1995 kali saya ditugaskan di sebuah sekolah di daerah Roban. Ini merupakan sekolah kedua saya selepas SK Lichok Roban.
Selepas berkahwin saya berpindah mengikut isteri ke Saratok. Waktu itu memang bukan waktu perpindahan pun. Jadi kebanyakan sekolah yang berhampiran dengan bandar seperti SK Abg Abdul Rahman tiada kekosongan guru. Pada mulanya saya ingin ditempatkn di SK Nanga Budu. Namun agak jauh untuk masuk dari simpang Krian. Hampir 35km dan jalan tanah merah membuatkan saya agak gusar untuk kesana.
Akhirnya saya ditempatkankan di SK Lichok. Cikgu Mohd Ali yang menjadi PPD Saratok waktu itu meminta saya mengajar disana. “Jangan risau cikgu sekolah itu ditepi jalanraya” katanya. Hmm..lega juga rasanya saya berbisik dalam hati.
Saya ingin melapor awal di SK Lichok. Maka saya suarakan hasrat saya pada rakan saya Cikgu Mahrup yang masa itu mengajar di SK Klua dan Cikgu Alsagap Alihasan yang mengajar di ulu Roban. “Ala dekat je sekolah tu cikgu..petang ni boleh pergi tengok” kata Cikgu Mahrup. Petang itu kami bertiga pun menaiki motorsikal ke SK Lichok. 30 minit perjalanan akhirnya sampai juga.
Cikgu Alsagaf dan Cikgu Mahrup terus ke tandas manakala saya ke pejabat utk melapor diri. Semasa melalui kawasan blok pejabat saya nampak seorang tua berambut putih sedang menebas-nebas rumput.
“Pakcik..boleh saya tahu mana pejabat sekolah? Kata saya pada pakcik yang tidak berbaju berseluar pendek itu”.
“Ohhh sana…dalam sana” kata pakcik tersebut.
“Terima kasih pakcik. Saya ni cikgu baru nak lapor diri pada guru besar atau penolong kanan”, jelas saya.
“Oh..baguslah…cikgu masuk sana…nanti penolong kanan datang” kata pakcik itu.
Saya mengucapkan terima kasih dan masuk ke pejabat, pejabatnya agak simple. Ada 7 meja dan kerusi. Satu set sofa. Saya pun masuk tapi bilik guru besar tertutup. Yang ada meja Penolong Kanan 1 , HEM dan PKKK di luar.
“Mana penolong kanan ni?” Terus hati saya. Saya pun melabuhkan duduk di sofa. Dari jauh kelihatan murid-murid sedang bermain bola dipadang. Murid asrama agaknya dan kelihatan Cikgu Alsagaf serta Cikgu Mahrup bermain sama dengan budak-budak itu. Saya masih menanti penolong kanan.
Kemudian pakcik potong rumput itu masuk. “Pakcik memang takda PK ke petang ini? Kalau macam tu esok je saya datang” kata saya.
“Ehhh ada…ada…kata pakcik tu. Dia bersalaman dengan saya. Saya PK 1…Cikgu Anji Enggang”. Terbeliak mata saya…menyambut salamnya!
Manakan tidak orang yang saya panggil pakcik dan menganggapnya tukang kebun sekolah rupanya Penolong Kanan 1 Sekolah Lichok.
“Maaf kan saya cikgu…saya ingat cikgu…Ishhhhh…”
“takpa memang kami disini biasa buat kerja kerja menebas..memesin rumput di sekolah waktu petang” sambung cikgu Anji memintas kata-kata saya.
“Di sini tiada pembantu am atau tukang kebun cikgu. Sekolah kecil. Hanya ada 56 orang murid sahaja” sambung cikgu Anji lagi.
Saya penolong kanan 1. Guru besar sekolah ini perempuan, Cikgu Juliana. Kata cikgu Anji lagi. Termanggu saya mendengarnya. Penolong kanan yang sangat lemah lembut berbudi bahasa dan memperlihatkan kesederhanaan hidup sebagai guru walau pun mempunyai gelaran PK.
