Bunga Seroja Bunga Cempaka
Disisip kemas dara jelita
Saya asal dari Melaka
Di Betong Sarawak saya berkerja
David Tan Yoeng Kang merupakan seorang Cina Melaka yang berhijrah ke Betong, Sarawak meneruskan tanggungjawab sebagai guru vokesional di Kolej Vokasional Betong.
Guru lulusan Universiti Malaysia Sabah ini mulanya tidak menyangka akan ditempatkan di Sarawak kerana selepas menamatkan pelajaran di UMS beliau berharap dapat berkhidmat di Semenanjung. Namun sehari sebelum Hari Krismas, beliau menerima surat penempatan mengajar di Kolej Vokasional Betong Sarawak.
Betapa gementarnya hati bila mendapat penempatan di Sarawak. Namun beliau bernasib baik kerana mendapat galakan keluarga. Berberapa orang rakannya menasihati Cikgu David supaya berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk berkhidmat di Betong.
Kata-kata semangat daripada rakan dan keluarga membuatkan cikgu David Tan berasa yakin bahawa di Sarawak merupakan tempat indah untuk dia menabur bakti sebagai guru
Cikgu David Tan tiba di Kuching pada Januari 2017 dan disambut oleh kawannya. Mereka kemudiannya ke Betong untuk urusan melaporkan diri di Kolej Vokasional. Menurut Cikgu David sepanjang setahun di Betong banyak nilai-nilai murni yang Cikgu David perhatikan terutamanya dikalangan masyarakat Sarawak.
“Di sarawak ni lain lah cikgu..tak da racist. Saya lihat di Betong ramai orang Iban dan Melayu bergaul macam adik beradik”, kata cikgu David bila saya bertanyakan tentang perpaduan kaum di Sarawak.
Meskipun di Melaka juga terkenal dengan intergrasi kaum kerana terdapat Melayu, Cina Peranakan, Cina, India, Chettiar dan Portugis yang bersatu padu…namun di Sarawak nampak lebih mesra perpaduan kaumnya.
“Bahasa Iban pun senang belajar ” tambah cikgu David lagi. Malah Cikgu David menguasai bahasa Iban melalui lagu iban. Beliau merupakan peminat Ricky El, Peter John, Andrewson Ngalai dan Shasha Julian. Lagu Berkikis Bulu Betis, Semina ku Berimbai dan Kampung Love sering dilantunkan oleh Cikgu David Tan jika diajak berkaraoke.
Selain itu beliau mudah diterima oleh masyarakat Iban dan sering terlibat dengan kegiatan kerohanian yang dianjurkan oleh gereja katholik. Beliau selalu menghadiri Holy Family Church untuk menjalankan kegiatan kerohanian bersama masyarakat iban di Betong.
Menurut cikgu David, orang Iban ini rajin bekerja dan bertani. Mereka mampu membina rumah yang mana bahan binaan dibeli tunai hasil dari pendapatan kebun lada dan sawit.
Luaran orang Iban ini nampak agak kekampungan tapi mereka sering cukup makan dan tidak meminta-minta. Mereka sebenarnya orang yang kaya tapi tidak menonjolkan kekayaan mereka. Begitulah hebatnya kaum Iban ini.
Sepanjang setahun di Betong terdapat beberapa perkara lucu melibatkan bahasa yang berlaku keatas beliau. Maklumlah Cikgu David baru bertugas dan masih tak faham bahasa Iban.
Satu hari seorang pelajarnya bertanya cikgu David sambil membuat isyarat tangan kearah mulut seolah makan : “Nuan udah PARAI cikgu”
Cikgu David terus berfikir bahawa PARAI itu ialah makan dan menjawab.. “Saya sudah PARAI di kantin tadi” maka ramai pelajarnya ketawa didalam kelas.
Sepanjang berada di Sarawak cikgu David sudah menjelajah hingga ke Kapit dan mendapati kepelbagaian adat dan budaya mewarnai masyarakat di Sarawak ini.
“Unik dan best Sarawak ni cikgu…” ujarnya sambil berkongsi gambar tempat menari yang dilawatinya.
Sekarang Cikgu David Tan sudah selesa dengan Sarawak dan berharap akan terus berada di Bumi Kenyalang ini. Tambahan pula hatinya terpaut dengan seorang gadis Sarawak. Semoga jodoh beliau dengan gadis dipertemukan.
Demikianlah bak kata orang lama…tak kenal maka tak cinta.