Mangsa Gila Isim

CERITA 10: MANGSA GILA ISIM

Pada suatu malam dalam beberapa tahun yang lepas iaitu semasa merawat pesakit di Pusat Rawatan Ruqyah Syar’iyyah kami di Bangunan Martabat Bintulu, saya disapa oleh seorang lelaki.

Usianya agak sebaya dengan saya. Berjubah putih, berkopiah, wajahnya berseri dan berjanggut panjang. Beliau memandang saya sambil tersenyum. Saya membalas balik senyuman tersebut.

“Assalamualaikum ustaz.”

“Waalaikumsalam. Apa khabar Tuan Haji?”

“Alhamdulillah. Saya Hakim. Tapi masih belum pergi haji lagi.” Jawab pemuda tersebut sambil tersenyum.

Pemuda bernama Hakim menghulurkan tangannya sambil tersenyum kepada saya. Saya menyambut tangannya sambil mempersilkan beliau duduk di samping saya.

“Hakim ada nak mintak tolong apa-apa ke?”

“Ada ustaz. Saya berharap sangat ustaz dapat menolong untuk selesaikan masalah yang kami hadapi.”

Saya mendengar dengan tenang apa yang disampaikan oleh Hakim. Sambil itu saya perhatikan juga rakan-rakan saya yang sedang merawat pesakit di hadapan saya.

Ada pesakit yang sedang bersilat, ada yang muntah, ada yang menangis dan ada yang lari keluar sehingga terpaksa dikejar oleh rakan-rakan saya dan keluarga pesakit berkenaan.

“Nak mintak tolong apa Hafiz?”

“Macam ni ustaz. Saya ada seorang adik perempuan. Namanya Wati. Umurnya dalam 19 tahun. Dulu dia seorang yang periang, ceria, suka bergurau dan selalu membantu ibu saya mengurus rumah. Sekarang ni dia dah berubah ustaz. Suka menyendiri, bercakap sendiri, dah berapa lama tak mandi, suka mengamuk dan macam-macam lagi perkara tak bagus yang dia buat ustaz. Biliknya berterabur dan macam-macam yang ditampalnya pada dinding bilik.”

“Asalnya Wati ni seorang yang taat beribadah ustaz dan selalu untuk mencari tentang kebenaran Islam. Suka baca buku tentang agama, ketuhanan, falsafah dan sebagainya. Sebelum ini Wati sangat-sangat menghormati kedua ibu bapa saya. Tetapi semakin lama semakin berubah perangainya hingga dia menjadi seorang yang garang, suka menengking ibu bapa dan mengamuk tanpa sebab.”

“Pernah sekali Wati marah kat ayah saya kerana ayah saya melarang Wati membaca buku-buku pelik-pelik tentang ketuhanan. Kerana terlalu marah Wati telah menjerit kuat dan membaling pasu bunga kecil kepada ayah hingga terkena kepala ayah. Banyak darah keluar ustaz tapi Wati ketawa sahaja melihat ayah saya mengerang kesakitan sambil menahan darah yang bercucuran keluar dari dahi. Saya ketika itu berada di dalam bilik terkejut mendengar suara Wati lalu bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.”

“Saya segera menuju ke arah ayah dan mengambil tisu di atas meja tamu dan kemudian mengesat darah pada dahi ayah. Saya bertanya kepada Wati kenapa baling ayah macam tu. Wati cuma jawab siapa saja yang cuba menghalangi dia dari menyatu dengan Allah pasti akan mendapat siksaan di dunia. Kemudian Wati ketawa sambil mengejek-ngejek ayah.”

“Saya mula hilang sabar dan meluru ke arah Wati lalu menampar wajahnya. Ketika itu saya terlalu marah ustaz kerana Wati memperlakukan ayah seperti itu. Setelah saya menampar Wati, tiba-tiba Wati terkejut seolah-olah baru terjaga dari tidur. Apabila saya tanya kenapa Wati baling ayah pakai pasu bunga, Wati menjelaskan kepada saya yang dia tertidur di bilik. Dia tidak tahu apa yang berlaku. Wati seperti bingung melihat keadaan dirinya ustaz. Apabila Wati melihat ayah dalam keadaan berlumuran darah dan saya jelaskan bahawa semua ini akibat dari perbuatannya, Wati terkejut dan menangis semahu-mahunya sambil memeluk ayah.”

“Sekarang Wati semakin teruk perangainya. Dia lebih banyak tidak sedarkan diri semasa menjalani kehidupan sehariannya. Hari-hari bercakap sendiri, kencing dan berak di dalam seluar, makanan yang ibu hidangkan dia tidak akan makan kecuali makanan itu sudah basi baru dia akan makan. Yang peliknya dia tetap solat dan zikir seperti biasa tetapi tidak sempurna ustaz. Pernah saya intip Wati ketika dia tengah solat. Masa tu solat zohor. Dia solat zohor lapan rakaat ustaz dan ketika solat itu dia ketawa, menangis dan seperti bercakap dengan seseorang.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Kat mana Wati sekarang?”

“Ada kat rumah ustaz. Ayah saya telah pakaikan rantai besi dan mangga di kedua-dua tangan dan kakinya.”

“Kenapa buat macam tu Hakim? Tak sakit ke Wati nanti?”

“Nak buat macamana ustaz. Itu sahaja cara untuk kami kawal pergerakan dia walaupun nampak kejam. Kalau tak dia selalu duduk di buaian kat luar rumah sambil menyanyi, menari dan bercakap-cakap seorang diri. Kadang-kadang menganggu jiran sebelah, membaling batu ke arah mereka dan mengeluarkan kata-kata kesat. Malu jugak kalau jiran sebelah menyebelah tengok ustaz.”

“Pernah dibawa ke hospital ke Hakim?”

“Pernah ustaz. Beberapa kali. Doktor kata memang tak ada masalah apa-apa.”

“Kami sampai dimarah oleh doktor kerana terus-menerus membawa Wati ke hospital sedangkan menurut analisis doktor Wati memang tak sakit. Sekarang kami dah tak bawa Wati ke hospital. Kami sekeluarga dah tak tau nak buat macamana ustaz.”

“Baiklah hakim. Jadi Hakim nak mintak tolong apa?”

“Macam ni ustaz. Ustaz lepas ni free tak? Nak mintak tolong ustaz pergi ke rumah. Tengok-tengok dulu keadaan Wati. Saya risau tengok keadaan Wati ustaz. Apa lagi ibu dan ayah saya sudah tua dan sering sakit-sakit.

Saya memandang jam di dinding. Pukul 10.35 malam. Masih awal lagi. Kemudian saya menoleh ke arah Hakim.

“Baiklah Hakim. Lepas ni kita pergi ke rumah Hakim. Ustaz nak bagitau kawan jap.”

“Baik ustaz. Nanti ustaz tumpang kereta saya saja k?”

“Ok Hakim. Insyaallah.”

Saya kemudiaanya berjumpa dengan Ustaz Amir Hamzah iaitu abang saya untuk meminta dia mengambil alih tugas saya memantau kawan-kawan lain yang sedang merawat pesakit dan saya beritahu Ustaz Amir bahawa saya perlu pergi ke rumah Hakim untuk melihat keadaan Wati adiknya.

PERJALANAN KE RUMAH HAKIM

Setelah itu, saya dan Hakim bergerak menuju ke rumahnya di suatu kawasan perumahan setingkat di sekitar Kidurong. Perjalanan kami mengambil masa selama 20 minit.

Lagipun jalan tidak sesak seperti siang hari. Semasa di dalam perjalanan kami banyak berbual berkisar kepada masalah Wati.

Menurut Hakim, masalah Wati bermula apabila Wati mula belajar untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sedangkan sebelum itu Wati bukan seorang yang suka beribadah, tidak menutup aurat secara sempurna dan suka mendengar lagu-lagu barat.

Dalam urusan ibadah ini Wati tidak berguru dengan siapa-siapa melainkan mendapat maklumat dari internet dan buku sahaja.

Saya diam sahaja sambil cuba untuk membuat kesimpulan awal berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh Wati dan punca utama gangguan padanya.

“Ustaz pernah tak berjumpa dengan kes-kes macam ni sebelum ni?”

“Ada Hakim. Dalam berpuluh-puluh kes jugak rasanya.”

“Jadi kes Wati ni bukan yang pertamalah ustaz? Kalau dengan pengalaman yang ada pada ustaz, ustaz rasa Wati boleh sembuh tak?”

