Kasih Seorang Anak

Pada suatu hari, lebih kurang dalam lima ke enam tahun lepas, saya mendapat panggilan telefon dari seorang perempuan yang berhajat untuk mendapatkan rawatan dari kami. Ketika itu saya dan kawan-kawan sedang memagar di sebuah rumah.

“Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu. Saya Kak Su. Saya ada hajat ustaz. Saya nak berubat dengan ustaz. Saya nak bawa ibu dan adik saya sekali untuk berubat. Bila ustaz ada kelapangan?”

“Waalaikumsalam kak. Insyaallah malam esok kami ada buat rawatan di pusat rawatan kami di Bangunan Martabat. Kakak datanglah selepas solat isya. Lebih kurang dalam pukul 8.30 malam.”

“Insyaallah kalau begitu baiklah ustaz. Cuma saya nak bagitahu ustaz dulu satu perkara. Tentang ibu saya. Suatu ketika dulu ibu saya ni pernah menjadi bomoh. Banyak barang-barang simpanannya semasa masih menjadi bomoh dulu masih ada di dalam simpanan saya. Saya tak tahu macamana nak buang benda ni ustaz.”

“Apa jugak barang-barang yang kakak simpan tu?”

“Macam-macam ustaz. Ada keris, azimat, buluh perindu, wafaq, tengkorak haiwan dan macam-macm lagi. Malam esoklah saya bawa ustaz. Nanti ustaz tengok sendiri semua barang-barang ni.“

“Baiklah kalau macam tu. Kalau tak keberatan boleh tak saya tahu apa masalah gangguan pada keluarga Kak Su?”

“Banyak ustaz. Ibu saya selepas dia berhenti jadi bomoh, tiba-tiba ibu saya seperti hilang akal atau tidak waras. Semua keperluan hariannya saya yang sediakan. Makan, minum, memberi mandi dan mengurus segala keperluannya. Adik saya pula lebih kurang macam mak saya jugak ustaz. Macam orang gila.”

“Dia ada suami tapi sebagai seorang isteri dia tak layan suami dia seperti orang lain. Perangaipun sama macam budak kecil. Nasib baik adik saya belum ada anak lagi. Saya sendiri pula sudah berkeluarga. Tapi sudah lama bercerai. Saya da seorang anak lelaki. Anak saya ni pun susah saya nak bagitahu macamana ustaz. Nakal dan kuat melawan cakap saya.”

“Kakak cuma dua orang adik-beradik sahaja ke?”

“Ya ustaz. Dulu semasa kami kecil kami ada seorang adik lelaki. Tetapi adik kami meninggal dunia. Pernah saya tanya ibu saya adik dulu meninggal kenapa. Ibu cuma diam sahaja. Yang saya hairan saya selalu bermimpi berjumpa dengan seorang bayi kecil yang selalu memanggil-manggil saya kakak.”

“Baiklah Kak Su. Malam esoklah kita berjumpa. Nanti Kak Su bawak sekali ibu, adik dan anak Kak Su. Termasuk sekali semua barang-barang ibu Kak Su semasa menjadi bomoh dulu.”

“Insyaallah ustaz. Malam esok saya akan serahkan semuanya kepada ustaz.”

“Alhamdulillah. Baiklah kalau begitu.”

Baik ustaz. saya balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam kak.”

Dipendekkan cerita. Pada keesokan malamnya, seperti biasa selepas waktu isya kami hendak memulakan rawatan di pusat rawatan kami.

Sementara menunggu pukul 9.00 malam, saya meminta Ustaz Amir memberi penerangan kepada beberapa orang pesakit berkenaan dengan persiapan serta apa yang perlu dilakukan sebelum rawatan dijalankan.

Manakala pada ketika itu pula saya sedang menyusun kerusi tempat duduk untuk pesakit dan keluarga mereka. Sambil-sambil itu saya menyapu lantai.

Tidak lama kemudian, terdengar suara memberi salam dari luar pusat rawatan kami.

“Assalamualaikum..”

Saya menoleh ke hadapan seraya menjemput tetamu yang baru datang untuk masuk ke dalam. Seorang perempuan dalam lingkungan 30an tersenyum memandang ke arah saya. Kelihatan perempuan tersebut bersama dengan dua orang perempuan muda dan seorang budak lelaki.

“Waalaikumsalam. Sila masuk.”

“Saya nak jerjumpa dengan Ustaz Malik. Boleh saya tahu siapa Ustaz Malik?”

“Saya Ustaz Malik kak.”

“Owh..Ini rupanya Ustaz Malik. Tak nampak macam ustaz. Apa lagi ustaz tengah sapu sampah kat luar ni. Ingatkan pekerja am bangunan ni tadi. Hairan pula saya. Mana ada pekerja am yang bekerja pada waktu malam. Saya ingatkan Ustaz Malik tu yang botak yang tengah duduk kat dalam tu.”

Saya tersenyum sahaja ketika dipanggil sebagai pekerja am. Tapi Alhamdulillah. Itu lebih baik kerana saya telah banyak belajar untuk bertawadduk dan merendah diri atas penilaian orang terhadap diri kita. Bukannya melenting jika dipanggil pekerja am.

“Itu Ustaz Amir kak.”

Sambil menunjuk ke arah Ustaz Amir.

“Haa..Yang itu baru betul-betul nampak macam ustaz walaupun botak. Saya Kak Su. Yang menelefon ustaz semalam.”

Perempuan tersebut melangkah masuk sambil memimpin tangan seorang perempuan tua.

“Yang ini ibu saya ustaz. Yang ini adik perempuan saya dan ini pula anak lelaki saya. Ni ustaz. Barang-barang yang saya bagitahu ustaz semalam.”

“Terima kasih kak. Jemput masuk dulu. Lepas ni kita cerita lagi.”

Saya menjemput mereka masuk sambil menyambut beg berwarna hitam yang kelihatan agak usang dan pudar warnanya serta agak berat yang diserahkan oleh Kak Su kepada saya. Kemudian Kak Su dan keluarganya masuk ke dalam dan diiringi oleh saya.

