Hmmm…hari ni nak share sedikit pengalaman paranormal di Sarawak.
Sepanjang berada di bumi kenyalang ini saya belum pernah encounter face to face dengan benda-benda ini tapi pernah dengar bunyi ‘benda’ yang di sebut mahluk ini.
Saya masih ingat pada tahun 1986 semasa jambatan Sultan Azlan yang merentangi Sungai Bidor yang menghubungkan jalan bypass antara Jalan Changkat Jong ke Sungai Manik masih dalam pembinaan. Hutan paya di pinggir sungai bidor ditebang..kebun getah dan kelapa Sawit juga ditebang untuk tujuan membina jalan.
Kami semasa masih berada dalam tingkatan 4 suka memancing ikan belukang dan udang di kawasan tiang jambatan yang masih dalam pembinaan.
Kadang kala jadi ketagih bila waktu maghrib masih juga terpacak di tebing melempar umpan.
Masa itu jugalah belukang makin berselera meragut umpan. Hampir isyak barulah nak balik sebab anak udang dah habis untuk dijadikan umpan. Sebaldi ikan belukang, baung, gelama dan udang galah kami bawa balik.
Nak jadi cerita semasa balik basikal tak berapa nak laju sebab jalan baru diturap pasir lombong. Rasa macam berkayuh atas pasir tebal. Akhirnya saya dan rakan-rakan mengambil keputusan menyorong sahaja dalam jarak 1 km untuk sampai ke simpang jalan tar.
“Jauh lagi ni tan” kata Yop bila saya membuat cadangan untuk terus menyorong.
“Apa kata kita lalu short cut…masuk kebun getah keluar belakang lorong 2B kat situ dah ada jalan tar boleh balik lorong masing-masing” Yop memberi cadangan.
Adehhh…dah malam ni nak masuk kebun getah…kat sini ada juga cahaya bulan. Saya keberatan.
Rakan-rakan lain pula nampaknya mahu mengikuti cadangan Yop. Maka saya akur.
Kami melencongkan basikal ke simpang masuk kebun getah. Ada jalan tanah di situ maka kami tak perlu menyorong lagi. Kami mengayuh agak laju walaupun ada lopak lecah di atas jalan. Yang penting cepat sampai.
Semasa mengayuh saya terdengar seperti bunyi angin meniup pokok-pokok getah. Seolah-olah ada ribu kecil dalam kebun. Memang bergugur daun getah.
“Woii…nak hujan ke?” Jerit aku pada Yop dan rakan lain yang memecut.
Saya makin hairan bila Azhar adik Yop melemparkan baldi dan terus memecut, angin semakin kuat. Saya pun tak berani nak kutip baldi. Takut jauh tertinggal. Basikal releigh tua saya pun bukan bagus sangat spoketnya, rantai selalu jatuh kalau berhenti tiba-tiba.
Tak lama saya berjaya keluar dari kebun dan melencong ke jalan sungai kerawai. Waktu itu jalan masih bertanah.
“Woiii tunggu laaa”….jerit saya lagi. Yop dan Azhar terus memecut. Sikit pun tak menoleh.
Saya pula mengayuh alang-alang. Antara laju dan perlahan sebab mula rasa rantai nak lose. Waktu itu saya menoleh kebelakang, ke arah kebun getah tadi, hajat nak lihat tempat baldi ikan yang dilempar Azhar.
Waktu itu lah saya mendengar bunyi mengilai sayup-sayup dalam kebun. Tiba-tiba rasa lain macam dan saya memecut ke arah lorong 7B.
Sampai di hadapan rumah, rupanya Yop dan Azhar sudah menanti. Muka mereka masing-masing pucat.
“Woiii..kenapa kome tinggey aku (kenapa tinggalkan saya?)” kata saya pada mereka.
“Ada langsuyor (langsuir) dia kejor kite…tu yang aku cabut…ko tak nampak ke…betul2 ateh kepala ko tadi putih je terobang”. Terang yop.
“Ha ah aku buang ikan kita…takut berat sangat!!” tambah Azhar pula.
