“Kamu mesti dapat Sarawak…” kata pensyarahnya.
“Ala..janganlah doa macam tu tuan…hahaha” Jawab Hisham sambil tersenyum.
“Kamu muda lagi …merantaulah cari pengalaman” usik pensyarahnya lagi.
“Kat semenanjung pun boleh cari pengalaman tu huhu” Hisham masih berharap keputusan penempatan perkhidmatan sebagai guru ialah di Semenanjung sahaja.
“Kamu nanti mengajar di Sarawak, mengajar di hulu Kapit ke..nanti kamu jumpa perempuan Iban…itulah jodoh kamu nanti. Kahwin dengan gadis Iban” Usik pensyarahnya lagi.
“Alaaaa tuan ni masin mulut nanti tuann” Hisham merayu.
Perkataan Sarawak ini memang dah bermain di fikiran Hisham. Ramai pensyarah suruh minta posting ke Sarawak sebab kata mereka anak muda harus merantau.
Saudara maranya pun banyak yang menjangka Hisham akan pergi Sarawak. Orang kampungnya di Bahau Negeri Sembilan pun mengusiknya bahawa dia akan mengajar di Sarawak.
Masa tu perkataan Sarawak ni memang dah bermain di sekeliling Hisham
Bila tiba masa yang ditunggu, keputusan keluar melalui aplikasi telefon pintar. Ramai rakan Hisham yang sama menuntut di IPG Raja Melewar Negeri Sembilan menelefon bahawa mereka sudah dapat penempatan. Ramai dapat di tempat pilihan sendiri.
Hisham masih gementar untuk memeriksa penempatannya. Tambahan pula dia sedang membantu ibunya di kantin. Nekad beliau memeriksa penempatannya.
Allah….!!!! SARAWAK!!! ternyata igauannya selama ini menjadi kenyataan. Hisham mendapatkan ibunya.
“Mak…..” Hisham memanggil ibunya dengan nada lemah.
“Hah…Sham dapat kat mana posting nanti?” Tanya ibunya sambil tersenyum.
“Sham dapat Sarawak mak” jawab Hisham sambil melihat wajah ibunya yang berubah sugul. Wajah keibuan yang amat mengharapkan anak bongsunya tidak berjauhan itu semakin sedih. Bungkam tidak terkata.
Mak!!! Hisham memeluk ibunya.
“Jauhnya kamu pergi nanti Sham… jauhnya” ibunya teresak esak.
“Tak pa mak! Hisham menjalankan amanah yang kerajaan berikan. Hisham jauh tapi Hisham tak akan lupa mak dan ayah. Hisham berjanji mak” Hisham terus memeluk erat ibunya saat merasakan bahunya semakin basah dengan airmata ibu yang amat di sayangi.
Itulah pengorbanan yang harus beliau lakukan.
Pemergian Hisham ke KLIA tidak dihantar oleh ibubapanya kerana urusniaga di kantin mesti diteruskan. Oleh itu Hisham hanya dihantar oleh kakaknya di lapangan terbang.
Semasa berkumpul di KLIA, list nama daerah pula dikeluarkan. Hisham memeriksa daerah mana dia ditempatkan. KAPIT!! hatinya bergetar. Hisham sekali lagi menelefon ibu dan ayah menyatakan dia akan ke KAPIT. Ibunya berpesan agar jangan lupa keluarga, jangan tinggal solat dan bertugas dengan dedikasi. “Ibu dan ayah makin jauh dari kamu..jangan lupa kami nak” kata kata ibunya sebelum dia berangkat.
Hisham mendarat di Kuching buat pertama kalinya. Di Kuching semua guru-guru dari Semenanjung yang ditempatkan di sarawak diberi taklimat ringkas. Mereka seterusnya bergerak ke bas yang menunggu untuk membawa ke daerah masing masing. Hisham menaiki bas yang membawa guru-guru baharu ke Sibu. Ada 6 buah bas yang disediakan.
Setiba di sibu mereka ditempatkan di sebuah hotel untuk taklimat penempatan sekolah. Hisham ditempatkan di SK Kg Baru Kapit. Sekolah ini berhampiran dengan bandar Kapit. “Syukur Alhamdulillah dapat di bandar juga” doa Hisham.
Namun di satu sudut kelihatan beberapa guru wanita kesedihan, ada yang menangis. Bila ditanya mereka mendapat penempatan di sekolah pedalaman P3. Timbul rasa kasihan dihati Hisham. Hisham pergi menemui pegawai pendidikan memohon agar dia ditukarkan ke P3 dan guru wanita tadi mengambil tempatnya di SK Kg Baru. Permintaan Hisham ditunaikan dan riak gembira diwajah guru wanita itu kelihatan.
Maka sekolah yang Hisham akan pergi ialah di SK Nanga Entuloh Kapit.
Perjalanan dari Sibu ke Kapit mengambil masa 3 jam menggunakan ekspress bot. Manakala setiba di Kapit Hisham menaiki perahu panjang untuk menuju hulu selama 1 atau 2 jam mengikut keadaan air. SK Nang Entuloh ini sangat cantik terletak diatas tebing bukit yang tinggi. Sekolah ini sekolah yang dibina oleh mubaligh kristian. Mempunyai 24 orang murid dari darjah 1 hingga 6. Tiada pra sekolah disini. Gurunya ada 12 orang semuanya. 4 dari semenanjung 8 pula guru tempatan.