Kami memilih tempat duduk di bahagian belakang memandangkan itu saja ruang yang agak lapang. Kemudian saya meminta izin untuk membuka beg tersebut dan cuba untuk melihat apa saja kandungan di dalam beg tersebut.

Ketika saya sedang menyelongkar barang-barang tersebut, saya memanggil Ustaz Amir dan beberapa orang rakan saya untuk membantu saya mengenalpasti apa barang tersebut serta kegunaannya.

TULANG

Ada beberapa barang-barang yang saya perhatikan di dalam beg tersebut. Ada yang biasa saya lihat contohnya azimat, minyak pengasih, bulu perindu, wafak-wafak, tali kain kafan dan sebagainya.

Ada juga beberapa benda yang tidak pernah kami lihat dan benda ini benar-benar menganggu perhatian saya. Saya cuba untuk menyelongkar dengan lebih dalam lagi. Selepas itu saya mengeluarkan beberapa benda dari beg tersebut.

Di tangan saya ada dua benda. Yang pertama kelihatan seperti sisa tembikar yang pecah. Cuma ianya sedikit pelik kerana berwarna coklat gelap, agak sedikit berbau, agak lembut di luarnya tetapi keras di dalam serta berbulu.

Yang kedua pula berwarna coklat muda, baunya seperti ikan bakar, sama seperti yang pertama tadi juga iaitu agak lembut di luar dan keras di dalam tetapi tidak berbulu. Lama saya perhatikan kedua-dua benda tersebut.

Saya pegang kedua-duanya dan cuba untuk merasa dengan tangan. Saya gosok dengan perlahan-lahan. Agak kasar juga. Saya dan kawan-kawan tidak dapat untuk mengecam apakah barang tersebut. Akhirnya kami mengalah dan memandang kembali ke arah Kak Su.

“Kak Su. Kalau tidak keberatan, boleh tak Kak Su terangkan ini apa serta kegunaannya?”

“Owh..Yang berwarna coklat muda ini adalah tulang. Yang berwarna coklat tua ini juga tulang. Kedua-duanya pernah digunakan oleh ibu saya untuk mengubat pesakit suatu ketika dahulu. Kadang-kadang untuk mengubat pesakit, kadang-kadang pula untuk menyiksa orang lain. Ibu saya dahulukan seorang bomoh. Jadi saya memerhati sejak dari kecil apa yang ibu lakukan kepada orang yang datang kepadanya sama ada berniat untuk membantu orang ataupun menyiksa orang ustaz.”

“Baiklah. Tulang apa ini Kak Su?”

“Yang berwarna coklat muda ni kakak tak pasti sebab ibu tak pernah bagitahu saya tulang apa. Tapi tulang berwarna coklat tua ini adalah tulang tengkorak babi ustaz.”

“Tulang tengkorak babi? Astaghfirullahal azhim. Kita terpegang tulang tengkorak babi. Adoilah..”

Untuk sementara keadaan agak kecoh sedikit. Beberapa orang pesakit di sebelah kami memerhati sahaja gelagat kami tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Kak Su dan keluarganya pula memandang kami dengan rasa serba salah.

Saya serta merta melepaskan kedua-dua tulang tadi. Saya memerhatikan wajah kawan-kawan saya satu persatu. Yang sama-sama memegang, membelek dan mencium bau tulang babi tersebut tadi. Kemudian Ustaz Amir meminta kami untuk menyamak tangan kami dan meminta kawan saya Mahli untuk mengumpul kembali tulang-tulang tersebut ke dalam sebuah plastik.

Nasib baik tulang tengkorak babi tersebut tidak terkena pada lantai bilik rawatan kami. Kalau tidak kami terpaksa menyamak sekali kewasan yang terkena tulang babi itu tadi.

Kami lalu pergi ke luar Bangunan Martabat untuk mencari tanah yang sesuai untuk menyamak tangan kami. Proses menyamak tersebut dipimpin oleh Ustaz Amir. Alhamdulillah. Dalam sekitar lima ke sepuluh minit kami telah selesai menyamak tangan kami yang terkena tulang tengkorak tadi babi dengan sempurna.

Inilah kali pertama kami merasai pengalaman seperti ini. Ada lucunya, geram, marah, pelik dan terkejut. Semuanya ada di dalam minda saya. Selepas selesai menyamak tangan kami, kami kembali masuk ke dalam pusat rawatan kami untuk memulakan rawatan.

Tetapi sebelum itu saya meminta Mahli untuk memusnahkan kesemua barang yang diberikan oleh Kak Su tadi kecuali kedua tulang tadi. Saya minta Mahli untuk buang terus ke dalam sungai. Selepas itu saya kembali berjumpa dengan Kak Su dan duduk di hadapan mereka sekeluarga.

“Kak Su. Kak Su tahukan yang babi tu haram? Kenapa Kak Su pegang dan simpan tulang tengkorak babi ini. Takpun maklumkan kepada kami awal-awal bahawa di dalam beg ini tadi ada tulang babi.”

“Ustaz, saya minta maaf. Kami tahu babi ni setakat haram sahaja. Kami tidak tahu yang tulang tengkorak babi itu tidak boleh dijadikan barang perantaraan untuk berubat. Kami sekeluarga dari segi ilmu Islamnya sangat-sangat kurang ustaz. Lagipun dulu semasa ibu saya masih normal ibu tidak pernah sekalipun melarang kami bermain-main dengan tulang ini.”

“Dulu semasa kecil saya selalu memerhatikan ibu merendam tulang babi ini ke dalam gelas berisi air dan diserahkan kepada pesakit untuk diminum. Ibu cuma bagitahu mereka bahawa itu adalah air penawar yang dibacakan Al Quran sahaja.”

“Astaghfirullahal azhim. Sehingga begitu sekali lemahnya pemahaman ibu Kak Su dan keluarga terhadap Islam ini sendiri. Lagipun sepatutnya ibu Kak Su tahu akan halal haram benda ini dan bukannya membiarkan Kak Su dan adik Kak Su bermain dengan benda-benda ini. Apa lagi memberi minum pesakit dengan air yang direndam dengan tulang tengkorak babi ini. Tak apalah Kak Su. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Kak Su sekeluarga.”

