Bila Orang Malaya Ditanya Soalan Tentang Cawat Iban: Inilah Indahnya Toleransi di Sarawak

“Kelala Buah Ari Langgu, Kelala Bansa Ari Jaku, Kelala Basa Ari Penyiru”

Pagi tadi saya menerima whatapps dari seorang rakan yang berbangsa Bidayuh. Beliau menghantar mesej dalam bahasa Iban bertanyakan apakah cawat dalam bahasa Iban.

Maka saya membalas dalam bahasa Iban mengatakan cawat dalam bahasa Iban disebut sirat.

Perbualan whatapps dengan seorang rakan yang berbangsa Bidayuh

Balasan saya berbunyi SIRAT KO KAMI IBAN ( Sirat kata kami iban) selepas itu saya tersenyum sendiri.

Bila terkenangkan ayat ‘ko kami iban’ ini seolah-olah saya adalah berbangsa Iban sedangkan saya Melayu, dah lah melayu dari Malaya pula ???.

Lebih melucukan bila rakan Bidayuh saya bertanyakan saya tentang perihal yang berkaitan dengan Iban kepada saya yang berbangsa Melayu dan saya menjawabnya dengan betul.
Itulah rapatnya saya Sarawak ini.

Selain mampu bertutur dalam loghat Melayu Sarawak dan bahasa Iban, saya turut rapat dengan apa-apa sahaja tentang Sarawak.

Apabila melihat satu hantaran di media sosial berkenaan patung arca pahlawan Iban bernama Rentap tetap bertanjak dan bersampin, ia memberikan satu gambaran tidak tepat terhadap kaum Iban di Sarawak.

Gambar tular di media sosial : patung arca pahlawan Iban bernama Rentap tetap bertanjak dan bersampin

Pahlawan Iban biasanya mengenakan baju perang dan bersirat (balutan kain panjang menutup bahawa perut hingga ke pangkal peha).

Aksesori lain ialah terabai atau perisai dan parang ilang yang tersisip dipinggang. Kepalanya dihiasi topi dari bulu burung ruai dan badan mereka berpantak (tatoo).

Foto ihsan Borneo Oracle

Pahlawan ini memiliki keberanian yang cukup tinggi sehingga menjadikan kepala musuh sebagai trofi setiap kali keluar berperang. Itulah gambaran paling dekat untuk mengambarkan pahlawan Iban terbilang bernama RENTAP. Bukan memakai bandana ala lanun jack sparrow, berhidung mancung (macam patung hiasan di pasaraya) berbaju dan bersampin. Itu jelas gambaran yang salah.

Iban yang saya kenali hampir 25 tahun ini adalah kaum yang lembut hati, kuat bekerja dan jarang meminta-minta. Jika ada tanah, mereka akan usahakan sebaik mungkin. Malah dalam bidang pelajaran masyarakat Iban di bandar sudah mula menampakkan kehebatan. Ada yang sudah menjadi profesor di universiti dan menjadi penyelidik terkemuka. Contohnya Prof. MADYA DR MADELINE BERMA.

Profesor Madya Dr. Madeline Berma, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Eh…bukankah orang Iban ni bertelinga panjang? Pernah saya diajukan pertanyaan demikian. Itulah jika kita terlalu percaya dengan apa yang dibaca dari buku-buku dan majalah yang mungkin tidak memaparkan maklumat yang sahih.

Bila menonton dokumentari tentang budaya di Sarawak, orang Iban atau Bidayuh digambarkan melalui pakaian tradisi. Ini membuatkan persepsi orang luar mengatakan betul orang Iban semua ngepan dan bersirat. Hidupnya di hutan belukar berhuma dan memburu.

Hakikatnya orang Iban ini sama sahaja seperti masyarakat lain di Malaysia. Wajah mereka yang kacak dan jelita berpakaian kasual seperti semua kaum utama di negara dalam menjalani kehidupan harian. Bekerja dibidang perkhidmatan awam sebagai guru,polis, jururawat dan sebagainya.

Rakan FB yang berbangsa Iban memiliki wajah natural beauty: Cik Mellini Linggi

Sepanjang saya menjadi guru dan mendidik anak-anak Iban sejak 1995, saya merasa bangga kerana sekarang ramai yang berjaya dalam kehidupan. Ramai yang jadi guru, ramai yang jadi jurutera sektor Gas dan Petroleum. Ada beberapa yang menjadi jutawan atau isteri kepada jutawan dan bergelar datin. Ada yang jadi pengamal undang undang.

Bila mengenangkan kisah ini saya rasa gembira dan bersyukur kerana pernah menjadi sebahagian dari pemacu kemenjadian anak anak bangsa Iban dalam mengejar kemajuan.

Saya berharap agar hubungan yang terjalin antara saya (laut ari Malaya) dengan rakan-rakan berbangsa Iban terus teguh terjalin.

Sarawak tetap dihati

Comments

comments