Lingga sebuah daerah kecil di Sri Aman Sarawak. Tidak banyak yang diketahui tentang Lingga sebenarnya.
Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Lingga ini pada tahun 2004 semasa Pesta Lingga diadakan. Waktu itu jalanraya ke sana hanya jalan tanah merah dan batu batu kelikir. Tiada jalan tar lagi.
Kini segalanya sudah banyak berubah. Jalan sudah bertar dari bandar Sri Aman hingga ke Lingga.
Tapi apa yang ada di Lingga? Apa yang istimewa di daerah kecil ini? Ok ada beberapa perkara yang menarik tentang Lingga dan kawasan kawasan berhampiran seperti Seduku dan Bakong.
1. Pusat Penyelidikan Terubok Sungai Sarawak
Daerah ini yang terletak di tebing sungai batang lupar yang terbentang luas merupakan habitat utama bagi ikan terubok sungai(tenualosa marcura) yang bernilai tinggi.
Ikan terubok Lingga memang diakui sangat sedap dan mempunyai rasa lemak yang menyelerakan. Stesen penyelidikan ikan terubok ini juga memastikan jumlah stok ikan sentiasa ada dan tidak pupus.
2. Buaya Air Masin bersaiz besar
Lingga dan buaya ibarat irama dan lagu. Sejak era Bujang Senang yang merajai batang lupar menjadi lagenda, sekarang masih wujud spesis buaya muara (crocodylus porosus) bersaiz lebih 15 kaki menghuni sungai ini.
Saya sendiri pernah terserempak dengan buaya yang besar sedang berenang semasa mengayuh basikal di tebing sungai di Skait, Tanjong Bijat. Dengan pengumuman Sarawak Forestry yang menjadikan Pulau Seduku sebagai Santuari Buaya air masin maka ia mungkin dapat menarik pelancong asing ke daerah ini.
3. Gunung Lesong
Bagi peminat sukan ekstrem dan sukan mendaki boleh lah cuba mendaki Gunung Lesong.
Gunung yang berbentuk Lesong tertungkup ini begitu unik. Bagaikan Table Mountain yang terkenal di Afrika Selatan, Gunung Lesong mempunyai flora dan fauna yang masih terpelihara dan tidak tercemar.
Baru-baru ini terdapat beberapa ekspedisi mendaki yang dilakukan oleh peminat sukan mendaki di Gunong Lesong ini. Puncaknya yang rata dan tebingnya curam mungkin boleh dijadikan tempat Sukan terjun base (base jump) yang boleh menarik minat penerjun base antarabangsa.
4. Air Terjun Balau
Siapa sangka Lingga juga mempunyai lokasi air terjun yang tinggi. Di Bakong terdapat air terjun Balau yang terletak 1jam perjalanan dari Bakong ke Bukit Balau. Air gunung yang tinggi dan dingin boleh meredakan rasa stress akibat kesibukan kerja dibandar.
5. Gereja pertama di Sarawak
Dari Lingga kita boleh ke Banting dengan menaiki bot yang memakan masa 45 minit. Di Banting Lingga terdapat sebuah gereja yang dinamakan St Paul.
Gereja ini dibina keseluruhannya daripada kayu belian dikatakan gereja tertua di Sarawak dan menandakan kedatangan mubaligh kristian dari Britain lebih awal daripada kehadiran Brooke.
6. Pekan Koboi
Kalau berpeluang ke pekan Lingga anda akan melihat deretan kedai kayu yang dibina mungkin sejak tahun 50an lagi. Kedai sebaris yang tinggi itu seumpama pekan koboi yang dilihat dalam filem filem cowboy dikaca televisyen.
Namun begitu kini terdapat beberapa lot konkrit yang tinggi dijadikan rumah burung walit serta sebuah stesen minyak Petron ( the only Petron in Sri Aman). Selain ada Masjid dan 2 buah sekolah iaitu SK Lela Pahlawan dan SJKC Chung Hua Lingga.
7. Beca
Di Lingga terdapat satu pengangkutan yang agak unik iaitu beca. Beca ini menggunakan motorsikal dan juga basikal. Selain digunakan untuk mengangkut hasil tani, beca ini juga digunakan untuk membawa penduduk ke klinik, pejabat daerah dan pekan untuk urusan seharian.
Namun beca ini sudah tidak digunakan lagi kerana ramai penduduk yang sudah memiliki kenderaan sendiri. Namun agak menyedihkan jika beca ini dibiarkan pupus begitu sahaja.
Pada 2015 pernah diadakan pertandingan beca berhias. Ini merupakan satu cara untuk menarik orang luar untuk datang ke Lingga.
8. Seduku Agropolitan
Jika di Semenanjung terkenal dengan perkampungan Felda, di Lingga terdapat skim penempatan yang hampir sama konsepnya iaitu Agropolitan. Penduduk kampung pulau Seduku direlokasikan ke tanah besar dari pulau. Ini memudahkan penduduk menjalankan kehidupan kerana tidak perlu merentasi sungai jika ingin ke bandar.
Skim Seduku Agropolitan ini mengandungi rumah-rumah dan turut dilengkapi dengan masjid dan kedai. Tidak lama lagi sekolah pulau Seduku akan dipindahkan bilamana bangunan sekolah yang baru akan siap dibina melalui sistem IBS.
9. Beting pasir yang panjang
Di kawasan Pulau Seduku mempunyai beting pasir yang panjang setiap kali air surut. Malah pada zaman 80an pernah dikatakan beting pasir tersebut boleh dilalui dengan berjalan kaki dari Bakong hingga ke Pulau Seduku.
Buat masa ini setiap kali air surut biasanya pelajar sk pulau Seduku akan mengambil peluang untuk bermain bola sepak di atas pasir dan mandi manda di lopak air. Guru-guru pula akan mengail udang dan ikan. Jika bernasib baik kita boleh bertemu dengan anak anak buaya yang terperangkap di beting
10. Keramahan penduduknya
Saya amat terkejut bila disapa oleh penduduk di pekan Lingga. Mungkin kerana menyedari saya orang luar mereka menegur saya terlebih dahulu. Bila mereka tahu saya seorang guru dari Semenanjung, mereka terus bercerita tentang keistimewaan Lingga. Cerita tentang Terubuk dan Buaya. Malah mereka memberitahu tentang keperitan hidup sebagai nelayan menyara keluarga dengan menjala, memukat dan membelat udang.
Namun mereka tetap tersenyum dan yakin satu hari nanti hasil penat lelah mereka akan membuahkan hasil iaitu kemenjadian anak anak mereka menikmati kehidupan yang lebih baik.