Kenali 4 Orang Guru Ini Yang Bertugas di Sekolah Pedalaman Sarawak

Mereka di dalam gambar ini ada rakan-rakan saya. Saya sering membaca coretan mereka. Mereka antara guru-guru yang masih kekal di pedalaman Sarawak.

Mereka ini hanya sebahagian kecil dari ratusan wira-wira pendidik yang hebat menabur bakti pada bumi kenyalang. Pedulikan kata-kata negatif. Anda adalah insan terpilih dan bukan anda memilih untuk datang ke Sarawak ini.

Namun sesuatu yang patut dipuji ialah mereka memiliki jiwa yang kental dan di uji dengan ujian yang amat berat seperti kehilangan keluarga tercinta di saat bertugas di pedalaman.

Mereka mempunyai semangat yang sungguh jitu meskipun ada dikalangan ‘komrad’ yang ditempatkan disini merengek mengisi eg tukar. Namun mereka memilih untuk terus memberikan iltizam yang tinggi menjadi pendidik yang menabur bakti seikhlas hati.

Esok 3hb Julai merupakan sesi persekolahan yang bermula selepas cuti Hari Raya. Ada guru-guru yang kena bertugas di stesen baru (redeployment) samada jauh ke pedalaman atau diluar sedikit dari stesen lama. Semua atas kepentingan perkhidmatan, maka kita hanya mampu menatap surat penempatan dengan rasa pasrah dan hanya menurut perintah.

Manakala bagi guru-guru baru posting (kebanyakan guru-guru dari Sarawak) yang diposting di kawasan-kawasan ulu di Belaga, Baram, Kapit dan Lubok Antu atau di pesisir pantai di Paloh, Bruit, Beting Maro, di Pusa dan Saribas boleh lah mencontohi abang – abang anda ini.

Saya kepilkan sedikit info yang mungkin ramai kurang tahu bahawa di Sarawak ada adiwira pendidikan yang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Meskipun lokasi mereka tak terjangkau oleh kecanggihan teknologi bandar dan jauh dari menerima kemudahan awam seperti jalanraya dan elektrik 24 jam, namun semua itu bukan pematah semangat tapi ibarat tangga untuk terus mendaki kearah kecemerlangan pendidikan bumi kenyalang seperti diuar urakan oleh puan pengarah pendidikan kita.

Buat guru-guru baru,

1. Cikgu Mason Maur

Kenalilah cikgu Mason Maur yang bertugas di SK Ng Balang Kapit. Pendidik Iban yang cukup rapat dengan perlaksanaan kelas pendidikan abad 21 PAK21 sehinggakan kelas beliau memdapat pujian peribadi dari Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Dato Sri Mahadzir Khalid. Model kelas cikgu Mason dikongsikan di halaman Facebook Dato serta kementerian Pelajaran.

Demi memastikan tugasan penyediaan rancangan mengajar akan dibuat dengan lebih lancar, cikgu Mason sanggup membeli set generator sendiri. Malah dikatakan ramai guru-guru yang mengajar di pedalaman Kapit , Baram dan Belaga sanggup membeli genset sendiri.

Jadi janganlah kita merungut ye cikgu-cikgu baru. Contohilah mereka dan jangan malu mintalah ilmu-ilmu dari mereka demi kelestarian hidup anda di tengah-tengah hutan banat ini.

2. Cikgu Shafiq Azli

Siapa sangka guru kelahiran Besut Terengganu ini merupakan seorang aktivis sastera muda yang ada nama di Kuala Lumpur. Pernah dijemput untuk menghadiri dialog pendidikan di Kuala Lumpur dan bergiat sebagai penulis cerpen dan puisi yang agak prolifik di majalah terbitan Dewan Bahasa Pustaka.

Guru Pengakap yang bertugas di SK Lubok Mawang Kapit ini memerlukan perjalanan lebih 6 jam utk keluar ke Sibu. Beliau adalah guru yang sangat rapat dengan penduduk rumah panjang di sekitar ulu Kapit.

Menguasai bahasa Iban dengan fasih dan tidak menolak untuk membantu mana-mana rumah panjang yang mahukan beliau mengajar anak-anak mereka.

Malah cikgu Shafiq Azli cukup sinonim dengan anak-anak pondok tuisyen percuma di Mukah dan sanggup mengorbankan cuti untuk menabur bakti walaupun anak-anak didik itu berlainan bangsa dan agama.

Jadilah seperti beliau wahai cikgu-cikgu baru. Menyumbangkan selagi mampu dengan jiwa yang kental dan semangat baru selepas melapor diri di sekolah.

3. Cikgu Mohammad Saffuan

Bertubuh kurus dan kecil serta berkaca mata tiada siapa sangka guru SK Long Sepiling Baram kelahiran Pulau Pinang ini merupakan guru matematik yang inovatif.

Sering mengutarakan idea-idea penyelesaian masalah matematik peringkat sekolah rendah dengan baik dan menarik serta mudah faham.

Lawatilah dan followlah Facebook beliau @Muhammad Saffuan. Anda akan teruja dengan aktiviti beliau yang banyak berfokuskan murid.

Kejayaan beliau ialah membawa nama SK Long Sepiling mewakili Malaysia dalam pertandingan video di Jepun pada bulan 8 nanti. Lihatlah siapa kata duduk di hulu tak boleh mendaki puncak antarabangsa.

4. Ustaz Tuan Solihin Tuan Far

Beliau dari Kota Bahru yang sudah berkhidmat lama di SK Meludam ini menjadi tenaga penting di Surau Kg Maludam. Malah segala aktiviti kemasyarakatan di Kg Maludam ditunjangi beliau dibantu oleh guru-guru SK Maludam lain.

Baru-baru ini dia berjaya mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim di Kg Maludam. Begitulah adat kita sebagai anak dagang. Bawa otak (kewarasan) masuk kampung bukan bawa pisau (ego).

Sebenarnya terlalu ramai lagi yang mahu saya sebutkan termasuk guru-guru muda wanita yang baru berumur awal 20an mampu mengayuh perahu panjang dari sungai rejang ke sungai-sungai pedalaman upstream. Guru-guru perempuan yang mampu menghidup dan membaiki enjin perahu dan generator. Guru-guru perempuan yang mampu sembelih ayam sendiri kerana tida guru lelaki muslim. Guru-guru ini ternyata hebat yang pernah kementerian pelajaran hasilkan.

Kesimpulannya guru-guru baru, jadilah seperti mereka. Jangan lemah semangat, jangan longlai jiwa, jangan patah hati. Pandanglah wajah wajah comel yang berteriak memanggil anda “SIGU!SIGU!”Mereka memerlukan anda sebagai penyampai ilmu supaya mereka akan keluar menjadi manusia berguna.

Selamat bertugas buat guru-guru.

Catatan Cikgu Emmet. (Cikgu Otai Anda)

Comments

comments