Kisah Seram di Sebuah Sekolah di Bintulu : Tulisan Cikgu Malik

Suatu hari pada hari sabtu, pada tahun 2017, saya mendapat panggilan dari sebuah sekolah di bintulu. Menurut guru yang menelefon saya, pada pagi jumaat sebelumnya telah berlaku dua kes kerasukan pada pelajar mereka. Mereka meminta saya untuk datang ke sekolah pada pagi itu juga untuk melihat keadaan sekolah.

Saya minta izin kepada guru berkenaan untuk datang pada tengahari kerana kebetulan pada pagi tersebut saya bersama isteri sedang membawa anak kami ke pertandingan mewarna anjuran sebuah syarikat swasta dan guru berkenaanpun setuju.

Pada tengahari tersebut, selepas solat zohor saya terus berangkat dari rumah menuju ke sekolah berkenaan. Perjalanan lebih kurang mengambil masa 20 minit. Alhamdulillah jalan agak lengang pada tengahari tersebut. berbeza dengan waktu puncak. Mungkin dalam 30-40 minit baru akan sampai ke sekolah berkenaan.

Sesampainya saya di sekolah tersebut, saya hubungi cikgu berkenaan untuk menunggu saya di ruang lobby sekolah. Saya keluar dari kereta dan menuju ke lobby. Kelihatan ada seorang guru perempuan dan seorang guru lelaki di kaki tangga. mungkin menanti kehadiran saya atau mungkin menanti kehadiran orang lain.

Sesampainya saya di kaki lobby tersebut, saya mengucapkan salam kepada cikgu berkenaan.

“Assalamualaikum cikgu.”

“Waalaikum salam. encik nak cari siapa..?” tanya guru perempuan tadi.

“Saya tak cari siapa-siapa tapi mungkin cikgu yang cari saya tadi..” jawab saya sambil berseloroh.

“Encik Ustaz Malik ke?”

“Ya. saya ustaz Malik. tapi saya lebih selesa dipanggil cikgu Malik..”

“Minta maaf ustaz sebab tak cam ustaz.” saya Penolong Kanan 1 kat sekolah ni..” Guru perempuan tersebut memperkenalkan diri.

“Takpe cikgu. bukan masalahpun kalau tak kenal saya.”

Sepanjang saya berbual-bual dengan Penolong Kanan 1, saya rasakan yang saya telah diperhati dari atas ke bawah oleh guru lelaki yang bersama-sama menemani Penolong Kanan 1 menyambut saya di lobby tadi dan asyik memerhati gelagat saya. Dari perwatakan cikgu lelaki itu saya rasakan dia seorang ustaz berdasarkan penampilan beliau.

“Maaf. ustaz apa khabar” Saya menyapa sambil menghulurkan tangan.

“Alhamdulillah sihat..” jawab ustaz tadi.

“Ustaz Malik ke ni..”

Saya rasa macam ade yang tak kena sebab ustaz tersebut mengulangi pertanyaan Penolong Kanan 1 tadi.

“ya ustaz. boleh panggil saya cikgu Malik je..”

“Saya hampir tak cam ustaz Malik sebab ustaz Malik pakai seluar jeans, baju metallica dan ‘cap’ terbalik..” ujar ustaz tadi.

Saya cuma tersenyum sahaja sambil membenarkan apa yang ustaz tadi jelaskan kepada saya.

Ya. itulah kelemahan saya. unsur-unsur rock masih mengalir dan membelenggu dalam diri saya kerana dari kecil lagi saya membesar dengan lagu-lagu dari kumpulan deep purple, aerosmith, kiss, metallica, loudness, earthshaker dan sebagainya.

Setelah itu, saya dibawa berjumpa dengan beberapa orang guru di sekolah berkenaan. Kemudian kami berkumpul di hadapan kantin sekolah. Penolong Kanan 1 tadi telah memberi taklimat kepada kami berkenaan dengan kehadiran dan tujuan saya dijemput datang ke sekolah berkenaan.

Saya mendapat banyak input dari guru-guru berkenaan tentang gelaja histeria yang mula subur di sekolah tersebut. Setelah beberapa ketika, saya dibawa oleh kesemua guru berkenaan untuk mengelilingi sekolah dan pergi ke tempat-tempat yang dikatakan sebagai ‘keras’.

