Belum Ada Rasa Nak Pindah Cikgu, Best Duduk Sini

Dari Changlun Kedah dia berkelana berbakti dibumi kenyalang yang indah ini. Apatah lagi dihantar berkhidmat sebagai guru di ceruk pedalaman Kapit. Ternyata guru serikandi ini seorang yang cekal. Cikgu Nur Anita bt Hasnan atau di kenali di FB dengan nama Nur Choki Choki adalah salah seorang dari puluhan guru wanita yang berkhidmat di pedalaman Sarawak.

Mula berkhidmat pada tahun 2014 di daerah Daro namun memohon eg tukar untuk ke kawasan lebih mencabar. Destinasinya Kapit. Akhirnya beliau ditempatkan di SK Sg Menuan Kapit. Perjalanan dari Sibu mengambil masa 3 jam dan seterusnya menaiki perahu panjang menuju hulu sungai Rajang dan memasuki sungai Menuan. Perjalanan perahu panjang selama 2 jam.

Berkhidmat di Sk Sg Menuan ini memberikan pengalaman yang tidak dapat dirasai di negeri asalnya di Kedah. “Saya tak pernah mengayuh perahu seumur hidup saya tapi di Kapit saya belajar mengayuh perahu dan sekarang saya makin mahir melakukannya” kata cikgu Nur.

Antara pengalaman yang mencemaskan ialah semasa menongkah arus surut di Sungai Rajang perahu panjangnya nyaris dilanggar beberapa batang balak hanyut yang menghilir dalam arus deras. Namun kecekapan pemandu bot berjaya mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Satu lagi pernah rakannya tergelincir didalam air sungai Rajang dan tenggelam selama beberapa minit hingga mengundang rasa cemas namun selepas itu rakannya timbul dalam keadaan tercungap-cungap dan diselamatkan oleh orang ramai. Selain itu pengalaman menolak bot panjang bila menempuh kawasan sungai yang cetek sudah menjadi lali.

“Masa mula-mula dulu memang sakit badan saya, tapi kini saya dah biasa. Alah bisa tegal biasa.” kata cikgu Nur Anita.

Kadang-kadang risau juga sebab keluarga jauh dan saya pernah disengat kala jengking semasa meronda asrama murid pada waktu malam dia bertugas sebagai warden. Sengatan tersebut menyebabkan dia demam dan panas badan. Namun pada waktu malam agak bahaya bagi pemandu bot panjang menempuh arus rajang ke pekan kapit. Hanya dengan panadol beliau bertahan hingga esok pagi dan dihantar ke Kapit bagi menjalani rawatan di hospital.

Menerima rawatan digigit kala jengking

Beliau menerima 2 suntikan dan kembali pulang untuk bertugas di sekolah semula. Inilah antara pengalaman yang agak sukar.

“Tak isi eg tukar ke untuk pindah semula ke Kedah?” Saya bertanya.

“Belum ada rasa nak pindah cikgu, best duduk sini” jawab beliau sambil mengukir senyuman.

Cikgu Nur memberitahu masyarakat Iban di kawasan Kapit sangat peramah dan baik. Beliau sering di alu-alukan untuk datang ke rumah panjang. Menurut cikgu Nur Anita lagi keistimewaan yang terdapat pada orang Iban di Kapit ini ialah hampir semuanya pakai jam tangan. Lebih-lebih lagi orang tua yang turun ke huma dan kebun tetap akan memakai jam tangan. Walaupun orang tua Kapit sudah berusia 70 tahun tetapi masih mengekalkan gaya berpakaian yang kemas dan tegap tubuh badannya.

Selain itu masyarakat di Kapit tidak mengamalkan sikap racist dan prasangka terhadap orang luar lebih-lebih lagi terhadap orang Semenanjung. “Saya gembira mengajar di sekolah saya kerana guru-guru Semenanjung diterima sebagai keluarga oleh masyarakat sekolah dan kampung.” menurut Cikgu Nur Anita.

Cikgu Anita suka melawat rumah panjang. Antara rumah panjang yang dilawati ialah Rumah Jandok.

Di Rumah Jandok dia dibawa oleh penduduk melihat tengkorak manusia yang masih tergantung di tiang ruai.

Selain itu dia turut dibawa melawat ladang ternakan rusa.

Satu amalan dikalangan masyarakat Iban ialah jika ditawar atau dijemput menjamah makanan. Kalau tidak mahu makan atau menolak, jangan menolak sebarangan. Ini boleh jadi satu penghinaan pada tuan rumah. Untuk menolak secara hormat, tetamu diminta menyentuh makanan atau pinggan. “Ponek” kata orang Iban jika menolak makanan.

Cikgu Nur mendapat banyak pengalaman yang menarik dan indah untuk disisipkan menjadi kenangan indah dan disampaikan pada sahabat di Semenanjung.

Cikgu Nur Anita hanya secebis dari ratusan kisah-kisah yang terlakar di ceruk pelusuk pedalaman Kapit, Baram, Lubok Antu dan lain-lain. Kisah yang jarang kita lihat namun ia dilalui oleh jiwa jiwa hebat lelaki dan wanita yang berani terdiri dari anak anak sarawak dan semenanjung yang berkhidmat di sini.

Cikgu Nur sememangnya wanita lembut berhati besi ditengah2 syurga flora dan fauna yang indah di Bumi Kenyalang.

Demikianlah hebatnya guru-guru di pedalaman menempuh pelbagai rintangan demi mendidik anak-anak bangsa agar mereka menjadi warga negara yang berguna dan berjasa pada Sarawak.

Salute pada anak-anak muda samada Sarawakian mahupun dari Semenanjung yang berkhidmat di pedalaman Sarawak.

Perkauman tiada tempat di sini. Terbaik…ooohaaaa

Comments

comments