Ragging adalah sesuatu yang amat sinonim dengan kehidupan seorang pelajar atau siswa yang mula belajar di institusi pengajian tinggi mahupun kolej.
Bagi generasi sebelum mellinium (2000) ragging di maktab atau universiti meskipun agak kasar ia sesuatu mampu membina ‘keberanian’ dan menciptakan ‘kemesraan’ dikalangan penuntut.
Saya sendiri semasa minggu orientasi pada tahun 1991 di Institut Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dipakaikan baju Melayu dan disarung spender dari luar, kain sampin dijadikan mantel. Saya pun diarah ‘terbang’ dari aras lantai hinggalah ke aras 4 asrama Kapten Yazid (atau block C). Maka saya dipanggil superboy sepanjang minggu itu.
Merangkak…dan di herdik merupakan perkara rutin…dicerca sebagai berlagak…tak ada tokoh jadi cikgu dan pelbagai sumpah seranah kami terima. Sudah bersiap berkemeja dan berdasi…kami diarah menjunjung briefcase dan berjalan itik ke Dewan Suluh Budiman.
Pensyarah waktu itu hanya senyum simpul sahaja. Namun selepas tamat minggu orientasi kami bersalaman dan ada yang berpelukan dengan abang senior. Lusa…kami diajak bermain bola, takraw atau tenis bersama.
Saat itu memang sangat indah. Berbeza dengan zaman sekarang …ragging lebih bersifat membuli, menakluk emosi, meluaskan egois dan mencipta ketakutan demi mendapat penghormatan. Sebab itu ada pelajar yang cedera dan ada yang patah hati terus berhenti.
Saya terbaca satu coretan rakan saya Cikgu Nor Faisal atau Pe Chey dalam catatan di Facebook beliau berkenaan orientasi semasa menuntut di Sabah. Mungkin ini satu kenangan manis yang berjaya mendewasakan Cikgu Pe Chey menjalani kehidupan dengan lebih matang hingga sekarang.
Kesimpulan dari pengalaman cikgu Pe Chey ini menjadikan beliau seorang yang boleh menjadikan dirinya sebagai seorang SABAHAN walaupun diherdik dan diprovokasi. Pe Chey tetap mampu bergaul dengan masyarakat Sabah yang berbilang bangsa.
Mari kita baca pengalaman beliau dibawah ini:
‘Detik perjalanan 5’
Tarikh 10 Jun 1995 memang aku takkan lupakan. Terpahat di tinta sejarah peradaban seorang makhluk tuhan, aku mendaftar sebagai guru pelatih.
Aku terbangun pagi tu pukul 6 pagi. Jenguk kat luar tingkap, hari dah cerah. Aku gelabah. Salah jam ke, ke aku mamai. Menggelupur mandi kerana sangkaku, aku dah terlewat kerana jam bermasalah. Setelah bersiap barulah aku sedar memang begitu. Sabah memang awal cerahnya. Senior yang melihat ‘penggelabahanku’ hanya tersenyum. Memang ranjau sungguhlah.
Aku bergerak untuk ke kelas bersama teman se’batch’ku. Kami skema. Tali leher ‘orientasi’ terpasang di leher. Muka masing-masing ‘ned’ sungguh. Skema sungguhlah mengalahkan budak tadika. Kami berkumpul bersama dan dibahagikan ikut kelas. Batch aku tak ramai. Ada 2 kelas je. Jadi taklah semeriah senior yang lagi ramai.
Maktab aku ni memang ‘oldskoll’. Ketiga tertua di Malaysia. Semasa pembukaannya dulu, maktab ini dikhaskan hanya untuk anak-anak Sabah. Terpampang jelas di sebuah ‘plak’ tentang pernyataan ini. Berpuluh tahun kemasukan ke sini hanya untuk anak-anak Sabah.
Wujud pertikaian sewaktu pertama kali pelatih dari Semenanjung dihantar je sini. Mereka tidak diterima. Di’tendang’ ke Maktab Gaya. Kisah ini aku perolehi dari dapatan senior-senior. Aku sedikit gusar. Lantas melihatkan situasi begitu, aku mengambil sikap berhati-hati.