Menurut saya memang keras kerana sekolah berkenaan dibuat dari batu-bata, simen dan besi.

Sebelum memulakan langkah, saya membaca lafaz “bismillahilladzi laa yadurru ma’asmihi syaiun fil ardi wa laa fis sama’ie, wahuwas sami’ul ‘alim..”

Ertinya: “dengan nama allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namanya samada di bumi dan di langit dan dialah maha mendengar dan maha mengetahui..”

Kemudian Penolong Kanan 1, ustaz dan lima orang guru telah diarahkan untuk menemani kami. Kami seramai lapan orang berjalan mengelilingi sekolah tersebut. Menurut pemerhatian saya, ada beberapa kawasan yang berpotensi untuk menjadi tempat tinggal makhluk ini. Mungkin kerana faktor kotor, sunyi dan tidak berpenghuni.

Semasa menuju ke hujung kawasan sekolah berkenaan, di sebuah blok terakhir yang sunyi kami telah berhenti seketika. Dindingnya agak kotor, daun-daun pokok berjuntai hingga ke bawah, bau hanyir dan hancing, sunyi dan sepi.

Nampak pada pandangan mata saya yang guru-guru berkenaan tidak selesa. Mungkin kerana takut. allahu a’lam. Memang kawasan tersebut agak sunyi dan jauh dari kelas-kelas yang lain. rasanya itu blok yang paling hujung dan dalam sekali di sekolah tersebut.

Penolong Kanan 1 yang mulanya diam sahaja tiba-tiba bersuara;

“Ustaz, di sinilah kita menerima aduan yang pelajar kita kerasukan. Seorang menyanyi dan seorang lagi menangis. Kami telah bawa mereka ke hospital untuk rawatan susulan. Alhamdullah mereka telah sedar dan diberi cuti sekolah. ini adalah untuk menggelakkan pelajar lain terganggu.”

“Saya faham cikgu.” balas saya.

Dalam kesunyian dan keheningan suasana ketika itu, saya dapat menangkap suara perempuan sedang menyanyi. Bunyi suaranya agak jauh tetapi seolah-olah dekat betul dari ruang telinga saya. Garau dan lembut tetapi menusuk ke jiwa rasanya.

Entah lagu dan irama apa yang didendangkan sayapun kurang pasti. Tetapi sepertinya suara garau itu diiringi dengan muzik gamelan yang kebiasaannya dimainkan di istana pada zaman dahulu kala, solah-olah lagu tersebut dimainkan oleh puluhan orang. Sangat asyik rasaya kalau mendengar dengan khusyuk.

Pada ketika itu saya rasakan yang kami sedang di kelilingi oleh ramai orang dan susunnan alunan musik yang sangat indah.

“Patutlah pelajar di sini histeria..” bisik saya di dalam hati.

Saya diam untuk beberapa ketika. sekadar untuk kepastian bahawa suara yang saya dengar itu betul-betul suara manusia atau tidak.

Saya memerhati gelagat guru-guru lain, mana tahu mereka juga mendengar apa yang saya dengar. Saya perhatikan setiap wajah guru yang ada di situ, pada awalnya semuanya seolah-olah tidak mendengar suara nyanyian tersebut kecuali ada seorang guru. Saya ingat-ingat lupa nama guru tersebut. Bukan lupa tetapi belum sempat berkenalanpun dengan guru tersebut.

Untuk memudahkan cerita, saya namakan guru tersebut sebagai cikgu Amin. Ini berdasarkan name tag yang cikgu amin sematkan di atas poket baju sebelah kiri kemejanya. Saya perhatikan gelagat cikgu Amin yang cuba menangkap dari mana arah suara tersebut datang.

Sepertinya suara itu semakin lama semakin dekat, semakin lama semakin dekat. saya cuba berserah diri kepada Allah kerana Allah sebaik-baik pelindung.

Suasana ketika itu agak sunyi. Saya tidak tahu apa yang difikirkan oleh cikgu-cikgu lain. Akhirnya saya bersuara. untuk sekadar memecah kesunyian, rasa risau dan rasa ingin tahu.

