Certot 1
Shafiq , Baldi dan sebuah kerinduan.
Cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku di sebuah sekolah pesisir Sarawak.
Shafiq (bukan nama sebenar) merupakan murid Tahun 1. Merupakan anak tunggal seorang balu. Bila usia mencapai umur 7 tahun dia dihantar untuk bersekolah di SK Kampung (juga bukan nama sekolah sebenar).
Shafiq terpaksa tinggal di asrama kerana kedudukan rumahnya yang agak jauh di muara dan terpaksa melalui sungai.
Pada awal bulan persekolahan bermula, Shafiq akan mengetuk pintu guru warden asramanya
Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan dari luar.
Gurunya membuka pintu dan melihat Shafiq berdiri tersenyum tanpa baju hanya berseluar pendek dan ditangannya memegang baldi merah.
” Hah! Kenapa kamu datang ni? ” Tanya guru.
” Cikgu.. Kamek maok kelakar dgn mak kamek” ujar Shafiq yang bermaksud ” saya ini bercakap dengan ibu saya.”
Eh! Nanti hari Jumaat mak kamu datanglah.. Kamu cakap lah dengan mak… Ni bawa baldi ni buat apa? Nak mandi pergilah ke bilik air sana! ” kata Cikgunya. Maka melangkah longlailah Shafiq kesedihan sambil mengesat airmata.
Keesokan petangnya Shafiq mengetuk pintu gurunya lagi dan menyatakan hasrat yang sama. Dan kesekian kali juga dia diminta menunggu hingga hari Jumaat. Petang lusa anak kecil itu memegang baldi mengetuk pintu gurunya dan meminta izin untuk bercakap dengan ibunya.
“Hisshh kamu ni Shafiq.. Esok hari Jumaat mak kamu datanglah.. Cakaplah dengan mak kamu. Yang kamu bawa baldi setiap kali jumpa cikgu ni kenapa? ” tanya gurunya sambil mencekak pinggang dan mengetap bibir. Shafiq melihat muka gurunya dengan kening yang melurut.
Mak kamek madah mun maok kelakar dengan mak.. Beri baldi tu dengan cikgu (… Kata kalau nak cakap dengan mak, bagi baldi ni pada cikgu) ujar Shafiq sambil menghulurkan baldi pada gurunya.
“Hah! Iskk kenapa bagi baldi ni pada cikgu? ” Getus gurunya. “Sik tahu.. Mak kamek madah beri jak pada cikgu” balas shafiq sambil mengangkat bahu.
Cikgu pun mengambil baldi tersebut dan kelihatan ada nombor telefon tertera di tepi baldi yang ditulis besar dengan pen marker.
” ini nombor telefon siapa? ” tanya cikgu kepada Shafiq.
” Tak tahu saya…mak cakap bagi je baldi ni pada cikgu” kata murid tahun 1 yang bertubuh kecil dan comel.
Cikgu pun mendail nombor tersebut dan selepas beberapa dering kedengaran suara wanita menjawab panggilan.
“Assalamualaikum puan.. Ni nombor ibu Shafiq ke? Puan ibu Shafiq? ” tanya cikgu bila panggilannya diangkat.
“Ye cikgu.. Saya mak Shafiq.. Kenapa dengan Shafiq cikgu? Dia demam ke? ” terketar ketar suara ibu Shafiq menjawab panggilan.
” Eh tak.. Shafiq nak cakap dengan puan. Dia beri saya baldi tadi” balas cikgunya.
“Ye cikgu.. Saya tulis no telefon saya pada baldi supaya tak hilang. Kalau tulis pada kertas mungkin hilang. Lagipun Shafiq baru belajar dia belum pandai mengenal angka dan huruf. Maafkan anak saya cikgu.. Maafkan anak saya cikgu kalau dia menyusahkan cikgu. ” jelas ibu Shafiq.
” Eh takpa puan… Puan cakap lah dengan Shafiq ye.. ” kata cikgu sambil menghulur telefon pada Shafiq.
” Hello…. ”
” Makkkkkkk…. ”
” Apik rindu makkkk”
” Bila mak nak datang makkk”
Suara sebak Shafiq menerjah suasana yang mula hening…
Tanpa disedari airmata cikgu mengalir laju kerana tak tahan melihat betapa besarnya pengorbanan seorang anak kecil berjauhan dengan ibu tersayang hanya kerana menuntut ilmu di sekolah.
“Shafiq kamu belajar rajin-rajin, jadi orang pandai dan dapat kerja yang baik. Lepas tu kamu jaga mak kamu ye… ” ujar cikgu usai Shafiq bercakap dengan ibunya.
Shafiq yang matanya masih kemerahan mengangguk anggukkan kepala dan beredar.
Selang beberapa langkah Shafiq menoleh…
” Cikgu… Terima kasih bagi kamek cakap dengan mak.. ” ujarnya.
Cikgu menganggukkan kepala. ” Sama-sama.. Nanti kalau ada apa apa pesan beritahu je cikgu. ” balas cikgu.
Demikianlah harga sebuah kerinduan oleh anak kecil ini kepada ibunya demi menuntut ilmu. Ya Allah sayunya hati cikgu melihat tekad seorang anak yang sanggup memikul baldi kosong mencari guru untuk mendapat sedikit peluang bercakap dan mendengar suara ibunya.