Saya cuma dapat memandang wajah Kak Su sahaja ketika itu. Saya merasa kesal dengan apa yang berlaku. Bukannya disebabkan memegang tulang tengkorak babi tadi tetapi saya sedih kerana merasakan ada lagi umat Islam yang sangat rendah ilmu agamanya.

Kak Su memandang saya dengan rasa serba salah, sedih dan kecewa. Ibu Kak Su pula sekejap terbaring, sekejap bercakap sendiri, ketawa, menganggu pesakit-pesakit lain dan kadang-kadang seperti bercakap dan mengendong bayi.

Telatah ibu Kak Su itu diperhatikan dan disambut dengan senyuman oleh adik Kak Su. Akhirnya mereka berdua ketawa bersama.

Kak Su memandang mereka lalu meminta mereka untuk diam. Tinggi juga ujian yang Allah berikan kepada Kak Su ini. Manakan tidak. Cuma Kak Su dan anaknya sahaja yang hidup secara normal walaupun anaknya juga mengalami masalah nakal dan suka melawan. Saya tidak tahu betapa hebatnya wanita bernama Kak Su ini dalam mengurus keluarganya.

UJIAN

“Ustaz, saya minta maaf. Saya benar-benar tidak tahu. Kalau tidak takkanlah saya sanggup suruh ustaz memegang tulang babi tadi. Lagipun untuk pengetahuan ustaz sebenarnya ibu saya ini asalnya seorang muallaf.

Masuk Islam sebelum menikah dengan ayah saya. Asalnya ibu saya tiada pegangan agama. Ibu saya berasal dari sebuah perkampungan jalan Bintulu-Miri. Ayah saya seorang nelayan suatu ketika dahulu. Berasal dari ulu Sungai Kemena.”

“Ibu memberitahu saya yang ayah telah meninggal kerana dibunuh oleh orang. Selepas mayat ayah dikuburkan oleh orang kampung, ibu membesarkan dan menyara kami dengan hasil menjadi bomoh. Ilmu ini ibu belajar dari ayahnya sendiri yang juga seorang bomoh kampung. Suatu hari sebelum ibu menjadi tidak siuman, setiap malam ibu bermimpi berjumpa dengan seorang bayi kecil.”

“Kata ibu bayi tersebut pucat seperti mayat. Kulitnya seperti hangus terbakar. Matanya besar dan tersembur keluar. Lidahnya panjang dan berwarna hijau. Telinganya agak tajam. Perutnya buncit tetapi isi perutnya terburai keluar. Penuh dengan ulat-ulat besar yang sedang menghisap darah yang terkeluar dari perut bayi tersebut.”

“Saya cuma ingat ibu pernah berkata kepada saya sebelum ibu menjadi tidak siuman untuk selama-lamanya. Ibu meminta saya untuk menjaga ibu sehingga ibu meninggal dan juga meminta saya untuk menjaga adik saya. Ibu juga memberitahu saya supaya jangan meninggalkannya walau apa-apapun yang berlaku. Insyaallah saya akan jaga ibu saya sampai bila-bila ustaz. Begitu juga adik dan anak saya. Kerana mereka sahajalah keluarga saya yang masih lagi tinggal.”

Saya mendengar cerita Kak Su dengan penuh tekun. Lalu memandang ke arah luar tingkap. Saya cuba membayangkan kalau saya berada di tempat Kak Su.

Mungkin saya tidak akan mampu untuk menjadi anak sebaik Kak Su. Kak Su cuma memandang ke bawah. Air matanya mengalir perlahan dan menyentuh lantai.

Selepas itu saya memandang ke arah Kak Su yang sedang melayan karenah ibunya yang mengajaknya untuk bermain osom dan Kak Su melayan ibunya dengan sabar dan senyuman. Adik Kak Su juga begitu.

Cuma ketawa memerhatikan gelagat ibunya yang sedang bermain dengan Kak Su. Kemudian menjerit dengan kuat disertakan dengan ketawa terbahak-bahak. Sedangkan anak Kak Su cuma diam sambil matanya semakin mengecil kerana mengantuk.

“Kak Su. Sungguh berat ujian yang Allah berikan kepada Kak Su. Kalau saya di tempat Kak Su mungkin saya tidak sanggup kak. Semoga Allah merahmati kakak dan mengampuni segala dosa kakak sekeluarga. Amin. Kak Su, sekarang ni bantuan apa yang kakak perlukan dari kami?”

“Macam ni ustaz. Saya nak mintak tolong ustaz ubatkan kami sekeluarga. Manalah tau kalau-kalau ada syaitan yang menganggu kami. Lagipun sekarang saya dah mula bermimpi berjumpa denga bayi ustaz. Saya mendukung bayi tersebut dan bayi tersebut merengek dan menangis. Perutnya terburai dan badannya hangus. Saya tidak mengerti apa yang mimpikan itu ustaz.”

“Sebelum adik saya menjadi tidak siuman juga, dia mengalami mimpi yang sama seperti apa yang ibu dan saya alami. Selepas ibu mengalami mimpi tersebut ibu menjadi gila. Kemudian adik saya mengalami mimpi yang sama dan akhirnya dia juga menjadi gila. Sekarang saya pula mengalami mimpi seperti ini. Saya takut ustaz. Saya tak nak jadi gila.”

Saya memandang wajah ibu Kak Su dan adiknya. Mereka akhirnya menjadi mangsa kepada syaitan. Menjadi gila. Kak Su cuma mampu mengesat air matanya sambil memandang ibunya dengan senyuman.

Kak Su cuba menahan kesedihan. Mungkin dugaan ini terlalu perit baginya. Apatah lagi dengan tiada asas pegangan agama. Dan kehidupan ini Kak Su jalani dengan sabar yang entah bila penghujungnya.

“Baiklah kak. Insyaallah saya dan kawan-kawan akan berusaha untuk membantu kakak. Sembuh atau tidak itu urusan Allah. Yang penting dari pihak kami, kami akan sedaya upaya membantu kakak ok? Kakak jangan risau. Segala ujian dan cabaran hidup Kak Su selama ini tidak akan pernah terlepas dari rahmat Allah. Percayalah kak.”

“Insyaallah ustaz. Saya percaya kepada takdir Allah kepada saya dan Allah tidak akan menciptakan hambaNya secara sia-sia.”

