Bahang Ilmu Persilatan Kebal dan ‘Guris’

Suatu hari semasa kami sedang melakukan rawatan di pusat rawatan kami di Bangunan Martabat Bintulu, kami didatangi oleh belasan orang pemuda yang ingin mendapatkan rawatan. Kawan saya Mahli mempersilakan mereka untuk masuk.

Pada mulanya mereka malu-malu tetapi mungkin disebabkkan keadaan mereka benar-benar terdesak, jadi mereka telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan saya dan menyatakan hajat mereka kepada saya.

“Assalamualaikum ustaz. Saya Syafie. Kawan-kawan panggil saya Piee saja. Kami datang ni ada hajat sedikit. Itupun kalau ustaz free.”

“Waalaikumsalam Piee. Alhamdulillah. Kebetulan dah nak habis merawat pesakit ni. Ada apa-apa nak mintak tolong ke ni Piee?”

“Ada ustaz tapi kami nak mintak penjelasan dari ustaz dulu.”

“Penjelasan tentang apa Piee?”

“Macam ni ustaz. Kami nak mintak tolong ustaz kesan ada tak gangguan jin dalam badan kami semua. Untuk pengetahuan ustaz, sebelum ni kami ada belajar silat dari seorang guru yang datang dari tanah seberang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Guru Pendekar Hitam. Selain dari belajar ilmu silat, dia juga ada mengajarkan kepada kami ilmu kebal dan ilmu ‘guris’ iaitu sejenis ilmu untuk mengalahkan atau berlawan dengan musuh dari jarak jauh. Kami juga belajar ilmu silat dari mimpi ustaz.”

“Semua-semua kawan Piee ni nak cek sekali ke? Ke atau nak temankan Piee sahaja?

“Semua kami nak cek ustaz sebab kami semua ada menuntut ilmu-ilmu tu tadi. Ada lagi kawan kami yang belajar ustaz tapi mereka tetap dengan pendirian mereka nak belajar silat tu. Tapi bagi kami yang datang malam ni kami semua nak buang ilmu ni ustaz.”

“Ok baiklah. Tapi sebelum tu kenapa Piee dan kawan-kawan nak buang semua ilmu-ilmu ni? Nanti tak menyesal ke?”

“Kalau tak dibuang sekarang kami yang akan menyesal seumur hidup kami ustaz.”

“Kenapa pulak boleh jadi mcam tu Piee?

“Macam ni ustaz. Pada awal permulaan belajar silat kami rasa bersemangat ustaz. Kami belajar dengan tekun. Masa tu kami tak terfikirpun baik buruknya ilmu ni. Kami ditawarkan oleh guru tersebut ilmu kebal dan ilmu guris dan apa-apa sahaja ilmu silat yang kami belajar dari mimpi. Maksudnya di dalam mimpi kami boleh minta ilmu silat apa saja dan guru silat dalam mimpi kami akan mengajar kami. Kata guru kami ilmu ni adalah untuk menjaga diri kami dan keluarga. Ustaz tahu tak ilmu kebal, ilmu guris dan belajar silat dari mimpi ni?”

“Ustaz tahulah sedikit ilmu ni Piee. Ilmu kebal tu menang ilmu keballah tapi ilmu belajar silat dalam mimpi ni bukannya kita benar-benar belajar silat melalui mimpi. Cuma ketika kita bangun dari tidur iaitu ketika kita sedar, di dalam hati kita niatkan untuk bersilat tempur monyet, jadi badan kita otomatik akan bersilat tempur monyet dengan cantik. Mintalah apa saja secara silat itu akan keluar.”

“Tapi bukan bermaksud kita menguasai silat tersebut, tetapi syaitan telah masuk ke dalam badan kita untuk menggerakkan badan kita supaya mengikut pergerakan yang mereka mahukan. Itu saja. Yang bahayanya nanti pada satu peringkat kita boleh bersilat sendiri tanpa dapat kita tahan badan kita sendiri lalu mengamuk dan membunuh orang. Yang disalahkaan nanti adalah kita dan bukan syiatan di dalam badan yang menggerakkan silat tersebut.”

“Dan ilmu guris ni kalau tak silap adalah salah satu ilmu bertempur dengan musuh dari jarak jauh. Kita bersilat kemudian kita lepaskan senjata kita. Senjata tu sehalus dan seperti tali sarang labah-labah yang berkilau ketika terkena cahaya matahari. Dilepaskan kepada musuh dan musuh menyambut dengan buah silat dan menangkis dengan guris juga untuk menggelak dari serangan lawan.”

“Siapa yang tak dapat menahan serangan tersebut akan tercedera sama ada luaran atau dalaman. Mungkin sendir-sendi akan rosak, urat-urat akan terputus, daging menjadi buruk dan sebagainya. Itu yang ustaz tahu Piee. Ada guru ilmu guris ni pernah bagitau ustaz. Apa yang ustaz cerita ni adalah salah satu dari beberapa jenis guris yang lain dan yang lain tu ustaz tak tahu. Lepas tu Piee. Apa yang terjadi?”

GANGGUAN BISIKAN

“Betullah apa yang ustaz jelaskan tu. Itulah yang kami belajar selama ini. Saya mula menguatkan tekad saya untuk belajar. Saya belajar dengan sepenuh jiwa saya. Hinggalah pada suatu hari saya terdengar bunyi bisikan untuk meminta saya mengorbankan nyawa anak bongsu saya yang berumur setahun ustaz. Suara itu meminta saya untuk mengambil anak saya untuk disembelih dan dipersembahkan kepada iblis sebagai tanda telah tamatnya pembelajaran kami. Bisikan itu benar-benar menganggu jiwa saya.”

“Astaghfirullahal azhim. Lepas tu Piee. Apa yang terjadi?”

“Sudah tentu saya tidak mahu ustaz. Saya masih dapat berfikir secara waras lagi. Saya masih tahu apa yang betul apa yang tidak. Cuma selepas dari peristiwa bunyi bisikan tersebut, saya kadang-kadang tidak dapat mengawal kemarahan. Seperti ada sesuatu di dalam badan saya untuk meminta ini dan itu. Semuanya benda yang tidak baik.”

“Contohnya bisikan itu meminta saya menjauhi diri dari ayah dan ibu saya. Juga dari isteri dan anak-anak. Bisikan tersebut juga meminta saya untuk menceraikan isteri saya. Kadang-kadang apabila berjalan-jalan di pasar, bunyi bisikan itu meminta saya untuk memukul dan menyerang seseorang. Kononnya orang tersebut mencabar saya atau dia ingin menyerang saya dari jarak jauh. Sedangkan orang yang dimaksudkan itu berada jauh dari saya dan kami saling tidak mengenali. Pernah suara tersebut meminta saya menempeleng kepala seorang pakcik yang sedang azan di surau.”

“Yang paling menyedihkan saya ialah apabila pada suatu malam anak saya yang sulung berumur lima tahun meminta saya untuk buatkan air susu. Ketika itu isteri saya sedang sibuk memasak di dapur. Saya mula terdengar bunyi bisikan meminta saya memukul anak saya kerana anak saya menganggu saya istirehat ketika itu.”

“Dengan tidak semena-mena ustaz, saya bagaikan tidak sedar apa yang berlaku. Saya cuma merasakan yang saya sedang memanggil anak saya lalu mengusap kepalanya sambil meminta dia jangan menganggu saya. Saya seperti tidak sedar apa yang berlaku. Hinggalah saya tersedar apabila isteri saya menangis meraung sambil mengoncang-goncangkan badan saya.”

“Lepas tu apa yang berlaku Piee?”

“Apabila saya tersedar saya lihat ada pisau di tangan saya yang berlumuran dengan darah. Saya lihat anak saya terbaring sambil memegang lehernya yang berdarah. Saya tanya isteri saya apa yang berlaku. Isteri saya kata semasa dia sedang memasak, dia nampak saya masuk ke dapur dan mengambil pisau. Isteri saya mulanya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah isteri saya terdengar saya berteriak kuat.”

