Siapa Yang Sediakan Makanan ni? Ustaz Ke? Pengalaman Seram Cikgu Malik

Saya pernah diceritakan kisah ini oleh cikgu Malik /ust Malik yang mengajar di SK Kg Jepak semasa saya memberikan ceramah motivasi disana pada bulan Julai.

Cikgu Malik atau dikenali dalam FB sebagai cikgu Kung Pow merupakan perawat rukyah. Orangnya sederhana namun ilmu penuh didada.

Berikut adalah perkongsian dari kisah beliau dalam fb.

PENGALAMAN YANG TIDAK PERNAH DILUPAKAN SELAMANYA

Saya sering ditanya. Sepanjang terlibat dengan rawatan Ruqyah Syar’iyyah bermula dari 2004 hingga kini, apakah pengalaman yang paling saya tidak akan pernah lupakan. Saya jawab begini.

Pengalaman menakutkan ada, seram ada, lawak pun ada dan bermacam-macam lagi.

Cuma ada beberapa pengalaman pelik yang berlaku dalam hidup saya yang mana saya telah letakkan pengalaman pelik ini di tangga yang pertama dan sebagai pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan hingga sekarang. Begini ceritanya…

Pada sekitar tahun 2010, saya telah dihubungi oleh seseorang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Abang Ahmad (seperti biasa, bukan nama sebenar). Telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak lelaki berumur 8 tahun dan 9 tahun. Isterinya bernama Kak Nor.

Abang Ahmad meminta saya untuk datang ke rumahnya pada malam tersebut kerana menurut Abang Ahmad, rumah yang mereka diami ketika itu seolah-olah ada penunggu.

Abang Ahmad bekerja di sebuah syarikat swasta. Berasal dari utara Semenanjung. Isterinya pula berasal dari Kuching, Sarawak. Mereka tinggal di sebuah rumah sewa dua tingkat yang agak besar di Kidurong. Rumah tersebut telah disediakan oleh majikan Abang Ahmad memandangkan Abang Ahmad memegang jawatan sebagai seorang pengurus kanan di syarikat tersebut.

Seperti yang telah dijanjikan, pada malam tersebut saya telah datang ke rumah Abang Ahmad tepat pada pukul 9.00 malam. Saya datang seorang sahaja memandangkan rakan-rakan ruqyah yang lain telah saya arahkan untuk merawat pesakit di Kampung Baru dan melawat pesakit di hospital.

Setelah memperkenalkan diri, saya telah dipelawa oleh Abang Ahmad untuk masuk ke dalam rumah beliau.

Pada pandangan pertama ketika masuk ke rumah tersebut, saya dapat rasakan suasana rumahnya agak suram dan seolah-olah ada ‘mata-mata’ yang sedang memerhati. Tetapi saya tidak melayan perasaan tersebut kerana bermula dari tahun 2004 kami sudah agak terbiasa dengan keadaan rumah-rumah seperti rumah Abang Ahmad ini.

Setelah beberapa ketika, Abang Ahmad memulakan cerita. Sesekali perbualan kami terganggu dengan bunyi bising dari tingkat atas rumah beliau kerana anak-anaknya sedang bermain dan berlari di dalam bilik di tingkat atas. Mungkin kerana rumah tersebut agak kosong dan kurang barang perhiasan, menjadikan bunyi bising terdengar dengan jelas dari ruang tamu tempat kami berbual.

Tetapi Abang Ahmad langsung tidak terjejas dengan bunyi tersebut dan meneruskan cerita.

Beliau telah menjelaskan bahawa untuk beberapa tahun terakhir ini, beliau merasakan kehidupannya sudah tidak bahagia dan tidak tenteram seperti dahulu. Abang Ahmad kerap bergaduh dengan isterinya walaupun disebabkan hal-hal yang kecil sahaja.

Apa yang peliknya, pergaduhan tersebut cuma akan berlaku ketika Abang Ahmad dan isterinya berada di rumah yang mereka duduki sekarang.

Tetapi sekiranya mereka berada di luar rumah tersebut contohnya pergi ke pasar, balik ke rumah mertua Abang Ahmad di Kuching atau balik ke rumah orang tuanya di semenanjung atau ke masa sahaja, keadaan akan berubah 100 peratus. Abang Ahmad dan isterinya akan saling sayang-menyayangi, memahami, romantik dan sebagainya.

Berbeza sekali sekiranya mereka balik ke rumah. Suasana akan tiba-tiba berubah. Saling membenci, dendam dan sebagainya.

