Kalau Mereka Mengungkit, Kita Pun Mengungkit

Ibu anda ke hospital kerana rasa lesu tak bertenaga. Di kaunter pendaftaran ibu anda dilayan kerani pendaftaran. Selepas menunggu ibu dipanggil oleh jururawat. Selepas dirawat dan dia diagnosis ibu disahkan hamil oleh doktor.

Ibu gembira dan berkongsi rasa gembira dengan ayah. Ayah membawa ibu untuk pemeriksaan berkala. Pemeriksaan dan pemantauan dibuat oleh jururawat. Tiba masa melahirkan maka kamu pun disambut oleh bidan hospital. Kamu di rawat oleh doktor dan dijaga oleh jururawat.

Saat ibu dibenarkan keluar bersama kamu maka ayah bergegas ke jabatan pendaftaran. Ayah berurusan dengan pegawai pendaftaran dan kamu dikurniakan sijil kelahiran. Ayah gembira, ibu gembira.

Kamu makin besar. Saat cukup masa 6 tahun kamu didaftarkan ke sekolah maka ayah berurusan dengan guru. Guru kamu ramai kerana kamu belajar dari pra sekolah hinggalah ke menengah atas.

Dalam proses kamu menjadi dewasa banyak perkara yang berlaku. Rumah jiran kamu pernah terbakar. Maka kamu melihat ahli-ahli bomba bertungkus lumus memadam api.

Kamu juga pernah lihat anggota polis trafik berpanas berhujan mengendalikan aliran lalulintas dimasa puncak.

Sewaktu pencerobohan masuk ke Lahad Datu kamu turut membaca akhbar melaporkan anggota tentera sedang bertempur mempertahankan kedaulatan negara.

Kamu makin dewasa. Ayah dan ibu makin tua. Kamu mohon masuk universiti kerana kamu cemerlang dalam peperiksaan hasil didikan guru-guru. Permohonan UPU kamu diterima dan diproses oleh kakitangan UPU. Kamu mendapat tempat di universiti terbaik. Kamu di didik pula oleh para pensyarah di kalangan sarjana dan doktor falsafah. 4 tahun kamu berjaya bergraduat.

Kamu kemudiannya diterima menjawat jawatan eksekutif di sebuah syarikat konglomerat. Kamu mendapat imbuhan gaji yang lumayan. Kamu mula rasa mampu untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihan. Lantas atas restu ibu dan ayah kamu pun berkahwin.

Sebelum perkahwinan kamu berurusan dengan pejabat agama untuk membuat permohonan nikah. Segala dokumen diuruskan oleh kerani dan disahkan oleh pegawai bertugas. Di hari bahagia kamu disatukan oleh tuan kadi jabatan agama.

Tuan puan yang memahami. Apa yang saya kisahkan ini ialah satu perjalanan hidup manusia yang sebenarnya tidak pernah lepas dari berurusan dengan hamba Allah yang dipanggil PENJAWAT AWAM.

Saya sekadar ingin membetulkan persepsi bahawa golongan penjawat awam ini banyak terlibat dalam sektor perkhidmatan. Jururawat, doktor, kerani pendaftaran, guru, bomba, polis, tentera, pensyarah dan ramai lagi yang adalah PENJAWAT AWAM yang berkhidmat untuk negara.

Mereka sebenarnya banyak berkorban untuk tuan puan dan saya sendiri. Malah setiap kali menerima slip gaji sebahagian besar maka mereka tidak lepas dari PCB atau potongan cukai berjadual. Jelaslah penjawat awam juga pembayar cukai.

Lihatlah surat beranak kita, kalau bukan kerana penjawat awam, kita tak ada surat beranak hatta kad pengenalan. Lihatlah lesen memandu kita, kalau bukan JPJ yang uruskan kita tak mungkin berpeluang memandu dijalan raya dalam keadaan sah.

Banyak perkaitan kita dalam kehidupan seharian ini melibatkan PENJAWAT AWAM. Apalah sangat RM1500 yang 2 kali bayar (itupun sesudah 5 tahun hanya dapat rm500) pada kami sebagai penjawat awam berbanding apa yang anda dapat?

Tolonglah jangan cari keburukan kalau sekadar nak melunaskan nafsu umpatkeji. Carilah kebaikan yang anda dapat melaluinya anda mungkin menjadi insan yang bersyukur. Jangan sedap mengata hanya kerana 1 keburukan anda jumpa didepan mata maka semuanya dicaci cela.

Comments

comments