“Cikgu-cikgu dengar tak apa yang saya dengar? saya mulakan perbualan.

“Kami dengar ustaz. Macam dari arah situ ustaz. Tapi kenapa suara itu semakin dekat dan semakin jelas?” jelas seorang guru di kalangan kami sambil menunjuk ke arah bunyi tersebut.

“Cikgu dengar tak…?” saya bertanya kepada Penolong Kanan 1 tadi.

“Dengar ustaz. Jom kita balik ke pejabat, rasa seram sejuk sekarang ni ustaz. Macam tak dapat nak pijak tanah..”

Kemudian saya menambah; “jom kita balik. nanti kita bincang lagi di sana.”

Saya sempat memerhati gelagat guru-guru yang ada. Jelas risau dan takut. Kemudian saya lihat cikgu Amin tersenyum memandang saya sambil menunjukkan arah bunyi tersebut datang.

“Jom cikgu Amin. esok-esoklah kita datang sini balik.”

Cikgu Amin tersenyum, mengangguk-anggukan kepala sambil berjalan di belakang kami. Kami berjalan dengan agak sedikit laju, mungkin kalau berlari nanti malulah dilihat oleh anak-anak sekolah.

Kalau berlari juga saya pasti Penolong Kanan 1 itulah yang akan tertinggal di belakang nanti. yalah. bukan senang nak melangkah dan melompat kalau menggunakan baju kurung dan kasut high heel diikuti oleh cikgu Amin yang kedua tertinggal di belakang. Mungkin kerana cikgu Amin ini pendek dan gemuk. Kalau berlari maka perut boroi cikgu Aminlah yang akan sampai dulu ke garisan penamat. Saya jadi tersenyum sendiri.

Sesampainya di hadapan pejabat kami semua berhenti. Oerasaan lega terbayang pada semua wajah kami. Saya mula mengira jumlah guru yang ada, takut-takut ada yang tertinggal nanti. Saya mulakan dari diri saya sendiri, Penolong Kanan 1, ustaz dan lima orang guru yang lain.

Saya kira lagi untuk kali yang kedua. Saya, Penolong Kanan 1, ustaz dan lima orang guru. Kesemuanya ada lapan orang. Tetapi kenapa saya rasakan bahawa tadi kami berjumlah sembilan orang.

Saya minta semua cikgu yang bersama-sama kami tadi untuk memeriksa sekali lagi kalau-kalau ada cikgu yang tertinggal. Ternyata hitungannya tetap sama, lapan orang.

Akhirnya saya baru perasan bahawa cikgu Amin tidak ada di kalangan kami. Saya bertanya kepada mereka;

“Di mana cikgu Amin..? kesemua merek memandang saya dan kemudian memandang ke sekeliling sekolah.

“cikgu Amin..?” tanya Penolong Kanan 1.

“iya. cikgu Amin. ntah-ntah masih tertinggal di belakang. jom kita cari..”

kemudian ustaz tadi bersuara: “ustaz Malik. kat sekolah kitorang ni tak ada orang yang namanya cikgu Amin. cikgu Aminah adalah tapi dah transfer balik semenanjung..”

Saya terdiam seketika. kemudian untuk kepastian saya bertanya lagi;

“Betul ke tak ada yang namanya cikgu Amin. badan pendek, gemuk dan pendiam..?”

“Takde cikgu..” ujar ustaz tadi sambil terbersin betul-betul di muka saya. Saya ambil ‘cap’ dan lap ke muka saya.

Ustaz tadi macam tak ada rasa bersalah selepas terbersin ke muka saya. saya reda sahaja..

“Alllahu rabbi..kalau macam tu tadi saya bercakap dengan siapa?” tanya saya penuh kehairanan.

“ntahlah ustaz. itulah yang kami pelik tadi. sebab masa kita berada di blok paling hujung tadi saya nampak ustaz bercakap sorang-sorang..” jelas salah seorang cikgu yang bersama kami tadi.

“Mana ada saya bercakap sorang-sorang. Saya bercakap dengan cikgu Amin. Tapi cikgu Amin tak jawab dan cuma tersenyum sahaja. lepas tu…”

Kemudian saya diam. saya mula terfikir akan kewujudan cikgu Amin tadi..

