Pilihanraya Umum Dah Dekat. Kamek Urang Maok….

Kredit Foto: HMetro

Akhir-akhir ini kelihatan beberapa buah lori sedang menurap jalan dan melebarkan jalanraya. Malah kelihatan juga lori bermuatan tangki air berwarna biru dan berpelekat 1 Malaysia di jalanraya.

Fenomena ini sinonim dengan pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sebagai penduduk di Sri Aman (walaupun hanya permastautin) saya dapati terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh mana mana calon yang bakal memenangi kerusi Parlimen Sri Aman dan Parliman Batang Lupar.

1. Bekalan air yang sempurna

Air merupakan keperluan asas paling penting dalam kehidupan. Namun di Sri Aman tekanan air agak rendah di beberapa kawasan.

Sebagai contoh sebahagian Desa Indah dan Srijaya Park menghadapi masalah tekanan air rendah. Walaupun stesen booster bekalan air sudah siap di simpang masuk Jalan Hollis namun hingga kini (tarikh artikel di tulis) tekanan air sangat perlahan.

Beberapa tempat di Stumbin dan Lingga juga mempunyai masalah yang sama. Semoga ianya dapat diatasi.

2. Laluan Pintas alternatif ke Sri Aman

Tahun 2011 Sri Aman telah menghadapi situasi dimana tanah runtuh di Bukit Temudok hingga memutuskan laluan keluar penduduk ke luar Sri Aman dan menyebabkan beratus kenderaan terkandas.

Mungkin pada masa akan datang perkara yang sama boleh berlaku memandangkan laluan ke sri aman hanya melalui jalan dipinggir bukit temudok yang mungkin terdedah pada ancaman tanah susur terutamanya di musim hujan. Jika boleh buatlah jalan pintasan atau Bypass sebagai alternatif untuk sampai ke Sri Aman.

3. Institut Pendidikan Awam untuk Belia

Sampai masanya kita memiliki 1 atau 2 IPT atau Institut Kemahiran di Sri Aman.

Sri Aman yang memiliki ahli parlimen bertaraf menteri penuh dan timbalan menteri seharusnya berusaha mengwujudkan sebuah kolej komuniti di bawah parlimen masing-masing. Jika YB Datuk Rohani berjaya membina Kompleks Penyayang maka diharap Datuk Masir Kujat boleh usahakan Kolej Komuniti di Sri Aman.

Menyediakan peluang bagi belia belia menuntut ilmu dalam bidang kemahiran adalah amat penting. Selain itu diharap Kolej Tingkatan 6 bersepadu Mode 1 diwujudkan di Sri Aman.

4. Naik taraf sistem jalanraya

Meskipun Sri Aman hanya dianggap bandar kecil namun kita pasti sedar bahawa setiap tahun jumlah penduduk semakin ramai. Malah ramai yang berhijrah datang ke Sri Aman.

Jika awal tahun 2000 dahulu tiada istilah ‘peak hour’ di Sri Aman, sekarang untuk keluar ke bandar pada jam 12.30 hingga 2.00 petang dan 4.30 hingga 5.30 petang merupakan satu ‘siksaan’ kerana menempuh kesesakan jalan.

Sejak kebelakangan ini perluasan jalanraya ke Sri Aman sedang di buat. Malah Jalan Brayun turut dinaik taraf. Namun begitu jalan alternatif keluar masuk ke taman-taman perumahan seperti Desa Indah dan Sri jaya boleh dibuat. Sebagai contoh Srijaya boleh dibuat laluan akses melalui Taman VistaGro.

5. Sistem perparitan yang sempurna

Diketahui pembangunan di Sri Aman semakin rancak. Kewujudan taman-taman perumahan kadangkala menyebabkan sistem saliran menjadi sempit dan berlaku kejadian banjir kilat seperti di kawasan Taman Tiara dan dibeberapa kawasan lain. Mungkin semua itu perlulah diperbaiki.

Kesimpulannya, Sri Aman memang sedang membangun dan sebagai penduduk saya amat berbangga mendiami bandar ini. Cuma ini sekadar cadangan saya agar Sri Aman menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Mohon maaf jika cadangan ini mungkin menyinggung mana mana pihak (saya pernah di sindir sebagai Rani Kulup kerana memberi cadangan seperti ini oleh seseorang hehehe)

Comments

comments