Saya pernah meminati aktiviti memancing. Kalau di Semenanjung biasanya memancing puyu, sepat dan haruan di tali air. Kadang-kadang menanguk ikan laga dengan tapis di tepi parit.
Bila bertugas di Saratok Sarawak saya mula mengail udang galah di tepi jeti di sungai Krian Saratok, sungai Nyabor dan di muara Sungai Gerigat. Waktu itu udang galah yang kami panggil ah pek memang mudah mengena kail. Buaya pun jarang nak muncul sebab tahun 90an laluan sungai masih aktif dengan bot-bot nelayan. Selain mengail saya turut memukat. Seronok sangat masa tu.
Tambahan pula saya berkawan baik dengan Cikgu Zulle dari Melaka yang juga ‘gila’ memancing. Pantang dengar lubok baru…sanggup di redahnya.
Dia pernah mengajak saya ke satu lubok udang galah di sungai Malupa…kami parking motorsikal tepi jalan dan meredah kebun orang Iban hingga melalui kawasan yang banyak pondok-pondok kecil diatas binaan batu konkrit.
Akhirnya lepas 30 minit kami jumpa lubok tu. Memang banyak udang. 1 jam mengail hampir sebaldi kami bawa udang pelbagai saiz. Dah sampai rumah baru saya tahu pondok-pondok kecil itu ialah kubur atau pendam orang Iban. Rasa nak demam lepas tu.
Namun peristiwa paling sadis bila saya dan cikgu Zulle diekori hantu laut. Ia berlaku selepas kami yang ketagih mengail ni pergi ke jeti obor-obor di Gerigat pada waktu rembang dan air tohor. Sememangnya suasana agak lain..sunyi…takda bunyi bot…hanya kami berdua melabuhkan mata kail.
Lama juga tak tunggu akhirnya seekor ikan pun tak dapat didaratkan. Saya mengajak Cikgu Zulle balik. Namun sebelum balik, saya cuba menebar jala di tepi pantai muara yang agak cetek kerana air surut. Tiga kali tebar hanya seekor ikan gelama sahaja yang dapat. Kami pun balik.
Malam tu di kampung saya tak dapat tidur. Kelihatan suasana diluar rumah terang dan kemerahan. Macam ada cahaya matahari. Saya dengar bunyi burung tekukur di sangkar besar bawah rumah riuh rendah. Jam baru 3 pagi dan dari jauh kedengaran bunyi orang menjerit kearah rumah kami.
Saya dan isteri turun kebawah. Semasa nak turun kedengaran bunyi benda terbang melanggar daun pokok pokok mangga. Sampai dibawah rumah ada 3 orang kampung yang menegur ada nampak api berlegar-legar dibawah rumah dan betul-atas atas bumbung kereta kancil saya.
Bila menyedari orang kampung datang, bola api itu terbang lari. Dan yang menakutkan semua burung tekukur kami mati, ada lubang di dada burung-burung itu.
Esok pagi saya ditanya apa yang saya buat sehari sebelum itu. Saya beritahu bahawa saya mengail dan menjala di gerigat.
“Kitak ada cuci jala sik?” Tanya jiran saya.
“Sik”…jawab saya ringkas. Bila saya keluarkan jala memang nampak kotor sangat jala saya, penuh tulang-tulang ikan dan kulit udang, ketam dan daun daun kayu. Sedangkan seingatkan saya jala tu tak lah kotor sangat masa saya bawa.
Rupanya adat kalau menjala, lepas menjala mesti cuci jala bersih bersih. Sebab kata orang kampung kadang-kadang kita tak sedar kita jala makanan ‘benda lain’.
Seram pulak saya …lepas tu saya bawa ke tali air dan cuci semua kulit dan tulang ikan saya kumpul dalam plastik dan saya ‘hantar’ kembali di muara gerigat.
Selepas itu barulah agak tenang rumah mertua saya.
Walau pun sehari selepas kejadian masih ada ‘benda’ datang mencakar dinding rumah.
Sejak itu saya tak lagi berani menjala dan mengail di laut atau muara. Terus gantung pancing huhu.
Kejadian ini dalam tahun 1996. Sejak itu hinggalah sekarang saya tak turun memancing lagi.
Catatan kenangan cikgu Emmet.