“Alhamdulillah kalau macam tu. Senang urusan kami kak sebab kakak percaya kepada perancangan Allah. Ada orang yang sakit sanggup menyalahkan Allah atas apa yang terjadi kepadanya. Insyaallah sekejap lagi kami akan mulakan bacaan ayat Al Quran dan doa dari Rasululah. Apa yang kakak dan keluarga kakak lakukan adalah dengar sahaja apa yang dibaca, jangan ikut bacaan kami dan jangan baca benda lain. Kakak faham?”

“Faham ustaz. Lepas ni saya akan jelaskan kepada kelurga saya sekali. Harap-harap mereka dapat mengikuti kita ustaz.”

“Insyaallah kak. Kalau mereka tidak dapat mengikuti kitapun nanti ustaz akan mintak kawan-kawan ustaz bacakan Al Quran kepada mereka.”

“Baiklah kalau begitu. saya pergi ke hadapan dulu kak.”

“Baik ustaz.”

MEMULAKAN RAWATAN

Selepas itu saya duduk di hadapan untuk memulakan rawatan kami dengan memperdengarkan bacaan Al Quran. Ada lebih kurang 25 orang pesakit ketika itu.

Saya meminta Ustaz Amir untuk memulakan rawatan ruqyah dengan membaca ‘Inzhar’ dan ayat Al Quran bermula dari Surah Al Fatihah, Al Baqarah Ayat 1-5, Al Baqarah Ayat 102, Al Baqarah Ayat 163-164, Al Baqarah Ayat 255, Al Baqarah Ayat 285-286, Ali Imran Ayat 18-19, Al A’raf Ayat 54-56, Al A’raf Ayat 117-122, Yunus Ayat 81-82, Thoha Ayat 69, Al Mukminun Ayat 115-118, As Soffat Ayat 1-10, Al Ahqaf Ayat 29-32, Ar Rahman Ayat 33-36, Al Hasyr Ayat 21-24, Al Jin Ayat 1-9, Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas.

Semasa ayat tersebut dibacakan oleh Ustaz Amir, ramai pesakit yang menjerit, muntah, mengamuk, pengsan, bernyanyi, bersilat dan sebagainya.

Saya meminta beberapa orang rakan saya untuk meneruskan rawatan kepada mereka ini sedangkan kawan-kawan saya yang lain saya minta mereka untuk memantau pesakit-pesakit lain yang belum menunjukkan sebarang reaksi.

Perhatian saya juga tetap terarah kepada Kak Su dan keluarganya. Dengan tidak semena-mena, Kak Su menjerit sekuat-kuar hatinya. Hampir tercabut gegendang telinga saya ketika itu. Suara Kak Su nyaring dan bingit rasanya. Ustaz Amir tetap meneruskan bacaan dengan suara yang agak kuat tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

Kak Su kami biarkan sahaja dulu sementara menanti apa yang akan berlaku kepada keluarganya yang lain. Saya pasti bukan Kak Su seorang sahaja yang akan mengamuk nanti.

Sebab ada tanda-tanda akan kehadiran jin di dalam badan ibu Kak Su dan adiknya. Sedangkan anak Kak Su tetap seperti biasa. Seperti tiada gangguan pada anaknya.

Tiba-tiba adik Kak Su muntah. Begitu juga dengan ibunya. Banyak muntah yang keluar dari mulut mereka sehinggakan kawan saya Mahli dan Adi terpaksa menukar beberapa kali baldi kecil yang mengandungi muntah mereka.

Saya meminta Haziq dan Usu untuk memberikan rawatan susulan kepada ibu Kak Su dan adiknya. Sementara saya mula duduk di hadapan Kak Su untuk memulakan rawatan saya.

Saya meminta beberapa kawan saya yang perempuan untuk membantu menahan tangan dan kaki Kak Su memandangkan Kak Su telah mula mengamuk. Saya mulakan dengan lafaz taawwudz, basmalah, Surah Al Fatihah, Kursiy dan tiga Qul.

Semasa saya membaca ayat-ayat tersebut Kak Su mula mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami. Saya tidak mempedulikan apa yang berlaku kepada Kak Su. Selepas itu, Kak Su mula memandang saya;

“Kenapa ganggu aku? Apa urusan kamu dengan hambaku ini?”

“Siapa hamba kamu wahai syaitan?”

“Surini. Dia sekarang telah menjadi hambaku. Sebelum ini ibunya. Kemudian adiknya. Jiwa adiknya sangat lemah. Kemudian aku alihkan tumpuan kepada Surini. Ternyata dia kuat. Jadi aku masih lagi menunggu masa yang sesuai. Biar dia akan menjadi mangsa aku seperti ibu dan adiknya nanti. Hahaha..”

“Kamu cuma ada dua pilihan. Keluar dari badan Surini dan jangan kembali lagi atau kalau kamu tidak mahu keluar, kami akan kami bacakan Al Quran kepada kamu. Tentang apa yang akan Allah lakukan padamu itu terserah Allah. Kami terlepas dari segala kezaliman kamu.”

“Keluar? Keluar ke mana? Hahaha..Dari badan Surini. Bodohnya aku kalau aku keluar sekarang. Aku belum lagi menunaikan janjiku kepada mereka walaupun mereka sendiri tidak tahu apa janjiku untuk mereka.”

“Apa janjimu kepada mereka syaitan?”

“Untuk menjadikan mereka gila. Setelah kesesatan yang mereka lakukan. Itu saja. Aku juga wujud dan menghantui malam-malam mereka dengan mimpi yang menakutkan. Kau tahu mimpi apa? Mimpi bayi kecil. Yang perutnya terburai. Itu saja. Hahaha..”

“Baiklah. Kalau kau tidak keluar aku akan bacakan Al Quran kepadamu. Nanti Allah yang selayaknya untuk menghukum kamu.”

“Iya. Bacalah semampu kamu. Aku sedang menunggu kamu. Hahaha..”

“Semoga Allah akan melaknat kamu sampai hari kiamat.”