“Hakim, urusan sembuh atau tidak itu urusan Allah. Ustaz bukan penyembuh. Kita berusaha sahaja. Pengalaman banyak bukan bererti kita boleh atasi sesuatu kes dengan begitu mudah. Banyak jugak kes yang ustaz dan kawan-kawan tak dapat nak selesaikan.”

“Kenapa boleh jadi macam tu ustaz?”

“Sebab kami bukan Tuhan yang boleh menyembuhkan penyakit manusia. Kedua kami berusaha seikhlas mungkin untuk membantu dan pesakit juga mesti mengikhlaskan dirinya untuk berubat dan berusaha untuk sembuh. Ketiga, walaubagaimanapun kita sudah berusaha untuk merawat pesakit, lengkap dengan adab dan betul menurut syariat Islam, kalau Allah tidak mengizinkan pesakit itu sembuh maka dia tetap tidak akan sembuh. Itu saja.”

“Faham ustaz. Saya risau keluarga saya kurang faham keadaan dan sakit Wati ini. Kadang-kadang keluarga saya mengeluh kenapa Allah sengaja menguji Wati dengan sakit seperti ini sedangkan Wati sebelum ini telah ikhlas berubah untuk menjadi anak yang solehah. Seolah-olah Allah tidak suka Wati berubah menjadi baik. Itu yang sangat saya risaukan ustaz. Risau kerana mereka menyalahkan takdir dari Allah.”

“Setiap yang terjadi memang telah ditakdirkan Hakim. Tetapi bergantung dengan jalan yang kita pilih. Maksudnya apa-apa jalan dan keputusan yang kita buat itu maka itulah takdir kita. Dalam kes Wati ni Hakim, kalau Wati tidak berusaha untuk sembuh, maka dia tidak akan sembuh. Inilah adab dan kebiasaan dalam merawat pesakit Hakim.”

“Kadang-kadang seseorang itu cepat putus asa sebab sakitnya tak sembuh. Selepas berjumpa dengan beberapa orang ustaz dia masih tak sembuh lagi. Akhirnya pesakit itu putus asa dan membuat keputusan bahawa ustaz-ustaz yang telah berusaha mengubatnya bukan seorang yang hebat dan handal. Sedangkan dia lupa dia sendiri tak ada kekuatan untuk sembuh dan menyerah sepenuhnya kepada perawat. Di situlah silapnya Hakim.”

Hakim mendengar dengan tekun apa yang disampaikan oleh saya. Saya jarang bercakap banyak melainkan apa yang saya rasa perlu sahaja. Takut disalah erti nanti.

Tidak berapa lama kemudian kami hampir sampai di rumah Hakim. Semasa masuk ke perkarangan rumah mereka, kebetulan pagar rumah tidak ditutup dan kereka kami masuk lalu berhenti di hadapan rumah.

Saya keluar dari kereta dengan langkah kanan walaupun saya duduk di sebelah Hakim yang memandu kereta.

Saya mula membaca Surah Al Fatihah dan Surah Kursiy lalu menuju ke pintu masuk. Saya perhatikan ada seorang perempuan duduk di buaian yang terletak di luar rumah.

Buaian itu bergerak perlahan-lahan mengikut irama lagu yang dinyanyikan oleh Wati. Kadang-kadang seperti bercerita dengan seseorang. Dalam hati saya terfikir mungkin inilah Wati, adik kepada Hakim.

Wati ketika itu mula memandang saya dan Hakim dengan penuh perasaan marah dan benci. Wati kemudiannya berdiri dan menghayun dengan kuat tempat duduk buaian tersebut lalu bergegas masuk melalui pintu utama di hadapan kami meletak kereta. Buaian itu Wati tinggalkan masih lagi dalam keadaan bergerak-gerak.

Hakim yang kebetulan sudah turun awal dari kereta terus bergerak ke arah buaian tadi dan memerhatikan buaian tersebut juga. Mungkin juga Hakim marah kepada Wati akibat dari perbuatannya.

“Ustaz nampakkan?”

“Ya Hakim. Takpelah. Biasalah tu?”

“Apa yang biasanya ustaz?”

“Hahaha..Tak ada apa-apalah Hakim.”

Saya tidak mahu Hakim merasa marah atas tindakan Wati. Bagi saya itu adalah kebiasaan bagi orang yang terkena gangguan. Merasa terancam dan tidak selesa sekiranya ada orang yang berniat untuk merawat.

Selepas itu kami menuju ke pintu masuk rumah. Hakim mengeluarkan kunci rumah dari poket bajunya lalu membuka pintu rumah lalu menjemput saya untuk masuk.

“Assalamualaikum. Jom ustaz. Jemput masuk.”

“Baik Hakim.”

“Jemput duduk ustaz.”

“Terima kasih Hakim.”

Saya memilih kerusi panjang yang kelihatan empuk. Agak selesa juga ketika merebahkan badan walau sekejap.

BERJUMPA DENGAN WATI

Hakim meminta izin kepada saya untuk masuk ke dalam bilik Wati untuk memberitahu ayah dan ibunya berkenaan dengan kedatangan kami. Selepas itu Hakim keluar dari bilik dan kembali duduk bersama saya di ruang tamu.

“Jom ustaz. Kita masuk ke bilik Wati. Ayah dan Mak ade sekali kat dalam bilik Wati.”

“Jom Hakim. Bismillahir rahmaanir rahiim..”

Saya seperti biasa memulakan langkah dengan membaca Basmallah dan zikir;

“Bismillahillazi la yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huas sami’un alim.”

Maksud ayat:
“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat akan sesuatu yang dibumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya. (HR. Abu Daud, AtTirmizi dan Ahmad)

Kami melangkah masuk ke arah pintu billik Wati. Bilik Wati terletak di bilik kedua dari belakang. Ada tiga bilik kesemuanya. Bilik pertama iaitu bilik ayah dan ibu Hakim.

Yang kedua atau yang tengah bilik Wati dan bilik yang ketiga iaitu bilik hujung sekali pula adalah bilik Hakim.
Sesampainya kami di pintu bilik Wati, Hakim mula memberi salam.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam. Masuk.”

Terdengar dari dalam suara lelaki menjawab salam dan mempersilakan kami untuk masuk. Hakim membuka perlahan daun pintu bilik tersebut.

Apabila pintu tersebut dibuka saya hampir pengsan kerana aroma bau bilik tersebut. Sangat busuk. Bau tahi manusia. Bau hancing kencing, bau sampah dan bermacam-macam bau lagi menusuk ke dalam rongga hidung.

Saya cuma untuk bernafas sedikit semi sedikit. Kadang-kadang saya seolah-olah cuba untuk menggaru hidung supaya Hakim tidak perasan yang saya sedang menutup hidung saya agar bau tersebut tidak menyebabkan saya loya dan muntah.

“Masuklah Hakim, ustaz. Mintak maaf bilik bersepah dan berbau. Macam nilah keadaan Wati ustaz. Tak terurus. Berapa lama dah tak mandi. Kadang-kadang berak dan kencing di dalam bilik ni.”

“Tak apalah pakcik, makcik. Bukan kehendak anak makcik nak jadi macam ni.”

Saya kemudiannya melangkah masuk pelahan-lahan. Bahagian tumit kaki saya angkat tinggi kerana lantai bilik rasa seperti basah dan melekit. Ntah air apa yang saya pijak sayapun tak tahu.

Kemudian saya memandang ke arah sekeliling bilik. Saya terkejut kerana melihat Wati sedang duduk sambil kedua belah kakinya melunjur ke hadapan. Kedua tangan dan kakinya diikat dengan besi dan dikunci dengan manga kecil.

Saya tersentak seketika dan diam membisu. Ayah Wati memandang saya sambil tersenyum. Mungkin menurut mereka saya menyangka yang mereka sengaja untuk menyiksa Wati.

“Minta maaf ustaz. Bukan sengaja kami nak siksa Wati dengan cara menggarinya dengan besi. Tapi Wati semakin tidak terkawal ustaz. Kadang-kadang makan tahi dan minum air kencingnya sendiri.”

“Tak apa pakcik, makcik. Sebab kalau perlu untuk digari kita garilah. Agar tidak mnimbulkan masalah.”

Cuma saya rasa pelik sedikit dan mula merasa risau. Saya memandang ke arah Hakim dan kemudian Hakim memandang ke arah saya.

“Hakim, tadi masa kita turun dari kereta ustaz lihat Wati sedang duduk di buaian sambil bernyanyi dan bercakap-cakap. Hakim nampakkan?”