Majorit pelajar dan penduduk adalah berbangsa Iban. Mereka ditempatkan di kuarters dan menggunakan elektrik yang dibekalkan oleh 2 set janakuasa selama 24 jam. Bekalan air pula dari empangan bina sendiri di atas bukit. Tiada kemudahan rangkaian telefon seperti Celcom atau Maxis . Melainkan kemudahan Wifi dari satelit yang dibekal ke sekolah yang dapat digunakan untuk akses ke dunia luar
Jadi Hisham setiap kali akan menghubungi ibu dan ayah hampir setiap hari menerusi whatapps
Beberapa bulan di SK Ng Entuloh, Hisham makin biasa menyesuaikan diri.
Satu hari semasa dia menaiki ekspress dari Kapit ke Sibu untuk outing hujung minggu, Hisham bertemu seorang bidadari. Saat bot Ekspress singgah dan mengambil penumpang di Song, seorang gadis Iban yang ayu mencari cari tempat duduk. Hisham yang agak tergamam dengan kecantikan gadis itu secara tiba-tiba menawarkan tempat di sebelahnya yang kebetulan masih kosong.
Gadis tersebut menerima pelawaan Hisham. Menerusi perbualan Hisham dapat tahu gadis itu seorang guru. Gementar rasa hati Hisham bila gadis secantik ini duduk di sebelahnya. “Memang jodoh den dudok disobolah den agak nyo” bisik hati Hisham dalam bahasa minang.
Sepanjang 2 jam perjalanan mereka dihidangkan movie dari Korea.
“Eh..ini cerita Jepun ke cikgu?” tanya gadis itu…
” Tak…itu cerite Korea” jawab Hisham bergetar getar sebab hati dan jantung berdebar debar. Inilah cinta pandang pertama. Sampai di Sibu, Hisham meminta no telefon gadis tersebut. Dari situ barulah dapat tahu nama gadis Iban yang cantik itu ialah Ella.
Sejak itu terjalinlah persahabatan antara Hisham dan Ella dan beberapa bulan selepas itu membuka pintu hati untuk menerima cinta dan Hisham mengambil keputusan untuk memperisterikan Ella.
Namun keputusan itu pada mulanya ditentang oleh ibu Hisham yang tidak mahu anaknya berjodoh dengan orang jauh. Manakala pihak keluarga Ella pula tidak mahu Ella berkahwin awal kerana baru sahaja menamatkan pengajian dan berkerja.
Namun siapa dapat menahan kuasa Allah bahawa jodoh itu adalah kehendakNya. Akhirnya kedua-dua setuju dan Hisham dan Ella pun bertunang. Keluarga Hisham datang dari Bahau, Negeri Sembilan ke Lubok Ipoh, Song, Kapit untuk meminang Ella.
Menurut Hisham pada mulanya persepsi rombongan dari negeri Sembilan terhadap masyarakat rumah panjang Iban agak berbeza. Mereka fikir bahawa mereka akan ke rumah panjang yang diperbuat daripada kayu dan di bawah rumah banyak khinzir berkeliaran. Apatah lagi untuk ke Lubok Ipoh terpaksa menaiki perahu.
Namun setibanya di rumah panjang keluarga Ella mereka terkejut kerana rumah panjang itu sangat cantik, bersih dan berjubin serta diperbuat dari konkrit. Masyarakat Iban menyambut begitu ramah sekali. Ternyata rombongan Hisham dari negeri Sembilan amat terkejut dan terharu. Proses meminang dijalankan mengikut adat negeri Sembilan dan adat Iban. Dimana melibatkan sirih dan pinang. Hantaran juga diberikan.
Selepas 4 bulan bertunang Hisham dan Ella disatukan sebagai suami isteri pada 11hb Mac 2016.
Kini Hisham dan Nur Ella binti Lebak (mengekalkan nama ayahnya yang berbangsa Iban) sudah menimang cahayamata lelaki iaitu Muhammad Eman Huzaly yang berusia 11 bulan.
Inilah yang dikatakan Cinta Ekspress yang bertemu jodoh dalam boat ekspress. Kehadiran Hisham dalam keluarga Lebak di Lubok Ipoh ini sangat dialu-alukan tanpa mengira pegangan agama. Hisham pun pandai menyesuaikan diri di rumah panjang. Semasa perayaan Gawai, Hisham turut berkumpul di ruai sambil menemani saudara mara keluarga mertuanya minum hingga awal pagi. Cuma Hisham tidak minum minuman alkohol sebaliknya hanya minum air pepsi.
Namun kesudian Hisham bersama mereka yang lain bercerita dan bergelak ketawa di malam gawai sesuatu yang amat dihargai. Hisham juga amat disayangi oleh keluarga mertuanya. Beliau pernah jatuh sakit akibat dijangkiti kencing tikus dan dimasukan ke wad icu di hospital dan Hisham dijaga oleh ibu dan bapa mertuanya sepanjang tempuh itu.
Kesimpulannya Hisham berjaya membuktikan bahawa kehadiran beliau di Kapit bukan sekadar memenuhi tuntutan perkhidmatan namun sudah aturan Allah beliau bertemu jodoh dan akhirnya menjadi jambatan intergrasi kaum antara Negeri Sembilan dan Bumi Kenyalang. Menyatukan 2 adat dan budaya iaitu Minang dan Iban.
Kelala buah ari langgu, Kelala bansa ari jaku, Kelala basa ari penyiru
Anak ikan dimakan ikan, gadang ditabek anak tenggiri. Ameh bukan perakpun bukan, budi saketek rang haragoi.
Perpaduan asas pembinaan negara bangsa
Tulisan Cikgu Emmet berdasarkan kisah cikgu Muhammad Hisham bin Husin dari Bahau Negeri Sembilan yang kini mengajar di SK Ng Entuloh Kapit.