Atas sebab itulah Abang Ahmad meminta saya untuk datang. Sama-sama untuk mencari punca atas apa yang berlaku.

Semasa memulakan cerita, Abang Ahmad telah bercerita tentang isterinya yang telah berubah sikap. Mereka saling membenci, tidak bertegur sapa dan sebagainya. Tetapi itu cuma terjadi di rumah mereka sahaja.

Pada malam itu Abang Ahmad meluahkan segala kelemahan isterinya. Pada mulanya saya angguk-angguk sahaja sebagai tanda mendengar dengan khusyuk cerita Abang Ahmad.

Tapi lama-kelamaan saya menjadi bosan kerana Abang Ahmad bersikap menyerang peribadi isterinya sahaja tanpa memberi peluang kepada isterinya untuk membela diri. Tetapi tu pendapat saya sahaja.

Semasa Abang Ahmad rancak bercerita, tiba-tiba bunyi ‘kreeeek’ dari bilik atas. Saya simpulkan bahawa itu adalah bunyi pintu bilik yang sedang dibuka. Tiba-tiba terdengar suara isteri Abang Ahmad iaitu Kak Nor mengarahkan anak-anaknya supaya jangan bising dan jangan keluar dari bilik.

Saya juga terdengar suara anak-anak mereka yang bising, bunyi hentakan kaki dan akhirnya bunyi pintu bilik ditutup dengan keras.

Saya memandang ke arah kiri sebelah atas. Kak Nor turun melalui tangga dan memberi salam kepada saya. Saya menjawab salam Kak Nor sambil tersenyum. Kak Nor meminta izin kepada saya untuk ke dapur untuk membuat air. Saya anggukkan kepala.

Kedudukan dapur cuma beberapa meter dari ruang tamu tempat kami duduk. Apa sahaja perbualan kami Insyaallah saya yakin Kak Nor pasti akan dengar dengan jelas.

Ketika Kak Nor sedang menyediakan minuman, Abang Ahmad masih lagi bercerita tentang masalah isterinya. Saya duduk betul-betul mengadap dapur dan jelas kelihatan Kak Nor sedang membuat air.

Apa yang saya perasan mungkin Kak Nor tengah menyediakan air nescafe kerana ketika itu aroma nescafe memenuhi ruang tamu sambil Kak Nor menyuci dan menyusun peralatan memasak tadi.

Ada sesuatu yang saya kurang berpuas hati kepada Abang Ahmad ketika itu. Beliau masih lagi bercerita perihal isternya. Nampak dari tempat duduk saya, wajah sedih dan sugul Kak Nor. Mungkin malu diperlakukan seperti itu. Kan lebih baik Abang Ahmad hentikan dulu bercerita berkenaan dengan masalah keluarga mereka atau tidakpun rendahkankah nada supaya Kak Nor tidak mendengar perbualan kami lalu terguris hati.

Atau untuk bersikap lebih adil, ajak sekali Kak Nor duduk bersama-sama supaya masalah ini akan lebih cepat selesai kerana kami bertiga telah duduk bersama secara bersemuka.

Tetapi nada Abang Ahmad tetap sama. Seolah-olah ingin menyindir Kak Nor. Ini yang saya tidak setuju.

Setelah beberapa ketika, Kak Nor datang membawa teko yang berisi air nescafe panas dan beberapa keping roti kawin. Kak Nor mempersilakan saya untuk menjamu makanan yang disediakan. Dari raut wajah Kak Nor saya tahu yang Kak Nor sedang menanggung malu dan sedih.

Saya sangat-sangat kasihan melihat Kak Nor ketika iu. Saya ucapkan terima kasih kepada Kak Nor dengan senyuman. Kak Nor membalas senyuman saya. Kemudian Kak Nor meminta izin untuk naik ke tingkat atas. Kak Nor risaukan anak-anak mereka ditinggalkn begitu sahaja di bilik. Maklumlah. Dari tingkat bawah memang hentakan kaki dari tingkat atas terus kedengaran.

Sampai di atas saya terdengar suara Kak Nor membuka pintu bilik dan mula memarahi anak-anaknya yang ingin meluru keluar dari bilik. Selepas itu pintu ditutup.

