Minat Kamu Pada Bola Sepak Tidak Boleh Lawan Saya

Kredit Foto : Pinterest

Memang tidak dinafikan bahawa minat menjadi pendorong anak-anak kita bercita-cita tinggi. Tertarik dengan kisah ustaz Haji Yasmin sahabat motivator saya yang menasihat pelajarnya. Maka saya kongsikan nasihat beliau didalam blog ini.

Haji Yasmin juga merupakan guru pakar Sejarah yang berasal dari Kelantan sudah menetap lama di Sarawak, walaupun pernah balik mengajar ke Kelantan beliau akhirnya kembali berbakti di Sarawak semula dan berkhidmat di SMK Semerah Padi. Berikut adalah petikan tulisan beliau.

CACATAN DIARI SEORANG GURU DENGAN PELAJAR YANG MINAT BOLA

Baru-baru ni sembang dengan seorang murid yang sangat minat bola sepak. Dia beritahu cita-citanya nak jadi pemain bola sepak profesional terkenal seperti Christiano Ronaldo atau Lionel Messi. Saya kata, baguslah…

Cita-cita kamu macam cita-cita saya 35 tahun dulu. Cuma dulu saya bercita-cita nak jadi seperti Maradona, Zico & Michel Platini.

Kredit Foto : Pinterest

Tapi saya tanya lagi, apakah awak yakin dengan main bola masa depan awak terjamin seperti Ronaldo & Messi? Jawab budak itu, Saya tengok bola sepak sekarang boleh cari makan.. “Gaji pemain Liga Super Malaysia boleh tahan cikgu! Kalah gaji cikgu…”

Dengan tenang saya jawab : “Amirul (bukan nama sebenar), minat kamu pada bola sepak tidak boleh lawan saya dulu lagi. Dulu saya hafal semua pemain Brazil, Itali, Argentina, Perancis, England malah semua pemain utama kelab ternama seperti Liverpool, Juventus, Manchester United, Totenham Hotspurs, Ipswich Town, Bayern Munich, Hamburg SV, Flamengo dan banyak lagi. Malah jadual waktu sekolah saya pun guna label nama pemain bola..”

Saya sambung lagi… “Saya juga pernah jadi kapten bola sepak sekolah dan mewakili sekolah & zon sejak usia 11 tahun. Naik sekolah menengah saya wakil sekolah sejak tingkatan 2 dan wakili sehingga bermain untuk daerah Pasir Puteh ke peringkat negeri sehingga tingkatan 5 tahun 1988 hingga tewas 2-3 dalam semi final negeri. Main untuk kampung & team belia Delta FC serta Piala Kambing peringkat kampung juga selalu.

Bukan setakat bola, sepak takraw pun saya pernah dapat naib johan negeri tahun 1986..”

Wah… Cikgu dulu main bola juga? Macam tak percaya…. Jawab budak itu. Habis tu kenapa Cikgu jadi guru, bukan jadi pemain bola?

Dengar sini Amirul (bukan nama sebenar), memang ketika usia remaja kita hanya melihat sesuatu itu hanya di depan mata. Akan tetapi setelah saya tewas dalam semi final bola sepak 1988 bulan April kalau tak silap, saya mula berfikir, sampai bila saya nak terkejar-kejar bola di padang.

Kalau belajar rajin-rajin boleh masuk universiti. Di sana pun boleh main bola, malah gaji pun mungkin lebih mahal. Alhamdulillah, result SPM keluar saya dapat jadi pelajar terbaik di sekolah saya.

Naik tingkatan 6 saya mula fokus pada pelajaran. Bola tinggal sekejap. Tapi masih berjaga malam juga ketika musim Piala Dunia di Itali 1990. Masa tu final Jerman Barat menewaskan Argentina 1-0 hasil jaringan penalti Andres Brehme minit ke-86 setelah Nestor Sensini menjatuhkan Rudi Voller.

Saya tinggal main bola selama setahun. Ambil STPM di SMK Kamil. Alhamdulillah result keluar sekali lagi saya dapat keputusan baik dan akhirnya dapat masuk USM.

Selama di USM, saya belajar ambil kursus Sastera Pendidikan. Dah tahu akan jadi guru. Tapi main bola masih minat. Sempat main wakil Desasiswa Fajar Damai selama tiga tahun sebelum cedera luntut (ACL) masa tahun akhir.

Ketika itulah rasa sudah habis zaman bola saya. Tiga bulan berjalan macam orang cacat. Setahun kemudian saya posting jadi guru di Sarawak. Masa itulah saya lebih berfikir… Nasib baik saya belajar rajin-rajin, boleh dapat terus kerja jadi guru. Cita-cita nak jadi seperti Maradona, Zico dan Platini dulu hanyalah sekadar angan-angan.

Akhirnya, saya nasihatkan budak itu, awak nak main bola teruskanlah, bukan setakat wakil sekolah, tapi biar sampai wakil universiti Malaysia. Maksudnya perlu seimbangkan bola sepak dengan pelajaran. Amalan agama jangan lupa, solat lima waktu mesti jaga… Kena rajin baca al-Quran.. Utamakan pelajaran… kerana dengan ilmulah martabat kita di sisi Allah akan terjaga. Kalau main bola sekalipun, jika kita berpendidikan, kita akan bermain menggunakan akal, bukan main sekadar guna tenaga.

Akhir kata, Majulah Sukan Untuk Negara. Terima kasih kerana sanggup membaca sampai akhir. Sekadar catatan peribadi seorang guru biasa….

Comments

comments