Peristiwa Gangguan di Rumah Tanjung Batu Bintulu: Pengalaman Seram Cikgu Malik

Peristiwa ini berlaku dalam tahun 2006 kalau tidak silap saya. Kerana pada waktu tersebut saya mengajar di SMK Baru Bintulu sebagai guru sandaran dan mengajar pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan PJ.

Kebetulan pada tahun penghujung 2005 saya baru sahaja balik ke Bintulu Sarawak setelah berkelana selama lebih kurang empat bulan di Segamat Johor.

Pada asalnya saya dihantar oleh Pertubuhan Dakwah Islamiyah (HIKMAH) Bintulu untuk mengikuti kursus ‘Madrasatul Hayah’ anjuran Kersani Training Centre selama sebulan.Selepas itu saya ditawarkan bekerja menjadi Outreach Executive Officer.

Saya cuma bertahan selama tiga bulan sahaja kerana selepas itu saya terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja disebabkan komitmen kepada keluarga di Bintulu.

Allahyarham ayah saya masih hidup ketika itu dan sedang sakit yang memerlukan kami adik-beradik untuk sentiasa dekat bersama orang tua.

Akhirnya setelah berbincang dengan Pak Long dan Mak Long, iaitu Managing Director, KERSANI Training & Consultancy di Segamat Johor, akhirnya saya berhenti kerja walaupun perasaan sayang kepada Kersani ini masih subur dan mekar di hati saya dan susah untuk meninggalkan sahabat baik saya iaitu Ustaz Ahmad Kamaluddin dan Hakim. Saya masih berhubung lagi dengan Ustaz Ahmad tetapi Hakim saya masih lagi mencari-cari hingga kini.

Berbalik kepada cerita saya tadi. Suatu ketika pada tahun 2006 saya didatangi oleh seorang pengurus sebuah syarikat kontraktor di Kidurong. Dia telah menyewa sebuah rumah di sekitar Tanjung Batu.

“Assalamualakum Ustaz. Saya Tuan Haji Yusuf. Sibuk tak? Saya ada nak mintak tolong ustaz. Ade hal mustahak nak mintak tolong ustaz sekarang.”

“Waalaikumsalam bang aji. Saya masih lagi merawat pesakit sekarang. Insyaallah lepas tu free. Ade nak mintak tolong ape bang?” Tanya saya.

Ketika itu kami masih lagi melakukan rawatan di rumah ibu saya di R.P.R Sebiew Bintulu.

“Begini ustaz. Sebenarnya saya ada mesyuarat tadi. Lepas tu balik ke pejabat. Kebetulan hp saya tinggalkan di atas meja. Kemudian saya tengok ade lebih 70 kali miss call dari isteri saya. Lepas tu saya call balik isteri saya ustaz. Dia dan anak-anak kami sedang menangis ketakutan di rumah. Lepas tu saya balik ke rumah. Saya tercari isteri dan anak-anak saya. Rupa-rupanya mereka bersembunyi di stor belakang dapur.”

Tuan Haji Yusuf memandang tepat ke arah mata saya. Kemudian merenung ke bawah. Jauh betul padangannya. Dahi Tuan Haji Yusuf kelihatan berkerut. Kerana memikirkan masalah yang dihadapinya.

“Lepas tu Bang Aji? Apa yang berlaku? Tanya saya.

“Isteri saya menangis teresak-esak. Dia bagitau yang dia dan anak-anak telah diganggu oleh hantu.”

“Macamana rupa hantu tu Bang Aji?”

“Ntahlah. Isteri saya bagitau tadi mereka anak beranak ternampak sesuatu yang berbungkus seperti pocong. Lepas tu macam Pontianak..”

Saya terdiam sejenak. Begitu juga Tuan Haji Yusuf. Hening seketika suasana. Saya teringat kembali semasa kami awal-awal belajar ruqyah pada tahun 2002 di Surabaya Indonesia bermasa-sama kawan dari Madrasah Al Quran Kampung Baru Bintulu.

Pada tahun 2000 kami dihantar oleh Ustaz Ali Fathullah Harun untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Institut Agama Islam Negeri Sunan Ampel. Sekarang telah bertukar menjadi Universiti Islam Negeri Sunan Ampel.