Bayangan aku tentang isu ini makin menjadi sahih. Aku diperhatikan oleh senior-senior dengan pandangan yang tidak mesra. Apatah lagi aku turut menbawa kayu hoki kerana hokilah ‘makanan’ aku. Aku berharap agar dapat mengenali senior-senior yang mungkin se’hoki’ denganku namun ternyata meleset.
Malam kedua di maktab, aku yang ditempatkan di asrama yang berbentuk ‘dorm’ ibarat wad di hospital dikejutkan dengan tengkingan senior. Beberapa orang senior yang aku tak pasti berbangsa apa mengarahkan kami berkumpul di sebuah dorm lain. Kami berbaris bagaikan pesalah di situ. Kami diterangkan dengan pelbagai ‘adat resam orientasi’. Aku dah agak. Aku akan berdepan dengan situasi begitu.
Sepanjang seminggu orientasi kami hanya dibenarkan memakai tshirt dan seluar trek. Rambut mesti “skinhead’ macam band punk. Siapa ingkar siapa melawan, nahas menanti. Aku akur sahaja. Aku ikut sahaja’flow’ permainan senior. Aku tak melawan. Macam-macam aksi buli sepanjang minggu orientasi terpaksa diredahi. Sabar, lu junior bro, aku sematkan dalam hati.
Aku ingatkan selepas seminggu, semua ‘settle’. Rupanya makin parah orientasinya. Kami makin teruk di’ragging’. Ada saja salah di mata senior yang konon kami lakukan. Aku antara yang menjadi perhatian. Aku dicop belagak, kononnya budak dari Semenanjung yang ‘minta pujik’ dan ‘tembirang’. Aku redho. Mental aku kena kuat. Kalau tak boleh gila.
Mana taknya, barang aku kena rampas. Termasuklah ‘stick hoki’ yang aku rembat dari stor sukan sekolah dulu. Aku sayang stick tu. Aku selalu dipanggil seorang diri ke dorm senior. Mereka berkumpul beramai-ramai dan mengugutku. Aku diletakkan di tengah sambil mereka mengacah memukulku sambil memaki hamun. Aku tengok muka sorang-sorang. Dalam hati, ‘takpe, ini tempat lu orang, lu orang boleh berkepak. Lu turun tempat gua, lu belum tentu selamat bai’.
Berbulan aku kena macam tu. Sampai satu tahap aku tak berani nak keluar asrama. Aku duduk di asrama lepas kelas. Hinggalah suatu malam, airmata aku jatuh juga tengah malam. Aku kelaparan. Mujur aku simpan roti. Sambal kering ikan bilis pemberian mak aku sorok dalam almari baik-baik. Aku makan jimat-jimat. Sambil makan aku bercakap dengan diri, ” Aku ni masuk maktab ke masuk penjara?”.
Wajah mak terpancul. Mak seolah berbisik. Sabar. Kau kat tempat orang. Kau kena kuat. Kau jangan melawan. Airmata aku tumpah deras bila teringatkan mak. Sambal kering yang mak bekalkan tulah penyambung nyawa aku dulu. Biar pernah jiwa dah tak tahan, aku nak je ‘bertempur’ dengan senior. Mati takpe janji aku puas hati. Tapi aku tahan sebab aku tak nak mak terima jenazahku saja dihantar balik Semenanjung. Malam tu dan malam-malam sebelumnya, aku terlena dengan teringatkan mak dan ditemani dengan airmata rindu padanya. Rindu yang teramat!
Ragging ni perlu. Aku bangkit dari kena ragging dengan bangga. Aku mampu bercampur dengan semua bangsa yang ada di Sabah. Aku tak kekok. Aku mampu bertutur mengikut loghat Sabah dengan fasih. Kesan dari kena ragging, aku berikrar, aku kena jadi ‘Sabahan’, biarpun Sabahan celup. ” Teda bha yang buli halang aku jadik Sabahan kecuali aku sendrik yang menulak”. Atukoiii.
Catatan Cikgu Pe Chey.