Makin menjadi isu pertelagahan antara guru dan ibubapa murid di media sosial.
Banyak lagi yang saya terbaca komen tentang guru tatkala timbul isu guru dan murid di media sosial. Seperti biasa ibubapa ada pandangannya sendiri, guru-guru pula mempunyai jawapan yang juga memihak pada golongan guru.
Saya harap rakan guru bersabarlah jika dihenyak dengan kenakalan murid. Guru itu tugasnya mendidik. Semua orang tahu.
Apa kaedah sekali pun dalam mengamalkan pedagogi ia tetap bermatlamatkan membantu murid berubah dari tidak tahu kepada tahu, tidak pandai kepada sekurang-kurangnya menguasai asas. Malah mampu berusaha menjadikan murid itu bersifat insan yang positif.
Akhir-akhir ini pertembungan isu antara murid, ibubapa dan guru semakin kerap dibaca di media sosial. Segelintir guru agak ‘kacau jiwanya’ hingga sanggup melaksanakannya hukuman tanpa usul periksa.
Ye kita (guru) bukan maksum. Kita juga pernah khilaf.
Apa kata sebelum menampar, menonjol, meluku, menyekeh, menjentik, mengherdik, memaki, dan pelbagai lagi.. Kita cuba berlapang dada. Kita cuba bertanya dahulu sebelum melulu meluku dahinya.
Kita mendengar dahulu sebelum terus melempang pipinya dan kita bertimbang tara sewajar rasa sebelum kita terus menangkat kaki melayangkan sepak terajang. Dahulukan kewarasan bukan kemarahan.
Selesaikan masalah secara berhemah agar dapat mencari hikmah dan hubungan antara guru, murid dan ibubapa dijalin secara ramah. Bukan sekadar menjinjing ego dengan menuding terus kesilapan yang dilakukan murid hingga menutup ruang untuk mencari keadilan yang mungkin boleh memberi belas ihsan supaya kesilapan dapat diubat dengan kemaafan.
Alaaa… Budak sekarang memang kuat menyetan cikgu! Mungkin itu alasan kita, tapi perlukah kita menjadi iblis bagi menghadapi setan-setan yang dikatakan ini?
Cukuplah kita bersifat air bagi memadamkan api.. Bukan menjadi minyak menyalakan amarah.
Guru-guru rakan komrad yang saya kasihi. Kita memang sangat tertekan. Memang benar kita banyak tugas. Kita keletihan fizikal dan mental.
Dikalangan kita ada yang tersenyum sendirian di bilik guru. Ada dikalangan kita meracau sendirian dibilik guru.. Ada dikalangan yang ketawa mengilai secara tiba-tiba dibilik guru.
Belum lagi jumlah yang diusulkan menerima rawatan kaunseling dan dirujuk ke psikiatris.
Belum lagi yang banyak terkorban dan mengorbankan orang tersayang.
Rumahtangga berpecah berderai kerana suami atau isteri yang komited di sekolah hingga jauh dari pasangan yang berduka lara.
Ibu tertinggal anak dalam kereta hingga hilang jiwanya demi mengejar mesyuarat itu dan ini.
Segala bentuk tugasan perlu diselesaikan hingga kita amat trauma menerima whatsapp dari kiriman seorang ‘boss’, ‘gb’ atau pengetua.
Kita jadi celaru mana satu perlu diselesaikan pengajaran? pemudahcaraan? pengisian data, pengoperasian kurikulum, pentaksiran dan macam – macam yang berada di atas talian.
Akhirnya kita jadi keliru, celaru dan haru biru.. Apatah lagi dihambat dengan kes kes disiplin.
Maka bilamana sabar gagal menyekat rasa geram dan mudahlah tapak tangan melayang dan hinggap di pipi anak murid kesayangan orang dan terbitlah istilah ‘jom berperang’ antara guru dan ibu ayah.
Ini semua ibarat bom jangka yang boleh meletup tiba-tiba.
Kepada pentadbir, pengetua dan guru besar. Berilah ruang untuk mendekati isihati guru-guru ini. Rasailah keletihan mereka. Jangan dibeban dengan kerja lebih masa tanpa dibayar dengan ucapan terima kasih.
Lihatlah guru – guru anda yang komited petang, senja malah malam melaksanakan tugas atas arahan tuan guru besar. Apakah mereka ini tidak punya anak anak dirumah?
Adakah mereka tidak punya suami dan isteri yang menanti?
Jangan ego dengan istilah… Murid itu client cikgu.. Kalau mereka tak pandai HARAM gaji cikgu. (saya pernah dengar ada pgb berkata begini).
Tuan pentadbir yang mulia. (meskipun kemuliaan mutlak hanya milik Allah) kerajaan membayar gaji kepada guru sekadar masa yang sudah ditetapkan. Mereka sudah mengajar dengan sehabis baik. Jika ada yang mengajar kelas petang dan malam di sekolah. MAKA ANDA SEBAGAI PENTADBIR WAJIB HORMAT PADA GURU-GURU INI KERANA SANGGUP BERKORBAN DEMI KEJAYAAN SEKOLAH. KEHADIRAN MEREKA KERANA DEMI KECEMERLANGAN SEKOLAH BUKAN SEBAB TAKUT PADA ARAHAN ANDA.
Maka jangan lah lokek senyum, janganlah lokek memuji. Rajin-rajinlah menaip..Syabas.. Anda guru hebat… Tahniah saya bangga dengan cikgu… Bagus teruskan usaha..didalam group whatapps.
Atau menghantar 👍 dalam whatapps daripada senyap membisu.
Sesekali bimbinglah guru-guru anda dalam sesi bina pasukan. Lakukan penuh rasa kekeluargaan.
Adakan kem motivasi guru supaya guru rasa kerja mendidik ini adalah kerja berpasukan. Bukan kerja..lone ranger. Terbinanya sekolah cemerlang adalah dari rasa ikhlas dan gembira bila bekerja.
Banyak sekolah hebat di negara ini mempunyai PGB yang menyantuni guru-guru nya. Budaya berpuak-puak di kalangn guru dapat dikikis secara tak langsung akan menghilangkan golongan pengipas, penjilat dan pengampu di kalangan sesetengah guru tehadap guru besar.
Hargailah mereka dan pandulah mereka supaya menjadi guru yang ceria, gembira dan ghairah menjadi seorang pendidik.
Akhir kalam saya doakan rakan komrad saya terus tabah dan sabar dalam memikul tanggung jawab yang orang awam tak faham dengan beratnya bebanan kita.
Hidup kita hidup berbakti