Saya masih lagik teringat akan pesan seorang ustaz yang mengajar kami ilmu Ruqyah Syar’iyyah ini.

“Kita wajib percaya bahawa di dalam Islam itu syaitan dan jin itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar kita manusia.”

Kemudian saya teringat akan firman Allah yang berbunyi;

“Sesungguhnya ia (syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al A’raf: 27)

Dan Al Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan;

“Bahwa syaitan terkadang menjelma dengan pelbagai bentuk sehingga memungkinkan (manusia) melihatnya. Dan firman Allah, “Sesungguhnya ia (syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka (Al A’raf: 27)”, dikhususkan jika pada bentuknya (yang asli) yang Allah telah ciptakan. (Rujuk Kitab Fathul Bari, hadis no. 2311)

Saya jelaskan kepada Tuan Haji Yusuf bahawa yang menganggu itu adalah syaitan kalau ia benar-benar wujud serta menganggu keluarga Tuan Haji Yusuf dan apa-apapun jenisnya sama ada ianya pocong, toyol, pontianak, langsuir dan yang lain-lain ianya tetap syaitan yang telah mengubah bentuk asal mereka sehingga dengan izin Allah boleh dilihat dengan mata kasar kita manusia.

“Di mana isteri dan anak-anak Bang Aji sekarang?”

“Ada bersama saya sekarang ustaz di dalam kereta.”

“Oklah Bang Aji. Bang Aji tunggu dulu. Sementara tu bacalah ayat-ayat Al Quran untuk memenangkan jiwa.” Insyaallah selepas habis rawatan nanti saya akan berjumpa dengan Bang Aji ok?

Tuan Haji Yusuf kelihatan sugul dan cuma mampu menganggukkan kepalanya.

“Baiklah ustaz. Saya temankan isteri dan anak-anak di kereta dulu.”

“Silakan Bang Aji.”

Setelah beberapa ketika, selepas habis melakukan rawatan di rumah ibu saya, saya meminta izin kepada ibu untuk pergi ke rumah Tuan Haji Yusuf. Saya mengikut dari arah belakang kereta Tuan Haji Yusuf dengan menggunakan motosikal Honda EX5 yang baru ibu belikan kepada saya.

Mungkin pelajar-pelajar di SMK Baru Tahun 2006-2007 masih ingat lagi akan motosikal saya kerana di hadapan motosikal saya saya letakkan satu tengkorak ‘steel’ kecil yang cantik ukuran sebesar tapak tangan yang saya belikan di Kuching semasa mengikuti temuduga sebagai pensyarah di UITM Kota Samarahan.

Alhamdulillah saya tidak terpilih menjadi pensyarah. Bukan rezeki saya. Kerana ketika itu saya terpaksa bersaing dengan empat hingga lima lagi orang ustaz dan ustazah yang mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun mengajar. Hampir semua mereka memiliki Master. Ada yang mempunyai dua ijazah sekaligus dan semua mereka petah berbahasa Arab dan Inggeris.

Sedangkan hingga sekarang pengalaman saya saya cuma pernah mengajar Bahasa Inggeris di kelas Tahun 4 selama tiga bulan di SK Kampung Jepak. Itupun setelah beberapa tahun kemudian. Itu kisah saya semasa tahun 2006.

Setelah sampai di perkarangan rumah Tuan Haji Yusuf, saya matikan enjin motosikal saya. Sementara menanti Tuan Haji Yusuf membuka pagar memerhati sekeliling rumah Tuan Haji Yusuf. Cuma ada beberapa rumah di sekitar situ.

Rumah Tuan Haji Yusuf pula adalah rumah dua tingkat dan paling hujung. Di sebelah rumah Tuan Haji Yusuf cumalah belukar dan rimbunan pohon-pohon ara yang akarnya menjalar hingga ke pagar rumah mereka.

Pohon ara ini sering saya jumpa di sekitar Bandar Bintulu dan ditanam dengan cantik. Dulu pokok spesies ini terdapat banyak di market ikan di pasar lama dan di sekitar hospital lama di muara sungai Bintulu.

