Generasi Muda Kita Makin Sakit!

18hb Februari 2017 negara di kejut dengan kemalangan yang melibatkan sebuah kereta melanggar sekumpulan anak-anak remaja yang bermain basikal pada jam 2 pagi di Johor hingga menyebabkan 8 nyawa melayang.

Pada bulan Jun pula 2 kes buli dan bunuh berlaku. Seorang mangsa di Pulau Pinang mati selepas koma selama seminggu akibat dipukul oleh 5 orang bekas pelajar di sekolahnya.

Manakala satu kes melibatkan siswa UPNM yang dipukul beramai ramai dan diseksa kerana dituduh mencuri laptop. Pada bulan Ogos seorang murid tahun 1 pula dibunuh oleh murid tahun 6 kerana mengejek nama bapanya.

Yang terbaru dan tragis ialah 7 orang remaja disyaki terlibat membakar Mahaad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hingga menyebabkan 23 nyawa suci syahid. Semuanya kerana dendam.

Apa nak jadi pada generasi muda di negara kita?

Di saat dadah makin berleluasa meracuni jiwa anak anak muda dan institusi kekeluargaan semakin senget, negara terus dihidangkan musibah demi musibah moral yang memualkan.

Lihatlah tuan puan jika anda berpeluang melalui pinggir sekolah di saat pelajar pulang pasti akan kelihatan sekumpulan pelajar dengan bangga menghisap rokok walaupun uniform sekolah masih melekat dibadan. Mereka kini amat berani kerana mereka tahu takda siapa berani menegur.

Sikap peduli apa hal anak orang sudah menjadi budaya. Kita jaga anak sendiri sudah lah. Salah tu! Ini masalah masyarakat bukan masalah individu. Zaman kita masih sekolah moral adalah akar kekuatan satu – satu masyarakat.

Dahulu kalau nak merokok anak-anak remaja akan bersembunyi di kolong atau kebun supaya perbuatan jahat kita tidak dilihat oleh orang kampung kerana pasti akan sampai ke telinga mak dan ayah kita.

Berbeza dengan sekarang, sebahagian murid atau pelajar tak ada rasa malu atau segan untuk berlaku sumbang kerana mereka pasti orang ramai buat tak tahu. Ibubapa juga kadangkala lebih mementingkan akademik dan kelancaran pembelajaran anak-anak di sekolah tanpa menyentuh soal disiplin mereka.

Percaya lah jika ada mesyuarat PIBG yang hangat diperbincangkan ialah waktu kelas kecemerlangan hendaklah selaras dan memudahkan ibubapa menjemput anak. Soal keselesaan anak dalam kelas, kantin sekolah jual apa dan harganya mahal atau tidak?
Jarang sekali nak bincang soal disiplin di sekolah. Jika ada pun akan membangkitkan perihal anak hilang pensel kena curi dengan kawan. Lepas tu tanya…cikgu tak ambil tindakan ke pada anak sifulan yang mencuri itu.?

Bila berlaku kes disiplin di sekolah dan tindakan memanggil ibubapa pelajar yang terlibat, berapa ramai yang tampil menjawab surat panggilan? Bila dirotan dibetis berbirat…pandai pulak buat laporan polis salahkan guru merotan.

Sekolah dan guru BUKAN punca pelajar keluar dari sekolah dengan kemenjadian yang buruk. Setiap sekolah mempunyai matlamat membina insan menerusi falsafah pendidikan negara. Tidak ada terma terkandung di dalam falsafah itu bahawa: kalau pelajar jadi jahat juga adalah hasil dari pendidikan guru.

Semua ini harus dimulakan di rumah. Ibubapa perlu cakna. Ibubapa perlu tahu kemana anak berada pada waktu yang sepatutnya dia di rumah pada malam hari dan dengan siapa dia berkawan.

Diluar sana penuh dengan godaan yang senantiasa menanti mangsa iaitu anak- anak kita. Oleh itu janganlah kita bertangguh lagi bekerjasama bersama guru-guru dalam membentuk anak anak kita disekolah supaya lebih berdisplin dan berakhlak.

Anak-anak adalah aset negara didunia dan saham ibubapa di akhirat.

Semoga selepas ini kita tidak mendengar kisah menakutkan yang dilakukan oleh anak-anak remaja kita.

Ingatlah jika ada jiwa berusia 12, 13 dan 15 tahun sanggup membakar orang hidup-hidup, generasi apa yang bakal kita hadapi pada masa hadapan. Ini amat menakutkan.

Meminjam kata kata tuan Frdsy Ahmad
Allah ambil anak-anak tahfiz, Allah tinggalkan anak-anak syabu untuk kita.

Ambil lah ikhtibar….sedarlah… generasi muda kita sudah mulai ‘sakit’.

Tinta peranti
Cikgu Emmet

Comments

comments