Hakim kemudian mengerutkan dahinya sambil tesenyum pelik.

“Saya tak nampak apa-apapun ustaz? Apa yang ustaz nampak tadi?”

“Ustaz nampak Wati duduk kat buaian kat luar rumah. Lepas tu apabila Wati tengok kita, Wati terus berdiri dan menghempas kerusi buaian tersebut lalu masuk ke dalam rumah.”

“Ustaz, masa kita nak masuk rumah tadi ustaz nampak tak saya tengah bukakan kunci rumah?”

“Nampak Hakim.”

“Macamana Wati boleh buka dan kunci balik pintu sedangkan kunci ada pada saya.”

“Boleh jadi kunci pendua Hakim.”

Hakim memandang saya sambil tersenyum.

“Ok. Itu saya faham ustaz. Masalahnya rumah kami kunci pintu masuk ada dua sahaja. Pertama ini yang saya bawa. Kedua kunci pendua ada pada ayah saya yang ayah letak kat bilik. Ketiga, Wati dah beberapa hari kami kurung di dalam bilik dan Wati takkan dapat bergerak keluarpun dari bilik apatah lagi keluar dari rumah dan bermain buaian.”

“Astaghfirullahal ‘azhim. Habis tu. Tadi Hakim tanya kat ustaz masa kat luar rumah tadi ‘ustaz nampakkan? ” tu apa benda?”

“Ustaz, saya tanya ustaz tadi ustaz nampak tak yang buaian tu tadi bergoyang sendiri tanpa ada orang yang duduk kat situ. Itulah yang saya tanya ustaz tadi ustaz nampakkan?”

“Saya memandang ke syiling rumah sambil berfikir siapa yang saya tengok di buaian tadi.

“Hakim tengok apa kat buaian tadi?”

“Saya cuma tengok buaian bergerak-gerak dan tempat duduk seperti dihempas orang ustaz. Perkara seperti ini kerap juga berlaku. Itulah yang kami risau.”

“Ustaz pula tengok apa tadi?”

“Tak ada apa-apa Hakim. Samalah. Ustaz tengok buaian tu bergerak-gerak.”

“Jadi Wati yang ustaz tengok tadi tu apa ustaz?”

“Tak ada apa-apalah Hakim. Ustaz saje je. Ustaz nampak buaian tu bergoyang sendiri tadi. Itu je.”

Hakim memandang saya dan tersenyum sambil mengangguk-angguk kepala. Mungkin Hakim berpuashati kerana saya nampak apa yang dia nampak. Iaitu buaian tu bergerak sendiri.

Tapi yang menjadi persoalannya adalah saya nampak Wati yang duduk di buaian itu tadi sambil bernyanyi dan seperti bercakap-cakap dengan seseorang.

Hakikat sebenarnya Hakim cuma melihat buaian itu bergerak-gerak manakala saya melihat Wati bermain di buaian dan kemudian memandang kami dengan perasaan marah lalu menghempas tempat duduk buaian lalu masuk ke dalam rumah.

Saya mula tidak sedap hati. Wati yang sedang terikat tangan dan kaminya memandang saya dengan sedikit senyuman. Wati seperti telah dapat menduga kerisauan saya.

Tetapi saya biarkan perasaan tidak sedap hati saya itu dan saya bacakan Surah Kursiy sebagai pendinding.
Wati di hadapan mata saya sama seperti Wati yang saya lihat di luar rumah tadi. Sangat mudah untuk syaitan mempermainkan kita.

Apa lagi dalam keadaan kita tidak bersedia. Sebab itu sebagai seorang perawat jangan sesekali kita merasa kita hebat, serba lengkap, kuat dan dapat untuk menundukkan syaitan. Kerana semua-semua ini adalah ujian untuk kita sama ada kita bersyukur atau kita kufur. Firman Allah;

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Selepas itu saya duduk di hadapan Wati. Rambutnya kusut, matanya cekung dan bengkak, kukunya hitam serta panjang dan bernyanyi. Tiba-tiba Wati berhenti menyanyi lalu memandang ke arah saya.

“Sudah lama aku menunggu kamu Malik. Mari ke sini. Hehehe..”

Berderau jugak darah saya ketika itu. Wati sepertinya telah lama mengenal saya. Sedangkan bagi saya ini kali pertama saya berjumpa dengan Wati.

Saya kemudiaan bergerak ke hadapan sedikit tetapi saya memilih kedudukan yang selamat untuk duduk kalau terjadi apa-apa.

“Aku perlukan seseorang yang hebat seperti kamu supaya kita boleh berganding bahu menegakkan Islam. Nanti aku kurniakan kamu pangkat dan kuasa agar kita sama-sama dapat memerintah dunia.”

“Astaghfirullahal ‘azhim. Saya tidak mahu.”

Di sinilah saya rasakan yang saya perlu berhati-hati dan berserah sepenuhnya kepada Allah di samping sentiasa beristighfar supaya syaitan tidak dapat mempengaruhi saya dengan kata-kata manisnya.

Ini merupakan salah satu bentuk dari ‘Talbis Iblis’. Talbis Iblis ini bermaksud menampakkan kebatilan dalam bentuk kebenaran.

Jadi Talbis Iblis ini adalah bagaimana perancangan hebat Iblis La’natullah dan tenteranya dalam menghasut dan memperngaruhi manusia sehingga manusia menampakkan kebatilan itu sebagai suatu kebenaran dan kebenaran itu sebagai suatu kebatilan.

Menurut Iman Ibnul Jauzi di dalam kitab karangannya ‘Talbis Iblis’, salah satu bentuk dari tipu daya dan golongan-golonga yang tidak terlepas dari Talbis Iblis ini adalah tipu daya Iblis dalam masalah I’tikad atau keyakinan dan agama. Saya rasa inilah masalah yang sedang dihadapi oleh Wati ketika ini.

“Kalau kau tidak mahu apa kata kalau kau aku angkat menjadi Nabi Isa. Kau boleh menjadi mulia seperti aku. Kerana Allah telah mengangkat aku menjadi Nabi Muhammad. Nabi Muhammad yang dulu sudah tiada. Kerana sudah lama wafat. Jadi Allah melantik aku menjadi Nabi Muhammad yang baru. Hahaha..”

“Saya tidak mahu.”

“Mahu tidak engkau aku tawarkan kuasa memerintah segala makhluk yang ada di langit dan di bumi. Bahkan jin dan syaitanpun akan menjadi tenteramu?”

Saya teringat kembali akan doa Nabi Sulaiman AS ketika memohon kepada Allah;

“Rabbighfir lii wahab lii mulkan laa yanbaghii li-ahadin min ba’dii innaka antal wahhaabu.”

Maksudnya;
“Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi.” (Surat Shaad: 35)

“Saya tidak mahu kerana itu adalah mukjizat Nabi Sulaiman yang Allah turunkan kepadanya sahaja dan bukan orang lain sebelum dan sesudahnya.”

“Mahukan engkau aku tawarkan kekuasaan untuk boleh menghidupkan orang yang telah mati?”

“Aku tidak mahu sebab itu adalah mukjizat Nabi Isa AS.”

Saya kemudian membaca sepotong ayat Al Quran;

“Dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizinKu.” (Al Maaidah: 110)

“Kalau semuanya engkau tolak, jadi apakah permintaan kamu? Sebut sahaja Malik. Nanti akan aku perkenankan. Hahaha..Asalkan engkau tunduk dan patuh kepada aku.”

“Aku cuma ada satu permintaan sahaja.”

“Apa dia. Perdengarkan kepadaku Malik apa kemahuanmu.”

“Siapapun engkau aku mahu kau keluar dari badan Wati kerana engkau adalah syaitan la’natullah dan jangan cuma untuk menyesatkan manusia.”

DIMARAH IBU WATI

Selepas saya berkata-kata seperti itu, dengan tidak semena-mena, ibu kepada Hakim memandang, memarahi dan menangking saya.

“Ustaz, kenapa ustaz menuduh Wati ni syaitan? Ustaz cakap ikut sedap mulut saja. Wati ni manusia dan bukannya syaitan.”

Saya terpinga-pinga dengan kenyataan ibu Hakim. Saya terkejut kenapa ibu Hakim boleh berkata seperti itu. Saya tidak menuduh anaknya Wati sebagai syaitan tetapi saya sedang berusaha untuk berdialong dengan syaitan yang berada di dalam tubuh Wati.