Sekarang Hospital Bintulu telahpun berpindah ke tapak baru di Bukit Nyabau. Cuma pohon ara ini susah dijaga kerana akarnya yang mampu merosak jalan dan jubin-jubin rumah serta lantai-lantai simen.

Saya perhatikan rumah Tuan Haji Yusuf bermula dari tingkat bawah rumah mereka. Kemudian saya memandang ke arah tingkat atas. Ketika itu saya rasakan ada seseorang yang memerhati saya dari celah-celah tingkap di bilik atas. Saya perhatikan dengan tekun. Orang tersebut sepertinya memerhati gerak geri kami.

Kelihatannya seperti seorang perempuan tua, berambut panjang tetapi berserabut. Kemudian memandang tajam ke arah saya. Saya lambaikan tangan saya ke arah perempuan tersebut. Saya melambaikan tangan bukan kerana saya berani. Bukan kerana saya riak. Na’udzubillah. Tetapi ini salah satu cara saya untuk melawan rasa takut yang menguasai diri.

Nasib baik Tuan Haji Yusuf dan keluarga tidak memerhati apa yang saya lakukan kerana mereka sedang sibuk memujuk anak bongsu mereka untuk masuk ke dalam rumah. Selepas berjaya memujuk anak mereka, kami semua masuk ke dalam rumah.

“Assalamualaikum..” Saya memberi salam.

“Takde orang di dalam rumah ustaz.”

“Takpe Bang Aji. Dalam Islam kita disyariatkan untuk memberi salam ketika masuk ke dalam rumah walaupun tiada orang.”

Tuan Haji Yusuf memandang saya sambil memegang tangan anak-anaknya. Anak Tuan Haji Yusuf ada tiga orang semuanya. Yang pertama adalah lelaki dan lepasan SPM. Ketika itu sedang mengunggu tawaran masuk ke Universiti. Anak kedua perempuan masih di tingkatan 5 dan menuntut di SMK Bandar Bintulu dan yang ketiga anak lelaki yang bersekolah di SK St Anthony dalam tahun 5.

Jelas kelihatan mereka semua sedang di dalam ketakutan. Begitu juga dengan isteri Tuan Haji Yusuf iaitu Hajah Latifah. Nampak bingung dan bercelaru. Walaupun sesekali menampakkan wajah tenang di hadapan anak-anaknya.

Mungkin risau dengan apa yang telah mereka lalui sebeelum ini. Mungkin juga pasrah kerana tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.

Saya mula masuk ke ruang tamu. Mereka semua mengikuti ke mana sahaja saya pergi ketika itu. Untuk menghilangkan rasa takut pada diri mereka dan juga pada diri saya, saya membaca Surah Kursi sebagai pelindung diri. Sesekali saya selitkan juga lagu ‘Shes Gone’ nyanyian Kumpulan Steelheart.

Kerana secara psikologinya saya tidak mahu menampakkan perasaan takut dan risau saya walaupun kerisauan mereka lebih mendalam lagi.

Saya kemudiaanya masuk ke dalam dapur. Kelihatannya agak berselerak. Seperti dibuang orang. Saya yakin ini bukan perbuatan dari keluarga Tuan Haji Yusuf. Kerana caranya seleraknya agak berlainan pada pandangan mata saya.

Saya amati satu persatu. Di hujung sebelah dapur saya perhatikan seakan-akan ada orang yang memerhati. Saya berjalan pergi ke arah tersebut sambil mulut terkumat-kamit membaca Surah 3 Qul. Sesampainya di hujung dapur saya selak di kawasan tersebut.

“Alhamdullah. Takde orang Bang Aji. Bang Aji tak yah risau.”

“OK ustaz.” Jawab Tuan Haji Yusuf.

“Jom kita pergi ke ruang tamu Bang Aji.”

Tidak ada jawapan dari Tuan Haji Yusuf.

“Jom bang kita ke depan..”

Krik…krik…krik…

Saya mula merasakan ada sesuatu yang tak kena. Saya berpusing dan sekali lagi mengajak Tuan Haji Yusuf untuk pergi ke ruang tamu.