Selepas itu saya mulakan dengan membaca beberapa ayat Al Quran;

“Hai jamaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Kepada kamu, (jin dan manusia) dilepaskan nyala api dan cairan tembaga maka kamu tidak dapat menyelamatkan diri (daripadanya). Maka nimat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah Ar Rahman: 33)

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.” (Surah Al Haj: 39)

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir”. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Surah Al Kahfi: 29)

“Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, karena sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (Surah An Nisa: 76)

Saya bacakan ayat-ayat tadi berulang-ulang kali. Pada awalnya syaitan itu cuba untuk mempersendakan saya dengan ketawa terbahak-bahak sambil mengatakan bahawa bacaan saya tidak memberi kesan kepadanya.

Tetapi saya tetap dengan bacaan saya sebab ayat Al Quran ini adalah ‘As Syifa’ atau penyembuh. Apa lagi ayat-ayat yang saya baca itu adalah di antara beberapa jenis ayat azab.

Ini bukan bermaksud saya mengazab syaitan-syaitan itu dengan ayat-ayat azab dari Al Quran ini. Bagi saya itu sudah silap. Saya cuma membacakan beberapa potongan ayat Al Quran yang mengandungi unsur-unsur siksaan, neraka, balasan Allah dan sebagainya.

Kemudian saya serahkan segalanya kepada Allah. Selepas itu cuma tinggal Allah sahaja untuk menerima bacaan Al Quran kita yang bernilai ibadah tadi lalu membantu kita dari arah yang tidak disangka.

Saya meneruskan bacaan Al Quran saya dalam setengah jam. Kemudian disambung oleh Anai TM juga dalam jangka masa setengah jam. Selepas itu syaitan itu menjerit dan meminta supaya bacaan Al Quran dihentikan.

“Berhenti, berhenti. Sudah, sudah. Aku mengalah. Aku akan keluar. Aku berjanji.”

“Tidak. Aku tidak akan berhenti membaca Al Quran sehingga engkau bersetuju untuk keluar dan tidak akan datang lagi menganggu mereka.”

“Ya, Ya. Aku berjanji.”

“Baiklah. Sebelum kau keluar aku ingin bertanya kepadamu. Kenapa kamu menganggu Kak Su dan keluarganya? Apa urusan kamu dengan mereka?”

“Kami ada suatu perjanjian. Tetapi sudah lama. Bukan kepada Surini. Tetapi aku bersama mereka bermula dari datuknya lagi. Aku telah membuat perjanjian kepada datuknya.”

“Apa hubungan kamu dengan datuk Surini? Datuk sebelah ayah atau ibunya?”

“Begini. Sabar dahulu. Kenapa kamu tidak boleh bersabar? Sebab itulah syaitan mudah untuk menguasai manusia. Kerana sifat tidak sabar dan terburu-buru mereka. Hahaha.”

“Dasar syaitan. Aku baru sahaja bertanya dua soalan. Lalu kau menghukum aku sebagai seorang yang bukan penyabar?”

“Hahaha..Itu urusan kamu. Bukan urusan aku. Hahaha..Begini. Datuk Surini sebelah ibunya pernah menuntut ilmu sesat kepada aku. Datuknya meminta kepada aku supaya dia mempunyai kebolehan merawat pesakit. Aku memberitahu kepadanya aku akan makbulkan permintaannya sedangkan kenyataannya tidak begitu. Kerana aku juga tidak pandai dan tiada ilmu untuk merawat pesakit. Tetapi asalkan aku dapat untuk menyesatkan manusia, jadi aku sanggup kononnya untuk mengajar ilmu itu kepada mereka. ”

“Apa yang kau ajarkan kepadanya?”

“Tiada apa-apa. Aku cuma mengajarnya tentang ilmu kesesatan. Lalu dia percaya. Aku meminta dia untuk berbuat syirik. DIa juga lakukan itu. Jadi tugas aku amat mudah sekali. Aku tahu mereka tiada ilmu agama yang tinggi. Jadi mudahlah urusan aku.”

“Sebagai syaratnya aku minta anaknya nanti iaitu ibu Surini untuk memeruskan tradisi dan kepercayaan mengubat orang ini. Agar ramai manusia yang terjerumus ke arah kesesatan. Iaitu pecaya kepada bomoh dan bukannya pada Allah. Aku yakinkan mereka dengan suatu prinsip iaitu berusaha untuk sembuh. Kerana Allah itu Maha Penyembuh. Bahawa berubat dengan bomoh sekalipun itu adalah usaha yang Allah minta dari kita dan jangan berputus asa. Orang sakit biasanya orang yang paling senang untuk disesatkan. Senang bukan?”

“Lepas itu apa yang terjadi?”

“Begini. Sabar dulu. Selepas ayahnya meninggal akibat dari olahnya sendiri, aku mula menjadikan anaknya tadi iiaitu ibu Surini sebagai mangsa seterusnya.”

“Apa maksud kamu ayahnya meninggal akibat dari olahnya sendiri?”

“Menjelang akhir hayat ayahnya dia meminta ilmu dari aku. Katanya dia tidak mau tua dan ingin terus hidup selamanya. Jadi aku aminkan saja dengan cara meminta dia berzikir menyebut ‘Tiada tuhan selain Azazil dan Muhammad adalah pesuruh Allah. Dia bertanya kepadaku siapa itu Azazil? Aku katakan kepadanya bahawa Allah mempunyai 99 nama. Salah satunya adalah Azazil. ”

“Dia percaya dan mengamalkannya selama sebulan penuh. Bodoh bukan? Selepas itu aku minta dia memotong perutnya sendiri dan mengeluarkan jantungnya. Biar dia lihat jantung berdetak atau tidak. Dia mengikuti apa sahaja yang aku minta lalu memotong perutnya sendiri. Maklumlah, aku bisikan padanya yang ilmu kebalnya itu sudah mula menunjukkan hasil. Tetapi tidak lama selepas itu dia terus mati. Hahaha..Mana aku tahu bagaimana untuk mengajar ilmu kebal kepadanya. Aku sendiripun tidak kebal seperti yang dia sangka. Yang penting dia percaya bulat-bulat kepadaku dan akhirnya dia mati dalam kesesatan. Senangkan. Hahaha..”