“Bukan macam tu makcik. Saya tak maksudkan Wati. Yang saya maksudkan adalah syaitan yang duduk di dalam badan Wati itu yang menyesatkan Wati selama ini.”

“Aaahh..Ustaz sama saja dengan yang lain. Sengaja untuk memecah-belahkan keluarga kami. Lepas tu nanti ustaz akan kata yang keluarga kami ini membela syaitan.”

Saya menjadi semakin bingung. Ayah Hakim kemudiannya memandang isterinya lalu berkata;

“Apa yang awak merepek ni. Awak tak tahu ke yang dalam pada Wati ni ada syaitan yang merasuk? Bagus dah ustaz nak tolong Wati ini. Awak nak dia gila terus selamanya ke?”

“Tak pernah lagi orang panggil anak kita syaitan bang. Wati tu saya yang jaga dari dalam kandungan hingga sekarang. Saya ibu dia saya tahulah.”

“Sampai ke situ pulak awak ni merepek. Kalau macam ni awak keluar je dari bilik. Jangan ganggu ustaz nak tolong anak kita.”

“Baiklah. Sebagai seorang ibu saya doakan semoga Wati ni tak sembuh sampai bila-bila. Abang ingat doa saya ini.”

“Astaghfirullah..Apa awak cakap ni. Kenapa doakan yang tak bagus untuk anak sendiri.”

“Biarlah. Nanti saya akan jaga Wati sampai saya mampus.”

Ibu Hakim kemudiannya berdiri sambil meninggalkan kami bertiga di bilik Wati.

“Gedegang.”

Bunyi pintu dihempas oleh Ibu Hakim dari luar bilik. Suasana bertukar menjadi sepi. Saya dalam keadaan serba salah dan cuma mampu untuk memandang wajah Hakim dan ayahnya sambil menghulurkan senyuman yang dibuat-buat.

“Ustaz, pakcik minta maaf. Pakcikpun tak tau kenapa makcik boleh jadi begini. Makcik seorang yang lembut hati ustaz. Mungkin terlalu tertekan kot.”

“Tak apalah pakcik. Kami selalu je mengalami hal seperti ini. Sehinggakan pernah dihalau dari rumah pesakit pakcik. Kena kejar dengan parangpun pernah pakcik. Hahaha..”

Saya cuba untuk berseloroh dengan ayah Hakim supaya perasaan serba salahnya itu hilang. Tetapi lawak saya itu langsung tidak disambut dengan senyuman dan ketawa oleh ayah Hakim dan Hakim sendiri.

Malah mereka tidak mempeduli sedikitpun apa yang saya ucapkan. Malu juga saya ketika itu. Maklumlah lawak tak kena pada tempatnya.

Hakim memandang saya. Kemudian memandang Wati yang sedang mengorek-ngorek celah lantai bilik yang meekit untuk mencari apa sahaja yang boleh dimakan.

“Jadi macamana ni ustaz?”

“Alang-alang saya di sini saya teruskan dulu untuk merawat Wati. Itupun kalau pakcik dan Hakim izinkan.”

“Pakcik izinkan nak. Pakcik kesian tengok Wati. Ntah macamana kalau kami dah meninggal nanti. Siapa yang nak jaga dia. Pakcik tak nak dia dihantar ke hospital sakit jiwa.”

“Saya paham pakcik. Nanti kita usahakan apa yang terbaik untuk Wati.”

Selepas mendapat keizinan dari ayah Hakim saya minta izin kepada mereka untuk pindahkan Wati ke ruang tamu sebab di dalam bilik Wati saya rasa tidak sesuai kerana bau najis yang memenuhi ruang bilik. Lagipun saya ingin membaca Al Quran. Jadi kenalah pada tempat yang sesuai.

Kemudian Hakim dan ayahnya membuka kunci pada pergelangan kaki dan tangan lalu memimpin Wati pergi ke arah ruang tamu. Ibu Hakim saya tidak tahu berada di mana. Mungkin berada di biliknya sendiri.

Saya mulakan dengan membaca taawwudz, basmallah, Surah Al Fatihah dan Surah Kursi. Saya membaca sambil memohon perlindungan kepada Allah untuk diri sendiri, keluarga saya dan Wati sekeluarga.

DITERTAWAI OLEH SYAITAN

Semasa saya bacakan ayat-ayat tersebut, Wati mengikuti sahaja bacaan saya, juga malah menghafalnya dengan baik dan lancar. Saya cuba meneliti bacaan Al Quran Wati.

Semuanya betul mengikut kaedah tajwid dan makhrajal huruf tetapi ada sebahagian pula bacaannya dibaca dengan kurang jelas. Kemudian semasa membaca Surah Kursiy, Wati ketawa dan memandang saya.

“Hahaha..Kenapa bacaan kamu berterabur Malik. Malahan bacaan Al Quran aku lebih baik darimu. Belajarlah lagi kerana bacaan kamu banyak yang salah. Kalau mahu aku juga boleh menjadi gurumu. Hahaha..”

Saya lihat Hakim dan ayahnya seperti tidak keruan. Memandang sesama sendiri. Mungkin terkejut dengan pernyataan syaitan yang berada di dalam badan Wati tadi. Atau mungkin tidak menyangka syaitan itu akan berkata seperti itu.

“Pakcik, Hakim. Tolong bacakan Surah Kursiy sebanyak yang mungkin dan berdoa kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk mengalahkan syaitan ini.”

Ayah Hakim memandang saya dalam keadaan serba salah dan tersengih-sengih.

“Hehehe..Tak apalah ustaz. Ustaz bacalah. Malu nanti bacaan kami kena tegur syaitan tu ustaz. Dahlah bacaan kami ni suam-suam kuku je.”

Saya tidak terpancing dengan apa yang dikatakan oleh syaitan tadi mengenai bacaan Al Quran saya. Saya tahu bacaan saya tidaklah sempurna 100% tetapi kami di Pusar Rawatn Ruqyah Syar’iyyah Bintulu selalu ‘bertalaqi’ kepada abang saya, Ustaz Amir Hamzah.

Ustaz Amir Hamzah sudah 30 tahun lebih berkecimpung dalam dunia tilawah Al Quran dan beliau sekarang merupakan salah seorang hakim bagi pertandingan tilawah Al Quran Peringkat Bahagian Bintulu.

‘Talaqqi’ ini adalah dari perkataan Arab yang membawa maksud berjumpa. Iaitu berjumpa antara murid dengan guru.

Caranya seorang murid duduk di hadapan gurunya untuk memperdengarkan bacaan Al Quran secara langsung di mana-mana sahaja dengan syarat secara bersemuka tanpa perantaraan alat dan orang lain.

Kemudian guru akan menegur murid jika terdapat kesalahan di dalam bacaannya serta membetulkan kesalahan tadi secara terus.

“Pakcik, Hakim. Bacalah Surah Kursiy sekarang. Kita kena ingat syaitan ni ketawa bukan kerana bacaan kita salah atau apa. Tetapi semasa kita membacakan Surah Kursiy padanya, syaitan itu sedang kesakitan. Jadi syaitan itu tidak akan meminta kita untuk menghentikan bacaan disebabkan dia sakit kerana sekiranya kita telah tahu yang dia telah sakit, nanti kita akan semakin memperbanyakkan bacaan ayat Al Quran kita padanya dan dia semakin lemah, hancur dan terbakar dengan izin Allah dan itulah hakikatnya. “

“Jadi untuk menghentikan kita dari membaca Al Quran, syaitan akan mengejek dan memtertawakan kita dengan cara mengatakan bahawa bacaan kita salah dan sebagainya. Selepas kita hentikan bacaan kita, syaitan tidak akan merasa sakit lagi kerana kita telah hentikan bacaan kita. Inilah psikologi jin dan syaitan yang perlu kita tahu.”

Hakim dan ayahnya seolah-olah mendapat sebuah kekuatan yang baru. Mereka mula membaca Surah Kursi dengan khusyuk tanpa mempedulikan syaitan itu yang terus-menerus mentertawakan kami.

“Hahaha..Bacalah semampu kamu. Aku tidak akan sakit kerana bacaan Al Quran itu tidak akan pernah dapat menyakiti aku dan Wati. Hahaha..

