9 Cadangan Buat YB Menteri Pendidikan Yang Baharu

Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat yang berhormat Menteri Pendidikan yang baharu.

Tahniah dan syabas atas kejayaan yang berhormat serta kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya menerajui pemerintahan negara. Tahniah juga kepada Yang Berhormat kerana dilantik menjadi menteri pendidikan.

Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis hasrat saya dan mungkin sebilangan komrad guru yang merupakan tunjang utama dalam membentuk kemenjadian warganegara Malaysia sejak seawal 5 tahun lagi (pra sekolah 5 tahun) hinggalah tamat tingkatan enam.

1.Tumpuan core bussines kami iaitu mengajar

Yang berhormat, kami komrad guru kadangkala bagai kehilangan arahtuju bilamana tidak dapat memberi tumpuan terhadap core bussines kami iaitu mengajar. Tugas-tugas pengkeranian seperti mengisi data dan menyiapkan laporan jelas menghambat kami sehingga terpaksa mengorbankan penumpuan kami untuk mengajar di kelas.

Itu belum lagi tugasan yang dibuat diluar waktu kerja seperti mengisi pemarkahan SAPS dan kerja kerja atas talian yang lain. Kami berharap selepas ini pihak kementerian boleh memberikan kami ruang dan masa yang lebih untuk memberi fokus terhadap pengajaran di dalam kelas.

Saya pasti Yang Berhormat Menteri pasti mempunyai dasar, visi dan misi yang lebih baik dalam memperbaiki sistem pendidikan di negara kita, namun saya berharap agar keperluan golongan guru turut mendapat perhatian khusus daripada yang berhormat.

2. Kandungan kurikulum dikaji semula

Melihat realiti semasa dunia pendidikan di negara sekarang kami terpaksa mengejar kehendak fasa dalam pelan induk pembangunan pendidikan. Walaupun ada di antaranya agak baik seperti perlaksanaan Pendidikan Abad Ke 21 namun kandungan kurikulum terutamanya diperingkat rendah boleh lah dikaji semula.

Melihat anak-anak seawal Tahun 1 terpaksa menyelesaikan soalan kemahiran berfikir aras tinggi merupakan satu perkara yang agak janggal bagi kami warga pendidik. Adalah dicadangkan pada 3 tahun pertama persekolahan (darjah 1 hingga 3) penekanan kemahiran menguasai literasi dan numerasi diberikan keutamaan. Pendidikan tahap ini boleh menggunakan elemen didik hibur dan pembelajaran kolaborasi bagi memupuk nilai kerjasama dikalangan murid murid.

Saya mohon juga agar aras buku teks sekolah rendah dipermudahkan untuk kemudahan murid-murid peringkat rendah mendapat kefahaman yang lebih baik.

3. Campur tangan kementerian lain & subjek-subjek elektif

Saya juga memohon agar menteri pelajaran tidak lagi membiarkan kementerian lain mencampuri dasar pelajaran dengan melaksanakan subjek-subjek elektif yang boleh dibuat secara rentas kurikulum tetapi mahukan subjek khusus.

Contohnya kementerian alam sekitar mahukan subjek alam sekitar, kementerian belia dan sukan pula mahukan subjek e-sukan diajar di sekolah (contoh sahaja.. Mungkin tak pernah berlaku di Malaysia tetapi mungkin di kepulauan pasifik lain agaknya mohon maaf jika tersilap).

4. Sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak

Selain itu mohon agar yang berhormat memberi tumpuan lebih terhadap sekolah-sekolah luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak dimana fasilitinya banyak yang kurang.

Kalau di Sarawak kami sangat bernasib baik kerana kerajaan negeri Sarawak sanggup memberikan peruntukan 1billion ringgit untuk tambah baik sekolah.. Namun bagi sekolah sekolah di Sarawak ini yang terletak di pendalaman dan hulu-hulu sungai sangat daif dan perlu dibantu.

5. Keutamaan mengisi jawatan guru

Saya berharap agar peluang bagi anak-anak Sarawak sendiri terutamanya dari kaum-kaum bumiputera diberi keutamaan mengisi jawatan guru agar boleh kembali berkhidmat di kampung halaman masing masing.

6. Tidak menutup sebilangan IPG

Selain itu saya mohon juga agar yang berhormat tidak menutup sebilangan IPG di negara yang bakal ditukar fungsi menjadi kolej vokesional dan pusat permata. Tambahan pula di Sarawak dan Sabah sangat memerlukan IPG ini dikekalkan.

7. Jawatan pembantu guru diwujudkan

Saya juga berharap agar jawatan pembantu guru turut diperkenalkan bagi membantu kerja kerja mengemaskini data data APDM,SSDM,E Operasi dan macam macam lagi yang selama ini dipikul oleh guru.

8. Sambutan Hari Guru

Saya mohon agar sambutan hari guru diselaraskan dengan aktiviti yang melibatkan korporat dan pihak ibubapa dan komuniti untuk menghargai pengorbanan kami. Sedih juga bila kami membayar yuran untuk sambutan hari guru untuk menyambut hari kami sendiri.

9. Bebas – kepentingan politik kepartian

Dan yang terakhir mungkin pihak yang berhormat boleh mengawal selia guru besar, pengetua, pegawai-pegawai di jabatan dan pejabat pendidikan daerah atau negeri agar tidak terlibat (bebas) dengan mana-mana kepentingan politik kepartian.

Mungkin banyak lagi hasrat dari rakan guru-guru yang lain namun bagi saya hanya ini yang dapat saya luahkan kepada Yang Berhormat.

Comments

comments