Alhamdulillah pada 4 september ini mungkin ramai anak-anak di Semenanjung berpeluang belajar di UNIMAS dan UITM di Samarahan. Cikgu ucapkan tahniah dan selamat datang pada semua bakal siswazah.
Bagi ibubapa anak-anak ini, janganlah risau. UNIMAS merupakan antara universiti terbaik di asia yang menawarkan kursus jurusan sains, teknologi, botani dan seni visual.
UNIMAS terletak di Kota Samarahan yang lengkap dengan kemudahan asas yang terbaik.
Dihadapan pintu utama UNIMAS terdapat unisquare yang mempunyai klinik, bank restoran taman perumahan dan kedai runcit serta utiliti. 3 atau 4 km dari kampus terletak Summer Mall yang sama standardnya dengan Wangsa Walk di Kuala Lumpur.
Terdapat juga Aiman Mall berhampiran Desa Ilmu. Mall baru yang mempunyai pelbagai kedai serbaguna seperti Mr DIY dan juga food terrace yang menawarkan makanan yang sedap dan halal.
Kota Samarahan juga ada kampus UITM 1 dan 2 yang cantik dan besar. Begitu juga dengan Institut pendidikan Guru Kota Samarahan yang besar. Hidup bagi siswa siswi di ketiga-tiga pusat pengajian ini bagaikan di bandaraya sama seperti kehidupan siswa UM di KL, UTM di Skudai, UKM di Bangi dan lain-lain. Jadi janganlah risau hingga ada yang bertanya “cikgu jauh tak UNIMAS dari pekan? Cikgu kat sana ada jual baldi tak? Cikgu kalau nak ke kuching beli barang jauh tak? Cikgu ok ke jalan dari airport ke unimas?”.
Jangan risau….semua ada disana jangan kata baldi, tangki air pun ada jual. Jangan risau wahai ibubapa anak-anak. Anda pasti gembira disini. Rakan-rakan pelbagai kaum akan menyambut dengan tangan terbuka dan sifat kekeluargaan.
Cuma jika datang kesini rajin-rajin berkawan dengan orang Sarawak. Jangan hidup berkelompok, orang Perak duduk dengan orang Perak, orang Kelantan duduk dengan orang Kelantan dan lain lain. Bercampurlah! Sangkut lah pakaian kenegerian di almari, pakailah pakaian perpaduan, jamahlah juadah Sarawak seperti laksa Sarawak, mee kolok, bubur pedas, nasi kuning, burasak, pansoh dan sebagainya.
Pelajarilah bahasa tempatan, sik susah mun patih kelakar sik la mak pandey lah kitak beloya. Selami budaya masyarakat disini, lawati rumah panjang sahabat Iban, rumah kampung Bidayuh, lebu orang Melanau, fahami pantang larang kaum disini. Raikan persamaan rasa dan hormati perbezaan pegangan.
4 tahun tidak lama, namun 4 tahun di Sarawak dapat memberikan pengalaman paling indah untuk anda. Dan jadilah duta kecil Sarawak dan ceritakan kebenaran kehidupan disini pada sahabat di Semenanjung bila pulang bercuti. Katakanlah Sarawak bumi bertuah, maju dan seiring sejalan kearah transformasi dinamika modenisasi.
Akhir kata, tahniah buat anda semua yang berjaya belajar disini.
P.s mohon sahabat cikgu dari sarawak berikan kata-kata semangat buat bakal-bakal siswazah yang akan menuntut disini.
Share dengan keizinan. Silakan.