Selalu Ditanya Betul Ke Gawai Itu Ada Minum Tuak & Mabuk-Mabuk? Ini Jawapan Saya

Kredit Foto : Harris David Dian

Saya pernah ditanya oleh rakan secara spontan tentang Gawai Dayak semasa saya bercuti di Perak.

Apa gawai tu? Betul ke ada minum minum tuak? Mabuk dan sebagainya.

Bertalu soalan klise ini menerjah telinga saya. Saya terpaksa mengambil masa untuk bertenang dan mencari saat kewarasan tiba untuk menjawab setiap persoalan. Ini kerana soalan yang diujar seolah-olah Gawai ini Pesta Tuak.

Saya menjawab dengan pengetahuan terhad yang saya tahu pada saat itu.

Namun saya yakin pengetahuan singkat saya tentang Gawai ini boleh memberi penjelasan yang mudah untuk kawan saya lebih memahami budaya di Sarawak terutamanya dikalangan masyarakat Iban.

Ok, sebenarnya Gawai ini disambut pada 31hb Mei lagi namun kemuncaknya ialah 1 Jun.

Setahu saya Gawai Dayak yang disambut pada 1 Jun ini bukan Gawai yang besar kerana ia diadakan secara rasmi dan dimasukan dalam takwim maka ia di tarafkan sebagai Hari Perayaan Rasmi dalam kalendar negeri.

Saya jelaskan pada rakan saya bahawa Gawai yang paling besar ialah Gawai Antu.

Ini kerana persediaan untuk menyambutnya memakan masa berbulan dan tidak mempunyai tarikh tetap untuk menyambutnya. Mungkin 5 tahun sekali atau 10 tahun sekali.

Gawai Dayak yang disambut pada 1hb Jun adalah bagi menandakan musim menuai sudah tamat dan akan memulakan musim berhuma yang baru.

Perayaan Gawai Dayak ini mula dirasakan pada petang 31hb Mei lagi bila mereka mula menyediakan makanan untuk digunakan pada sambutan esoknya. Biasanya babi akan dipanggang atau di pansuh pada petang itu.

Pada malamnya mereka akan menyiapkan ranyai atau tiang yang dihias cantik di rumah panjang. Ada hiasan berbentuk wang kertas juga di ranyai itu.

Pada 1hb biasanya upacara dimulakan samada dengan menyembelih seekor babi dan diambil hatinya untuk ditilik musim menuai akan datang. Selepas itu akan diadakan upacara miring yang mana seekor ayam akan dikorban.

Ada juga di sesetengah tempat mereka menjemput paderi memberikan doa atas sambutan gawai. Selepas itu barulah upacara ziarah menziarah diadakan.

Tuak dan arak sememangnya wajib ada dalam perayaan ini. Namun ia bukanlah pesta mabuk-mabuk seperti yang disangka. Ia lebih kepada social drinking.

Walaupun ada ketika memang ada yang terlalu mabuk namun keadaan masih terkawal.

Selain itu ada yang buat pertandingan ruai tercantik, ratu kumang dan keling, sukaneka, karaoke dan yang terbaru ada yang buat pakaian beragam dimana lelaki dihias seperti wanita yang menjadi acara gelak ketawa.

Selain itu jika ada pengunjung yang datang dari kaum Melayu atau beragama Islam mereka akan melayani dengan baik dengan hidangan air bikarbonat dan kuih muih serta kekacang.

Yang penting ianya adalah untuk sama sama meraikan hari penting bagi masyarakat Dayak di sarawak samada iban, bidayuh dan sebagainya.

Jadi jika kita berkesempatan untuk melawat sahabat di hari Gawai, marilah kita bersama-sama ‘ ngabang’ atau menziarahi mereka untuk saling kenal mengenali.
Ingat

GAWAI ITU MERAIKAN REZEKI TUAIAN. OOHHAA.

Jika saya salah berikan info, tolong perbetulkan. Saya dahului dengan ucapan maaf.

Kredit Foto : Harris David Dian

Comments

comments