Mungkin selama ini kita melihat jururawat ini hanya sebagai pembantu kepada pegawai perubatan atau doktor di hospital dan klinik kerajaan. Ada ketikanya kita mendengar pelbagai rungutan terhadap jururawat ini. Ada yang cakap mereka ni kasar lah … pemalaslah.
Tapi yang pernah membuat tuduhan sedemikian mungkin tak pernah tahu bahawa ada ketikanya tugas sebagai jururawat sangat berat lebih-lebih lagi bagi jururawat yang berkhidmat di kawasan pendalaman. Apatah lagi jika ianya dialami oleh jururawat yang berasal dari luar tempat berkhidmat. Sudah tentu pengalaman ini menjadi satu kenangan yang amat mahal dan berharga.
“Selepas tamat belajar di Kolej Kesihatan Bukit Mertajam, saya ditempatkan di Bintulu Sarawak.” Kata Cik Natuya Maktar dari Kelantan.
“Waktu itu saya rasa sangat susah hati…bila dapat tahu saya akan ditempatkan di PKB Bintulu. Saya fikir saya akan menaiki bot dan berjalan kaki setiap hari ke tempat kerja” sambung Cik Natuya lagi semasa beliau menghimbau kembali kenangan sewaktu mula mula menerima keputusan posting.
Namun bila sampai ke Bintulu beliau ternyata amat terkejut bila mendapati Bandar Bintulu amatlah besar seperti bandar-bandar lain di negara ini. Malah Bintulu lebih cantik dan teratur. Segala persepsi negatif terhadap Bintulu telah terhapus dan beliau semakin bersemangat bertugas di Pusat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Namun demikian, cabaran besar menanti beliau apabila beliau turut ditempatkan dalam pasukan perkhidmatan perubatan luar bandar dimana beliau akan bersama pasukan perubatan akan memasuki ke kawasan pendalaman untuk memberikan khidmat pemeriksaan perubatan berjadual.
Antara tempat yang beliau pergi menggunakan pesawat helikopter (Flying Doctor Services) dan ada juga yang menggunakan bot panjang (Village Health Team). Seperti di Rh Drik, Rh Jerangku Ulu Tubau, Long Biyak (Kenyah), Rh Robert Ulu Tatau, Rh Unang, Rh Imban Ulu dan Sigu Lubok Tapang.
Semasa berkhidmat di tempat tersebut beliau menyertai pasukan perubatan yang diketuai oleh seorang doktor. “Kadang kala risau juga saya kerana ada ketika kami terpaksa terbang di dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, namun perkhidmatan tetap diberikan” kata cik Natuya yang begitu teruja menceritakan pengalamannya.
Apabila ditanya tentang perkara lucu yang pernah ditempuh sewaktu berkhidmat beliau berkata bahasa yang berbeza kadang kala membuat berlaku salah faham.
Saya pernah menjerit bila seorang pesakit meminta dia menyuntik di punggung tetapi menggunakan bahasa Iban. “Misi..nuan injek ba burit aku au?” Pinta pesakit tersebut. Mana tak saya menjerit sebab ‘burit’ kalau di Semenanjung lain maksudnya. Namun lama kelamaan saya sudah mula memahami bahasa Iban. Jadi ini memudahkan tugas saya” jelas Cik Natuya penuh bersemangat sambil ketawa tersipu-sipu.
Team FDS
1 org Pilot
1 org Doktor
1 org Medical Asistant
2 org Jururawat
Staff yang berbadan besar tidak dapat ikut. Biasanya untuk naik helikopter mesti ditimbang berat badan dahulu. “Saya bertuah sebab bertubuh kecil…sebab itu saya sering dibawa menyertai pasukan Flying Doctor Services” kata Cik Natuya
Biasanya dalam setahun sebanyak 12 kali mereka terbang ke lokasi pendalaman untuk memberikan perkhidmatan.
Selain menggunakan helikopter, beliau sering juga menggunakan bot panjang untuk ke kawasan rumah panjang yang jauh. Ada ketikanya mereka terserempak dengan buaya besar yang berjemur di tebing.
Sudah hampir 6 tahun Cik Natuya berkhidmat di Bintulu sudah timbul rasa sayang kepada bandar ini serta Sarawak amnya.
Saya suka memberi khidmat kepada masyarakat di pendalaman melalui Flying Doctor Services dan Village Health Team kerana saya berpeluang mengenali keadaaan kehidupan di rumah panjang yang penuh dengan adat dan budaya tersendiri.
“Suku kaum Dayak ini sangat peramah dan sentiasa bekerjasama dengan kami, mereka melayan kami dengan baik seperti kami adalah keluarga mereka” jelas Cik Natuya bila ditanya tentang pandangan terhadap masyarakat tempatan.
Bila ditanya apakah keistimewaan Bintulu, Cik Natuya menjawab Bintulu adalah bandar yang aktif. Masyarakatnya mengamalkan cara hidup sihat dan gemar bersenam. Malah beliau mengakui PESTA LAYANG-LAYANG ANTARABANGSA BINTULU amat bermakna kerana disitulah beliau bertemu dengan seorang jejaka yang menambat hatinya iaitu lelaki Melanau dari Pulau Bruit. Beliau berharap agar jodohnya nanti bersama kekasih hatinya akan dimakbulkan oleh Allah.
Lelaki Sarawak ni memang kacak-kacak katanya.
Demikianlah kisah seorang jururawat yang begitu kental dan berhati mulia bersama pasukan jururawat tempatan yang lain berkhidmat dibumi Sarawak yang kaya dengan pelbagai bangsa dan warna warni budaya.
Salute buat semua JURURAWAT DI MALAYSIA…ANDA MEMANG SERKANDI YANG CANTIK DAN BERJIWA WAJA.
Kisah ditulis oleh Cikgu Emmet berdasarkan cerita Jururawat Cik Natuya Maktar dari Kelantan yang berkhidmat di PKB Bintulu.