GILA

“Kenapa kau terlampau kejam pada manusia. Dia sesat kerana kamu.”

“Terserah kamu. Aku tiada urusan dengan kesesatan dia.”

“Kemudian apa yang kau lakukan pada anaknya?”

“Ya. Itu yang aku mahu ceritakan padamu. Selepas datuk Surini mati, aku datang kepada anaknya pula. Iaitu ibu kepada Surini. Kau tahu dia sudah gila bukan?”

“Aku tidak tahu dan aku tidak percaya.”

“Ya. Terserah kamu. Ibunya bukan sekadar gila. Tetapi lebih dari itu. Kalau kau tahu apa yang dia lakukan nescaya kau juga setuju kalau aku katakan yang dia sememangnya gila. Bahkan lebih dari itu. Suatu hari selepas ayahnya meninggal dunia, aku meresap masuk ke dalam mimpi ibu Surini.”

“Aku katakan padanya bahawa aku adalah Nabi Muhammad. Selepas itu aku berjanji aku akan memperhambakan diriku kepadanya. Dia bersetuju. Bayangkan kalau nabi datang meminta untuk menghambakan diri kepada kita. Hahaha..Sungguh bodoh manusia seperti itu.”

“Suatu ketika ibu Surini meminta kepada aku. Kononnya untuk mengubah hidup mereka yang susah setelah kematian ayahnya sebagai punca rezeki mereka sekeluarga. Ketika itu ibunya terpaksa untuk menyara kehidupan tiga orang anaknya. Dia meminta untuk mengajarkan ilmu perubatan kepadanya. Jadi aku setuju. Walaupun aku tidak tahu ilmu ini. Asalkan dia percaya kepadaku sudah. Senang untuk menyesatkannya kemudian.”

PERJANJIAN SYAITAN

“Sebagai perjanjian, aku minta kepadanya untuk suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh manusia yang normal. Aku memintanya untuk membunuh anak bongsunya sendiri. Yang ketika itu baru berusia beberapa bulan sahaja. Pada mulanya dia tidak mahu. Siapa yang sanggup membunuh anak sendiri. Tetapi apabila aku sudah menguasai jiwanya, lalu aku gelegakkan nafsunya. Akhirnya ibu Surini sanggup untuk mengorbankan anaknya sendiri demi ilmu merawat pesakit ini.”

“Aku meminta dia membawa anaknya yang berusia beberapa bulan itu pergi ke hulu sungai di sebuah hutan. Ibu Surini ketika itu menaiki perahu kecil peninggalan ayahnya. Berdayung keseorangan hingga ke hulu.”

“Sesampainya di sana aku meminta dia untuk mengelar perut anaknya sendiri dan mengeluarkan kesemua isi perutnyaa. Aku juga terkejut betapa ibu Surini sanggup melakukan apa yang aku suruh. Apakah dia tidak sedikitpun tersentuh apabila mendengar bunyi tangisan kesakitan anaknya sendiri ketika itu?”

“Yang mana ketika itu anaknya sedang dipangku dan dipeluk olehnya sendiri? Yang akhirnya secara perlahan tangisan ini hilang selamanya. Tapi akulah yang memekakkan telinganya dan menutup pandangan matanya sehingga dia langsung tidak merasa bersalah dan sedih.”

“Apatah lagi ketika bayi itu menangiis kesakitan, bayi itu sempat memegang wajah dan tangan ibunya. Langsung tiada perasaan sedih ibu Surini ketika itu. Selepas dia membunuh anaknya sendiri aku meminta dia meminum darah anaknya dan kemudian menyalai mayat anaknya di atas para yang ibunya bangunkan di hulu sungai hutan tersebut.”

“Kemudian setelah semalaman disalai aku memintanya memotong kepala mayat bayi tersebut dan memecahkannya menggunakan batu besar. Ada suatu kepingan tengkorak mayat bayinya yang sebesar tapak tangan aku minta dia untuk menyimpannya. Sebagai ibu penawar. Ibunya juga menyimpan tengkorak babi. Prosesnya juga sama. Cuma babi itu dia dapatkan dari hutan. Juga sebagai penawar penyakit.”

“Astaghfirullahal ahim. Sudah..Sudah. Aku tidak percaya.”

“Kalau tidak percaya kenapa kamu mahu mendengar? Apakah itu juga salah aku?”

“Sudah-sudah. Kau keluarlah sekarang?”

“Ya. Aku akan keluar sekejap lagi. Cuma yang terakhir bagiku. Untuk pengetahuan engkau. Akulah juga yang meresap masuk ke dalam mimpi ibunya dengan menampakkan rupa seorang bayi yang sama seperti bayinya sendiri. Aku datang setiap malam. Menangis di dalam mimpinya. Aku tinggalkan rasa kecewa, sedih, menyesal dan tekanan yang hebat pada ibunya dengan mempersoalkan kenapa dia sanggup untuk membunuh anaknya sendiri. Hahaha..Dan akhirnya ketika ibunya tidak mampu untuk menahan kesedihan lagi, ibunya telah menjadi gila.”

“Cuma aku merasa sedikit kecewa. Sebelum ibunya meninggal dunia, ibunya sempat bertaubat kepada Allah. Kenapa pada ketika itu juga Allah sempat untuk mengembalikan ingatannya walapun sekejap dan di akhir hidupnya pula. Habis semua usahaku selama ini. Tapi sekurang-kurangnya aku telah berusaha memporak-perandakan keluarga mereka.”

“Aku tetap tidak akan mengalah. Atas sebab itulah aku mula menganggu Surini dan adik perempuannya. Adik perempuannya tidak susah untuk aku ganggu. Kerana dia memang orang yang lemah semangat, pemarah dan suka berkhayal. Tinggal aku arahkan sahaja tanpa dia tahu. Di dalam mimpi Surini dan adiknya juga aku hadir dalam keadaan seorang bayi lelaki yang terburai isi perutnya. Badan penuh dengan kesan terbakar dengan wajah yang menakutkan. Aku telah berjaya mempengaruhi adik Surini tetapi bukan Surini sendiri.”

