Rahsia Kecantikan Gadis Sarawak Yang Perlu Anda Tahu

“Cikgu, perempuan Sarawak ni lawa-lawa ye…teman tengok kulit deme putih-putih tapi deme tu bangsa apa ye? Melayu ke Dayak? Macam Cina pun ade?”. Rakan saya Mior bertanya pada saya satu ketika dahulu semasa saya pulang bercuti di kampung.

“Kamu suka ke dengan orang Sarawak?”. Saya bertanya semula tanpa menjawab soalan Mior. Dia tersengeh-sengeh sambil menjawab: “Jauh bebeno cikgu…kalau dekat-dekat boleh le ngorat. Tapi memang deme lawo lagi ye cikgu’.

Ye…saya akui wanita Sarawak ini memang cantik-cantik. Tapi semua itu ikut selera mata masing-masing. Ramai juga lelaki Sarawak yang terpaut hati pada gadis-gadis Semenanjung. Pada pandangan mereka gadis Semenanjung pun ada keistimewaan yang tersendiri.

Tapi kalau nak tanya saya tentang kecantikan orang Sarawak. Jawapannya ialah soal cantik itu subjektif. Jiwa yang cantik akan memberi cahaya pada wajah. Itulah yang disebut orang aura. Maka sesiapa sahaja boleh jadi cantik. Tak kira dari Tanah Malaya mahupun Borneo andai aura dalamannya bersih.

Namun kalau bercakap tentang kecantikan fizikal wanita Sarawak, saya mempunyai perspektif tersendiri terhadap wanita Sarawak. Rata-rata wanita Sarawak terutama Melayu, Iban dan Bidayuh serta Melanau mempunyai wajah bersimetri seimbang. Satu ciri unik yang saya lihat ialah wanita sarawak kebanyakannya memiliki tulang zygomaticus (cheekbone) yang agak tinggi.

Kita boleh lihat wajah artis kelahiran Sarawak seperti Sherry Merlis, Camelia, Lana dan Yana masing-masing memiliki tulang zygomaticus yang tinggi sekaligus membentuk dagu yang agak runcing. Pipi sebegini andai ditamsilkan mengikut prosa melayu ialah umpama pauh dilayang, dagu bagaikan bujur telur.

Kredit Foto: TV9

Maka asas wajah yang cantik itu bila simetrikal wajah berada dalam keadaan seimbang dan wanita Sarawak ramai memiliki ciri ini. Di Semenanjung saya lihat wanita Kelantan dan Terengganu juga memiliki ciri yang sama.

Disamping itu kulit putih kekuningan juga menjadi aset pada kebanyakan wanita sarawak.

Saya pernah bertanya kepada orang kampung kenapa orang Sarawak ini putih-putih sedangkan mereka juga berpanas di siang hari.

Jawaban yang saya terima ialah kami makan beras huma.

Dahulu saya cuba menyangkal dakwaan itu lantaran tidak nampak perkaitan antara beras dan kulit. Namun setelah melihat krim SK2 yang diasaskan daripada produk beras dan dakwaan bahawa gadis Siam cantik kerana makan beras siam, maka saya pasti pemakanan turut menyumbang kepada kecantikan orang-orang Sarawak.

Itulah cantiknya wanita Sarawak ini mengikut perspektif saya.

Gadis Iban kelihatan lebih cantik kerana mempunyai wajah yang natural. Saya mempunyai seorang rakan Facebook yang mempunyai wajah natural seperti ini. Tanpa solekan pun ia sudah menunjukkan betapa ayunya wajah gadis Iban ini. Kulit sawo matang lebih menyerlahkan kecantikan semulajadi mereka.

Gadis Bidayuh pula pada pandangan saya lebih putih dan berwajah tenang tetapi ada ketegasan tersembunyi. Saya sendiri keliru antara Bidayuh dan Cina kerana keputihan kulit mereka.

Gadis Melayu Sarawak banyak menyerupai mana-mana gadis Melayu lain yang mungkin sudah berasimilasi dengan ras Jawa, Banjar, Bugis, Brunei dan keturunan Arab melalui syed dan syarifah maka wajah kecantikan gadis Melayu Sarawak ini begitu bervariasi.

Saya suka melihat gadis Melayu Miri yang kelihatan lebih cerah dan gadis Melayu di Lundu banyak yang berkulit hitam manis yang cukup menawan. Malah tubuh mereka banyak yang tinggi langsing.

Gadis Melanau pula mempunyai bibir agak nipis dan membuatkan senyuman mereka lebih ketara manisnya.

Jadi berbanggalah kerana orang Sarawak memang cantik-cantik. Walaupun saya bukan pakar yang dapat menentukan kecantikan orang lain namun apa yang saya perkatakan ini hanyalah pengalaman dari pemerhatian sahaja bukanlah berlandaskan kajian klinikal mahupun akademik.

Comments

comments