Esoknya saya ke sekolah lagi untuk mula bertugas. Saya menaiki bas di stesen bas saratok. Bas nombor 41 (rasanya) seawal jam 6 pagi saya naik. Hanya saya dan seorang penumpang wanita berbaju kurung. Dia tersenyum, saya membalas senyumannya. Bas berjalan menuju Sarikei dan setiba disimpang Roban bas masuk ke simpang dan menuju ke Roban.
“Alamak….aku salah bas ke?” bisik hatiku. Habis lah kalau lambat datang sekolah. Aku lihat kebelakang. Kelihatan perempuan yang bersama saya dalam bas itu relaks sahaja. Mungkin nak hantar dia kot, pasal tu masuk ke Roban, getus hati saya.
Tiba di pekan Roban jam menunjukkan 6.30 pagi. Beberapa orang penumpang menaiki bas ada yang bawa bakul, ada yang bawa guni, ada yang membawa tubang. (Bakul sangkut belakang) makin lama makin penuh juga bas dan bas pun berjalan.
Wanita berbaju kurung tadi tidak turun pun. Musykil sungguh saya. Bas terus keluar membelah jalan menuju ke Sarikei. Saya akui pandangan awal pagi sangat indah kerana jalannya berbukit bukau (sekarang jalan baru). Bas menuruni sebuah bukit di Tinting. Dan wanita itu menekan loceng KRINGGG!!!!!!. Bas semakin perlahan dan akhirnya berhenti selepas jambatan sungai Sebelak.
Ehhh sama destinasi lah kami. Saya berbisik lagi. Saya turun dahulu dan wanita itu turun kemudian.
“Assalamualaikum” dia menyapa saya.
“Walaikumusalam”, jawab saya.
“Saya cikgu Haminah, saya mengajar di SK Lichok. Cikgu ..cikgu baru ye?” tanya dia.
“Ye…saya cikgu baru..jawab saya yang mula segan” wah banyak betul kejutan disini fikir saya.
Kami berjalan kaki lebih kurang 30 meter dari simpang untuk ke sekolah. Sampai di sekolah saya melaporkan diri pada guru besar. Bilik guru masih kosong. Hanya cikgu Haminah dan Guru besar sahaja yang datang.
“Selamat datang cikgu” kata guru besar Cikgu Julaina.
“Terima kasih” jawab saya.
“Nanti cikgu jumpa cikgu Anji dan ambil jadual waktu” pesan cikgu Juliana.
“Saya dah ambil puan..semalam saya kesini dah jumpa cikgu Anji.”
“Oh ye ke” kata Puan Julaina.
“Cuma saya nak tahu dimana boleh saya dapatkan alatan sukan? Sebab dalam jadual saya mengajar PJ” tanya saya pada guru besar.
“Oh..cikgu jumpa cikgu Gadoh”.
Saya pun keluar dengan seribu pertanyaan, siapa cikgu gaduh ni? Takkan nama dia gaduh..atau cikgu ni suka bergaduh ke? Macam-macam persoalan datang dalam benak hati.
“Cikgu Haminah…siapa yang incharge alatan suka.? Cikgu Haminah menjawab, PKKK kami – cikgu Gadoh. Kejap lagi ada lah tu”.
Tak lama kemudian semua guru-guru datang. Guru besar meminta saya berkenalan dengan semua guru. Cikgu Anji memang sudah saya kenali. Saya bersalaman dengan Cikgu Patrick – PK Hem . Wajahnya manis, umur dah agak tua hampir sebaya cikgu Anji. Rambut pun dah putih.
Kemudian saya dikenalkan dengan guru yang berwajah serius. Dibajunya tersisip tag nama GADOH. ohhh ini rupanya cikgu Gadoh. Saya terus bertanya cikgu kalau nak guna alatan sukan dimana. Dia tunjuk kearah satu bilik. Itu dia. Tapi bilik itu takda kunci.
“Cikgu duduk Saratok ke?” Tanya cikgu Gadoh.
“Ya, saya duduk Saratok. Saya nak minta tolong boleh?” Tanya dia lagi.
“Tolong apa cikgu? tanya saya.
“Tolong beli KERPO”
Terbeliak mata saya, kat mana saya nak cari KERBAU ini. KERPO=KERBO, kerbau lah kot fikir saya.
“Tapi cikgu, saya naik bas, macamana nak beli kerbau” Jawab saya tersekat-sekat. Apa lagi bisinglah bilik guru dengan hilai tawa.