“Adik Surini menjadi gila tidak lama selepas ibunya menjadi gila. Adik Surini sedih dan kecewa kerana ibunya begitu. Walaupun adik Surini telah menikah. Tetapi aku alihkan pemikirannya supaya dia jangan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.”

“Aku selubungi hidupnya dengan kesedihan, kekecewaan dan ketakutan dan pada ketika itulah aku merasuk ke dalam badannya dan merosak saraf pada urat-urat akal fikirannya dan aku menetap terus di situ sehingga dia gila selamanya dan menemani ibunya yang juga gila.”

“Cuma aku perlukan masa yang agak lama sedikit untuk menganggu Surini ini kerana Surini memang ditakdirkan untuk menjadi seorang yang jiwanya kuat dan padu. Aku perlukan masa lebih untuk menyesatkan Surini. Seperti mana aku berjaya menyesatkan adiknya dan menjadikannya juga gila seperti ibu mereka.”

“Tetapi perancangan aku silap. Surini membawa keluarganya ke sini. Sehingga aku tidak dapat menduga apa perancangannya. Aku cuma mampu berusaha untuk membisikkan kejahatan dalam diri Surini dan memintanya jangan untuk datang berjumpa dengan kamu.”

“Baiklah. Selepas ini kamu keluarlah dan jangan kamu ganggu lagi Surini dan keluarganya. Kalau kau ganggu juga Surini maka engkau akan berhadapan sendiri dengan Allah dan bukannya aku. Aku terlepas dari semua kesesatan dan kemusnahan semua ini. Aku akan bacakan Surah Kursiy dan engkau akan keluar pada ketika itu juga. Kalau tidak Allah akan menguasai dirimu dan menundukkan engkau kepada kaum muslimin supaya mudah bagi mereka kaum muslimin mngalahkanmu.”

Lalu saya bacakan Surah Kursiy kepada Kak Su;

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).” (Al Baqarah / Surah Kursiy: 225)

Selepas itu Kak Su mula memuntahkan sesuatu. Saya meminta kepada perawat wanita iaitu Bella dan Hajar untuk membantu saya memegang badan Kak Su dan membaca beberapa ayat Al Quran sambil mengurut belakang badan Kak Su dari bawah pinggang hingga ke atas tengkuk dan kepala. Kemudian Kak Su muntah dengan jumlah yang agak banyak sehingga membasahi sedikit telekung yang digunakan olehnya.

Selepas Kak Su memuntahkan kesemuanya, saya minta Bella dan Hajar untuk membaringkan Kak Su semula lalu membacakan Surah Al Muawwizatain kepadanya iaitu Surah Al Falaq dan An Naas. Saya biarkan Kak Su untuk seketika.

Selepas itu saya kejutkan Kak Su. Kak Su secara perlahan-lahan membuka matanya. Saya meminta dia beristighfar. Kak Su mengikuti saya beristighar. Selepas itu dia diam dan menangis.

“Ustaz, mana ibu saya? Adik saya?”

“Ibu dan adik Kak Su ada. Mereka sedang berbaring. Mungkin penat agaknya selepas diruqyah.”

“Ustaz, tadi semasa dibacakan Al Quran saya sentiasa sedar dengan apa yan berlaku. Cuma saya tidak mampu untuk mengawal diri dan perbuatan saya. Saya tidak tahu kenapa saya boleh bercakap sendiri ustaz. Saya juga mendengar apa yang saya katakan sendiri dari mula hingga akhir. Kenapa saya boleh jadi begitu ustaz?”

“Kak Su. Sebenarnya yang mengarahkan semuanya itu bukan Kak Su tetapi syaitan yang merasuk dan menganggu keluarga Kak Su selama ini.”

Kak Su kemudian diam dan menangis semahu-mahunya. Sekali lagi saya meminta bantuan Bella dan Hajar. Tetapi membantu menenangkan Kak Su. Mungkin Kak Su terkejut dengan apa yang didengarnya tadi.

“Ustaz, adakah Allah akan mengampuni segala dosa dan kesalahan ibu saya?”

“Kak Su, sebesar mana sekalipun dosa yang hambaNya lakukan, Insyaallah Allah pasti akan mengampuni dosa tersebut sekiranya sebelum di akhir kehidupan kita sempat untuk bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.”

“Ustaz, masih adakah syuarga untuk ibu saya? Selepas dosa-dosa yang dia lakukan?”

“Insyaallah Kak Su. Saya cuma ingin sampaikan sesuatu. Apabila sebelum ini kita diliputi dengan dosa walau penuh seisi langit dan bumi sekalipun, Allah pasti akan ampunkan dosa kita. Bayangkan di akhir kehidupan ibu Kak Su, ibu Kak Su sempat untuk bertaubat kepada Allah dan akhirnya gila. Setelah ibu Kak Su bertaubat, dosa ibu Kak Su ketika itu telah Allah ampunkankan dan ibu Kak Su ketika itu umpama seorang bayi kecil.”

“Lalu Allah hilangkan akal fikirannya yang waras. Bukan bermaksud Allah zalim kerana menyebabkan ibu Kak Su gila tetapi bayangkan selepas bertaubat dan ibu Kak Su bersih dari segala dosa, Allah tarik nikmat akalnya sehingga dia gila dan di akhirat nanti ibu Kak Su akan menghadap Allah tanpa sekelumit dosa sekalipun. Bersih dari segala dosa yang pernah dia lakukan sebelum ini. Bukankah Allah itu Maha Adil? Cuma selepas ini Kak Su jagalah ibu Kak Su dengan sepenuh hati. Dia sudah tidak sihat dan tidak mampu untuk berfikir secara normal lagi. Begitu juga dengan keluarga Kak Su yang lain. Jagalah mereka.”

“Insyaallah ustaz.”

“Ya Kak Su. Berbaktilah kepada ibu Kak Su. Kerana dialah syurga Kak Su.”

“Saya berjanji di hadapan ustaz. Saya akan jaga mereka.”

“Berjanjilah kepada Allah Kak Su dan bukanya kepada saya. Kerana semua ini Allah yang aturkan untuk Kak Su sebagai tanda kasih sayang Allah kepada Kak Su sekeluarga.”