“Bang Aji jom kita…”

Krik…krik…krik…

Saya memandang ke sekeliling dapur. Ternyata Tuan Haji Yusuf tiada di situ.

“Allahu rabbi.”

Saya memanjangkan langkah pergi ke ruang tamu sambil memikirkan siapa yang bersama dengan saya di dapur tadi. Semasa melangkah menuju ke ruang tamu di hadapan saya saya akan redah apa sahaja yang tersentuh oleh kaki. Gung Gung Gung Gang sahaja bunyinya. Saya peduli apa. Asalkan dapat keluar dulu dari dapur. Kerana ketika itu saya rasakan yang saya sedang diekori.

Saya juga merasa pelik kerana saya cuma terlanggar sekali sahaja barang di dapur. Iaitu bekas plastik segi empat berwarna biru. Mungkin bekas tempat untuk meletakkan nasi. Kerana ketika teranggar bekas plastik tersebut saya nampak ada nasi yang jatuh berselerak.

Walaupun cuma sekali sahaja terlanggar barang-barang dapur, barang-barang lain di atas lantaipun bergerak juga. Seperti ditendang oleh sesuatu.

Semasa di ruang tamu Tuan Haji Yusuf memandang saya. Seolah-olah terkejut. Isteri dan anak-anaknya berpelukan.

“Macaman ustaz boleh keluar ikut jalan dapur?”

“Saya tak paham Bang Aji..?

“Kan Ustaz mintak izin tadi nak naik ke tingkat atas. Lepas tu tiba-tiba ustaz keluar dari dapur. Saya dari tadi tertunggu-tunggu ustaz untuk turun ke bawah. Tapi kami pelik bila terdengar seolah-olah suara ustaz sedang bercerita dan ketawa masa kat atas tadi. Lepas tu terdengar macam suara perempuan. Ustaz cerita dengan siapa tadi..?”

Saya terdiam. Bila masa pulak saya naik ke atas. Sedangkan lepas masuk ke rumah Tuan Haji Yusuf tadi, saya ke ruang tamu dan terus ke dapur. Dan saya sendiri dengan mata kepala saya nampak yang Tun Haji Yusuf mengikuti saya dari arah belakang menuju ke dapur dan menjawab soalan saya walaupun sekali sahaja tadi.

Kami duduk di ruang tamu. Ketika itu suasana sunyi. Di luar rumah saya perhatikan pokok-pokok di luar bergerak-gerak ditiup angin. Sesekali terdengar juga bunyi katak memanggil hujan dan bunyi cengkerik. Saya menikmati bunyi hiburan alam itu dengan tenang.

Walapun saya terlihat juga seperti lembaga hitam berada di luar rumah. Khayalan saya terhenti apabila kami dikejutkan dengan bunyi tapak kami orang menaiki tangga. Seperti bunyi orang yenga menggunakan selipar.

Perhatian kami tertumpu ke arah tangga.

“Ada kelibat putih ustaz.”

“Bang Aji bacakan Surah Al Fatihah dan Surah Kursi k. Dan ajaklah Kak hajah baca sekali. Ajak mereka bercerita. Supaya fokus mereka tidak ke arah tangga tu.”

“Baiklah Ustaz.”

Bunyi tapak kaki tadi tiada lagi kedengaran di tangga tetapi di tingkat atas mula terdengar seperti orang berlari-lari. Riuh rendah sahaja suasana di atas ketika itu. Seolah-olah ada pesta keramaian.

Kami semua terdiam. Tuan Haji Yususf memandang saya dan saya memandang pada Kak Hajah dan anak-anak mereka. Menangis sambil berpelukan.

Sebenarnya inilah sebabnya kenapa saya tidak suka kalau ada orang yang meminta saya datang ke rumah untuk beriktiar menghalau gangguan yang ada di rumah mereka sedangkan keluarga mereka masih ada di rumah tersebut. Kalau boleh jangan ada orang lain bersama. Kita risau mereka akan takut dan fobia suatu hari nanti.

Selepas reda sedikit suasana saya bertanya kepada Tuan Haji Yusuf;

“Bang Aji. Ada orang ke kat tingkat atas?”