Saya teruskan bacaan Surah Kursiy saya dengan diselangi beberapa ayat Al Quran dari Surah An Naba;

“Sesungguhnya neraka jahannam itu (padanya) ada tempat pengintai. Lagi menjadi tempat kembali bagi orang-orang yang melampaui batas. Mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya. Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman. Selain air yang mendidih dan nanah. Sebagai pembalasan yang setimpal. Sesungguhya mereka tidak takut kepada hisab. Dan mereka mendustakan ayat-ayat Kami dengan sungguh-sungguhnya. Dan segala sesuatu sudah Kami catat dalam suatu kitab. Kerana itu rasakanlah. Dan kami sekali-kali tidak akan menambah kepada kamu selain daripada azab. (Surah An Naba: 21-30)

Selepas lebih setengah jam membaca Al Quran dengan khusyuk, ketawa syaitan di dalam badan Wati mula berkurangan.

Pada awalnya syaitan itu ketawa sambil meperlekeh-lekehkan bacaan kami. Tapi lama kelamaan ketawa tersebut bertukar menjadi mengerang kesakitan.

Kami memerhati dengan tekun setiap tindak tanduk syaitan yang menggunakan badan Wati tersebut. Daripada berterusan ketawa syaitan itu mula mengerang kesakitan, ketawa semula, menangis, ketawa dan kembali menangis.

Ketika ini saya rasakan syaitan itu mula benar-benar sakit akibat dari kesan mukjizat Al Quran sebagai penawar salah satu kepada gangguan jin ini. Kami teruskan bacaan kami sehinggalah syaitan itu berkata;

“Sudah. Hentikan bacaan kamu. Aku mengalah.”

“Aku minta untuk engkau supaya keluar dari badan Wati selamanya.”

“Aku boleh saja keluar tapi masalahnya aku dipanggill oleh Wati untuk memenaminya. Jadi aku turuti saja permintaannya.”

“Kalau begitu. Putuskan perjanjian kamu. Jangan lagi pernah menganggu Wati dan keluarganya. Jelaskan kepada aku bagaimana boleh kamu datang kepadanya.”

“Baiklah. Tetapi kamu perlu tahu akan satu perkara.”

“Apa itu.”

“Begini. Aku merasuki Wati dengan jalan yang biasa. Melalui sifat kelalaian manusia. Aku tahu niatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah, jadi aku sesatkan dia juga dengan jalan beribadah.”

“Bagaimana kamu boleh menyesat Wati sedangkan dia tahu dia ingin mendekatkan diri kepada Allah.”

“Hahaha..Di situlah kesilapan Wati sebenarnya. Suatu ketika Wati merasakan dirinya penuh dengan dosa dan ingin mendekatkan diri kepada Allah. Lalu Wati mula beribadah seperti solat, membaca Al Quran, berzikir dan sebagainya. Syaitan mana yang mahu manusia kembali kepada Allah bukan? Lalu aku mula rasuk pemikirannya. Sebelum ini Wati jarang sekali untuk beribadah, jadi banyak perkara yang dia tidak tahu. Dia lakukan ibadah dengan banyak sekali kesalahan tanpa dia terfikir betul atau tidak.”

“Suatu hari ketika dia beribadah seorang diri di tengah malam, aku memerhatikan dia melakukan solat tahajjud dan berzikir tapi dia tidak tahu untuk solat dengan cara yang betul dan solatnya itu berdasarkan apa yang dia faham saja. Betul atau tidak dia sendiri tidak tahu. Sedangkan zikir sebagai amalannya adalah zikir yang dia perolehi dari buku sahaja. Itu bukannya ayat Al Quran. Jadi Wati mula beribadah tanpa berguru. Jadi senang untuk aku mendekatinya.”

“Pernah suatu malam Wati tertidur setelah selesai solat tahajjud. Aku meresap masuk ke dalam mimpinya. Aku hadir dalam mimpinya sebagai seorang Nabi. Aku katakan padanya bahawa aku adalah Nabi Khidir yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan salam kerinduan Allah kepadanya. Lalu aku katakan bahawa Allah meminta dia untuk merahsiakan perjumpaan kami di dalam mimpi ini kerana ini adalah mukjizat Allah kepada Wati. Yang Allah tidak berikan kepada orang lain.”

“Aku tahu sekiranya ketika itu aku melarang Wati untuk jangan beribadah dan memintanya untuk meninggalkan ibadahnya sudah tentu Wati akan menolak. Kerana dia tahu aku adalah syaitan dan dia tahu dia sedang berada di atas jalan yang betul untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka susah untuk aku mempengaruhinya nanti.”

TERSILAP LANGKAH

“Astaghfirullahal ‘azhim. Lepas itu apa yang terjadi?”

“Ya. Wati mula terpengaruh. Bayangkan Nabi Khidir datang dalam mimpinya dan mendapat salam kerinduan dari Allah. Wati menjadi sangat-sangat gembira. Selepas itu aku sering hadir ke dalam mimpinya dan memintanya terus menerus beribadah. Selepas itu aku minta dia membacakan Al Quran. Aku tahu dia tidak pandai membaca Al Quran. Jadi aku ajarkan dia beberapa kalimat yang menyerupai bacaan Al Quran. Lalu dia membaca dan menghafalnya. Wati ingatkan itu adalah ayat Al Quran tapi sebenarnya tidak. Oleh kerana dia tidak tahu jadi tugas aku sangat mudah.”

“Ada beberapa zikir yang aku ajarkan juga kepadanya. Semuanya sesat. Tetapi dia tidak tahu. Dia terus mengamalkannya setiap hari. Sedangkan zikir-zikir itu mengundang lebih banyak syaitan untuk mendampinginya. Zikir itu aku katakan adalah pemberian dari Allah untuknya dan jangan ditunjukkan kepada orang lain.”

“Aku juga berpesan kepada Wati sebelum membaca zikir-zikir tadi pastikan dibaca dulu ‘taawwudz’ (doa perlindungan) yang aku ubah maknanya sedikit. Aku minta dia menukar bacaan;

‘A’uzu billahi minasy syaitaanir RAJIM’ (Aku memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang direjam) kepada;

‘A’uzu billahi minasy syaaitanir RAHIM’ (Aku memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang dikasihi).

Aku katakan kepadanya bahawa Allah meminta kepada aku untuk sampaikan bacaan ‘taawwudz’ ini kepadanya.”

“Selepas beberapa lama, aku katakan kepadanya bahawa Allah telah menyampaikan berita gembira buatnya. Allah telah menjanjikan syurga padanya. Oleh itu dia tidak perlu untuk solat lagi kerana Allah telah mengangkat tinggi darjatnya di sisi Allah dan mulai dari saat itu Allah telah melantik dia menjadi Nabi Muhammad yang baru.”

“Sebagai tanda persetujuan aku minta Wati untuk memakan tahi dan kencingnya sendiri. Pada mulanya dia geli dan menolak. Aku katakan padanya kenapa mesti geli sebab seluruh tubuh badannya adalah suci dan telah disucikan oleh Allah. Akhirnya dia makan tahi dan meminum kencingnya sendiri. Selepas dari ituah aku mula menguasai jiwanya. Tubuhnya aku tidak perlu kerana untuk memintanya menjadi kufur adalah cukup dengan keyakinan di hatinya saja. Hahaha..Mudah bukan?”

“Sejauh mana engkau mendampingi Wati wahai syaitan?”

“Sudah lama. Pada mula ketika dia baru berniat untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

“Apa juga yang kau lakukan padanya?”

“Senang saja. Dia sudah tunduk kepadaku. Fikirannya telah aku lalaikan sehingga dia menghampiri gila. Pandangan matanya telah aku kaburkan sehingga sesuatu yang salah pada pemikiran manusia adalah betul baginya. Dia sangat yakin yang dia adalah Nabi Muhammad yang baru.”

“Kadang-kadang aku nampakkan pada pandangan matanya beberapa keistimewaan seorang nabi ini. Pernah aku menyuruhnya untuk solat tetapi dalam keadaan telanjang. Aku katakan padanya di akhirat nanti semua manusia bertelanjang di Padang Masyhar. Jadi kenapa perlu malu untuk awal-awal berjumpa dengan Allah dalam keadaan bertelanjang.”

“Zikir yang aku berikan kepadanya hingga sekarang dia masih lagi amalkan dan dia tidak tahu ada di antara isi dari zikir tersebut adalah untuk memuja syaitan. Sekarang dia sudah terperangkap dengan fikirannya sendiri. Aku cuma tinggal untuk mengarahkan saja. Hahaha..”

