Bukan mudah untuk membentuk disiplin pelajar dewasa kini. Pelbagai cabaran yang ditempuhi dengan pendedahan kepada gejala negatif dari luar merupakan cabaran bagi guru-guru untuk membentuk disiplin pelajar.
Pengaruh luar bermula dari rokok hingga ke ganja dan pil hingga ke syabu pastinya akan merosakkan hidup pelajar yang merupakan pelapis generasi masa depan. Kadang kala rotan dan herdikan sukar lagi memberi kesan kerana pelajar zaman sekarang terlalu tegar.
Pendekatan membuat lawatan ke balai polis, atau pusat pemulihan dadah dan penjara merupakan satu cara alternatif yang mengesankan kerana ia merupakan satu kaedah yang mungkin boleh ditafsirkan sebagai I FEEL YOU. atau Aku rasa apa yang kau RASA.
Tahniah buat cikgu Shamsul Ramli (merupakan guru dan jihady kanser) kerana berkongsi pengalaman ini. Kita ikuti kisahnya.
PELUANG KEDUA
Semalam aku seharian di Penjara Bentong. Bukan aku masuk penjara, bawa pelajar ke program penjara. Biasalah, sebagai seorang cikgu yang berdedikasi dan berwajah suci, tugasnya bukanlah semata-mata di sekolah mengajar tulis dan baca. Sesekali perlu juga membawa anak-anak didiknya keluar dan mengikuti program-program kemasyarakatan.
Namun aku kira program semalam sangat-sangat baik dan amat-amat memberi kesan, terutama kepada para pelajar yang mengambil bahagian. Program yang bertajuk ‘Mesej Dari Penjara’ itu adalah satu koloborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Jabatan Penjara Malaysia.
Sudah tentu, acara yang paling memberi impak adalah sesi bual bicara bersama para banduan. Ini bukan sahaja sesuatu yang baru bagi aku secara individu, bahkan ianya juga adalah pengalaman pertama aku sebagai seorang guru.
Para pelajar yang seramai hampir 500 orang itu dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. 15 – 20 orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan akan ada seorang banduan menceritakan pengalaman masing-masing. Ya, para pelajar ini duduk bersama, fast to fast dengan banduan terbabit. Tapi sudah tentulah, di kiri kanan banduan terbabit ada pegawai penjara yang mengapitnya.
Aku ingin mengambil gambar kerana aku kira pasti rakaman gambar terbabit boleh menjadi sesuatu yang hebat dan power untuk dikongsikan, tetapi dilarang oleh pihak penjara. Hanya kamera rasmi penjara sahaja yang berketik pagi itu.
Ada lagi beberapa acara dijalankan semalam seperti demonstrasi hukuman rotan dan pertunjukkan anjing dari unit K9.
Acara kemuncak dan paling dinanti-nanti adalah sesi perkongsian/ sharing dari seorang ‘banduan akhir’. Ya, banduan akhir adalah banduan yang sedang menunggu hukuman mati!
Mari aku kongsikan serba sedikit perkongsian dari ‘Abang Rosdi’. Banduan akhir yang dijatuhkan hukuman gantung mati mandatori, akibat dari kesalahan mengedar dadah:
“Assalamualaikum… Nama saya xxx Rosdi Bin xxx. Dilahirkan di xxx dan kini berusia xxx. Saya merupakan banduan akhir di Penjara Bentong sejak xxx…
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, pelajaran juga taklah tinggi sangat. Setakat SPM je. Saya berkahwin muda, pada umur 21 tahun. Saya berminat dan ada bakat juga dalam kerja-kerja printing dan membuat t-shirt. Alhamdulillah rezeki saya murah pada ketika itu, banyak dapat tempahan dari sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan. Mampulah saya pada ketika itu untuk beli rumah, beli kereta Honda yang bayarannya pada masa itu dalam seribu lebih…”
“Tapi ujian datang melanda saya. Pada zaman gawat sekitar akhir 90an, perniagaan saya terjejas. Hampir tiada bisnes. Saya mula runsing. Macamana nak bagi anak isteri makan…”
“Lalu saya mengambil jalan mudah. Saya jual dadah. Bermula dengan kecil-kecilan sehingga boleh mendapat rm1000, rm2000, rm3000 dalam satu hari. Hidup saya kembali senang. Tapi saya mula leka, saya sudah tidak tunaikan solat, saya tidak mengerjakan puasa, saya lupakan Allah…”
“Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga, begitulah nasib saya. Pada suatu malam ketika saya cuba mengedar dadah kepada pelanggan, saya telah diserkup polis, bersama dengan saya adalah dadah ganja seberat 10 kilogram di dalam bonet kereta…!”