Nasib baik saya tak tengok atas, cuma pandang belakang je. Itu kisah di Perak.
Masa di Sarawak, saya pernah mendengar benda yang sama. Tapi orang Sarawak tak panggil langsuir. Mereka kata itu koklir.
Kisahnya hampir sama bila pergi mengail. Sungai Nyabor ini memang port mengail udang lebih-lebih lagi malam hari. Rakan-rakan guru di Saratok dan yang bekerja di PORIM (MPOB sekarang) di Saratok pun sanggup turun mengail di atas jambatan kayu (waktu itu jambatan baru masih dalam pembinaan).
Sebelah jambatan pula, ada tanah kubur Islam.
Di situlah kami mula melabuh mata kail. Malam tu memang rezeki. Air pula tenang atau air medok kata orang kampung. 4 ekor udang saiz apek sepit biru dapat saya kail…udang dara dan amoi…memang hampir setengah baldi.
Sesekali kami menyuluh sungai, kelihatan juga pantulan anak mata buaya yang bermain-main dipermukaan. Tiba-tiba kedengaran bunyi burung dihutan nipah ditebing sungai. Bunyi yang agak pelik, seperti bunyi ayam piru yang berketak-ketak tapi panjang.
“Bunyi apa tu?” Tanya Cikgu Wan pada saya.
Saya hanya mengangkat bahu dan mengeleng kepala. “Jangan tegur!” kata Abang Zainal yang merupakan pegawai Porim sambil membuat isyarat diam dengan jari.
Bunyi ketakan masih bersahut-sahutan, antara 2 tebing sungai Nyabor. Sungai ini ada 2 hala. Satu ke arah Roban manakala satu lagi ke arah Sessang. Saya jadi tak tentu hala mendengar bunyi ketakan yang panjang dan semakin kuat. Lama-lama bunyi tersebut kedengaran seperti orang perempuan ketawa.
Saya bingkas bangun. “Jom balik….”kata saya sambil mengangkat 3 batang pancing dan mata melihat-lihat ke arah rimbunan pokok nipah. Teringin juga nak menyuluh, mungkin benar burung. Tapi saya tak berani.
Peluh dah meleleh didahi…bulu roma dah terangkat bila mendengar bunyi mengilai semakin dekat.
Kami bertiga mengambil keputusan untuk balik. Dalam kereta teringat pula pelita kabait kami tertinggal. “Esok sahaja saya ambil” kata saya pada mereka.
Esok paginya saya ke lokasi, pelita kami hilang, cuma di lantai jambatan tempat kami memancing ada kesan cakaran yang tidak dalam. Mungkin ada kucing datang agaknya.
Saya bercerita pengalaman malam itu kepada orang kampung. Koklir tu cikgu, kata seorang tua yang mendengar kisah saya.
“Mun kitak ada dengar bunyi ya…pulang jak…iboh tunggu… jaik benda ya… bukan ngaco jak…biasa juak orang jumpa di hutan-hutan”.
“Apa koklir tu pakcik? Binatang kah?” Tanya saya lagi.
“Bukan…itu hantu. Macam pontianak…tapi tok jaik (jahat) lagi. Boleh sakit kito ntam nyo (boleh sakit kalau kena kacau dgn hantu ini)”.
Saya bungkam, antara percaya atau tidak. Tapi terus terang saya katakan mendengar bunyinya sahaja sudah menakutkan apa lagi jika berhadapan dengannya. Alhamdulillah saya tak apa-apa selepas itu.
Di mana-mana pun mahluk Allah tetap ada kerana jin dan syaitan juga sebahagian dari mahlukNya.
Inilah antara pengalaman saya berhadapan dengan ujian paranormal di Sarawak.
Sebenarnya ada beberapa kisah lagi seperti semasa memukat di pantai alit dikejar hantu laut (orang yang nampak tapi saya tak nampak). Nanti lah dikesempatan lain saya ceritakan.
Ingat lah kita tidak bersendirian.
Nukilan tinta peranti
Cikgu Emmet
Kisah Ngutik