‘hmmmm…..”

Saya masih lagi terdiam. Patutlah cikgu Amin tidak bercakap dan cuma tersenyum sahaja. Lagi satu yang saya perasan, semua cikgu yang mengikuti kami tadi tiada seorangpun yang bercakap dengan cikgu Amin dan seolah-olah mereka tidak nampak akan kewujudan cikgu amin.

“Cikgu-cikgu semua tak nampak ke cikgu Amin tu tadi? Saya mintak kepastian buat kali yang terakhir.

“Takda cikgu. kami tak nampak.” jawab ustaz tadi. yang lain mengangguk tanda setuju.

“oklah kalau begitu.” jawab saya.

Setelah itu saya mengambil keputusan untuk balik ke rumah. Saya berjanji kepada Penolong Kanan 1 untuk datang lagi pada masa yang lain untuk urusan solat hajat dan berikhtiar untuk menghilangkan gangguan di sekolah tersebut.

Dari kejauhan saya memerhati blok paling hujung tempat kami berhenti tadi, mata saya ternampak kelibat cikgu Amin dari kejauhan. Cikgu Amin berjalan di blok tersebut sambil memandang kami lalu tersenyum dan masuk ke dalam kelas tetapi bukan masuk melalui pintu kelas tetapi masuk melalui dinding batu.

“Astaghfirullahal ‘azim..” saya mengucap panjang.

“Kenapa cikgu..? tanya ustaz tadi.

“Tak ada apa-apa ustaz. Cuma mata agak penat”

“oklah. Cikgu balik dan rehatlah kat rumah lepas ni..” jelas ustaz tadi sambil memegang bahu saya.

Penolong Kanan 1 dan ustaz mengiringi saya hingga ke lobby sekolah. Saya bersalaman dengan guru-guru lain yang bersama kami tadi dan mereka meminta diri untuk meneruskan tugas mereka.

Sebelum naik masuk ke kereta ustaz memegang bahu saya sambil berkata;

“Saya nampak juga cikgu Amin tadi cikgu. cuma saya tak nak bagitahu yang lain. Saya risau mereka takut dan bertempiaran lari. Kalau dah lari semua sayalah yang paling lambat sampai sebab saya semput.” bisik ustaz tadi sambil dengan nada bergurau. Saya cuma tersenyum.

“Apa-apapun Alhamdulillah ustaz. Ini mungkin pengalaman spiritual yang Allah bagi untuk kita. Insyaallah lepas ni tak ada lagilah kita nampak cikgu Amin tu.” sambung ustaz tadi.

“Insyaallah ustaz. assalamualaikum..” jawab saya ringkas sambil memberi salam.

“Waalaikum salam..”

Sepanjang perjalanan balik saya terfikir tentang cikgu Amin tadi. Kemudian melayan fikiran sambil mendengar lagu deep purlpe, soldier of fortune.

Dua minggu kemudian saya dan beberapa orang rakan mengadakan solat hajat dan bacaan surah al baqarah sebagai ikhtiar untuk menggelakkan gangguan histeria berulang lagi.

Ketika itu saya jelaskan kepada guru-guru bahawa tidak ada jaminan yang kes histeria ini tidak akan berlaku lagi. Terserah kepada guru di sekolah tersebut untuk mewujudkan suasana Islami dan memanfaatan segala ruang dan bilik di sekolah tersebut bagi menggelakkan ada bilik kosong yang ditinggalkan untuk didiami jin.

Beberapa bulan yang lepas saya datang ke sekolah ini lagi untuk menghadiri sebuah mesyuarat. Blok paling hujung tersebut saya perhatikan telah berubah, bersih, kemas, berpenghuni dan tiada lagi daun-daun yang berjuntai.

Saya mengambil keputusan untuk tidak pergi ke situ. Risau juga kalau berjumpa lagi dengan cikgu Amin. Takut-takut cikgu Amin nak ajak saya lepak di kantin sekolah mereka.

Namun kisah cikgu Amin masih lagi belum terjawab hingga kini. Semoga saya tidak akan berjumpa lagi dengan cikgu amin sampai bila-bila. Lindungilah kami ya allah..

Allahu a’lam

kung pow arena

Comments

comments