“Isteri saya terkejut dan berlari ke ruang tamu. Isteri saya sempat melihat saya mengelar leher anak saya menggunakan pisau dan kemudian menendang sekuat-kuatnya kaki anak saya. Selepas itu isteri saya meluru ke arah saya sambil menangis. Ketika itulah saya baru tersedar ustaz.”

“Lepas itu kami bawa anak kami ke hospital untuk dirawat. Ada lebih kurang lima jahitan sahaja pada leher anak saya ustaz kerana hirisan itu tidak terlalu dalam tapi malangnya anak saya sekarang dah lumpuh pada kakinya ustaz akibat dari tendangan saya kepadanya dulu. Sampai sekarang anak saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana. Saya tak dapat nak maafkan perbuatan saya kepada anak saya sendiri ustaz.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un..Ini namanya ilmu yang dituntut dari syaitan Piee. Apabila kita mengikut kehendak syaitan jadi syaitan akan sentiasa menemani kita untuk menyesatkan kita dan menampakkan indah semuanya pada pandangan mata kita.”

“Saya menyesal ustaz. Saya nak buang semua ni. Saya tak sanggup lagi untuk mencederakan sesiapa. Kalau sebelum ini anak saya yang menjadi mangsa, selepas ini ntahlah. Kawan-kawan saya yang datang malam ni pun juga mengalami peristiwa yang sama. Mereka juga diganggu suara-suara yang berbisik untuk meminta mereka melakukan perkara jahat. Tetapi tidaklah seteruk saya. Mungkin belum lagi ustaz. Sebab itulah kami semua nak buang ilmu-ilmu syaitan ni.”

“Baiklah kalau begitu. Lepas ni ustaz akan bacakan Al Quran kepada Piee dan kawan-kawan Piee semua. Sebelum tu ustaz minta tolong semua ambil wuduk dahulu sebelum kita mulakan rawatan kita.”

“Baiklah ustaz..”

Sementara menunggu Piee dan rakan-rakannya mengambil wuduk, saya meminta kawan-kawan saya untuk bersedia kerana kes yang melibatkan ilmu persilatan ini memang melibatkan jin yang agresif dan pandai bersilat.

Sayangnya dulu saya tidak pernah mengikuti belajar silat ini kerana ibu saya sentiasa melarang saya belajar silat. Takut belajar isim katanya. Saya cuma mempunyai sekelumit pengalaman belajar ilmu mempertahankan diri ini bermula di Madrasah Al Quran Bintulu bersama rakan-rakan. Ketika itu kami diajar ilmu kungfu ‘Thifan Po Khan’ oleh guru Bahasa Arab kami di Madrasah iaitu Ustaz Abdul Mutalib.

Ustaz Abdul Mutalib merupakan senior kami di Madrasah Al Quran Bintulu yang dihantar oleh Ustaz Ali Fathullah Harun untuk belajar di Ma’had Al Hikmah, Jakarta Indonesia dan juga menuntut ilmu seni pertahanan dari China ini juga di Jakarta Indonesia.

Thifan Po Khan yang membawa maksud ‘Kepalan Tangan Bangsawan’ adalah seni bela diri yang dikembangkan oleh suku-suku muslim di dataran China. Jadi, Thifan Po Khan merupakan Kung Fu muslim yang dikhususkan untuk kalangan bangsawan pada asalanya. Kemudian dikembangkan ke kawasan Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara.

Sekarang Ustaz Abdul Mutalib merupakan imam Masjid Daerah Bintulu. Dulu dia merupakan guru kepada kami dan salah seorang dari tempat saya merujuk berkaitan dengan permasalahan ruqyah ini. Dan sekarang pula kami telah menjadi kawan.

Selepas beberapa ketika Piee dan kawan-kawannya telah selesai mengambil wuduk dan kembali masuk ke ruangan tempat kami merawat. Saya minta Piee dan kawan-kawannya untuk berbaring. Ini bertujuan memudahkan urusan kami untuk menahan mereka sekiranya ada di antara mereka yang tiba-tiba agresif dan bersilat lalu menyerang kami.

Saya juga meminta mereka untuk mengeluarkan azimat atau penjaga diri dari dalam apa-apa bentuk sekalipun supaya mudah untuk mencari punca permasalahan. Selain dari itu juga dari segi adabnya adalah perlu untuk memusnahkan dahulu barang perantaraan syaitan seperti azimat dan barang seperti ini sebelum kita berusaha untuk mengeluarkan jin yang ada di dalam badan.

Kemudian mereka memandang sesama mereka dan menggeleng-gelengkan kepala sebagai tanda mereka tidak memiliki benda-benda tersebut. Saya cuma tersenyum sahaja.

Masakan mereka tidak menyimpan apa-apa jua barang pemberian guru mereka. Wajah mereka juga menunjukkan seperti menyembunyikan sesautu dari pengetahuan kami. Kemudian saya bertanya kepada mereka sekali lagi.

“Betul ke kamu semua tidak ada menyimpan apa-apa barang seperti azimat, minyak-minyak, baju kebal dan benda-benda lain?”

“Tidak ada ustaz. Betul.”

“Ustaz rasa ada yang tak kena sekarang ni. Tapi tak apalah. Kita mulakan dulu ruqyah kita. Nanti kalau perlu apa-apa nanti ustaz bagitau ok.”

MENGAMUK

Sebelum memulakan bacaan saya minta Piee dan kawan-kawannya untk sama-sama beristighfar dan jangan mempedulikan apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka bagi mengelakkan fokus mereka tergangggu. Kemudian saya mulakan dengan istighfar.

“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”
“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”
“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”

Belum sempatpun untuk saya bacakan ayat-ayat Al Quran, tiba-tiba Piee dan beberapa orang rakannya mula bertindak agresif. Ada yang bersilat, ada yang menari seperti monyet dan ada yang cuba menyerang kami.

Selain itu ada yang muntah, menangis, badan menjadi kejang keseluruhan dan sebagainya. Hanya tinggal dua tiga orang sahaja lagi yang belum menampakkan sebarang reaksi dan terus berusaha untuk mendengar bacaan Al Quran dari saya.

Untuk sementara saya meminta kawan saya iaitu Mohd. Ismandi atau lebih dikenali sebagai Anai TM untuk menggantikan tempat saya membaca Al Quran. Selepas itu saya duduk di sebelah Piee yang sedang ditahan oleh kawan-kawan saya yang lain kerana Pieelah yang mula-mula mengamuk dan hampir menyerang kami dengan silatnya.

Tetapi Alhamdulillah pergerakan Piee sempat dikunci awal. Kalau tidak, mungkin saya sudah terbang ke luar dari bilik rawatan kami akibat ditendang oleh Piee.

Saya perhatikan wajah Piee dan dia memandang saya walaupun matanya cuma menampakkan mata putihnya sahaja lalu tiba-tiba berkata;

“Kau siapa? Kenapa ganggu aku dan tuan aku?”

“Assalamualaikum. Aku Malik. Hamba Allah seperti kamu.”

“Aku tidak akan menjawab salam kamu.”

“Tadi kau kata aku menganggu tuan kamu. Siapa tuan kamu?”

“Tuan aku cuma ada dua. Yang pertama iblis dan yang kedua adalah sesiapa yang telah kami sesatkan jiwanya dan kami terus memperbodohkan dirinya dengan menimbulkan rasa hebat pada diri dan hatinya. Maka dialah tuan kami.”

“Kenapa kamu merasuki badan Piee dan kawan-kawannya?”

“Kami buka suka-suka untuk masuk. Kami dipanggil.”

“Ada apa-apa perbezaan ke di antara suka-suka dan dipanggil ini?”

“Ada. Kalau merasuk itu disebabkan manusia menganggu kami sedangkan kami tidak menganggu mereka lalu kami mempermainkan mereka dengan alasan kononnya untuk membalas dendam. Sedangkan dipanggil ini manusia membuat suatu ‘ritual’ tertentu untuk memanggil kami. Kami dipuja dan disanjungi. Maka kami akan datang dan mempermainkan mereka dan menuruti permintaan mereka sehingga mereka menjadi sesat dan gila. Inilah harga dari keberanian mereka memanggil-manggil kami.”