“Sekarang susah untuk siapa-siapa termasuk keluarganya untuk memujuknya supaya meninggalkan segala amalan ini sebab fikirannya telah termakan dengan kata-kata aku dulu bahawa Allah telah sampaikan salam kerinduan kepadanya dan Allah telah mengangkatnya menjadi Nabi Muhammad.”

“Baiklah. Engkau keluarlah sekarang. Semoga laknat Allah tetap bersamamu sampai bila-bila.”

“Ya. Aku akan keluar sebab aku sudah berjaya menyesatkannya. Tiada lagi kepentingan aku untuk berada di dalam badannya. Cuma kau kena ingat akan satu perkara. Selepas aku keluar akan banyak lagi kawan-kawan aku dari golongan syaitan yang berbaris untuk menyesatkannya. Juga masih ramai lagi orang-orang seperti Wati ini menunggu untuk disesatkan. Hahaha..”

“Dan kau jangan lupa. Sekarang Wati sudahpun menjadi gila. Hahaha..Gila isim..Hahaha..Dulu aku menyusup masuk ke dalam badannya melalui urat-urat tubuh dan tinggal di bahagian kepalanya untuk menyekat Wati daripada berfikir secara normal. Tetapi sekarang tidak perlu lagi. Kerana dia sudah gila. Hahaha..”

Tidak lama selepas itu, Wati mula tersedar. saya bacakan Surah Kursiy beberapa kali untuk memastikan tiada lagi syaitan yang mendampinginya. Selepas saya habiskan bacaan saya, kami bertiga memandang wajah Wati.

“Mana kawan Wati ayah?”

“Siapa kawan kamu Wati?”

“Nabi Khidir tu.”

“Astaghfirullahal ‘azhim. Itu bukan Nabi Khidir Wati. Itu syaitan yang cuba menyesatkan Wati.”

“Mana ada syaitan ayah. Dia tu Nabi Khidir yang Allah turunkan kepada Wati untuk jadi teman Wati. Alhamdulillah ayah. Sekarang Wati dah jadi Nabi Muhammad yang baru. Bolehlah kita memerintah dunia nanti ayah.”

Ayah Hakim memandang wajah Wati. Wajahnya sugul dan kemudian air mata jatuh di pipinya. Ayah Hakim cuba untuk menahan rasa sebak ketika itu. Ternyata ujian yang Allah beri kepada mereka sekeluarga belum selesai lagi.

Saya meminta kepada Hakim dan ayahnya untuk jangan memaksa dan bertanyakan apa-apa soalan dulu berkaitan dengan gangguan yang Wati hadapi sebelum ini. Biar keadaan tenang dulu dan Wati boleh beristirehat dengan baik.

“Ustaz. lepas ni macamana? Apa yang perlu kami buat?”

“Pakcik dan Wati rehatlah dulu. Lepas beberapa hari barulah pakcik tanya dengan Wati bagaimana keadaannya. Tapi kalau boleh saya cadangkan supaya pakcik membawa Wati pergi ke hospital supaya doktor boleh merawat Wati. Wati terlalu lemah dan makan benda-benda yang pelik.”

“Baiklah ustaz.”

“Lagipun mungkin selama ini Wati berada di dalam alam khayalannya sendiri. Apa lagi sebelum ini Wati sentiasa diganggu oleh syaitan yang sering bersamanya. Selain itu pakcik juga boleh bawa Wati untuk berjumpa dan mendapatkan nasihat dari ustaz dan ustazah berkenaan dengan masalah fikirannya ini.”

“Ustaz tak boleh tolong ke?”

“Boleh pakcik cuma kepakaran seseorang itu berbeza-beza. Ada orang yang lebih sesuai dari saya pakcik. Kebolehan saya adalah cuma dapat berusaha untuk menghilangkan gangguan jin yang cuba merosakkan pemahaman akidah Wati pakcik dan itupun dengan izin Allah. Kalau pakcik nak bawak Wati untuk meneruskan rawatan dengan kami Insyaallah kami tiada masalah pakcik. Malah kami sangat mengalu-alukan Wati datang untuk rawatan susulan. Insyaallah kami akan tolong semampu kami.”

“Satu lagi pakcik. Kalau pakcik nak bawak Wati berjumpa dengan saya lepas Wati sembuh Insyaallah saya akan tolong pakcik. Terutamanya untuk memberi nasihat kepada Wati supaya dapat membantu Wati mengubah cara berfikirnya.”

“Untuk sekarang ini agak sukar untuk kita mempengaruhi supaya Wati balik ke pangkal jalan sebab kita tidak tahu berapa lama sudah Wati hidup bersama syaitan tesebut. Apa-apapun saya akan tunggu pakcik untuk bawak Wati berjumpa dengan saya. Nanti kita usahakan untuk membantu Wati menghilangkan gangguan ini yang saya rasakan masih membelenggu jiwanya dan bukan rohnya.”

“Baiklah ustaz. Pakcik paham. Terima kasih ustaz sebab tolong Wati.”

“Allahu rabbi. Tak ada apa-apa tu pakcik. Pakcik bersyukurlah kepada Allah kerana Allah yang tentukan semua ini.”

“Insyaallah ustaz.”

“Alhamdulillah. Pakcik, saya minta izin untuk balik dulu.”

“Baiklah nak. Nanti Hakim hantar ustaz balik k. Pakcik nak uruskan Wati ni dulu.”

“Baiklah pakcik. Kirim salam kat makcik. Saya balik dulu.

Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

PULANG KE RUMAH

Saya kemudian melangkah keluar dari rumah Hakim. Menuju ke arah kereta sambil memikirkan bagaimanakan nasib yang akan menimpa Wati seterusnya. Memang agak sulit untuk merawat pesakit yang terjebak dengan masalah gila isim ini.

Saya cuma mampu berdoa agar Allah memelihara kami dan memberi kesembuhan kepada Wati kerana Allah sahaja yang boleh menyembuh sakit Wati ini.
Tetapi kalau dari segi adab berubat, ramai pesakit gila isim ini tidak sembuh kerana mental dan jiwa mereka telah terganggu.

Sebab itulah rawatannya perlu pelbagai iaitu yang pertama, dengan cara mendapatkan rawatan ruqyah untuk memastikan gangguan jin di dalam badannya keluar.

Kedua, mendapatkan rawatan di hospital kerana secara fizikalnya pesakit ini sangat lemah, sakit serta akal fikirannya tidak dapat berfikir secara normal dan yang ketiga rawatan dari pakar psikologi dan kaunselor untuk membantu membangun kembali jiwanya lemah dan perlukan bimbingan berterusan supaya pesakit bleh memulakan hidup yang baru.

Inilah sebabnya kenapa pesakit yang mengalami masalah gila isim ini sukar untuk sembuh. Ketiga-tiga rawatan ini perlu berjalan serentak agar tiada ruang untuk syaitan-syaitan itu kembali menganggu.

Semasa meninggalkan rumah Hakim bertanya kepada saya;

“Ustaz, ustaz marah ke atas tindakan ibu saya tadi? Kalau ustaz marah saya mewakili keluarga saya untuk meminta maaf kepada ustaz.”

“Takdelah Hakim. Ustaz dan kawan-kawan pernah kena lagi teruk daripada ni. Biasalah tu Hakim sebab ibu Hakim dalam keadaan tertekan sebenarnya. Itu saja. Mungkin ibu Hakim masih tak faham. Insyaallah nanti-nanti ibu Hakim fahamlah tu.”

“Ustaz, kenapa syaitan menganggu orang seperti Wati. Kan lebih ramai lagi orang yang berbuat dosa, tidak menutup aurat, derhaka kepada orang tua dan bermacam-macam lagi kemungkaran yang mereka lakukan. Kenapa buka orang seperti ini yang diganggu? Berbanding dengan Wati, seorang anak yang baik.”

“Macam ni Hakim. Apa perlu untuk syaitan menganggu orang-orang yang sudah rosak itu. Tak ada keuntungan. Sebab mereka sudah rosak. Cuma syaitan mempengaruhi mereka untuk terus konsisten melakukan dosa dan jangan kembali bertaubat kepada Allah. Itu saja.”

“Sedangkan keuntungan yang besar bagi mereka adalah dapat merosakkan orang yang mula mendekatkan diri kepada Allah seperti Wati. Apa lagi Wati tiada asas agama. Jadi terlalu senang untuk syaitan mengalahkan mereka dan mebimbing mereka terus ke arah kesesatan.”

“Alhamdulillah. Barulah saya faham ustaz.”

