
Assalamualaikum sahabat semua.. Hmm lama tak menulis. Bukan apa cuma ilham kadang-kadang muncul tapi semangat pula yang hilang.
Semalam saya melihat budak-budak yang berada di taman tapi ditangan ada gajet. Bila ziarah sepupu dan ipar duai, anak mereka main gajet. Hmm tu anak orang. Anak saya pun sama.. Mobile lagend lah pubg lah.
Terkenang saya pada zaman dahulu. Rindu pula menikmati waktu petang yang santai sambil mendengar riuh anak-anak muda bermain guli, konda kondi, roundes, teng teng, biji getah dan lastik getah.
Semua permainan itu lebih bersifat realistik berbanding permainan masa kini yang mana terlalu hanyut dengan simulasi maya.
Kadang-kadang saya mula rasa risau jika permainan lama ini akan pupus ditelan arus.
Tak percaya? Berikan beberapa biji guli dan minta mereka main. Pasti mereka terpinga-pinga.
Malah lebih teruk jika ada yang bertanya. Papa ini apa ye? Bila kita hulurkan guli.
Hmm disini saya ingin himbau kembali beberapa jenis permainan yang dahulunya dimain oleh kita yang sekarang ini sudah jadi bapa atau datuk.
1. Guli
Ada dua jenis permainan guli yang sering dimainkan waktu dulu.
Pertama guli pitek atau guli pangkah. Di Sabah mungkin dipanggil Gurah kalau tak salah saya.
Guli yang digunakan juga diperbuat dari batu yang padat (solid stone) berwarna putih bersaiz besar.
Cara bermain ialah dengan membuat lubang ditengah dan memangkah guli lawan supaya masuk dalam lubang. Jika masuk maka guli itu milik sipemangkah. Paling brutal jika guli yang dipangkah pecah berderai…
Kedua main guli biasa (guli yang bersaiz kecil dan dibuat dari kaca). Antara permainan guli ini ialah main lesen. Garisan bulatan dibuat diatas permukaan tanah atau pasir.
Untuk mendapat lesen maka guli yang dipangkah dengan guli yang memangkah mesti keluar dari bulatan. Jika keluar maka dapatlah lesen. Dan menjadi orang pertama memangkah guli dalam bulatan keluar dan menjadi miliknya.
Kalau guli yang dipangkah keluar tapi guli yg memangkah stuck maka terpaksa kita tinggalkan guli tadi dalam garisan untuk dipangkah orang lain. 🤣🤣🤣🤣
Siapa yang bertuah cukup bermodalkan 5 biji guli maka dia pulang membawa satu plastik guli.
Main guli ini memerlukan kordinasi tangan dan mata yang baik untuk membuat tuju atau pangkah yang tepat. Guli yang menjadi pemangkah digelar gundu. Biasa gundu ni ditiup (ntah tak tahu pasal apa) sebelum memangkah sasaran.
2. Main Biji Getah.
Permainan ini juga hampir dilupai oleh generasi baru. Walaupun budak kampung kerana teknologi kini sudah menembusi pelusuk kampung.
Dahulu main biji getah ini akan dimainkan selepas pokok getah menghasilkan buah dan menyebarkan buah getah di tanah.
Zaman saya kanak-kanak dahulu akan mencari buah getah ini. Bagi kami buah getah ini akan kami jadikan permainan.
Buah getah (atau kami panggil biji getah) dikumpul sampai penuh poket. Lepas tu kami akan lagakan buah getah itu dengan buah getah lawan. Buah dilintang selari dengan buah lawan. Kemudian dihentak oleh pemain pertama. Jika nasibnya baik buah yang dihentak akan pecah oleh buah lawan.
Buah yang kuat juga di panggil gundu (tak tahu apasal yg kuat kuat dipanggil gundu di Perak ni🤣).
Ciri-ciri gundu ialah urat ditengah buah timbul. Tapi kadang kala ada juga yang menipu dengan meng’upgrade’kan gundu mereka dengan cara meletak serbuk simen didalam buah yang ditebuk.
3. Permainan Konda Kondi
Permainan ini popular di nusantara. Malah permainan ini sangat bagus untuk belajar mengira.
Permainan ini hanya memerlukan lebih dari seorang pemain. 2 batang kayu (1 kayu panjang 1 kayu pendek) dan sebuah lubang yang digali.
Cara permainan ialah lubang yang digali akan diletakkan kayu pendek diatasnya. Kayu panjang pula akan menyungkit kayu pendek hingga melantun jauh. Kiraan jauh adalah mengikut panjang kayu pendek dari tempat ia jatuh hingga ke lubang. Yang terbanyak kiraan akan dikira menang.
Di situlah anak anak kampung belajar mengira sambil bermain. Nampaknya unsur didik hibur sudah ada semasa zaman 60 an lagi.
4. Sepak bulu ayam
Main sepak bulu ayam antara permainan yang sangat popular bagi kanak-kanak yang mula bertatih menimbang bola takraw.
Permainan ini boleh dimain seorang dan boleh dimain berdua atau lebih.
Timbangan dibuat seberapa banyak yang boleh. Pemenang ialah mereka yang paling banyak menimbang bulu ayam.
Bulu ayam ini dibuat menggunakan 3 helai bulu ayam yang diikat pada paku yang sudah dilapik dengan 4 lapis getah basikal yang dipotong bulat.
Yang tak bestnya kalau kalah maka betis kita akan jadi mangsa balingan bulu ayam ini. Huhu bisaaaa
5. Galah panjang
Galah panjang merupakan satu permainan yang amat digemari semasa kanak-kanak. Waktu itu rumah-rumah Melayu banyak yang bertiang tinggi. Lebih mudah dijadikan zon untuk bermain galah panjang.
Permainan ini juga terkenal di nusantara malah turut dimainkan di Thailand dan kampuchea.
Tidak menggunakan banyak bahan, cukup sekadar bermain di bawah rumah bertiang, kalau di sekolah gelanggang takraw atau badminton sudah memadai. Andai terlalu sesak ada yang bermain di bawah susur gajah.
Yang penting ada tiang atau garisan untuk menentukan zon.
Biasanya dimainkan secara pasukan. Pasukan dibuat secara undi kalau di Perak dahulu dipanggil UTI. 2 pasukan yang bermain ini terdiri dari dua posisi. 1 pasukan penyerang dan 1 pasukan pertahanan.
Pasukan penyerang akan mengatur straregi untuk mencelah masuk zon pertahanan. Jika terdapat 5 zon maka penyerang mesti mampu menembus masuk hingga zon akhir dan dikira pemenang.
Ahli penyerang juga ada yang ‘mati’apabila disentuh oleh ahli pertahanan, semakin banyak penyerang yang ‘mati’ semakin tipis peluang nak menang. Tapi pernah juga berlaku seorang penyerang berjaya menembus zon akhir kerana kelincahan beliau mengelak sentuhan.
Demikianlah 5 jenis permainan lama yang begitu asyik dimainkan oleh kami semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Waktu itu tiada gadjet mahupun televisyen. Jika ada televisyen pun siarannya hanya bermula jam 5 petang. Masa yang banyak digunakan untuk aktiviti fizikal seperti permainan ini.
Semoga permainan ini tidak pupus ketinggalan zaman.
Cikgu Emmet