“Kalau begitu kau keluarlah sekarang.”

“Aku tidak akan keluar.”

“Kalau begitu aku akan bacakan Al Quran padamu dan kawana-kawanmu.”

Selepas itu saya mula membaca taawwudz, basmalah dan ‘inzhar’ (peringatan untuk menimbulkan rasa kesedaran) pada mereka;

1. “Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan.”

“Dari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘Anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada Fathimah Radhiyallahu ‘Anha,

“Apa yang menghalangimu untuk mendengar apa yang aku wasiatkan kepadamu? Hendaknya saat berada di pagi dan sore hari engkau mengucapkan, ‘Wahai Dzat Yang Mahahidup lagi Maha Berdiri dengan sendiriNya, dengan rahmatMu aku mohon pertolongan. Perbaikilah urusanku seluruhnya dan jangan Engkau serahkan aku kepada diriku walau hanya sekejap mata’.” (HR An Nasai dalam As Sunan Al Kubra, Al Bazzar, dan Al Hakim dan ia menyatakan sahih sesuai syarat muslim. Disahihkan Al Albani dalam As Silsilah As Shahihah, no. 227)

2. “Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik kepadaMu.”

“Dari Mu’adz bin Jabal Radhiyallahu ‘Anhu, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah memegang tangannya dan bersabda, “Wahai Mu’adz, demi Allah, sungguh aku sangat menyayangimu, demi Allah, sungguh aku sangat menyayangimu.” Kemudian beliau melanjutkan,

“Aku pesankan kepadamu wahai Muadz, jangan pernah engkau tinggalkan di belakang setiap shalat membaca, Allaahumma a’innii ‘alaa dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatika (Ya Allah, tolonglah aku untuk menyebut namaMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik untukMu).” (HR Abu Dawud, Al-Nasai, dan Ahmad. Hadits ini dishahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud)

3. “Tidak ada tuhan selain Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Al Anbiya’: 87)

4. “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.” (Taawwudz)

5. “Aku berlindung kepada Allah Yang maha Mendengar dan Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam.” (Basmalah)

“Ya Allah, Engkaulah tuhanKu, tidak ada tuhan selainMu. kepadaMulah aku bertawakkal dan Engkaulah tuhan singgahsana yang agung. Segalanya atas kehendak Allah dan apapun tanpa kehendakNya tidak akan terwujud. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan (kekuatan) Allah. Ketahuilah bahawa Allah Maha Mampu melakukan apapun dan bahawa ilmu Allah meliputi segala sesuatu. Dan Dia (menghitung) segala sesuatunya dengan terperinci. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepadaMu dari segala keburukan jiwaku, kejahatan syaitan dan sekutunya dan dari kejahatan segala sesuatu yang melata yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabku berada di atas jalan yang lurus.” (HR Bukhari)

“Aku berlindung dengan wajah Allah Yang Mulia dan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna yang tidak ada yang melampauinya segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan. Ya Rahman.”

“Ta’awwuz atau doa perlindungan di atas diajarkan oleh malaikat jibril kepada Rasulullah ketika malam Isra’ Mikraj. Ketika itu Rasulullah dihadang oleh jin Ifrit (yang diutus oleh Iblis) yang membawa obor untuk membakar Rasulullah. Lalu Rasulullah membaca doa perlindungan tersebut sehingga Ifrit tersebut kalah dengan izin Allah.” (HR Bukhari)

“Allah Yang Maha Besar. Allah lebih perkasa dari segala makhlukNya, Allah lebih perkasa dari segala yang aku takuti dan aku khuatirkan. Aku berlindung diri kepada Allah yang itdak ada tuhan selain Dia. Yang menahan tujuh lapis langit sehingga tidak jatuh menimpa bumi, namun dapat terjadi dengan izinNya.”

Dari kejahatan…(hambaMu)…disebutkan namanya sekiranya perlu (Contohnya nama bomoh, nama ilmu persilatan yang menggunakan jin dan ilmu kebatinan dan sebagainya)

Dengan para tenteranya dan pengikutnya serta kelompoknya dari jenis jin dan manusia. Ya Allah, jadikanlah perlindungan untukku dari kejahatan mereka. Mulialah segala sifatMu, perkasalah perlindunganMu, Maha Berkah namaMu dan tidak ada Ilah selainMu. (HR Bukhari dalam kitab Adabul Mufradat)

Selepas saya membaca inzhar tersebut Piee dan rakan-rakannya mula tersedar. Saya bertanya kepada mereka apa yang mereka rasakan pada ketika itu. Kemudian Piee menjawab;
“Ustaz, badan saya terasa berat, lemah dan kepala saya masing pening ustaz. Adakah jin dalam badan saya sudah keluar ustaz?”

Saya memandang Piee sambil tersenyum dan kemudian memandang kesemua rakan-rakan Piee yang datang. Mereka berkongsi cerita kepada kami tentang apa yang mereka rasakan semasa dibacakan inzhar tadi. Hampir semua reaksinya sama seperti Piee. Badan merasa berat, lemah dan kepala pening.

“Kalau begini keadaannya maksudnya gangguan jin dalam badan kamu belum hilang malah masih lagi tinggal di dalam badan kamu. Kalau ikut pengalaman kami, mengeluarkan jin dari ilmu persilatan itu tidak semudah mengeluarkan jin yang datang untuk suka-suka menganggu.”

“Maksud ustaz apa dan kenapa boleh jadi begini ustaz?”

“Maksudnya jin di dalam badan Piee dan kawan-kawan masih ada lagi. Syaitan-syaitan ini masih lagi berada di dalam badan kamu semua. Semasa dibacakan inzhar tadi syaitan-syaitan ini cuba sedaya upaya untuk menyedarkan kamu supaya tidak khusyuk mendengar bacaan itersebut. Ini kerana kalau kamu semua mendengar dengan khusyuk, Insyaallah dengan izin Allah bacaan tadi akan membakar mereka.”

“Selain itu kenapa kamu semua apabila sedar, yang kamu rasakan cumalah rasa sakit sahaja. Kenapa? Ini menunjukkan ada benda yang kamu tidak mahu serahkan kepada ustaz sebelum kita mulakan inzhar tadi. Kalau ada sila keluarkan sekarang. Itupun kalau kamu semua mahu sembuh dengan izin Allah.”

“Betul ustaz. Kami tak ada simpan apa-apa.”

“Baiklah kalau begitu. Kita tutup sampai di sini saja. Nak berubat ni biarlah ikhlas. Kerana ini salah satu dari proses penyembuhan dan yang paling penting ialah kita wajib menjauhkan diri kita dari perkara syirik dan berserah segalanya kepada Allah. Lepas ni kamu semua baliklah. Kamipun nak balik.”

Saya kemudiannya berdiri dan bersalam dengan Piee dan kawan-kawannya. Mereka terpinga-pinga dengan apa yang berlaku lalu berdiri dan menyambut salam saya. Saya bukan untuk berniat kurang sopan kepada mereka tetapi bagi saya mereka tidak ikhlas untuk berubat. Ada yang mereka rahsiakan dari saya.

“Piee, Insyaallah kalau kita ikhlas nak buang benda-benda ni, Insyaallah Allah akan mudahkan untuk kita membuang apa yang telah kita belajar dulu. Jangan ada niat nak berubat tapi ada perkara lain pulak dirahsiakan dari ustaz. Itu yang ustaz tak suka. Semoga Allah memudahkan segala urusan kamu semua. Assalamualaikum.”

“Ustaz..ustaz..Nanti dulu. Sebenarnya bukan kami nak berbohong. Ada sebenarnya perkara yang kami tak ceritakan kepada ustaz dan kawan-kawan ustaz. Tapi kami tak boleh nak bagitau sebab takut ilmu ini nanti akan memakan diri kami sendiri. Kerana itu adalah perjanjin kami semasa menuntut ilmu ini.”