Pada ketika ini saya rasa perasaan marah saya mula muncul. Manakan tidak. Sepanjang ketika Kak Nor di dapur Abang Ahmad terus bercerita tentang isterinya. Kenapa tidak memberi peluang juga kepada kak Nor untuk membela diri atas apa saja pertuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Itulah yang saya rasakan ketika itu. Rasa marah. Apa lagi ketika melihat Abang Ahmad mengunyah roti kawin dan air nescafe tadi sambail bercerita tentang sikap isterinya. Di dalam hati saya berkata-kata juga. Pandaipun makan apa yang Kak Nor sediakan walaupun mulut itu masih lagi bercerita tentang aib isteri sendiri.

Saya dipelawa oleh Abang Ahmad untuk minum dan menjamu roti kawin yang dihidang oleh Kak Nor. Ternyata air nescafe dan roti kawin tersebut sangat-sangat sedap. Untung Abang Ahmad mempunyai isteri yang pandai memasak walaupun sekadar nescafe dan roti kawin. Sehingga sekarang, saya masih lagi teringat akan rasanya.

Saya menunggu Abang Ahmad habiskan roti kawinnya dulu. Lepas itu saya akan ceritakan rasa tidak puas hati saya kepada Abang Ahmad atas apa yang berlaku sekejap tadi. Saya cuma menunggu masa untuk meluahkan rasa tidak puas hati ini.

Setelah selesai Abang Ahmad makan beberapa keping roti kawin dan menghirup dua cawan air nescafe tadi, saya rasa inilah masanya untuk saya mula bersuara. Tetapi dengan tidak semena-mena, Abang Ahmad yang mula bersuara dulu..

“Ustaz..”

“Hari ini tadi saya di rumah seperti biasa bersama isteri saya. Baru saja berbual-bual tiba-tiba kami bergaduh. Cuma kali ini pergaduhan lebih besar. Masing-masing meninggikan suara..”

Kemudian Abang Ahmad meneruskan kata-katanya..

“Ketika sedang bergaduh tadi. Saya sangat-sangat membenci melihat wajah isteri saya. Kemudian saya beli tiket flight, pergi ke airport dan saya hantar balik isteri dan anak-anak saya ke rumah mertua di Kuching petang tadi..”

Saya terdiam. Agak lama juga. Kemudian saya bertanya kepada Abang Ahmad..

“Abang Mat. Kalau Abang Mat dah hantar Kak Nor dan anak-anak ke Kuching pagi tadi, jadi siapa yang sediakan semua makanan ini..?” Tanya saya.

Abang Ahmad yang baru sahaja ingin meminum nascafe tadi tiba-tiba tersedak. Abang Ahmad terkejut sambil bertanya kepada saya.

“Siapa yang sediakan semua makanan minuman ni? Ustaz ke?”

Saya jawab;

“Bukan saya Abang Mat. Kak Nor yang sediakan tadi..”

Abang Ahmad terkejut dan kelihatan sangat takut. Kemudian pada ketika itulah saya perasan suatu perkara. Saya dan Abang Ahmad tiba-tiba memandang ke tingkat atas. Suara bising anak-anak Abang Ahmad tadi tiba-tiba hilang serta merta. Suasana rumah Abang Ahmad ketika itu benar-benar suram serta sunyi dan kami seperti sedang diperhatikan oleh sesuatu.

Untuk menghilangkan rasa was-was Abang Ahmad, beliau telah menghubungi isterinya Kak Nor dengan menggunakan video call. Panggilan video call Abang Ahmad telah dijawab oleh Kak Nor. Saya dan Abang Ahmad sama-sama memerhati gelagat Kak Nor dan anak-anak mereka yang kelihatan sedang berebut-rebut untuk bercakap dengan ayah mereka.

Abang Ahmad dengan nada yang terketar-ketar bertanya kepada Kak Nor;

“Sayang kat mana sekarang?”

“Kat Kuchinglah. Kat rumah mak..”

“Ape yang sayang buat kat rumah mak..?

“La..kan abang hantar saya pegi airport tadi. Kitorang dah kat rumah mak sekarang. Kenape bang..?

“Tak da pape. Oklah. Assalamualaikum..”

Kemudian Abang Ahmad mematikan hp. Saya lihat Abang Ahmad seperti takut, tidak keruan, serba salah, bingung dan sebagainya. Rasa takut dan risau juga timbul dalam diri saya. Kemudian Abang Ahamd bersuara;

“Jom kita lari ustaz. Jom..”

Saya bagitau Abang Ahmad;

“Abang Mat jangan lari dulu. Kalau Abang Mat lari saya lari jugak..”

Ketika itu suasana agak lawak jugak. Saya sempat tersenyum memandang tindakan spontan Abang Ahmad dan apa yang berlaku kepada kami.

