Jika sebelum ini hidupnya sebagai anak kotaraya, siapa sangka sedetik sahaja Allah mentakdirkan dia berkhidmat jauh di ceruk rimba daerah Pensiangan Sabah. Namun dari resah, gusar dan gentar kini bertukar menjadi pengalaman indah yang paling berharga dalam hidup.
Cikgu Faris Hassan kelahiran Gombak Selangor merupakan graduan UPM sebelum menyambung DPLI di Universiti Malaya. Pada Januari 2014 beliau ditempatkan di Sabah.
Sesuatu yang mengejutkan bila anak kota yang biasa dengan kemodenan akan ditempatkan di pedalaman Pensiangan. Bermacam-macam rasa bermain dibenak hatinya.
“Perasaan mula-mula macam gelabah dan terkejut pada mulanya tetapi semakin lama rasa makin excited pula sehinggalah dapat tau penempatan daerah dan sekolah semasa orientasi penempatan di KL.” kata cikgu Faris bila tanya perasaan beliau menerima tawaran penempatan.
Namun begitu atas dorongan bapanya beliau menyahut cabaran ini kerana berpandangan bahawa pendidik mesti cekal menghadapi cabaran.
Ketibaan beliau bersama rakan-rakan ke Kota Kinabalu disambut oleh pegawai di PPD Nabawan. Mereka menanti ketibaan rakan lain dari jam 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Tepat jam.12.30 malam mereka bertolak ke Keningau. Perjalanan selama 3 jam merupakan cabaran pertama yang ditempuhi iaitu perjalanan menempuhi laluan berbukit yang jauh lebih mencabar berbanding laluan ke Genting Highlands mahupun Cameron Highland di Semenanjung.
Tambahan pula pemanduan pada waktu tengah malam pastinya mengundang kerisauan. Mereka sampai jam 3 pagi di Keningau dan mendaftar masuk penginapan di sebuah hotel.
Pada keesokan harinya barulah cabaran sebenar bermula apabila mereka diberikan penempatan sekolah oleh PPD Nabawan.
“Saya dan beberapa rakan lain ditempatkan di SK Komprehensif 9. Pada awalnya saya agak kecewa kerana beranggapan saya bertugas di sekolah rendah memandangkan opsyen saya ialah sekolah menengah. Rupanya SK Komprehensif 9 ini merupakan satu sekolah yang mengabungkan sekolah rendah dan menengah. Terdapat 9 tahap dari 1 hingga tingkatan 3. Saya mengajar untuk unit sekolah menengah.” Jelas cikgu Faris.
Pengalaman untuk ke SK Komprehensif 9 Pensiangan ini sangat memcabar. Bertolak dari pekan Nabawan mereka menuju Sapulut dan setiba di Sapulut perjalanan menempuh jalan gravel sejauh 35km ke Lotong memakan masa 3 jam. Laluan merentas beberapa anak sungai menggunakan pikap 4wd.
“Perjalanan sangat mencabar cikgu…sampaikan kami dibekal plastik takut termuntah” kata cikgu Faris.
Dalam pertengahan jalan ke sekolah berlaku pula runtuhan tanah menyebabkan mereka terkandas dan terpaksa meneruskan perjalanan dgn berjalan kaki hingga ke sekolah. Kami diminta meninggalkan beg pakaian dan hanya membawa barangan berharga seperti telefon, dompet dan dokumen penting.
Semasa meredah perjalanan mereka bertemu sebuah pikap yang membawa pegawai-pegawai dari PPD yang turut tidak dapat keluar akibat runtuhan tanah dan terpaksa berpatah balik ke sekolah. Mereka menumpang belakang pikap tersebut untuk pergi ke sekolah. Mereka sampai pada waktu maghrib.
Demikianlah pengalaman semasa cikgu Faris mula-mula melaporkan diri. Namun begitu lama kelamaan Cikgu Faris merasakan keadaan di pedalaman Pensiangan ini sangat indah.
“Saya berpeluang mencuba pelbagai aktiviti yang tak pernah terfikir oleh saya” katanya.
Beliau pernah melakukan hiking selama 3 jam sejauh 10km melalui denai dan mendaki 3 bukit semata-mata untuk pergi ke sekolah terdekat dengan Pensiangan. Selain itu beliau pernah menghulu menggunakan perahu dan terpaksa menolak perahu jika air cetek.
Menurut cikgu Faris daerah pedalaman Pensiangan ini mempunyai beberapa air terjun yang cantik dan jernih membuatkan beliau dan rakan-rakan mengambil peluang mandi disini. Cikgu Faris juga pernah menghadiri perkahwinan abang kepada pelajarnya dari kaum Murut. Mereka turut menyelami budaya kaum Murut seperti tarian dan adat mereka.
Orang Murut sangat rajin bekerja dan sangat menghormati orang luar. “Saya sering dipanggil cikgu dimana sahaja jika mereka bertemu saya, suasana ini sukar ditemui di bandar-bandar besar” kata cikgu Faris.
Antara peristiwa yang menyentuh hati ialah ketika beliau keseorangan di kuaters beliau dipanggil oleh pelajarnya ke kelas kerana ada kecemasan pada waktu malam. Cikgu Faris tergesa-gesa ke kelas hanya berkain pelikat. Setiba di kelas rupanya dia dikejutkan dengan sambutan harijadinya oleh pelajar dan guru. “Terharu saya sebab saya ingat saya keseorangan menyambut hari jadi rupanya saya disambut oleh pelajar saya”. Jelas cikgu Faris.
Peristiwa pahit yang pernah dialami oleh beliau ialah ketika jatuh dari motor scrambler hingga kakinya terpaksa menjalani pembedahan ACL.
Namun semua ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendidik anak-anak sabah. Selepas 2 tahun di SK Komprehensif 9 beliau dipindahkan ke SMK Nabawan 2. Walaupun sudah berpindah ke bandar Nabawan namun hatinya masih terkenang pada kehidupan di Pensiangan.
Doa cikgu Faris agar anak-anak didiknya berjaya dalam pelajaran dan terus menjadi guru untuk mengalas tugas mendidik anak jati disini.