“Piee, kalau Piee tak ceritakan kepada ustaz, adakah ilmu ini tak memakan diri kamu semua sekarang?”

“Maksud ustaz?”

“Maksud ustaz, kamu tak ceritakan kepada sesiapapun sebelum ini sekalipun tetapi ilmu ini dahpun memakan diri kamu. Tengoklah masalah yang kamu semua hadapi sekarang. Adakah kamu semua bahagia?”

BAJU KALIMAH DAN TALI PINGGANG KEBAL

Mereka semua terdiam. Sambil itu beberapa orang dari kawan-kawan Piee berbisik sesama sendiri dan kemudiannya menyampaikannya kepada Piee. Piee memandang mereka sambil mengangguk-angguk. Piee agak lama terdiam dan memandang kawan-kawannya lalu berkata kepada saya;

“Ustaz, kami mengaku yang kami semua memiliki baju kalimah dan tali pinggang kebal yang diberikan oleh guru silat kami kepada kami untuk dipakai setiap hari. Kami tidak dibenarkan untuk memberitahu sesiapa akan hal ini. Walaupun ada juga guru pertubuhan silat lain secara terang-terangan memberikan kepada ahli silat mereka sendiri benda-benda seperti ini. Yang kami risau guru silat kami ada memberitahu bahawa jika kami memberitahu kepada orang lain maka silat ini akan menjadi tawar dan akan memakan diri kami sendiri. Itulah yang kami takutkan.”

“Macam ni Piee. Allah berfirman;

“Sampai waktu yang ditentukan, lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kamilah sebaik-baik yang menentukan.” (Al Mursalaat: 22-23)

““Jika sesuatu menimpamu, maka janganlah mengatakan, ‘Seandainya aku melakukannya, niscaya akan demikian dan demikian. Tetapi ucapkanlah, Sudah menjadi ketentuan Allah dan apa yang dikehendakinya pasti terjadi.’” (HR Muslim, no. 2664)

“Maksudnya di sini adalah sejarah kehidupan kita sebelum ini, ketika ini dan akan datang telah ditentukan dengan takdir kita sendiri. Tiada sesuatupun yang dapat memberi mudarat melainkan dengan seizin Allah. Sekiranya kita percaya takdir kita ditentukan oleh guru silat ini maka akan ada unsur mensyirikkan Allah dalam keyakinan kita sedangkan syirik itu adalah suatu dosa yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan kita bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Allah berfirman;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (An Nisaa: 48)

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, Dan Dia mengampuni dosa yang lain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.
(An Nisaa: 116)

“Syeikh Abdurrahman bin Nashir As Sa’di rahimahullah berkata: “Ayat yang mulia ini untuk orang yang tidak bertaubat. Adapaun orang yang bertaubat, maka dosa syirik dan dosanya yang lain akan diampuni.”

Piee yang awalnya memandang wajah saya dengan matanya yang kemerahan dan sebak menahan tangis, secara tiba-tiba memandang ke bawah. Suasana agak sepi ketika itu. Piee kemudiannya memandang saya sambal berkata;

“Ustaz, adalah kami sudah terlalu jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah? Adakah Allah akan menerima taubat kami ustaz?”

“Piee, Allah berfirman;

“Katakanlah Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az Zumar: 53)

“Piee, sebesar mana sekalipun dosa kita sekiranya kita memohon keampunan kepada Allah dengan sebenar-benarnya atau dengan taubat nasuha, Insyaallah semua dosa kita yang pernah kita lakukan akan diampunkan oleh Allah. Itu janji Allah kepada hambanya. Allah sentiasa ada untuk kita. Pada saat kita ingat dan lupa kepada Allah kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”

Piee tidak dapat menahan kesedihannya. Begitu juga dengan kawan-kawan Piee. Saya tidak tahu kenapa Piee menangis semahu-mahunya pada malam itu. Mungkin memikirkan apa yang telah dia lakukan kepada anak-anaknya mungkin. Itu yang saya rasakan. Sebab saya juga ayah kepada tiga orang anak.

Ketika saya melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang ayah dengan memukul anak-anak saya kerana mereka telah melakukan kesalahan, saya akan perhatikan wajah-wajah mereka ketika mereka sedang nyenyak tidur, jiwa saya sebagai seorang ayah tetap akan luluh dan air mata seorang ayah tetap akan tumpah juga.

Apa lagi Piee dengan apa yang dilakukannya pada anak-anaknya. Ayah mana yang mampu menahan kesedihan akibat dari perbuatan sendiri. Allahu rabbi..

“Ustaz, saya dan kawan-kawan berjanji untuk membuang ilmu sesat ini. Malam esok atau lusa kami akan datang lagi ustaz untuk serahkan baju kalimah dan tali pinggang kebal kami kepada ustaz untuk dimusnahkan. Kami benar-benar mintak tolong ustaz untuk buang ilmu ni. Kami dah tak tahan lagi dah.”

“Insyaallah Piee. Tapi mintalah dengan Allah. Nanti Allah akan mudahkan urusan Piee dan kawan-kawan. Ustaz dan kawan-kawan cuma membantu saja.”

“Baiklah ustaz. Insyaallah kalau dah sembuh nanti kami berjanji akan tinggalkan ilmu persilatan ini.”

“Piee, kalau nak buang ilmu kebal atau ilmu guris ni kamu buanglah. Kerana inilah yang terbaik untuk masa depan kamu. Tapi sekiranya Piee berniat nak berhenti dari belajar ilmu silat tu kalau boleh jangan sebab ilmu silat ni adalah salah satu dari ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk belajar.”

“Ye ke ustaz? Saya tak faham.”

“Macam ni Piee. Pada dasarnya belajar seni mempertahankan diri ini hukumnya mubah atau harus. Bahkan jika latihan ini dilakukan dalam rangka menyiapkan diri untuk menjadi mukmin yang kuat dan bertanggungjawab maka ianya menjadi ibadah. Allah berfirman;

“Persiapkanlah untuk menghadapi mereka, segala kekuatan yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu.” (QS. al-Anfal: 60)

“Dan semua amal bergantung dari niat kita. Ketika latihan bela diri dilakukan bertujuan untuk menyiapkan diri untuk berjihad membela kebenaran, insyaaAllah ianya akan bernilai pahala. Namun jika sebatas hobi sahaja, jelas tidak ada pahalanya. Dan yang lebih penting, jangan sampai latihan bela diri ini menyebabkan kita ke lembah kemaksiatan dan menzalimi orang lain apa lagi keluarga sendiri.”

“Kalau macam tu barulah kami faham ustaz. Alhamdulilah. Saya minat belajar silat ini dari kecil ustaz. Lepas ni bolehlah saya belajar lagi ilmu persilatankan ustaz?”

“Silakan saja Piee asalkan segala syariatnya dipatuhi. Itu saja. Mudahkan.”

“Baik ustaz.”

“Piee dan kawan-kawan datang malam lusa ok. Sebab malam esok kami ada urusan memagar sebuah kilang. Dalam pukul 10.30 malam macam tu. Selepas pesakit-pesakit lain balik. Mudah sikit nak uruskan Piee dan kawan-kawan nanti.”

“Baiklah ustaz. Malam lusa kami datang. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Selepas itu saya menghantar Piee dan kawan-kawannya ke pintu masuk Bangunan martabat. Wajah mereka kelihatan lebih bersemangat. Saya mengharapkan mereka akan datang lagi pada malam lusa.

Kemudian saya memanggil kesemua rakan saya untuk berbincang mengenai kes Piee dan kawan-kawannya tadi serta apa yang patut dilakukan sebagai persediaan pada malam lusa. Setelah selesai berbincang kami pergi ke Restoran Alliya Maju untuk makan sebagai mengumpul kembali tenaga yang banyak digunakan semasa merawat Piee dan kawan-kawannya tadi.

