Pernahkah anda melihat seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 tahun tiba-tiba menendang anak kucing?. Dia ketawa riang melihat anak kucing itu tergolek.
Anda mungkin pernah nampak seorang budak berumur 6 tahun membaling batu pada anak ayam atau ke arah kereta jiran. Dan pada masa itu anda melihat ibu atau bapa anak-anak yang berperangai sebegitu akan mendiamkan diri atau mungkin sekadar menegur ala kadar dan kembali melihat gajet atau bersembang dengan rakan-rakan manakala anaknya terus mengulang perbuatan tersebut.
Inilah yang membentuk sikap anak-anak kita menjadi ‘berkuasa kepada yang lemah’ bermula dengan membuli anak kucing dan anak ayam.
Mereka akan membesar dan bersekolah dan di sekolah mereka akan mencari mana-mana budak yang lemah untuk mempertahankan imej berkuasa mereka. Biasanya mangsa mereka ialah budak-budak yang lebih muda, kurus, berperwatakan lembut untuk dibuli. Ini memang wajar kerana susah nak membuli orang yang berbadan besarkan?
Selepas berjaya menguasai mereka yang lemah maka mereka akan menjadi lebih ‘berkuasa’ apatah lagi mereka mula mempunyai pengikut. Ini meninggikan lagi ego mereka. Jadi apakah tindakan guru? Biarkan sahaja?
Tidak! Saya rasa ramai guru sudah bertindak tegas jika berlaku perkara ini. Rotan sudah berkali-kali malah tindakan gantung sekolah pun sudah dibuat. Tapi mengapa masih berlaku atau tidak berubah?
Hmmm mungkin perlu koleborasi antara guru dan ibubapa untuk membanteras gejala ini. Tapi biasanya agak susah kerana mana ada ibubapa sanggup terima anak mereka pembuli.
“Ala…gaduh budak-budak je cikgu…Hal kecil je cikgu, kita masa kanak kanak pun pernah juga bergaduh. Nanti lah saya nasihatkan dia…”. Dan segalanya tamat disitu.
Bila berlaku lagi pembulian maka ibubapa mangsa akan mengadu lagi pada pihak sekolah kononnya tidak ambil tindakan. Kadang-kadang pihak sekolah serba salah kerana bila terlalu tegas dengan melaksanakan hukuman disiplin yang keras seperti merotan di khalayak ramai akan dikatakan memberi kesan psikologi pada pelaku.
Kalau dicatatkan dalam Sistem Salah laku Disiplin Murid maka akan musnahlah masa depan pelaku dalam akademik. Jadi apa pilihan yang pendidik ada?.
Pilihan yang ada ialah menghadapi segala kesan dan akibat. Kalau guru rotan murid bermasalah maka kereta guru akan jadi mangsa torehan. Tayar motorsikal akan dipancet, belum lagi cercaan dengan pelbagai gelaran.
Ini belum lagi mereka yang membuli di alam siber yang digelar cyberbully. Membaca sumpah seranah maki hamun mereka dalam posting dan komen media sosial menunjukan jiwa mereka sangat kacau. Menularkan gambar dengan niat memalukan kawan juga satu cara pembulian. Ini sangat mendukacitakan kita.
Sejak akhir-akhir ini membuli merupakan hal yang trending. Dari sekolah rendah hingga menengah malah sudah lepas sekolah pun masih membuli dan masuk universiti pun kekal membuli.
Buli menjadi satu penyakit sosial yang dihadapi oleh murid-murid sekolah sekarang. Maka dengan ini pihak berkuasa, kementerian pelajaran, pihak sekolah perlu melakukan satu perubahan yang membolehkan perlaksanaan disiplin lebih ketat diadakan. Hubungan dengan pihak polis misalnya perlu dieratkan.
Pembuli-pembuli ini patut tahu bahawa peritnya duduk di lokap, ibubapa mereka juga perlu tahu bahawa nama baik mereka sebenarnya menjadi rosak jika anak-anak terus bersikap seperti ini.
Diharap apa yang berlaku pada anak-anak muda kita yang mati sia-sia akibat kerakusan pembuli ini dapat diatasi dan dibanteras. Negara akan kerugian besar jika anak-anak muda ini mati sia-sia samada jadi mangsa buli atau akibat hukuman mati yang mereka terima.
Perangi Buli!