Sesampainya di rumah saya sujud syukur dan memikirkan kembali tentang pengalaman yang saya dapat pada malam ini.

Allah tidak memaksa kita untuk menyelesaikan masalah seseorang melainkan dengan kemampuan kita tetapi Allah meminta untuk kita belajar sesuatu agar sejarah itu boleh kita jadikan tauladan di kemudian hari.

MIMPI

Entah kenapa pada malam itu tidur saya tidak berapa nyenyak seperti biasa. Seingat saya saya ada bermimpi.

Saya melihat ada tiga orang perempuan. Wati saya lihat sedang duduk, kepala dan bajunya berlumuran dengan darah kerana dicucuk oleh ibunya sendiri dengan menggunakan batang kayu tajam yang penuh dengan ukiran zikir padanya hingga tembus.

Jiwa saya mengatakan bahawa itulah zikir bida’ah yang diamalkan oleh wati selama ini hingga menyebabkan kepalanya tidak dapat lagi menerima ilmu-ilmu yang baik.

Cuma saya tidak tahu apakah maksud kenapa ibu Wati sendiri menyucuk kepada Wati hingga berdarah.

Sedangkan seorang lagi dalam mimpi saya adalah perempuan yang saya lihat sedang duduk di buaian di rumah Hakim.

Ketika itu di dalam mimpi perempuan itu sedang memegang kepala ibu Wati dengan sebuah genggaman yang kuat sehingga kepala ibu Wati hampir pecah dan mengalir pada tangan dan lengan syaitan itu darah dingin ibu Wati.

Kemudian saya terjaga dari tidur dan membaca ayat-ayat perlindungan serta amalan-amalan yang disyariatkan sekiranya kita bermimpi buruk. Saya amalkan adab-adab yang dianjurkan berdasarkan hadits yang shahih dari rasulullah shallallahu’alaihi Wasallam:

“Mimpi yang baik itu dari Allah. Sedangkan mimpi yang buruk itu dari setan. Jika salah seorang dari kalian bermimpi yang tidak ia sukai, maka hendaknya ia meniup ke sebelah kirinya tiga kali dan membaca ta’awwudz sebanyak tiga kali. Kemudian setelah itu hendaknya ia membalik tubuhnya ke sisi yang lain, dengan demikian tidak ada lagi yang membahayakan dan jangan ceritakan kepada seorang pun mimpi tersebut” (HR. Bukhari no. 6995, Muslim no. 2261)

Selepas itu saya melakukan solat sunat dua rakaat dan kemudian menyambung tidur saya kembali.

Selepas kejadian pada malam tersebut Hakim dan ayahnya tidak ada menghubungi saya untuk bercerita tengan perkembangan terbaru berkenaan dengan Wati ataupun ingin membuat temujanji untuk merawat Wati.

Saya cuma doakan semoga Wati kembali pulih seperti biasa dan mula menjalani kehidupan seperti oang lain. Sampailah pada suatu ketika. Sekitar dua bulan selepas saya merawat Wati. Saya mendapat panggilan telefon dari Hakim selepas saya menunaikan solat zohor.

“Assalamualaikum ustaz. ini Hakim. Ustaz apa khabar?”

“Waalaikumsalam Hakim. Alhamdulillah sihat. Ayah ibu apa khabar? Wati macamana sekarang?”

“Ibu dan ayah sihat ustaz. cuma Wati ustaz. Wati dan meninggal dunia petang semalam. Pagi tadi dah dikembumikan di Tamah Perkuburan Kemunting.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un.”

Saya terdiam sebentar. Seperti tidak percaya apa yang berlaku kepada Wati. Sebelum ini saya membayangkan yang Wati sudah mulai sembuh tetapi semuanya tidak seperti apa yang diharapkan.

“Kenapa boleh jadi macam ni Hakim.”

“Ntahlah ustaz, kalau ustaz ada kelapangan ayah nak berjumpa dengan ustaz.”

“Ayah Hakim kat mana sekarang?”

“Ada kat rumah. Ayah nak mintak tolong tengok-tengokkan bilik Wati sebelum diorang kemas-kemaskan barang.
“Baiklah Hakim. Ustaz datang sekarang.”

“Terima kasih. Ustaz. Kami tunggu ustaz k.

Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam Hakim.”

MENZIARAHI KELUARGA WATI

Saya tanpa membuang masa terus pergi ke rumah Hakim. Perjalanan sedikit lambat kerana jalan sesak ketika itu. Maklumlah masa puncak.

Tetapi kesesakan jalan raya ketika itu tidak sedikitpun menganggu fikiran saya. Saya terkenang dan tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Wati sebenarnya.

Sesampainya di hadapan rumah Hakim saya letakkan kereta di luar pagar rumah. Selepas mematikan enjen kereta saya terus masuk ke perkarangan rumah.

Ada beberapa orang anggota keluarga Hakim sedang berbual-bual kemudian memandang saya. Mungkin saudara Hakim yang datang menziarahi keluarga Hakim. Hakim juga bersama-sama dengan mereka pada ketika itu.

“Assalmualaikum ustaz.”

“Waalaikumsalam Hkim. Mana ayah?”

“Ada kat bilik Wati. Tengah kemas sikit-sikit sementara menunggu ustaz datang.”

“Baiklah. Jom kita masuk Hakim. Ustaz tak dapat lama sebab nak bawak mak pergi ke klinik lepas ini.”

“Baik ustaz.”

Hakim kemudian masuk ke dalam rumah sambil diikuti oleh saya dari arah belakang. Kami memasuki bilik Wati. Dari kejauhan bau busuk mula menguasai hidung saya. Tekak saya loya dan bila-bila masa sahaja saya boleh muntah.

Saya berdoa kepada Allah untuk diberi perlindungan dan jangan muntah di rumah orang.

Saya baca Surah Kursiy dan masuk dengan kaki kanan. Saya lihat ayah Wati sedang mengemas katil wati lalu memandang saya.

“Assalamualaikum ustaz.”

“Waalaikumsalam pakcik.”

“Ustaz tengok-tengoklah dulu keadaan bilik Wati ni. Pakcik cuma nak mintak tolong ustaz beri pendapat nanti.”

“Baiklah pakcik.”

Saya mula merenung setiap sudut bilik Wati. Bagi saya agak menyeramkan jugak. Di setiap dinding bilik dilekatkan potongan ayat Al Quran dari naskah Al Quran yang dikoyakkan dan dilekatkan di dinding.

Di atas lantai penuh dengan muntah manusia, kencing dan tahi manusia di atas katil. Lantai basah dan berbau.

Saya juga terkejut apabila melihat seeokor bangkai kucing yang mula mereput dan mula menampakkan tulang tengkorak.

Menurut perkiraan saya kucing itu mungkin telah mati lebih kurang dalam lima ke enam hari sebelumnya dan Wati sempat hidup bersama dengan bangkai kucing tersebut dan bangkai kucing itu terletak di atas meja.

Saya terkejut bagaimana seseorang boleh hidup dalam keadaan seperti ini. Melainkan jika orang tersebut mengalami masalah sakit jiwa atau gila atau mengalami gangguan jin.

Bagi saya, kalau Wati itu normal dia sendiri tidak sanggup untuk hidup di lingkungan seperti ini. Semasa saya melangkah masuk tapi saya hampir sahaja muntah, apa lagi orang yang hidup di dalamnya selama berminggu-minggu.

Selepas itu saya cepat-cepat melangkah keluar dari bilik Wati. Diikuti oleh Hakim dan ayahnya.

“Pakcik, Hakim. Insyaallah bolehlah kalau pakcik nak kemas-kemaskan bilik Wati lepas ni. Buang apa-apa yang patut. Tapi pakcik, Hakim, kenapa Wati boleh jadi macam ni?”

Hakim dan ayahnya memandang saya dengan wajah yang sugul. Kelihatan mereka sangat penat dan mata mereka kembang dan kemerah-merahan. Mungkin kesan menangis secara berpanjangan. Selepas itu Hakim memulakan kata-katanya.

“Ntahlah ustaz. Sayapun susah nak jelaskan kepada ustaz. Pada awalnya selepas berubat dengan ustaz dua bulan lepas, Wati mula menunjukkan perkembangan yang positif. Kami membawanya berjumpa dengan doktor pakar di Semenanjung dan Wati mendapat rawatan di sana selama sebulan. Kami juga membawanya untuk berjumpa dengan kaunselor untuk membantu Wati mendapatkan sesi kaunseling.”