MALAM KEDUA

Dipendekkan cerita. Pada malam yang dijanjikan kami sedang merawat pesakit-pesakit yang datang awal selepas solat isya. 20 lebih orang kesemuanya kalau saya tidak silap. Alhamdulillah dengan izin Allah satu-persatu masalah pesakit selesai atau sembuh.

Paling tidakpun gangguan semakin ringan dan ada yang kami minta untuk datang lagi pada hari lain sebagai rawatan lanjutan sementara menunggu Piee dan kawan-kawannya datang.
Entah kenapa pada malam tersebut saya rasa tidak sedap hati dan tidak selesa.

Kebiasaannya kes-kes yang melibatkan gangguan dari silat ini saya akan serahkan kepada kawan saya yang agak mahir juga bersilat iaitu Anai TM, Usu dan juga Mohd. Adi, sebagai persediaan sekiranya diserang secara fizikal ketika sedang melakukan rawatan.

Dari luar bilik rawatan kami, saya mendengar bunyi tapak selipar dan kasut beberapa orang bergesel dengan simen. Saya jangka Piee dan kawan-kawannya telah sampai dan sedang menuju ke pusat rawatan kami. Saya meminta kawan saya Mahli untuk menjenguk ke luar dan menjemput mereka untuk masuk ke dalam.

Mahli kemudiannya memandang saya dan berkata;

“Malik, tak ada orang yang datang. Hairan. Tadi bunyi selipar dan kasut menuju ke mari.”

“Mahli, cuba tengok di sekeliling. Mungkin mereka pergi ke tandas atau ada di sekitar kawasan bangunan ini.”

“Ok Malik. Saya periksa kejap.”

Mahli keluar lalu memeriksa tandas dan kawasan sekeliling. Saya dan kawan-kawan merasa pelik kerana kami sendiri mendengar bunyi tapak kaki ramai manusia manuju ke pusat rawatan kami. Bunyi tersebut juga didengari oleh beberapa pesakit yang masih lagi mendapatkan rawatan.

Tidak lama selepas itu Mahli kembali dalam keadaan tersenyum dan berkata kepada saya;

“Tak ada sesiapapun datang Malik. Saya dah cari kat tandas dan kawasan sekitar sini. Dekat tempat letak keretapun tak ada orang.”

“Habis tu tadi suara tapak kaki siapa?”

Mahli tersengih sambil memandang ke luar bilik;

“Ntah. Biasanya tapak kaki sayalah yang paling bising kalau berjalan masuk ke bilik rawatan kita.”

Saya perhatikan jam telah menunjukkan tepat pada pukul 10.20 malam. Kelibat Piee dan kawan-kawannya belum muncul lagi. Mungkin sekejap lagi mereka akan sampai sebab saya minta mereka untuk datang pada pukul 10.30 malam.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran bunyi beberapa buah motosikal dan sebuah kereta di luar perkarangan Bangunan Martabat. Mahli bergegas keluar untuk melihat siapa yang datang. Seminit kemudian Mahli kembali dan memberitahu saya bahawa Piee dan kawan-kawannya telah sampai.

Saya meminta Mahli untuk mempelawa mereka masuk ke pusat rawatan kami dan menyuruh kawan-kawan saya yang lain untuk bersedia serta menyediakan apa-apa sahaja keperluan semasa melakukan rawatan nanti.

“Assalamualaikum ustaz. Minta maaf agak lambat sikit tadi ustaz.”

“Waalaikumsalam Piee. Alhamdulillah. Takdelah. Kamu semua datang tepat pada masanya. Seminit lagi pukul 10.30 malam. Hahaha..”

“Ustaz. Malam ni kami ramai sedikit ustaz. Dalam 20 lebih orang termasuk saya. Semua kami nak minta ustaz dan kawan-kawan merawat kami sekiranya gangguan jin dalam badan kami.”

“Baiklah Piee. Jemput semua duduk kat depan ni. Kawan-kawan ustaz dah sediakan bantal, selimut dan baldi sekiranya ada yang muntah nanti. Sebelum tu mintak semua kawan-kawan Piee ambil wuduk dulu.”

“Baik ustaz. Kami ambil wuduk sekarang.”

“Silakan Piee. Ambil wuduk saja tau. Jangan pergi mandi pulak. Hahaha..”

Piee melemparkan senyumannya kepada saya lalu meminta kawan-kawannya mengambil wuduk. Sementara menunggu Piee dan kawan-kawannya selesai berwuduk, saya meminta kawan-kawan saya bersedia dan berkumpul di hadapan saya.

Setelah semua kawan-kawan berada di hadapan saya, saya mula memberi peringatan dan perancangan kepada mereka berkenaan dengan apa yang perlu dilakukan pada malam ini dan kami membaca doa Rabithah yang dipimpin oleh saya sebelum memulakan rawatan.

“Bismillahi rahmaanir rahiim. Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini pada jalannya, penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepadaMu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifahMu, jika Engkau mentakdirkan kematian maka matikanlah pemilik hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Amin.”

Doa Rabitah merupakan sebahagian dari zikir Al Mathurat iaitu risalah himpunan zikir oleh Imam Hasan Al Banna. Doa Rabitah ini ialah doa mohon kepada Allah agar dieratkan jalinan hati sesama manusia sebagaimana keterikatan pada maksud Rabitah itu sendiri.

Lebih kurang 10 minit kemudian, Piee dan kawan-kawannya masuk kembali ke dalam pusat rawatan kami dan masing-masing mengambil kedudukan. Semasa mereka sudah duduk di hadapan kami, saya minta mereka menyerahkan apa sahaja benda yang diberikan oleh guru silat mereka kepada mereka.

Kali ini mereka mengangguk lalu menyeluk seluar dan beg masing-masing untuk mengeluarkan barang pemberian guru silat mereka. Semuanya dilonggokkan di hadapan kami. Ada baju kalimah pelbagai warna, tali pinggang kebal, azimat-azimat, minyak penjaga diri, keris pusaka, senjata lama, buluh perindu dan sebagainya.

“Ustaz tanya sekali lagi kepada kamu semua. Apa yang kamu serahkan ini akan ustaz musnahkan sebentar lagi. Ada sesiapa yang masih lagi menyimpan barang-barang seperti ini sila serahkan sekarang.”

Masing-masing mereka menggelang-gelengkan kepala sambil memandang wajah kawan-kawan mereka.

“Alhamdulillah. Kalau tak ada ustaz akan mintak kawan ustaz untuk bacakan beberapa ayat Al Quran pada benda ini. Yang berbentuk kertas dan kain akan kita bakar dahulu. Yang keras seperti kayu dan besi akan kita pecah dan patahkan. Minyak di dalam botol pula akan akan kita kumpulkan sekali sebelum dipecahkan.”

“Semua ini kita dahulukan dengan membaca ayat Al Quran padanya sebagai suatu ikhtiar untuk menghilangkan pengaruh jahat serta jin kalau ada. Selepas itu kami akan kumpul kembali bekas abu yang terbakar seperti azimat, hulu keris daripada kayu,, besi keris yang dipatahkan dan minyak-minyak yang dikeluarkan dari botol semua ini akan kami buang di sungai.”

Selepas itu saya minta kepada kawan saya iaitu Mahli, Pak Din dan Awang Giyomi untuk memusnahkan kesemua barang ini dan buang di sungai sebiew melalui atas jambatan berdekatan Kampung Baru. Ada dua jambatan di ekitar situ Di situlah kami membuang segala barang yang diserahkan kepada kami untuk dimusnahkan.

Selepas mereka membawa kesemua barang itu di luar bilik rawatan kami, saya minta Piee dan kawan-kawannya untuk berbaring semua. Ini adalah sebagai langkah persediaan sekiranya ada di antara mereka yang tiba-tiba bersilat nanti.