“Baiklah ustaz. Terima kasih atas segala bantuan ustaz dan kawan-kawan. Hanya Allah yang mampu membalas jasa ustaz dan kawan-kawan. Kami balik dulu ustaz. Assalamualaikum.”

“Waalailkumsalam Kak Su..”

Selepas itu, Kak Su memimpin ibunya untuk keluar dari pintu bilik rawatan kami. Anak Kak Su pula memimpin tangan adik Kak Su. Kami menemani mereka hingga ke luar Bangunan Martabat. Mereka bergerak ke arah sebuah kereta kancil lama milik Kak Su. Selepas itu kami masuk kembali ke dalam pusat rawatan kami.

Selepas dari peristiwa pada malam tersebut, saya tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka sekeluarga. Cuma dalam tahun tersebut ada dua-tiga kali juga saya terserempat dengan mereka sekeluarga sedang makan di KFC Medan Jaya, bersiar-siar di Parkcity Mall dan solat di di Masjid Assayakirin.

Kak Su ketika itu sudah bertudung labuh. Tidak seperti sebelum ini. Tidak bertudung untuk menutup auratnya. Saya merasa syukur atas berubahan yang berlaku kepada Kak Su sekeluarga.

Hinggalah pada suatu hari, saya dikejutkan dengan berita kematian ibu Kak Su. Kawan saya Mahli yang menyampaikan berita itu kepada saya.

“Malik, kamu masih ingat lagi tak kepada Kak Su yang pernah kita rawat dulu.”

“Ingat lagi Mahli. Kenapa?”

“Ibunya telah meninggal dunia.”

“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Bila ibunya meninggal? Kak Su mana?”

“Baru pagi tadi Malik. Ada kawan yang telefon bagitahu. Saya sempat ke hospital dulu untuk kepastian dan ternyata betul. Ibu Kak Su sudah meninggal dunia. Wajahnya nampak tenang Malik. Kawan saya inilah yang menyuruh Kak Su membawa keluarganya berubat dengan kita sebelum ini.”

‘Kak Su ada tak kat situ? Ada Malik. Tapi saya rasa macam pelik.”

“Kenapa?”

“Begini Malik. Beberapa bulan lepas Kak Su telah bernikah dengan seseorang.”

“Alhamdulillah kalau begitu. Ada juga yang boleh menjaga mereka nanti.”
“Bukan macam tu Malik.”

“Lepas tu apa pulak”

“Lepas nikah Kak Su ikut suaminya pindah ke tempat suaminya. Ibu Kak Su, Kak Su tinggalkan begitu saja tanpa pengawasan dan jagaan dari sesiapa. Kak Su cuma berharap adiknya yang gila itu untuk menjaga ibu dan anaknya.

Kak Su tidak mempedulikan lagi ibunya selepas dia nikah. Dia baru balik selepas mendengar khabar ibunya telah meninggal dunia. Itupun semasa kami menguruskan jenazah ibunya, dia cuma tengok sahaja dan cuma berdiri di samping suaminya.”

BERUBAH

“Lepas tu Mahli?”

“Saya tanya Kak Su kenapa tak nak tolong sedangkan yang meninggal ini ibunya. Kak Su cuma tersenyum sahaja. Saya jadi marah ketika itu Malik. Langsung dia tidak menyentuh ibunya ketika itu.”

“Bagaimana kamu tahu semua ini Mahli?”

“Kawan saya tadilah yang bercerita kepada saya. Sebelum ini kawan saya yang memberi mereka tempat untuk berteduh. Sebuah rumah kecil. Lelaki ini banyak membantu mereka. Dia bagitahu yang selepas Kak Su nikah Kak Su tanpa memberitahu kawan saya tadi yang dia telah mengikuti suaminya berpindah. Mereka pindah secara senyap-senyap. Ibu dan keluarganya yang lain dibiarkan begitu saja. Sehinggakan ibunya sakit dia langsung tidak pernah menjenguk atau bertanya khabar?”

“Pernah kawan saya menelefon Kak Su untuk memberitahu yang ibunya sedang sakit tenat tapi Kak Su matikan panggilan telefon dan tidak mahu membalas sms. Sehinggalah kawn saya tadi sms Kak Su untuk memberitahu ibunya sudah meninggal dunia barulah Kak Su sibuk untuk menelefon kembali kawan saya.”

“Apa lagi. Kak Su kena maki sepuas-puasnyalah selepas itu. Kawan saya juga ada memberitahu bahawa sebelum ini Kak Su ada menelefon jiran Kak Su sendiri untuk meminta jirannya itu menjaga dan mengurus kehidupan harian ibunya. Manalah jiran Kak Su mahu. Kak Su masih hidup lagi. Selepas itu Kak Su marah-marah dan mematikan telefon.”

Saya terdiam. Memandang ke langit. Saya sempat mengimbas kembali segala peristiwa semasa kami merawat Kak Su dan keluarganya suatu ketika dahulu.

“Kenapa Kak Su boleh jadi begini?”

“Ntahlah Malik. Mungkin syaitan telah menguasai jiwanya. Mungkin dia merasakan kehidupannya lebih baik selepas bernikah. Mungkin sebelum ini dia merasakan yang ibunya adalah bebanan selama ini? Semuanya boleh jadi Malik.”

“Semoga Allah mengampuni dosa Kak Su Mahli. Kitapun tak tahu apa yang terjadi.”

“Ya Malik..”

Menurut kawan saya Mahli tadi dia selalu terserempat dengan adik Kak Su. Terbiar begitu sahaja di jalanan. Makan minum tidak terurus. Tidur di tempat pembuangan sampah, di lorong-lorong belakang bangunan.

Memang sudah benar-benar gila. Anak Kak Su pula entah ke mana. Sedangkan Kak Su hidup bersama suami barunya. Juga entah di mana saya pun tidak tahu.

Cuma saya doakan semoga Kak Su bertaubat kepada Allah. Itu saja. Selebihnya biar Allah yang uruskan. Saya tidak tahu Kak Su di mana sehinggalah ada seseorang memberitahu dia berada di sebuah tempat yang saya tidak mahu beritahu di mana.

Cuma dia sekarang hidup bahagia di samping suaminya. Allahu a’lam..

Kung Pow tulis pendek sahaja ya..

Comments

comments