Cuti sekolah berbaki seminggu sahaja. Sejak minggu lepas ramai nama anak-anak murid yang berjaya dalam UPSR tersiar dalam surat tawaran ke sekolah berasrama penuh.
Tahun ini banyak perubahan berlaku apabila anak-anak dari golongan B40 diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran diperingkat menengah di sekolah elit SBP atau MRSM.
Ada yang berasa bersyukur tak kurang juga yang kecewa bila anak tidak terpilih sedangkan keputusan UPSR cemerlang tapi tidak layak kerana ibubapa berpendapatan melebihi RM3 ke RM4 ribu keatas.
Namun begitu di Sarawak sekolah berasrama adalah perkara biasa.
Di luarbandar hampir semua sekolah rendah dan menengah adalah berasrama.
Mereka bukanlah pelajar ‘terpilih’ tetapi setiap sekolah memang sudah memiliki asrama memandangkan jarak rumah yang jauh dari sekolah.
Asrama di Sarawak atau mungkin di Sabah merupakan satu keperluan bukan lesen untuk dibanggakan. Asrama di sekolah-sekolah di asrama di Sarawak adalah satu institusi bagi membina asas rakyat berwajah 1 Sarawak.
Saya berani menyimpulkan bahawa SEKOLAH BERASRAMA di Sarawak ini menyumbang kepada pembinaan rakyat Sarawak yang penuh toleransi dan hidup harmoni.
Di sekolah ini anak-anak asrama belajar untuk berdikari, bersosialisasi dan menjaga diri serta rakan-rakan lain. Di asrama ini ukhwah mereka lebih kuat. Mereka tidak memandang ‘kaum’ sebagai satu benteng.
Ahmad, Kamal dan Ismail boleh duduk satu dorm dengan Micheal, Richard, Ah Kuan dan Bong. Tiada rasa jijik berkongsi tray dan kole dan masing-masing hormat dengan pegangan agama sendiri.
Sesuatu yang biasa bagi mereka berkongsi jamban dan membersihkannya bersama-sama dalam work party.
Di gelanggang takraw Melayu, Cina, Iban, Bidayuh dan Melanau boleh main sama-sama dalam satu pasukan. Bola keranjang bukan jadi permainan sesuatu kaum. Orang Melayu dan Iban boleh belajar tarian singa bersama rakan cina. Orang cina boleh belajar ngajat dan zapin. Orang Iban boleh juga bermain kompang.
Asrama sekolah di Sarawak berperanan lebih dari menjadi satu ikon kejayaan akademik. Malah ia satu ‘kilang kemenjadian sahsiah’ Mungkin beberapa perkara perlu ditambah nilai.
Penguatkuasaan disiplin di asrama seharusnya kekal TEGAS seperti zaman 70 hingga 90an dahulu. Ini bagi memastikan anak-anak asrama berdisiplin semasa program peningkatan akademik selepas waktu sekolah dilaksanakan dengan baik.
Oleh itu berbanggalah pada sesiapa yang pernah belajar di sekolah berasrama di Sarawak walaupun bukan berasrama penuh.
Sekolah sekolah rendah di semenanjung juga boleh mencontohi sekolah asrama harian di Sarawak dan Sabah. Binalah asrama untuk setiap sekolah. Mungkin cara ini boleh mendidik sahsiah anak-anak kita.