MEMULAKAN RAWATAN

Setelah memberi sedikit tazkirah (peringatan) dan tausiyah (tausiyah bermaksud suatu nasihat keagamaan yang berisi dengan pesan-pesan dalam hal kebenaran dan kesabaran) kepada Piee dan kawan-kawan, saya mulakan dengan membaca istighfar dan ayat-ayat inzhar (peringatan).

“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”
“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”
“Astagfirullahal azhim. Alladzi laa ilaaha illa, huwal hayyul qayyim wa atuubu ilaih..”

Semasa saya membacakan istighfar, hampir 20 orang kawan Piee mula menunjukkan reaksi. Ada yang mengangis, ada yang muntah, ada yang menjerit, ada yang bersilat, ada yang berkelakuan seperti monyet dan sebagainya.

Saya minta kawan saya untuk merawat dulu sesiapa sahaja yang agresif supaya mudah untuk kami menumpukan perhatian kepada yang lain nanti.

Kemudian saya mulakan dengan membaca tahmid dan salawat serta seruan kepada jin yang berada di dalam tubuh Piee dan kawan-kawannya serta membacakan ayat Al Quran;

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Adz Dzariyat: 56)

Kemudian saya memberi peringatan kembali kepada mereka;

“Bismillahir rahmaanir rahiim. Ya ma’syaral jin (Wahai golongan jin). Allah meminta kita untuk beribadah kepadaNya dan bukannya mencampuri dan menganggu kehidupan manusia. Dengan nama Allah. Yang memiliki segala kekuatan yang ada di langit dan di bumi, Penguasa kepada seluruh makhlukNya, yang satu-satunya yang berhak disembah, yang Maha Membalas segala kejahatan dan kezaliman serta yang Menguasai di hari Pembalasan. Saya peringatkan kepada kamu semua ya ma’syaral jin untuk keluar. Apapun alasan kamu kamu tidak berhak untuk menganggu manusia dan mencampuri urusan manusia.”

“Sekiranya kamu Islam, bertaubat kepada Allah sesungguhnya dosa kamu sangat besar kerana menanggu sesama umat Islam. Bertaubatlah kerana Allah Maha Penerima taubat. Kemudian pergilah di surau atau di masjid kerana di situ antara sebaik-baik tempat tinggal kamu. Jadilah hamba Allah saleh dan salehah. Semoga Allah memerima taubat kamu.”

“Dan sekiranya kamu datang dari golongan jin fasiq ataupun syaitan, semoga laknat Allah tetap bersama kamu di mana-mana sahaja kamu berada dan kamu juga perlu untuk keluar. Pergilah di mana berhala itu disembah kerana di situ sebaik-baik tempat tinggal kamu.”

Selepas itu saya bacakan beberapa ayat Al Quran seperti Surah Al Fatihah, Al Baqarah Ayat 1-5, Al Baqarah Ayat 102, Al Baqarah Ayat 163-164, Al Baqarah Ayat 255, Al Baqarah Ayat 285-286, Ali Imran Ayat 18-19, Al A’raf Ayat 54-56, Al A’raf Ayat 117-122, Yunus Ayat 81-82, Thoha Ayat 69, Al Mukminun Ayat 115-118, As Soffat Ayat 1-10, Al Ahqaf Ayat 29-32, Ar Rahman Ayat 33-36, Al Hasyr Ayat 21-24, Al Jin Ayat 1-9, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas.

Selepas saya bacakan ayat-ayat tersebut hampir semua dari mereka mula mengamuk. Bayangkan lebih 20 orang dari kawan-kawan Piee bersilat dan menyerang kawan-kawan saya dan pada ketika itulah saya lihat sendiri bagaimana jurus-jurus silat kawan-kawan Piee yang mereka belajar di guru mereka dan juga yang dibelajar dari mimpi.

Sedangkan kami cuma dua-tiga orang sahaja yang tahu bersilat. Kami cuma mampu menahan mereka dengan apa sahaja yang ada. Sehinggakan kawan saya Haziq, Awang Giyomi, Anai TM serta abang saya Shamsul terpaksa menggunakan perut mereka yang besar sebagai senjata dan perisai untuk menahan amukan kawan-kawan Piee.

Tapi Alhamdulillah Allah jadikan semuanya mudah kerana kami tahu niat kami membantu mereka adalah kerana Lillahi Ta’ala.

Saya sempat melihat silat yang mereka peragakan. Sangat indah dan tersusun pergerakannya dan sangat cantik. Jarang kita melihat bunga dan buah silat seperti itu. Alhamdulillah, walaupun mereka agresif, dengan izin Allah mereka telah lemah disebabkan dengan ayat-ayat Al Quran tadi sehingga ada di antara mereka yang tumbang sendiri, terbaring, muntah dan mula sedarkan diri.

Selepas itu saya meminta Ustaz Amir dan pakcik saya yang saya panggil dengan nama Usu untuk mengantikan tempat saya membaca Al Quran dan mereka meneruskan bacaan sehingg jm 12 tengah malam.

Alhamdulillah semakim lama semakin ramai di antara kawan-kawan Piee yang telah sedar dan merasa badan semakin ringan serta dada merasa lapang. Seolah-olah terlepas dari sesuatu bebanan. Cuma seorang lagi yang masih bertahan dan berusaha untuk tidak mahu mengalah iaitu Piee.

Semasa Ustaz Amir membaca Al Quran, Piee tiba-tiba memandang Ustaz Amir sambil tersenyum. Tidak kelihatan pula bola mata hitamnya. Di tepi bahagian mata Piee, air matanya mengalir perlahan dan badannya bergerak dari kiri ke kanan secara perlahan-lahan. Tidak mengeluarkan sebarang suara.

Pandangannya tepat walaupun dalam keadaan menutup mata.
Kalau mengikut pengalaman saya, gangguan jin seperti inilah di antara yang sangat susah untuk dikalahkan serta kuat fizikalnya dan semuanya adalah dengan izin Allah juga. Sekira Piee mengamuk mungkin memerlukan lebih 10 orang untuk menahannya seorang.

MENGAMUK

Kemudian Piee mula membuka bunga silatnya secara perlahan-lahan. Saya meminta keempat-empat orang kawan saya yang barsaiz XXL iaitu Haziq, Awang Giyomi, Anai TM dan Shamsul untuk menahan kedua tangan dan kaki Piee sebelum diikuti oleh kawan-kawan saya yang lain yang berbadan kecil.

Dengan tidak semena, tiba-tiba Piee mula mengamuk. Mungkin jin di dalam badannya mula merasa terancam. Hampir-hampir sahaja kawan bersaiz XXL saya iaitu Haziq, Awang Giyomi, Anai TM dan Shamsul tidak mampu untuk menahan badan Piee walaupun badan Piee jauh lebih kecil dari badan mereka berempat.

Tetapi kekuatan Piee yang diresapi oleh kekuatan jin di dalam badannya hampir dapat mengalahkan kekuatan mereka berempat.

Mujurlah ketika itu kawan-kawan saya yang lain seperti Pendi, Adi, Afiq, Khalidie, Ferol, Mahli, Pak Din dan Putera membantu menahan Piee dari terus mengamuk kerana ketika itu semua kawan-kawan saya telah selesai merawat kawan-kawan Piee yang telah sedar dan sedang beristirehat.

Kesemua dari kawan-kawan saya yang bersaiz XXL hinggalah bersaiz XS cuba untuk merebahkan badan Piee tetapi tidak berjaya. Dalam pergelutan tersebut ada kawan saya yang terkena tumbuk, ditampar, digigit telinga, ditendang dan menerima pukulan buah silat dari Piee.

Dalam keadaan kelang kabut tersebut saya minta Usu kuatkan bacaan dan mengulang-ulang ayat;

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir”. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Surah Al Kahfi: 29)

“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah An Nisa: 76)

“(Makanan syurga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai fitnah (ujian) bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Ash Shafaat: 62-63)

“Sesungguhnya pohon itu adalah sebatang pohon yang ke luar dari dasar neraka. Mayangnya seperti kepala syaitan. Sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu.” (As Shaffat: 64-66)

“Sesungguhnya pohon zaqqum itu. Makanan orang yang banyak berdosa. Dia sebagai kotoran minyak yang mendidih di dalam perut. Seperti mendidihnya air yang amat panas.” (Add Dukhan: 43- 46)

Pada masa yang sama kami juga membaca Al Quran dengan suara yang perlahan agar syaitan di dalam badan Piee tadi dapat mendengar dengan jelas bacaan ayat Al Quran tentang azab yang dibacakan oleh Usu.