“Takde ustaz. Kami jarang naik ke atas. Selama kami tinggal di sini anak-anak dan isteri saya tidak pernah naik ke atas. Cuma saya sekali sekala sahaja naik. Itupun untuk meletakan lebihan barang rumah di bilik atas sebab stor kamipun dah penuh.

“Bila kali terakhir Bang Aji naik ke atas?”

Tuan Haji Yusuf diam seketika. Memandang ke atas syiling.

“Dalam setahun dah saya tak ke atas ustaz. Kali terakhir saya naik ke atas apabila saya nak letakkan meja tv lama kami. Semasa saya masuk ke bilik atas masa tu saya rasa seperti ada orang memegang bahu saya dan mengikuti saya. Saya turun cepat-cepat ustaz. Kemudian saya terdengar nama saya dipanggil berulang kali dari tingkat atas.

Saya tekun mendengar cerita Tuan Haji Yusuf sambil memandang ke arah tangga. Di penghujung tangga sebelah atas saya perhatikan seperti ada wajah yang sedang memandang kami.

Rasanya dari mula saya bercerita dengan Tuan Haji Yusuf makhluk itu telah memerhati kami. Tapi saya tidak endahkan syaitan tersebut. Saya bacakan ayat Al Quran yang berbunyi;

“Kalau sekiranya Kami menurunkan Al Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah.” (Al Hasyr: 21)

Kemudian saya kembali memandang ke arah tersebut. Alhamdulillah wajah seram itu tiada lagi kelihatan.

Agak lama juga saya berborak bersama Tuan Haji Yusuf. Sekitar 10 minit lebih kurang. Kadang-kadang ada juga Kak Hajah menyampuk perbualan kami.

Ketika kami sedang mula rancak berbual-bual tiba-tiba kami terdiam apabila terdengar bunyi sesuatu dari tingkat atas.

Dengan tidak semena-mena, sebiji bola golf berwarna putih jatuh berguling-guling secara perlahan-lahan dari tingkat atas lalu menuruni anak tangga satu-persatu.

Tok…tok…tok…tok…tok…tok…

Akhirnya betul-betul jatuh di hadapan kami. Jiwa saya seperti ditentap-rentap ketika itu. Allah sahaja tahu betapa gelisah dan takutnya kami ketika itu.

Saya teringat suatu kisah yang hampir sama berlaku kepada sepupu saya iaitu Cikgu Abu Suffian bin Mat. Sekarang mengajar di SK Agama Miri. Diganggu dengan cara yang sama semasa menuntut di sebuah Universiti di Semenanjung suatu ketika dulu.

Saya ambil bola golf tersebut yang betul-betul jatuh dan berhenti di antara kerusi saya dan kerusi Tuan Haji Yusuf. Saya ambil bola golf tersebut saya saya perhatikan secara terperinci. Tiada apa yang menarik dan berubah pada bola gof tersebut. Cuma persoalannya siapa yang membaling bola golf tersebut dari tingkat atas?”

“Bang Aji. Ada sesiapa tak kat tingkat atas?”

“Takde ustaz. Takde orang. Kami anak beranak je yang tinggal kat sini.”

Tuan Haji Yusuf bertambah gelisah. Anak-anak Tuan Haji Yusuf mula menangis kembali.

Saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti itu lagi sehinggalah ke hari ini. Walaupun ada bentuk pengalaman-pengalaman yang lain dan berbeza yang telah banyak kami lalui.

Saya cuba untuk mengawal keadaan kerana ketika itu Tun Haji Yusuf dan keluarganya berharap kepada saya. Saya sempat meminta kepada keluarga Tuan Haji Yusuf untuk meminta pertolongan kepada Allah kerana Allahlah sebaik-baik penolong.

Tiba-tiba perasaan marah mula timbul di dalam hati saya. Seolah-olah kami dipermainkan seperti anak-anak kecil. Sebaik-baiknya jangan ada perasaan marah seperti ini. Serah diri dan bertawakkal serta ikat diri kita terus kepada Allah. Kerana itu sebaik-baik tindakan.