“KERPO tu Padlock la cikgu..mangga kunci…Saya nak kirim cikgu beli supaya senang kunci stor sukan” jawab cikgu Gadoh. Takkan la nak suruh cikgu beli kerbau hahahah…katanya lagi. Saya tersipu-sipu.
Demikianlah indahnya mengajar di SK Lichok pada tahun 90an. Kalau nak makan masa rehat, kami tak perlu keluar pekan. Guru besar ada sediakan pantry khas untuk guru. Cikgu Haminah akan jadi Chef bersama cikgu Ani. Menu pelbagai bihun goreng cina, nasi goreng ikan masin, sayur ubi, sedap semuanya.
Kami akan makan berkumpul seperti satu keluarga. Iban, Cina (aunty penyelia asrama) dan Melayu bercampur makan bersama. Saya kagum melihat sifat seperti ini. Tiada rasa perkauman langsung. Ingat lagi saya Guru besar Cikgu Juliana menangis bila mendapat tahun asrama SK Abg Moh Sessang hangus terbakar dan beberapa murid terkorban. Dia meminta guru-guru lelaki pergi ke sekolah tersebut membantu. Kami semua bersedih walaupun sekolah yang terlibat ialah sekolah Melayu.
Bila tiba waktu petang, murid-murid SK Lichok akan mengajak saya mandi di sungai sebelak. Mula-mula risau juga sebab Sg Sebelak di Roban ini mempunyai buaya. Tetapi menurut budak-budak disitu sungai ini adalah hulu dan berbatu. Jadi tiada buaya.
Ketika tiba hari gaji sekolah akan ditutup awal. Seawal jam 9.30 pagi. Guru-guru boleh ke Sarikei untuk selesaikan urusan pembayaran dan mengambil wang gaji. Ini kerana di Saratok hanya ada 2 bank sahaja Wahtat dan BSN.
Perjalanan dari Lichok ke Sarikei menaiki motorsikal hampir 1 jam 30 minit. Saat paling cemas waktu itu ketika motosikal mendaki bukit kayu malam di sempadan Betong Sarikei. Laluan itu sangat tinggi (sekarang dah direndahkan) dan bila menuruni sangat curam dan berselekoh.
Kalau kami menerima cek amat mudah ditunaikan iaitu hanya membawanya ke pejabat daerah kecil Roban. Tak perlu ke bank.
Pengerami Sukan Darat Lichok sangat menyeronokkan kerana ada pelbagai aktiviti. Ada jualan, ada permainan seperti di funfair, ada pertandingan bolasepak dan sepak takraw dan ada warung makanan. Dari hari Khamis hingga Sabtu. Barulah acara olahraga diadakan. Meriah sekali penduduk hadir hingga ada yang berkhemah di padang sekolah. Artis Iban waktu itu dijemput menyanyi.
Kursus kurikulum baharu atau sekarang ini dipanggil DSKP biasanya dibuat pada pertengahan tahun. Selama 2 hari di Sri Aman. Beberapa sekolah kecil terpilih dan sekolah kami terpaksa menutup sekolah kerana semua guru berkursus.
Saya berkesempatan di SK Lichok selama 7 bulan sahaja sebelum di redeployment ke SMK Saratok. 2 bulan meninggalkan SK Lichok saya masih mengunjungi Lichok walaupun terpaksa bermotosikal selama 20 minit lebih lagi kalau ada waktu free dan waktu rehat.
LICHOK SENTIASA DIHATI.
Buat teman-teman seperjuangan semoga anda dirahmati Allah.
GB Puan Julaina Bragai (Tr Julaina Kamidan Jaya)
Pk 1 Mendiang Anjie Anak Enggang
Pk Hem Cikgu Patrick Steward
Pk KK Cikgu Jackson Gadoh Lawang
Cikgu Lawrence
Cikgu Anuar Kapok
Cikgu Haminah
Cikgu Aini (not sure the right name)
Murid murid SK Lichok 1995.
Cikgu Sayang Anda Semua
Keterangan gambar.
Saya bertemu semua cikgu Jackson Gadoh Gadoh Lawang yang kini menjadi guru besar SJK Sangai Serian.