Hampir 10 minit juga kami bergelut dan cuba untuk menumbangkan Piee. Alhamdulillah dengan pertolongan Allah syaitan di dalam badan Piee menampakkan tanda sedikit lemah.

Saya tekan dengan kuat bahagian pinggang di antara tulang belakang Piee dan Piee tiba-tiba mengerang kesakitan. Biasanya untuk kes gangguan jin silat kita boleh tekan di bahagian tersebut.

Pada ketika Piee mengerang kesakitan itulah saya meminta kawan-kawan saya untuk menumbangkan Piee dan membaringkannya serta menahan kedua kaki dan tangan, badan dan kepalanya. Itupun sangat susah untuk kami mengawal Piee pada awalnya kerana Piee tetap berusaha untuk bangun.

Saya meminta Ustaz Amir untuk menekan pada bahagia belakang telinga Piee dan Piee memandang Ustaz Amir dengan senyuman walaupun matanya tertutup.

Kemudian saya menyuruh Pendi menekan pada perut Piee iaitu kawasan perutnya yang agak keras dan jangan lepaskan tangannya seringga saya beri arahan untuk berhenti.. Saya minta Ustaz Amir dan Pendi menekan serentak apabila saya mula membaca Surah Kursi.

Semasa saaya membaca Surah Kursi sambil Ustaz Amir dan Pendi menekan pada belakang telinga dan perut sambil yang lain menahan anggota badan Piee, tiba tiba Piee bersuara;

“Lepaskan aku. Lepaskan aku. Aku sudah lemah. Aku mahu keluar sekarang.”

“Assalamualaikum. Kamu siapa. Kenapa kamu menganggu Piee dan kawan-kawannya?”

“Aku tidak akan menjawab salam kamu. Aku tiada agama. Aku dan kawan-kawan aku tidak menganggu Piee tetapi Piee dan kawan-kawannya memanggil aku dan kawan-kawan aku untuk datang.”

“Apa urusan kamu dengan Piee dan kawan-kawannya.”

“Mereka belajar silat tetapi mereka suka sesuatu yang mistik, hebat, kuat, kebal dan sebagainya. Aku tahu mereka mudah untuk disesatkan dengan cara ini. Oleh kerana itu aku sesatkan mereka dengan cara yang mereka suka iaitu melaui silat.”

“Bagaimana cara kamu menyesatkan mereka wahai syaitan?”

“Ada beberapa cara. Mereka minta untuk kebal dan syaratnya adalah dengan membacakan zikir-zikir yang mengagungkan Allah dan Iblis secara serentak. Sedangkan mereka tidak tahu apa isi kandungan dari zikir tersebut. Bagi mereka asalkan ada nama Allah jadi semuanya betul.”

“Jadi kami merasuk ke dalam hati, jiwa dan badan mereka. Mereka pernah mencuba untuk menikam badan mereka sendiri ketika berlatih silat. Kami menutup ruang-ruang pada badan mereka dengan kekuatan kami sehingga mereka benar-benar kebal dari senjata ketika itu.”

“Tapi untuk ketika itu saja. Bukan setiap masa. Untuk apa kami membantu mereka untuk kebal. Tiada untungnya buat kami melainkan mereka mendengar kata-kata kami untuk melakukan perkara-perkata sesat seperti menulis ayat Al Quran menggunakan tahi manusia atau darah haid. Lalu dijadikan azimat dan dibawa ke mana-mana setiap hari.”

“Tapi percayalah baju kalimah dan tali pinggang kebal itu tidak mempunyai apa-apa kekuatan selainkan ianya sebagai sebuah daya penarik untuk menyesatkan mereka dengan cara membisikkan ke dalam hati mereka bahawa baju ini adalah penentu hidup mati mereka dan bukannya Allah. Lalu mereka percaya kerana mereka berkiblatkan baju kalimah dan taali pinggang kebal ini dan bukannya Allah.”

“Silat guris itu bagaimana pula?”

“Guris itu kononnya untuk menundukkan musuh dari jauh. Menggunakan sentaja yang tidak dapat dilihat oleh mata. Sebenarnya itu bukan senjata. Tetapi sejenis sihir yang telah lama diamalkan dalam dunia persilatan yang melibatkan jin. Mereka merasa hebat kerana mampu mengalahkan musuh dari jauh. Yang mengalahkan dan dikalahkan itu adalah orang yang imannya lemah. Jadi mereka juga menjadi permainan kami dan kami ketawakan mereka kerana berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Kami cuma memudahkan urusan mereka sahaja.”

“Bagaimana pula dengan belajar silat dari mimpi ini?”

“Itupun sama. Senang saja. Kami merasuk dan masuk ke dalam mimpi mereka dengan menampakkan yang kami ini seperti pendekar dahulu kala. Berpakaian silat atau jubah sambil memegang tasbih dan kononnya mulut kami sentiasa berzikir sambil tersenyum. Berbadan besar dan hebat.”

“Kami selalu menggunakan nama Pendekar Hitam, Pendekar Merah, Pendekar Kuning, Hang Tuah, Hang Jebat, Penjaga Gunung Kawi, Harimau Berantai, Syeikh-syeikh, pendekar-pendekar-panglima-panglima dan sebagainya. Itupun mereka mudah percaya. Maklumlah manusia seperti ini cuma mainan kami sahaja.”

“Selepas kononnya kami mengajar mereka bersilat dalam mimpi, ketika mereka sedar mereka boleh sebut sahaja silat yang mereka mahu dan kemudian badan mereka bergerak-berak sendiri dan bersilat. Akhirnya mereka merasa takjub dengan kehebatan ilmu persilatan mereka.”

“Sedangkan sebenarnya kami kan sudah berada di dalam badan mereka. Ketika mereka menyebut nama silat yang mereka mahukan, kami tinggal menggerakkan badan mereka dan kami sendiri tidak tahu silat apa yang kami gerakkan sehinggakan kami ketawa sesaama sendiri melihat kebodohan manusia kerana mempercayai kami.”

“Tetapi kami tidak melepaskan mereka begitu sahaja. Selepas itu kami tiupkan semangat pendekar dalam jiwa mereka. Sehingga mereka sentiasa ingin mencabar orang lain untuk beradu kekuatan. Menimbulkan syak wasangka dalam diri mereka. Kami meniupkan api kemarahan yang meluap-luap di dalam jiwa mereka. Oleh kerana tiada mangsa untuk mereka uji kekuatannya, jadi kami meminta mereka untuk menunjukkan kekuatan mereka pada keluarga mereka sendiri.”

“Jadi kalau begitu yang meminta Piee mengelar leher dan menendang hingga lumpuh anaknya sendiri itu adalah disebabkan kamu?”

“Ya. Betul. Atas sebab itulah aku masuk ke dalam badan Piee. Supaya aku boleh memporak-perandakan keluarganya. Sedangkan ketika dia mengelar leher dan menendang anaknya sendiri, dia telah kami khayalkan dengan cara kami telah menutup akalnya yang waras sehinggakan dia tidak menyedari apa yang berlaku. Selebihnya kamilah yang menggerakkan anggota tangan dan kaminya untuk berusaha untuk membunuh anaknya. Cuma mereka masih belum mati. Itu saja perbezaannya.”

“Astaghfirullahal azhim..Semoga Allah melaknat kamu hingga ke hari kiamat wahai syaitan.”

