Sekolah Membina Insan dan Melahirkan Kemenjadian

Saya masih teringat akan tulisan yang mengatakan bahawa murid-murid di Jepun belajar bagaimana mengurus diri, mempraktikkan nilai moral dan seni budaya pada usia 6 tahun sebelum mereka mula belajar akademik apabila mencecah umur 10 tahun di sekolah.

Ternyata penekanan keatas amalan moral adalah amat diutamakan. Sehingga sampai tahap anak-anak Jepun ini berbaris di jalanraya menundukkan kepala memberi hormat pada pekerja majlis perbandaran mengutip sampah. Itu jepun.

Sebenarnya di Sarawak pada tahun 1990an pelajar sekolah sudah dipraktikkan dengan kerja-kerja pembersihan tandas dan sekitar sekolah. Bukan seminggu sekali tapi 2 kali sehari (mengikut amalan SMK Saratok tahun 1994 – 2000).

Pada awal pagi 30 minit sebelum mula waktu pembelajaran, pelajar akan dibahagikan seksyen untuk dibersihkan. Ada yang sapu koridor, bersihkan bilik guru dan tandas tandas sekolah.

Pada jam 2.30 petang satu lagi sesi pembersihan dibuat. Aktiviti ini kami gelar WORK PARTY. Guru-guru juga turut sama membantu.

Work Party di SK Melugu tahun 1970an. Sumber gambar dari Encik Betram Klabu.

Waktu itu persekitaran sangat bersih dan pelajar lebih menghargai nilai kebersihan kerana mereka yang bertugas membersihkan sampah sarap.

Work Party di SK Melugu tahun 1970an. Sumber gambar dari Encik Betram Klabu.

Malah ada sekolah yang mengenakan hukuman mencuci tray asrama jika didapati tidak berdisiplin semasa makan di dewan makan. Ada yang didenda mencangkul parit di tepi sekolah.

Semua itu adalah hukuman jika berlaku dendaan akibat melanggar disiplin.

Ibubapa turut memberikan sokongan pada guru-guru dan sekolah. Kerana apabila anak-anak berdisiplin di sekolah secara tidak langsung akan membawa sikap berkenaan bila dirumah. Bilik tidur berkemas, dapur bersih dan persekitaran rumah akan teratur kerana anak-anak membantu.

Jadi objektif aktiviti dan dendaan sebegini membina kemenjadian insan yang mempunyai nilai moral yang tinggi.

Berbeda dengan zaman milenia ini. Penekanan disiplin agak longgar. Didenda duduk di gelanggang dan tar gelanggang pun dirakam dan dibela. Apatah lagi kalau rotan hinggap dibetis.

Nasihat sahaja yang mampu diberikan oleh guru-guru.

Kadang-kadang rasa kasihan pada pekerja swasta tercanguk-canguk mengutip dan menyapu sampah. Sedangkan murid selamba membuang plastik roti. Tandas pun dicuci pekerja. Semakin jauh amalan work party yang dibuat oleh sekolah sekolah terdahulu.

Kepada adik-adik, ingatlah zaman sekolah ini lah paling manis. Setiap kali reunion kita akan mengutip kembali memori saat didenda guru.

“Kau ingat tak Cikgu Hassan suruh aku cium tiang bendera sebab aku kacau Halimah?”. Maka berderai ketawa kita.

“Kau ingat tak masa kita kena tangkap sebab escape ikut pagar..Cikgu Manap kejar sampai tepi jalan. Bila kena tangkap..kita kena pumping tepi jalan masa budak budak sekolah perempuan keluar pulak tu..hahaha” kita ketawa lagi. Al fatihah cikgu Manap dah meninggal 3 tahun lepas.

Semua akan terdiam dan waktu itu rindu kita pada zaman sekolah terus malar segar diingatan. Itulah golden moment yang kita nak simpan adik-adik ku.

Takkanlah tahun 2050 nanti waktu reunion awak nak cerita “Kau ingat tak cikgu Emmet kena saman dengan bapak aku sebab cubit telinga aku…” tawar dik…tawar sangat kenangan tu.

Jadi bersikap postiflah pada setiap apa yang kita lalui. Pengalaman itu guru terbaik dan arkib ingatan kita yang paling indah. Semoga kemenjadian kita akan lebih baik dan tidak menjadi buruk akibat kemanjaan berlebihan.

Sebelum menoktahkan rencana saya nak share pengalaman saya melihat seorang pengetua wanita di Kuching mendenda pelajarnya.

Pada 2010 saya mengambil cuti sehari untuk membuat promosi klinik menjawab soalan SPM anjuran Astro secara percuma. Saya ke Sekolah Menengah STAR Kuching untuk bertemu pengetuanya.

Waktu tu pengetuanya menjemput saya masuk ke pejabat dan saya menerangkan kepada beliau sambil ditemani oleh PK, Puan Dayang kalau tak silap. Di dalam biliknya ada 5 orang rasanya pelajar lelaki dan perempuan sedang membaca juz amma.

Seusai saya memberi penjelasan dan dia bersetuju menghantar calon SPM ke klinik tersebut yang berlangsung di Inti College. Saya pun bertanya “Puan, pelajar yang baca Quran ni.. kenapa ye?”

“Ohhh…saya denda mereka sebab mereka buat kesalahan disiplin. Biar mereka baca Quran supaya ayat Quran dapat bentuk hati dan sikap mereka ni. Lagipun dapat juga pahalanya.( Lebih kurang begitulah ayatnya.)”.

Sekarang dah jadi Pengarah JPN Sarawak pengetua hebat itu.

Cikgu Emmet
8.11.2016
10.00 mlm.

Comments

comments