Salam takziah buat adik M Vasanthapiriya yang menghembuskan nafasnya yang terakhir pagi tadi.
Mendiang sebelum ini cuba membunuh diri setelah dituduh oleh gurunya mencuri telefon bimbit.
Dikhabarkan pelajar ini turut dimarahi dihadapan pelajar lain malah semasa berjumpa ibubapa mendiang pun mendiang dimalukan dihadapan ibubapanya.
Antara kandungan surat terakhirnya ialah: “I want to thank my parent for take care me. I love you so much and i am so sorry” demikianlah catatan Piriya dalam suratnya sebelum cuba menggantung diri.
Sahabat saya yang sangat dihormati terutama para komrad pendidik.
Benarlah kata-kata pujangga terdahulu bahasa LISAN ITU LEBIH TAJAM DARI MATA PISAU. Saya yakin kata-kata lah yang menjadi senjata membunuh Priya. Mungkin ada kata-kata yang diluahkan dengan emosi tak stabil dan amarah yang melampau hingga boleh meruntun jiwa anak 14 tahun ini.
Kalau sebelum ini SIFAT MALAS untuk membuang kerusi buruk milik seorang manusia telah membunuh seorang remaja india yang berjalan dibawah saat Si Pemalas menghumbankan kerusi dari tingkat tinggi hingga menimpa remaja yang sangat baik dan menjadi harapan ibunya telah terkorban. Hari ini seorang remaja mati kerana Sifat Bongkak Sombong dan Takbur seorang manusia yang menjawat jawatan sebagai pendidik.
Saya juga guru…dan guru bukan maksum. Kita sama seperti mana-mana penjawat lain yang mudah khilaf dan culas.
Maka sebagai pembina asas negara dengan mendidik jiwa-jiwa muda ini harus lah dilakukan dengan bersabar dan berhemah.
Kalau dahulu kita boleh bangga dengan tamparan cikgu disiplin mampu menjadikan kita berjaya. Kita bangga dengan pulasan telinga oleh ustaz menjadikan kita umat yang taat. Namun kini zaman sudah banyak berubah. Ada diantara kita gemar mengunakan sumpah seranah dalam mendidik. BODOH TOLOL BANGANG mungkin jadi kalimat yang kita zikirkan pada telinga pelajar pelajar bermasalah.
Bilamana ada kejadian kecurian maka ugutan,cacian dan bentakan bersilih ganti diujarkan pada tertuduh.
Sedarlah komrad yang dikasihi, kadang kala kata-kata ini mampu menghiris hati tanpa mengeluarkan darah tapi airmata. Kata-kata ini boleh melukai jiwa tanpa darah namun berparut. Kata-kata boleh menyentak henyak emosi hingga remuk redam.
Apalah cercaan yang diterima oleh adik Priya ini hingga sanggup menjadikan nyawa sebagai galang ganti.
Beringatlah wahai sahabat guru ku,
Luapan marah yang tercetus akibat karenah pelajar kita haruslah ditangani secara bijak dan berhemah. Jangan biarkan emosi hangat membuka pintu para iblis masuk menyiram minyak kemarahan dan kebencian hingga mulut kita menyemburkan api makian yang merentungkan jiwa anak-anak pelajar yang masih hijau.
Semoga peringatan ini juga menjadi panduan untuk saya agar tidak mengikut emosi dalam melaksanakan pengajaran.
Kita pendidik maka didiklah dengan penuh bijaksana kerana akhirnya yang kita inginkan ialah kemenjadian anak didik yang baik, cemerlang dan berjaya dimasa hadapan.
Catatan peranti
Cikgu Emmet.