“Ya. Aku sendiri tahu apa yang kau ucapkan. Kerana kami memang dari golongan syaitan yang dilaknat hingga ke akhirat. Tapi apa salahnya kami sebarkan kesesatan dan kezaliman ini kepada manusia-manusia seperti Piee. Kami juga memerlukan teman di neraka nanti. Lagipun dia yang menyeru dan memanggil kami. Maka atas sebab itulah sekali kami dipanggil maka kami akan datang dan sesekali kami tidak akan keluar kerana inilah perjanjian kami. Melainkan kami sakit, lemah dan mengalah.”

“Baiklah. Kau dan kawan-kawau kau bersetuju untuk keluar dari badan Piee dan kawan-kawannya sekarang?”

“Ya. Lepas ini kami akan keluar dan tidak akan masuk kembali melainkan akan datang lagi orang-orang seperti mereka yang memuja dan mempertuhankan kami sehingga kami datang lagi kepada mereka dengan menawarkan kesesatan dalam bentuk ilmu persilatan yang mereka suka.”

“Semoga Allah akan melaknat kamu hingga bila-bila dan semoga Allah menghentikan niat jahat kamu dengan cara mematikan kamu dalam keadaan terhina. Sebelum kamu semua keluar aku minta kamu semua untuk mengikuti sumpah yang akan aku bacakan kepada kamu semua.”

“Iya. Bacalah cepat. Kami sudah tidak tahan lagi kerana kesakitan.”

“Bismillahir rahmaanir Rahim. Dengan nama Allah yang Maha Menguasa kerajaan di langit dan di bumi, yang Menciptakan neraka, yang Memiliki segala kekuatan, yang Maha Membalas akan segala kejahatan dengan kejahatan, yang Maha Menundukkan segala kazaliman dan yang Maha atas segala sesuatu. Aku bersumpah dengan nama Allah, Aku akan keluar dari badan Piee dn kawan-kawannya.”

“Aku bersumpah bahawa aku tidak akan datang lagi mengganggu dirinya, keluarga, rumahnya dan siapa-siapapun umat Islam. Sekiranya aku ikhlas, semoga Allah memudahkan urusan aku keluar dari badan mereka. Sekiranya aku berbohong, Allah akan turunkan laknatnya ke atasku serta merta dan semoga Allah memudahkan urusan kaum muslimin menguasai aku. Dan Allah menjadi saksi atas apa yang aku ucapkan.”

KELUAR

Syaitan di dalam badan Piee mengikuti satu-persatu apa yang aya sebutkan.

“Selepas ini saya akan bacakan Surah Kursi dan pastikan semua dari kamu akan keluar semasa ayat ini dibaca.”

“Aku akan keluar. Yang lain sudah keluar dari badan kawan-kawan Piee. Cuma tinggal aku sahaja lagi yang belum.”

“Baiklah kamu keluar sekarang.”

Kemudian saya meminta kawan-kawan saya melepaskan tangan dan kaki Piee lalu saya bacakan Surah Kursiy. Saya juga sempat meminta rakan-rakan saya untuk bersedia atas apa-apa yang akan berlaku.

Semasa Surah Kursiy dibacakan, Piee secara perlahan-lahan berdiri dan membuka bunga silatnya. Kemudian seolah-olah menarik sesuatu dari kaki, paha, perut, dada, leher, muka dan akhir sekali di kepala lalu menjerit sekuat-kuatnya sebanyak tiga kali.

Piee kemudian duduk dan meletakkan tangannya ke lutut. Tidak lama kemudian Piee memadang saya sambil tersenyum.

“Aku keluar dulu. Jangan minta Piee untuk memanggil aku semula. Kerana kalau bukan aku, maka syaitan yang lain pasti akan datang…”

Selepas itu Piee muntah dengan banyaknya. Kebetulan pada masa tersebut kawan saya telah menyediakan baldi awal-awal di hadapan Piee. Saya meminta kawan saya Awang Giyomi untuk mengurut-ngurut badan Piee dari arah pinggang hingga ke atas kepala berulang kali.

Selepas lebih kurang 10 minit Piee muntah, Piee tiba-tiba tidak sedarkan diri. Kami baringkaan Piee di atas lantai dan meletakkan bantal di belakang kepalanya.

Saya bacakan Surah Al Fatihah sambil menututp mata Piee. Selepas saya bacakan Surah Al Fatihah sebanyak tiga kali saya memanggil-manggil nama Piee berulang kali. Secara perlahan Piee membuka mata dan memandang kami semua.

“Ustaz, saya kat mana? Saya dah mati ke ustaz?”

“Kamu jangan mati dulu Piee. Sapa nak jaga anak isteri kamu.”
Piee tersenyum sambil memandang-mandang kami dam kawan-kawannya.

“Saya penat ustaz. Lemah sangat.”

“Ustaz paham Piee. Syaitan di dalam badan kamu banyak menggunakan tenaga kamu. Lagipun kekuatan kamu tadi bukan kekuatan manusia biasa. Apa yang kamu rasa sekarang Piee?”
“Badan agak ringan, pandangan mata semakin jelas, dada rasa semakin tenang dan rasa seperti terlepas dar isesuatu bebanan ustaz.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Piee istirehat sekejap. Insyaallah lepas tu boleh balik k. Lepas ni jaga solat, banyakkan baca Al Quran dan zikir-zikir syarie, tinggalkan amalan-amalan sesat kamu sebelum ni, jaga keluarga kamu betul-betul dan jangan lupa untuk sujud syukur kepada Allah. Satu lagi Piee. Teruskan belajar silat kerana itu minat kamu. Cuma jangan belajar benda-benda yang pelik lagi. Ingat apa yang syaitan lakukan kepada kamu dan keluarga kamu sebelum ini.”

“Baiklah ustaz. Insyaallah kami akan amalkan apa yang ustaz suruh. Balik nanti saya nak buat solat taubat dan memohon ampun kepada Allah atas kelalaian saya selama ini. Ustaz, saya nak balik dulu. Tak sabar nak berjumpa dengan anak dan isteri saya ustaz.”

Piee mula menangis di hadapan saya dan kawan-kawan. Tangisan ikhlas seseorang yang benar-benar menyesal atas segala kesalahan yang pernah dia lakukan sebelum ini. Selepas itu kami berpelukan dan kawan-kawan Piee memapah Piee keluar dari pusat rawatan kami menuju keluar.

Kami mengiringi mereka keluar dan membantu Piee masuk ke bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta. Piee masih lagi menagis teresak-esak.

“Ustaz, kami balik dulu. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam. Hati-hati.”

Piee dan kawan-kawannya mula bergerak meninggalkan Bangunan Martabat sambil melambai-lambaikan tangan ke arah kami. Selepas itu kami menutup pusat rawatan kami dan menuju ke tempat biasa kami mengisi perut iaitu Restoren Alliya Maju.

Alhamdulillah sekarang Piee sudah jauh berubah. Piee sekarang menjadi seorang guru silat dan Piee sering menghubungi saya untuk bertanya soalan berkenaan dengan ilmu-ilmu agama. Badannya sedikit gempal. Pernah saya berjumpa dengan Piee semasa dia membawa anaknya yang lumpuh ke hospital untuk rawatan susulan.

Menurut kata Piee, mungkin anaknya boleh sembuh tetapi memerlukan masa yang agak lama. Saya sering menasihat Piee untuk terus bersabar dan yakin akan pertolongan Allah kerana Allah tetap sentiasa ada untuk kita.

Peristiwa yang menimpa Piee dan keluarganya banyak memberi pengajaran kepada saya. Apabila kami merawat pesakit yang ada berkaitan dengan silat, saya sering bercerita tentang pengalaman kami merawat Piee dan kawan-kawannya sebagai pengajaran. Untuk membantu mereka agar lebih berhati-hati dan jangan tersilap langkah.

Insyaallah suatu hari nanti saya akan hantar anak saya untuk belajar silat dan ilmu mempertahankan diri yang lain. Biar mereka tumbuh membesar menjadi anak yang berpegang pada prinsip dan sentiasa berdisplin. Amin.

Kung Pow masih demam selsema dan batuk..

Comments

comments