Untuk kepastian, saya mengajak Abang Ahmad untuk naik ke tingkat atas. Abang Ahmad tiada pilihan lain melainkan mengikuti apa sahaja kata-kata saya ketika itu.

Ketika sampai di tingkat atas kami memeriksa ketiga-tiga bilik. Ternyata ketiga-tiga bilik di atas telah dikunci dari luar oleh Abang Ahmad.

Maksudnya sesiapapun tidak boleh keluar masuk bilik tersebut kerana ianya berkunci. Kunci ketiga-tiga bilik tersebut pula ada pada Abang Ahmad. Menurut Abang Ahmad, rumah mereka pernah dipecah masuk oleh pencuri sewaktu mereka tiada di rumah. Pencuri itu masuk melalui salah satu bilik di atas. Sebab itulah Abang Ahmad akan mengunci ketiga-tiga bilik tersebut sekiranya mereka tiada di Bintulu atau sekiranya anak isterinya balik ke kampung.

Kemudian kami turun ke bawah dan menuju ke dapur. Semasa di dapur tiada satupun kesan peralatan-peralatan seperti cawan, piring, teko yang telah digunakan. Semua tetap tersimpan rapi dan tidak digunakan. Bahkan singkipun dalam keadaan kering. Sedangkan tadi saya sempat melihat Kak Nor membuka pili air dan membasuh peralatan yang digunakan untuk menyediakan air nescafe dan roti kawin tadi.

Saya bertanya kepad Abang Ahmad adakah Abang Ahmad melihat isterinya naik turun tangga, pergi ke dapur dan menyediakan makanan dan minuman untuk kami tadi. Menurut Abang Ahmad dia langsung tidak melihat isterinya. Abang Ahmad tidak melihat apa yang saya lihat. Sebab itulah Abang Ahmad meluahkan segala yang terbuku di hati semasa bercerita perihal isterinya.

Abang Ahmad mengambil peluang ini tadi untuk meluahkan segalanya kepada saya memandangkan isterinya tiada di Bintulu ketika itu. Kira mudah untuk Abang Ahmad bercerita kepada saya tanpa ada tapisan. Kerana Abang Ahamd berpendapat mudah untuk beliau luahkan segala-galanya kepada saya kerana isterinya tidak ada.

Tetapi, ternyata ada seseorang yang bersama-sama kami dari awal tadi sehinggalah berlakunya peristiwa tadi. Allahu Rabbi..

Selepas itu kami mulakan dengan melakukan solat sunat dua rakaat dan membacakan ayat-ayat ruqyah dari Al Quran dan doa daripada Rasulullah dalam sebekas air dan merenjiskan di sekitar kawasan rumah Abang Ahmad. Saya meminta Abang Ahmad untuk sama-sama bertawakkal kepada Allah selepas itu.

Lebih kurang seminggu Abang Ahmad tinggal di hotel sementara menunggu Kak Nor dan anak-anak mereka balik ke Bintulu. Takut untuk tidur seorang.

Alhamdulillah. Selepas mereka kembali ke rumah mereka, dengan izin Allah, gangguan pada rumah mereka telah hilang. Kadang-kadang ada juga saya terserempak dengan Abang Ahmad dan keluarga di kedai makan, di Mall, pasar ikan dan di Tanjung Batu.

Ceritanya tetap sama. Gangguan pada rumah mereka telah hilang dan hubungan kekeluargaan mereka kembali akrab dan bahagia seperti mula-mula dahulu.

Dua tahun lepas, Abang Ahmad ada menghubungi saya dan menjelaskan bahawa mereka sekeluarga akan berpindah ke KL kerana Abang Ahmad telah dinaikan pangkat dan berpindah pejabat ke KLCC.

Saya sentiasa mendoakan agar Abang Ahmad dan keluarganya sentiasa di dalam perlindungan Allah.

Kadang-kadang saya ada juga melintas di hadapan rumah tersebut. Sekadar untuk mengingat kembali memori lama. Juga untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Alhamdulillah Ya Allah. Atas pengalaman rohani ini..

Apa-apapun, apa yang telah saya alami ini saya serahkan kepada anda semua untuk menilai.

Juga saya tinggalkan segala persoalannya di sini untuk tatapan anda..

Kung Pow..

Ruqyah Syar’iyyah Bintulu
Ruqyah Syar’iyyah Sabah
Ruqyah Syar’iyyah Kuching
Ruqyah Syar’iyyah Miri
Ruqyah Syar’iyyah Bahagian Sibu

Comments

comments