Dalam keadaan jiwa saya yang mula tidak tenteram, gelisah serta marah tiba-tiba saya bersuara;

“Wahai syaitan, kalau berani sila turun ke bawah.” Cabar saya.

Di sinilah kesilapan saya ketika itu. Kerana terpancing emosi hingga menyebabkan menjadi mainan para syaitan.

Tiba-tiba teingat menjadi bingit. Seolah-solah ditutup pendengaran kami. Telinga seperti tersumbat. Suasa rumah yang tadinya sejuk mula menjadi panas. Suasana di rumah seakan-akan wujudnya suatu pesta. Yang peliknya suasana rumah ketika itu seperti penuh dengan para tetamu.

Dari tingkat atas mula terdengar lagi bunyi tapak kaki manusia yang berjalan-jalan tanpa arah. Kemudian hilang. Selepas itu terdengar sebuah bunyi yang pelik dari tingkat atas. Seperti ada seseorang mengheret sesuatu.

Bunyi itu semakin lama semakin perlahan. Semakin lama semakin perlahan. Saya tetap menumpukan perhatian dan jiwa saya untuk mendengar ke arah manakah bunyi itu pergi.
Dengan tidak mena-mena..

“Gedegang…”

Tiba-tiba beg golf hitam kepunyaan Tuan Haji Yusuf dilemparkan dari tingkat atas.

“Allahu Akbar..”

Saya sempat bertakbir sambil melompat di atas meja di hadapan kami. Kak Hajah dan anak-anak mereka menjerit sambil berlari keluar rumah. Tuan Haji Yusuf pula berlari ke dapur. Kemudian berlari pula keluar rumah.

Sayapun tidak faham kenapa Tuan Haji Yusuf masuk ke dapur dan kemudian lari keluar balik dan meluru ke arah pintu masuk rumah di ruang tamu.

Akhirnya tinggal saya seorang masih berdiri di atas meja. Saya kemudian seperti tersentak dengan apa yang berlaku. Kemudian sayapun berlari ke luar rumah juga. Tiada siapa yang berani untuk tinggal di dalam rumah tersebut.

Kami berkumpul di luar pagar. Kaka Hajah dan anak-anak mereka menangis seperti orang kerasukan. Mungkin terlalu takut. Saya bacakan beberapa potong ayat Al Quran dengan suara yang kuat untuk menenangkan diri saya sendiri dan keluarga Tuan haji Yusuf.

Pada malam itu juga saya ambil keputusan hentikan dulu niat kami memagar rumah Tuan Haji Yusuf. Sebelum balik saya dan Tuan Haji Yusuf memberanikan diri untuk mengunci pintu masuk rumah mereka.

Semasa sedang menunggu Tuan Haji mengunci pagar, sempat juga saya perhatikan di ruang tamu tersebut.

Suram yang menyeramkan. Mata saya asyik memerhatikan ke arah tangga menuju ke tingkat atas. Seperti ada sosok perempuan duduk sambil memerhatikan kami sambil tersenyum.

“Cepat sikit Bang Aji.’

“Baik ustaz. Ustaz, saya nk ambik wallet dulu kat dalam boleh tak? Tanya Tuan Haji Yusuf.

“Tak payahlah Bang Aji. Nanti Bang Aji masuk tak keluar-keluar pulak.”

“OK ustaz. Lepas ni saya nak ke rumah kakak ipar saya di Taman Tinggi. Sebelum pergi ke rumah ustaz tadi saya dah suruh Kak Hajah call kakak ipar bagitau malam ni kami nak tidur di rumahnya. ”

“Ok Bang Aji. Hati-hati bawak kereta. Baca sahaja apa-apa ayat Al Quran yang Bang Aji ingat.”

Tuan Haji Yusuf diam sahaja. Selepas itu kami bergerak keluar dari kawasan rumah Tuan Haji Yusuf. Kalau dalam perjalanan tadi saya berada di belakang, masa meninggalkan rumah Tuan Haji saya bertukar pulak dan berada di hadapan kereta Tuan Haji Yusuf. Takut-takut ada perempuan yang membonceng motosikal saya. Itu yang saya bayangkan.

