Di Tangga Saran mengapai awan
Udaranya dingin sejuk mengigit
Asalnya dari pulau Labuan
Kini berkhidmat di bumi Kanowit
Cikgu Intan Jamala binti Maarop yang baru menginjak 27 tahun bukan sekadar guru di SK Nanga Jih Kanowit tetapi gadis kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini mempunyai minat yang agak ekstrem iaitu mendaki gunung dan hiking.
“Masa di IPG Kent Tuaran Sabah saya sering mengikuti aktiviti luar yang dianjurkan oleh rakan-rakan dari Opsyen Pengajian Sosial. Akhirnya saya turut terpaut untuk mendaki gunung Kinabalu.”
“Pada awalnya saya ingat ini kali terakhir saya mendaki, rupanya pada tahun berikutnya saya berjaya ke puncak Kinabalu buat kali kedua”
“Akhirnya aktiviti mendaki mula menjadi minat bagi saya” kata Intan bila ditanya bagaimana boleh menceburkan diri dalam aktiviti lasak ini.
Menjadi guru di Kanowit Sarawak membuatnya mencari peluang untuk menawan bukit dan gunung di negeri ini.
“Saya pernah mendaki Bukit Sadok di Betong, Gunung Kanyi di Sematan, Gunung Tangga Saran di Engkilili dan Gunung Lesung di Pantu”.
“Gunung Lesung merupakan gunung yang paling digemari oleh saya, kerana ia mencabar dan puncaknya yang rata membuatkan gunung ini sangat unik” jelas Intan lagi.
Antara impian guru comel ini ialah menawan Big 5 Borneo iaitu Kinabalu, Trusmadi, Tambuyukon, Murud dan Mulu.
Empat daripada gunung tersebut sudah ditawan, hanya tinggal gunung Mulu sahaja yang belum dicuba.
Cikgu Intan turut gembira menabur bakti mendidik anak-anak Iban di Nanga Jih Kanowit.
Antara peristiwa lucu ialah dia terpaksa belajar menyembelih ayam semasa Pengeramii Skul PIBG. 10 ekor ayam disembelih olehnya yang sebelum ini tak pernah menyembelih ayam.
Cikgu Intan berpendapat Sarawak sangat indah dan kaya dengan flora dan fauna serta masyarakatnya begitu berwarna dengan budaya dan adat yang diwakili pelbagai suku kaum dapat hidup harmoni.
Err.. Cikgu dah kahwin ke? Bila ditanya soalan ini, cikgu Intan tertunduk malu dan berkata.. Hmmm jodoh saya mungkin masih di gunung agaknya.