Menangani isu-isu sensitif lebih-lebih lagi melibatkan isu agama haruslah bertunjangkan kepada kewarasan dan bersandarkan kepada kesabaran.
Luapan amarah dan emosi yang keterlaluan umpama curahan minyak yang menanti percikan api sekaligus mampu membakar dan meranapkan apa yang dimiliki serta membuat generasi kita hidup dengan rasa dendam kesumat yang tidak ada kesudahannya.
Sarawak ini sudah dikenali sebagai contoh negeri perpaduan. Apa guna kita promosi bumi Kenyalang mengamalkan tolenrasi sehinggakan masjid dan gereja boleh berjiran tapi bila berlaku perkara sensitif maka kita biarkan emosi memarakkan api kebencian meranapkan keharmonian yang dikecapi.
Hari ini Sarawak diuji dengan sesuatu isu yang cukup rumit. Isu yang melibatkan penukaran akidah.
Sepatutnya jika keputusan telah memihak kepada Islam maka pihak berkenaan seharusnya melakukan solat sunat syukur atas keputusan yang diterima. Bukan membuat perhimpunan diluar mahkamah dan memprovokasi tetamu yang hadir iaitu Fr Simon.
Tidakkah pihak berkenaan yang melakukan provokasi tersebut berfikir akan natijah yang diterima?
Apa pandangan pihak luar yang kononnya dimomokan bahawa Sarawak ini juara perpaduan?
Semua ini harus menjadi pengajaran kepada kita.
Kepada NGO ISLAM yang perihatin tidak salah bersolidariti di hadapan mahkamah kerana berjaya menunjukkan kesatuan hati menyokong keputusan yang diumumkan. Namun ia bukan satu perkara yang bijak jika membuat provokasi pada pihak yang satu lagi.
Saya rasa ini hanya dilakukan oleh anak-anak muda yang masih mudah dipengaruhi emosi.
Manakala kehadiran Archbishop Fr Simon pula sekadar untuk mendengar keputusan yang diumumkan. Apa-apa yang diputuskan terimalah dengan hati yang terbuka. Syukurlah semasa kejadian Fr Simon turut diiring dan dikawal rapat oleh beberapa ulama.
Justeru apa yang kita dapat pelajari dari peristiwa hari ini?
1. Islam itu khusnul khuluq (Agama akhlak) jadi tunjukkan akhlak yang baik meskipun menghadapi ujian yang hebat bukan membiarkan emosi mempengaruhi akal hingga akhlak ditolak tepi. Seharusnya kita rasa sedikit malu bila Fr Simon masih boleh tersenyum dan mendoakan agar semua rakyat bersatu.
2. Para pejuang yang hadir dengan penuh semangat hari ini seharusnya BERJIHAD membantu para saudara baru /muallaf kita. Apa guna kita hanya berani bersolidariti tetapi bila ada saudara mualaf kita memerlukan bantuan …kita hanya pandang sepi dan sinis.
Kita kena BERJIHAD membantu saudara kita yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Itulah tanda solidariti yang sebenar.
3. Jagalah SARAWAK ini agar ia tidak menjadi medan kebencian sesama manusia. Kita harus raikan persamaan dan hormati perbezaan. Apakah kita mahu bumi Sarawak yang selama ini bersatu hati berpecah seperti mana negara-negara di asia barat atau pertempuran etnik seperti di Myanmar boleh berlaku di sini?
Belajar dari apa yang berlaku di Kalimantan apabila Dayak bertempur dengan Madura yang tiada yang untung dari peristiwa itu sebaliknya meninggalkan parut kelukaan yang menjadi catatan buruk dalam sejarah. Kita tentu tidak mahu perkara itu berlaku di Sarawak mahupun Malaysia yang kita sayangi.
Kesimpulannya dalam mendepani perkara-perkara berkaitan agama dan perkauman haruslah kita lakukan dengan akal yang lapang, berbaik sangka saling hormat dan meraikan pandangan dan pendapat dengan hati yang terbuka.
Lipat segala ego, kebencian dan buruk sangka agar tidak menjadi pakaian yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Sarawak ini lain…kerana Sarawak ada lah kita …Kita adalah Sarawak…dan Kita ada Bersaudara.
Sekian tinta peranti
CIKGU EMMET
27022018