Saya bacakan ayat-ayat ruqyah sepanjang perjalanan menuju ke rumah kakak ipar Tuan Haji Yusuf di Taman Tinggi. Seskali-sekala saya toleh jugak ke belakang untuk memastikan Tuan Haji Yusuf dan keluarga tetap bersama saya.

Sesampainya di Taman Tinggi, saya memperlahankan motosikal saya untuk memberi laluan kepada Tuan Haji Yusuf memotong dan pergi ke rumah kakak iparnya.

Di hadapan rumah kakak ipar Tuan Haji Yususf, kelihatan beberapa orang telah menunggu di luar rumah. Mungkin Tuan Haji Ahmad telah menyuruh Kak Hajah untuk menelefon kakaknya supaya menunggu di luar masa dalam perjalanan tadi.

Kak Hajah dan anak-anaknya lalu turun dari kereta dan terus meluru ke arah keluarganya yang telah menunggu kami sambil berpeluk dan menangis teresak-esak. Tuan Haji Yusuf datang ke arah saya memegang erat tangan saya.

“Ustaz, ustaz kena tolong saya jugak. Kami dah tak tahan diganggu seperti ini lagi.”

“Insyaallah Bang Aji. Malam esok saya dan kawan-kawan akan datang ke rumah Bang Aji.” Lalu saya melontarkan senyuman kepada Tuan Haji Yusuf dan mereka semua.

“Dalam perjalanan balik ke rumah saya memboceng motosikal saya agak sedikit laju. Tetapi perjalanan sepertinya semakin jauh walaupun jarak dari Taman Tinggi ke R.P.R Sebiew tidaklah jauh. Cuma sekitar 5 ke 6 km sahaja.”

Sesampainya di rumah ibu saya, saya bacakan beberapa ayat Al Quran sebagai adab memasuki rumah. Bagi menggelakkan gangguan jin untuk ikut serta masuk ke dalam rumah dan mengganggu kami iaitu penghuni rumah.

Keesokan malamnya saya dan beberapa orang rakan datang ke rumah tersebut selepas solat maghrib. Semasa memasuki rumah tersebut tiada apa yang berlaku.

Kami mulakan dengan membaca Surah Al Baqarah. Antara fadilat membaca Surah Al Baqarah ini adalah untuk penjagaan rumah. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan;

“Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kubur, sesungguhnya rumah yang di bacakan Surah Al Baqarah tidak akan dimasuki syaitan.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

“Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”. Riwayat Imam al Darimi. Boleh rujuk Kitab Majma’ al Zawaid, 118/10]

Selepas membaca Surah Al Baqarah, kami lakukan solat isya diikuti oleh solat sunat dua rakaat untuk meminta pertolongan Allah agar rumah tersebut dihindari oleh gangguan syaitan.

Sebelum balik saya sempat meminta kepada Tuan Haji Yusuf untuk bersabar dan dekatkan diri terus kepada Allah kerana Allahlah yang menurunkan ujian ini.

Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah atas pengalaman yang menarik ini. Seperti yang saya katakan tadi, dari tahun 2004 hingga sekarang saya tiada lagi berjumpa dengan pengalaman-pengalaman yang sama seperti ini.

Kalau ada lagi kes-kes yang sama dan saya ditelefon untuk meminta supaya saya datang, Insyaallah saya tidak akan pergi. Mungkin saya akan menolak. Tetapi saya akan meminta kawan-kawan saya dari Pusat Rawatan Ruqyah Syar’iyyah Bintulu untuk datang bagi memenuhi permintaan orang yang memerlukan bantuan.

Biar kawan-kawan saya pula yang mangalami pengalaman-pengalaman seperti ini. Tapi cukuplah bagi saya pengalaman yang penuh bermakna di rumah sewa Tuan Haji Yusuf ini suatu ketika dulu.

Kalau sekiranya kawan-kawan saya bertanya,

“Kenapa ustaz tak nak datang kalau ada lagi rumah kes seperti ini?”

Saya tetap akan diam dan tidak akan jawab sampai bila-bila..
Allahu a’lam..

Kung Pow Arena

Comments

comments