Lama senyap. Suasana dewan sunyi je.
Kemudian Abang Rosdi menyambung:
“Saya direman selama lebih dari 4 tahun, menunggu untuk dibicarakan. Akhirnya pada tahun 20xx mahkamah bersidang untuk menjatuhkan hukuman kepada saya. Saya takkan lupa hari penjatuhan hukuman tersebut. Saya ingat lagi kata-kata hakim:
Bahawa kamu, xxx Rosdi Bin xxx, telah dituduh di bawah seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya, dengan ini telah didapati bersalah dan akan dijatuhkan hukuman mati mandatori dengan mengantung di leher, memecahkan halkum….
“Lepas tu saya tak dengar apa-apa dah dari kata-kata hakim itu. Saya menoleh ke belakang, isteri saya longlai. Mak saya menangis teresak-esak. Saya tak sanggup melihat mereka. Saya terus mengikut polis balik ke penjara”
“Di penjara, saya tak lalu makan. Saya tak bercakap dengan sesiapa. Saya demam lebih dari seminggu. Saya tak mampu nak bayangkan apa-apa kecuali maut yang bakal mendatangi saya”
“Apa yang buat saya lagi sedih adalah, kalau saya pergi nanti siapa yang nak jaga isteri saya, anak saya. Anak saya masa tu masih kecil, darjah satu”
“Satu hari tu isteri saya datang melawat, dia cerita:
“Semalam dalam kelas anak saya, cikgu bertanya tentang perkerjaan bapa murid-murid. Sorang-sorang cikgu tanya dan setiap murid bangun memberitahu pekerjaan bapa masing-masing. Ada kerja doktor, ada kerja peguam, ada kerja buruh, restoran, pemandu. Sampai anak saya dia senyap, tiga kali cikgu tanya: Ayah kerja Apa. Anak saya senyap. Taknak jawab. Tapi cikgu tak marah pun.”
“Sampai waktu loceng bunyi, cikgu nak keluar, anak saya berlari dekat cikgu, perlahan-lahan anak saya berbisik pada cikgu: Ayah saya dalam penjara…”
“Cikgu tu terus memeluk anak saya, sambil mengusap-ngusap kepala anak saya…”
Abang Rosdi menangis, tersedu-sedu. Dewan sunyi sepi.
Setelah agak lama, dia menyambung kembali.
“Setelah beberapa bulan dalam penjara, saya mula menerima hakikat. Saya mula belajar agama kembali. Saya mula solat, puasa, mengaji Quran, berzikir dan banyak mengingati Allah. Alhamdulillah, akhirnya saya menemui ketenangan”
“Pada tahun 20xx, Mahkamah Persekutuan kembali bersidang. Kali ini untuk mengumumkan keputusan rayuan kes saya. Nampaknya Allah telah memberi saya peluang kedua. Rayuan saya telah diterima dan hukuman mati ke atas saya telah ditarik dan saya hanya menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan”
“Sekali lagi saya menangis, tapi kali ini saya menangis kerana gembira, saya menangis kerana bersyukur…”
“Tahun ini genaplah 20 tahun saya hidup di sebalik tirai besi, menjalani hukuman penjara. Saya kini hanya menunggu masa, kira-kira 40 hari lagi saya akan keluar dari penjara, saya akan kembali hidup sebagai manusia yang bebas. Dan kali ini Insha Allah saya tidak akan mensia-siakan hidup saya. Saya tidak akan mensia-sia peluang kedua yang Allah telah berikan ini…”
Tiba-tiba dewan bergema dengan bunyi tepukan yang gemuruh, di sebalik sendu Abang Rosdi yang kini mengukir senyuman manis. Senyuman ikhlas, tanda kesyukuran.
Abang Rosdi sempat menyampaikan beberapa pesanan dan nasihat serta menjawab beberapa soalan dari para pelajar sebelum kembali ke kamarnya yang bertiraikan besi dan berlantaikan simen itu.
Di akhirnya aku membuat kesimpulan, satu kesimpulan sahaja:
Its all about the SECOND CHANCE. Semuanya adalah berkenaan dengan PELUANG KEDUA.
Setuju…?