“Semuanya berjalan dengan lancar pada mulanya. Saya dan ayah bercadang untuk membawa Wati berubat dengan ustaz selepas balik dari mendapatkan rawatan di Semenanjung. Tetapi ibu saya melarang untuk membawa berjumpa dengan ustaz.”

“Kata ibu saya ustazlah punca kepada semua permasalahan ini. Saya dan ayah bertegas juga untuk membawa Wati berubat dengan ustaz tetapi ibu saya ada rancangan sendiri. Tanpa pengetahuan kami, ibu telah membawa Wati berjumpa dengan bomoh untuk merawat Wati.”

“Bomoh itu mengatakan bahawa ustaz telah meyesatkan fikiran Wati dan bomoh tersebut meminta supaya Wati kembali mengamalkan zikir-zikir yang diberikan oleh syaitan dalam mimpinya sebelum ini. Pada mulanya Wati menolak tetapi apabila dipaksa oleh ibu dan bomoh tersebut atas alasan untuk kebaikan Wati dan supaya Wati cepat sembuh, maka Wati mula mengamalkan zikir itu semula. Akibatnya Wati menjadi semakin teruk.”

“Wati sudah tidak kenal kami sebagai anggota keluarganya. Ibu saya tetap menyalahkan ustaz atas apa yang berlaku pada Wati. Ayah dan ibu sering bertengkar akan hal ini di hadapan Wati menyebabkan fikiran Wati semakin terganggu. Akhirnya Wati semakin teruk. Tidak terurus. Kembali makan dan minum tahinya sendiri seperti sebelum ini. Wati juga kadang-kadang mengigit jarinya sendiri hingga berdarah. Kepalanya juga hampir botak kerana memakan rambutnya sendiri.”

“Berat badannya jauh susut ustaz, terlalu kurus. Kami tidak dapat mengawal lagi tingkah lakunya. Sebagai seorang abang saya sangat sedih atas kehilangan Wati ustaz tapi pada masa yang sama saya rela dia pergi untuk selamanya kerana saya sendiripun tidak sanggup untuk melihat penderitaannya. Cuma sautu perkara yang saya rasa puas hati dan bersyukur kepada Allah ustaz.”

“Apa dia Hakim?”

“Petang semalam sebelum Wati meninggal dunia saya dan ayah memecah masuk bilik Wati kerana Wati menguncinya dari dalam dan sudah beberapa hari Wati tidak keluar bilik. Kami tidak lagi menggari tangan dan kaki Wati kerana tangan dan kakinya melecet hingga berdarah dan bernanah disebabkan ikatan besi pada tangannya. Sebelum itu Wati tidak pernah mengunci biliknya sendiri.”

TAUBAT TERAKHIR

“Semasa ayah masuk ke dalam bilik Wati, Wati sudah terbaring lemah di atas lantai. Ayah memangku Wati sambil meminta saya memanggil ibu di dapur. Wati ketika itu walaupun terlampau lemah tapi dia seolah-olah sudah kembali sedar ustaz.”

“Wati bertanya kepada ayah di mana ibu. Selepas ibu datang Wati bertanya kepada ayah adakah semua dosa-dosanya diampunkan Allah sekiranya dia bertaubat. Lebih kurang macam nilah dialognya ustaz;”

“Ayah, kalau Wati bertaubat kepada Allah sebelum Wati meninggal dunia, adakah Allah makbulkan permintaan Wati ayah?”

“Ya nak. Allahkan Maha Pengampun. Walau sebanyak mana sekalipun dosa kita Insyaallah Allah akan makbulkan permohonan taubat kita nak.

“Ayah, ibu, Abang Hakim. Ampunkan kesalahan yang pernah Wati lakukan pada ayah, ibu dan Abang Hakim. Wati tak dapat jadi anak yang solehah. Wati telah salah memilih jalan Wati sendiri hingga Allah hukum Wati jadi seperti ini.”

“Wati jangan cakap macam tu. Wati selama-lamanya akan menjadi anak ayah dan ibu. Wati kuatkan semangat k. Ayah nak Wati sembuh dan kita boleh jalan bersama-sama dan pergi ke masjid sama-sama.”

“Ayah, Wati teringin sangat nak pergi masjid bersama ayah dan ibu. Tetapi Wati rasa Wati akan pergi dulu. Ayah, ibu, Wati nak peluk ayah dan ibu buat kali yang terakhir boleh?”

“Wati jangan cakap macam tu. Insyaallah Wati akan sembuh.”

“Ayah, Ibu, kalau Wati pergi dulu Wati janji Wati akan tunggu ayah dan ibu di pintu syurga. Nanti kita akan sama-sama masuk ke dalamnya. Itu janji terakhir Wati supaya ayah dan ibu akan tersenyum gembira. Abang Hakim, abang jaga mak dan ayah. Selama ini mereka dah penat jaga Wati.”

“Insyaalllah Wati. Abang sayang Wati.”

“Iya abang. Wati sayang Abang Hakim. Wati sayang ayah dan ibu jugak. Kasih sayang Wati ini nanti Wati akan tunjukkan kepada Allah. Supaya Allah boleh satukan kita di syurga nanti. Abang Hakim, ayah, ibu, Wati pergi dulu. Ashadu an laailaaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah..”

Hakim tidak dapat meneruskan kata-katanya. Saya juga mendiamkan diri. Untuk memberi ruang kepada Hakim untuk menangis sepuas-puasnya. Saya tidak sedar air mata saya juga berjatuhan. Begitu juga ayah Hakim. Menangis tersedu-sedu.

Tidak sanggup rasanya saya berhadapan dengan keadaan seperti ini. Rasa kesedihan ditinggalkan orang yang tersayang.

“Pakcik, Hakim. Insyaallah Allah akan ampuni dosa Wati kerana sempat bertaubat. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, Allah telah bukakan hati Wati untuk pulih kembali dan sempat bertaubat walaupun dalam keadaan terlalu lemah.”

Kemudian saya bacakan sebuah ayat dari Al Quran;

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az Zumar, Ayat 53)

“Pakcik, Hakim. Untung betul Wati kerana sempat bertaubat di akhir masa hidupnya dan kemudian Allah tarik nyawanya dalam keadaan Wati sempat bersyahadah dengan sempuna.”

“Adakah Allah akan terima Wati dengan cara mengampuni dosa Wati ustaz?”

“Insyaallah pakcik. Rasulullah SAW bersabda;”

“Dari Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum meninggal dunia) kalimat ‘Laa ilaaha illallah’ (tidak ada sembahan yang benar kecuali Allah) maka dia akan masuk suyrga.”

(HR Abu Dawud (no. 3116), Ahmad (5/247) dan al-Hakim (1/503), dinyatakan shahih oleh al Hakim, disepakati oleh adz Dzahabi, dan dinyatakan hasan oleh Syaikh Al Albani rahimahullah karena dikuatkan dari jalur dan riwayat lain. Lihat kitab “Irwa-Ul Galiil” (3/150)

Selepas itu saya meminta izin untuk balik. Hakim dan ayahnya menghantar saya hingga ke pintu kereta.

Kelihatan ibu Hakim memerhati saya dari celah-celah jendela tingkap rumah sambil bersembunyi.. Ibunya mungkin masih lagi memarahi saya.

Saya tidak kecewa dan marah. Asalkan ibunya jangan berdendam. Nanti akan bertambah pula masalah yang lain. Semoga Allah membuka hati ibunya untk memahami apa sebenarnya yang berlaku dan apakah kesannya kalau kita mminta pertolongan kepada bomoh.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah saya merenung kembali peristiwa yang dialami oleh keluarga Wati. Berminggu-minggu juga untuk saya melupakan kesedihan ini.

Semua ini saya jadikan pengajaran dan sejarah hidup saya supaya menjadi rujukan di lain masa akan datang sekiranya terpaksa berhadapan lagi dengan kes seperti ini. Semoga Alah merahmati dan melindungi kami dari ujian-ujian seperti ini. Amin.

Kung Pow..

p/s: Gambar ini adalah semasa saya cuba-cuba untuk memakai baju kebal milik seorang bekas mangsa gila isim di Bintulu. Baju ini cuma baju biasa sahaja tetapi bagaimana syaitan telah meresap ke dalam baju ini hingga menyebabkan orang yang menggunakan baju ini meyakini bahawa baju ini memang kebal sekiranya digunakan. Tetapi semua itu adalah tipu daya syaitan sahaja..

Comments

comments