Selama 5 hari saya di Bintulu kerana memenuhi jemputan menjadi penceramah sempena sambutan Maulidur Rasul dari 28hb November hingga 1hb Disember. Sesuatu yang sangat menarik ialah bandarnya bersih. Sentiasa hidup 24 jam. Rata-rata wajah warga Bintulu ini nampak ceria. Murah senyum sangat peramah.
Bintulu merupakan bandar yang lengkap dengan fasiliti awam. Ada taman dan tempat riadah yang selesa dan menjadi pusat bersosial diantara pelbagai kaum.
Di Tanjong Batu, kanak-kanak berkejaran mencapai buih-buih belon yang berterbangan. Langkah pelari yang berjoging meniti di laluan pedestrian dengan penuh teliti. Pengunjung makan makanan ringan dan ayam panggang di medan selera sambil dihiburkan alunan lagu dari busker jalanan.
Semasa bersama-sama dalam perarakan Maulidur Rasul di pusat bandar, saya ternampak sebuah restoran iaitu Muhibah Cafe.
Didalamnya penuh dengan pelanggan berbaju Melayu bersampin malah berjubah makan dan minum di dalamnya di samping pelanggan kaum Cina, Melanau, Vaie/Baie, Iban dan lain-lain.
Cafe tersebut dimiliki oleh seorang Cina telah menjalankan perniagaan tersebut berpuluh tahun lamanya. Antara menu yang sangat diminati oleh pelanggan ialah mee sapi.
Begitulah uniknya Bintulu yang diketuai oleh Tuan Haji Muhammad Yakub bin Kari selaku Tuan Residen bergandingan dengan BDA yang melaksanakan fasiliti dan pentadbiran bandarnya.
BANDAR INDAH KOMUNITI CERIA
INILAH BINTULU