunyai permintaan tinggi maka usaha untuk menyelamatkan industri minyak skiu di kawasan matu daro boleh dilakukan.

Harga sebotol cecah ratusan ringgit (Kredit Foto: Yan Faizal)

Semoga pihak berwajib seperti Jabatan Pertanian dapat membuka jalan agar MINYAK SKIU dapat terus dikeluarkan dan menjadi produk terkenal masyarakat melanau matu daro untuk dipasarkan ke seluruh Sarawak.

Artikel ditulis oleh Cikgu Emmet

Comments

comments